Abstrak

Integrasi Kaum diusahakan dengan tujuan untuk ... Pembelajaran Sosio-Emosi dan Pendidikan Nasional. Dalam satu dewan kuliah yang besar, setiap kumpula...

0 downloads 19 Views 127KB Size
11 PEMBELAJARAN SILANG BUDAYA BERLANDASKAN INTEGRASI KAUM Hazlian Karim Rozanah Kasnan Sekolah St. Patrick’s Abstrak Pembelajaran budaya masyarakat setempat di sekolah sering dijalankan secara terpisah iaitu setiap golongan pelajar mendalami budaya kaum masingmasing melalui pembelajaran Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil. Dalam konteks pendidikan di Singapura, aspek kebudayaan dan kemasyarakatan perlu dititikberatkan kerana pelajar secara realitinya hidup dalam masyarakat yang berbilang bangsa, budaya dan agama. Tanpa pendidikan yang bercorak kepelbagaian budaya atau khususnya silang budaya, pelajar tidak akan mengenali jati diri masyarakat lain. Maka timbullah isu-isu yang bersifat perkauman di sekolah. Pembelajaran Silang Budaya Berlandaskan Integrasi Kaum diusahakan dengan tujuan untuk menerapkan dan menyemai nilai-nilai murni melalui pembelajaran unsur-unsur budaya pelbagai kaum. Menerusi darmawisata dan perkongsian yang melibatkan ketiga-tiga kaum, pelajar didapati lebih prihatin akan isu-isu berkaitan integrasi kaum. Pelajar kini lebih peka tentang kepentingan hidup berharmoni.

165

Pengenalan Secara umumnya, pembelajaran bagi setiap budaya di sekolah dijalankan dalam kelas Bahasa bunda. Pelajar hanya mengenali budaya dan nilai-nilai murni dalam masyarakat masing-masing. Oleh itu, berkemungkinan wujud beberapa salah tanggap dan salah faham mengenai cara dan sistem kehidupan dalam sesebuah masyarakat. Pakej Pembelajaran Silang Budaya ini dihasilkan dengan menggabungkan beberapa komponen pelajaran yang melibatkan ketiga-tiga golongan pelajar yang mengambil bahasa ibunda di sekolah. Pakej ini bertujuan untuk menjadikan setiap golongan pelajar, yang datang daripada latar yang berbeza, celik akan budaya mereka sendiri dan budaya kaum lain. Pakej pembelajaran ini juga menggabungjalinkan nilai-nilai budaya, pembelajaran sosial dan emosi serta kemahiran abad ke-21, dalam satu pembelajaran yang berterusan dan dilaksanakan secara struktural. Pembelajaran berasaskan pengalaman melalui darmawisata dan perbincangan kumpulan yang merentas kaum dan budaya merupakan salah satu fokus dalam pakej ini. Perpaduan antara ketiga-tiga kaum senantiasa dititikberatkan. Antara unsur-unsur budaya yang diketengahkan dalam pakej ini ialah pemakanan, adab sopan dan perayaan sesebuah masyarakat. Natijahnya, para pelajar berpeluang untuk mengenali budaya dan sistem kehidupan kaum yang berlainan. Tujuan Kajian Secara amnya, kajian ini bertujuan untuk melihat keberkesanan pembelajaran budaya dan penyerapan nilai murni. Setiap pelajar diberi peluang untuk menghargai dan berkongsi nilai dan budaya di samping mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

166

Matlamat khusus kajian ini pula adalah untuk melihat sejauh manakah pembelajaran ini dapat: 1. memupuk rasa bangga dalam kalangan pelajar terhadap bahasa dan budaya yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat; 2. memupuk perasaan menghargai persamaan dan perbezaan budaya yang rencam di Singapura dalam kalangan pelajar; dan 3. menonjolkan ciri-ciri kepelbagaian kaum yang kompleks dengan setiap kaum mempunyai kebudayaannya yang tersendiri. Permasalahan Kajian Pada dasarnya pembelajaran yang berkaitan dengan budaya dilakukan dalam kelas bahasa ibunda masing-masing. Oleh yang demikian, pelajar hanya terdedah kepada apa yang dikongsi dalam kelas bahasa ibunda masing-masing. Perbincangan dan tanggapan tentang isu-isu yang berkaitan dengan satu bangsa atau kaum hanya dihuraikan dalam pengajaran kelas itu sahaja. Kajian Lepas Menurut Che Su Mustaffa (2005), budaya merupakan sebahagian daripada peninggalan yang diperturunkan dan dipelajari daripada nenek moyang, dan diwarisi pula oleh generasi akan datang. Dalam konteks pendidikan di Singapura, aspek kebudayaan dan masyarakat perlu dititikberatkan kerana pelajar secara realitinya hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya. Tanpa pendidikan yang bercorak kepelbagaian budaya, pelajar tidak akan mengenali jati diri masyarakatnya.

167

Prinsip pendidikan pelbagai budaya memperlihatkan perspektif yang positif. Stephen May (1962) menyatakan bahawa prinsip tersebut mampu menggalakkan pemahaman dan interaksi antara silang budaya serta penerimaan perubahan oleh setiap kaum. Ibrahim Saad (1986) pula, menegaskan bahawa kepelbagaian budaya penting untuk didedahkan kepada pelajar kerana mereka bukan sahaja perlu mengetahui tetapi juga menghargai asal-usul kebudayaan tempatan, jati diri dan identiti negara. Sifat masyarakat majmuk Singapura yang bersilang budaya memerlukan setiap ahli masyarakat mengambil langkah untuk saling mengenali dan menyesuaikan diri antara satu sama lain. Prinsip hidup yang serupa itu perlu ditanam dalam diri setiap individu sejak dari kecil lagi demi mengekalkan keharmonian yang akhirnya membolehkan keamanan negara dikekalkan sepanjang masa. Kaedah Kajian Kaedah kajian menerapkan beberapa pendekatan yang berperingkat iaitu pemerhatian awal, perancangan dan perlaksanaan serta tindakan susulan. Selain itu, projek berinovasi ini turut mengambil kira penerapan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Kecekapan Abad ke-21 (21st Century Skills) serta Understanding by Design (UBD) agar menepati ciri-ciri pembelajaran yang menjadi sebahagian daripada dasar pengajaran dan pembelajaran pihak Kementerian Pendidikan Singapura. Dalam melakarkan keseluruhan inti pati projek di atas, beberapa konsep pengajaran dan pembelajaran telah diteliti. Penyerapan kecekapan kemahiran abad ke-21 turut mengambil kira tunjang-tunjang penting termasuk menjadikan seseorang pelajar yang terarah kendiri (self-directed learner), orang yang berkeyakinan (confident person), penyumbang yang aktif (active contributor) dan warganegara yang prihatin (concerned 168

citizen) sebagai matlamat pada akhir pembelajaran. UBD dilihat sebagai cara penerapan yang paling berkesan. Tiga tahap utama UBD ialah Keputusan yang Diingini (Desired Results), Bukti Penilaian (Assessment Evidence) dan Pelan Pembelajaran (Learning Plan). Subjek Kajian Projek ini melibatkan para pelajar Menengah Tiga daripada kaum-kaum utama iaitu Cina, Melayu dan India. Projek ini turut mengambil kira pelajar berbangsa Serani. Pelajar-pelajar ini mengikuti pelajaran bahasa ibunda sebagai sebahagian daripada kurikulum yang diwajibkan. Pemilihan pelajaran peringkat ini berdasarkan kepada perbincangan awal dan tinjauan oleh guru daripada Jabatan Bahasa Ibunda. Kumpulan tersebut telah dikenal pasti sebagai yang paling berisiko kerana tahap peralihan usia daripada Menengah bawahan (Men 2) kepada Menengah atasan (Men 3). Instrumen Kajian 1) Pemerhatian Awal Kes-kes sama ada yang dilaporkan secara rasmi mahupun tidak, menunjukkan adanya beberapa tanggapan yang salah tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan budaya sesebuah kaum sehingga boleh mencetuskan pergaduhan. Masalah yang timbul disebabkan kurang atau tiadanya pendedahan dan penjelasan yang tepat kepada beberapa perkara yang boleh dianggap sensitif telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan remaja. Remaja merupakan golongan yang sering dianggap sebagai berisiko tinggi dan berani menghadapi pelbagai kemungkinan sehingga ada kalanya tersalah langkah. Golongan ini memerlukan pemantauan khusus. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila remaja yang terlibat tidak mendapatkan nasihat daripada sumber atau orang-orang yang seharusnya memberi 169

bimbingan yang betul. Sebagai sebuah institusi pendidikan, pihak sekolah, khasnya guru, boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyemarakkan rasa hormat terhadap individu lain tanpa mengira bangsa, budaya mahupun agama. Penerapan nilai yang tepat lagi terarah akan dapat membangkitkan satu anjakan pemikiran yang positif. 2) Perancangan Melalui penelitian dan perbincangan bersama guru-guru yang terlibat, UBD telah dikenal pasti sebagai sebuah pendekatan yang mampu melahirkan satu rancangan pengajaran. Selain itu penerapan kecekapan-kecekapan abad ke-21 dan penggunaan ICT akan digunakan untuk menyokong rancangan pengajaran ini. Prosedur Kajian Perlaksanaan projek yang berlangsung selama beberapa minggu ini berlaku secara berperingkat-peringkat. Tahap 1 Guru diminta untuk mengenal pasti kumpulan sasaran dan kunjungan ke tempat-tempat tertentu. Guru telah lakukan tinjauan tentang pengetahuan sedia ada pelajar dan perkaraperkara yang akan menjadi ilmu tambahan. Penglibatan dan pembahagian tugas diberikan kepada semua guru-guru bahasa ibunda. Tahap 2 Pengajaran dan pembelajaran silang budaya dijalankan semasa waktu kurikulum. Pengajaran dijalankan dengan secara terperinci bagi mendapatkan data-data relevan dalam mengenal pasti fokus projek yang dijalankan.

170

Setiap wakil daripada Bahasa Ibunda diminta untuk memperkenalkan ciri-ciri tertentu budaya masing-masing dalam kelas secara formal dengan menyelitkan aktiviti rangsangan yang sesuai. Pelajar mencari data dan informasi melalui rangkaian sosial di Internet seraya mengumpul soalan sebelum melakukan kunjungan ke tempat-tempat yang telah dikenal pasti. Guru-guru akan mengumpulkan soalan-soalan seperti ‘Mengapakah perlu menggunakan tangan semasa makan?’, ‘Apakah ciri-ciri khas dan makna semasa acara meminum teh Cina?’ dan ‘Apakah konsep bazar bagi masyarakat Melayu?’. Soalan-soalan awal yang membangkitkan kepada persoalan genting termasuklah: 1. Tahukah pelajar tentang budaya sendiri, contohnya makan bersila dalam majlis khas, pakaian yang sesuai semasa menghadiri upacara kematian, jari yang betul memegang cawan dalam sesi meminum teh Cina, dan kelebihan makan beralaskan daun pisang? 2. Aspek budaya manakah yang boleh dianggap penting, dan mengapa kita harus mempertahankannya? 3. Mengapakah sikap bertoleransi diperlukan agar tidak menjadi punca bagi sebarang perselisihan faham? Tahap 3 Menjalankan aktiviti berdarmawisata ke Geylang Serai bagi acara Bazar Ramadan, China Town bagi acara apresiasi meminum teh dan Serangoon Road bagi cara menyiapkan tose. Lawatan dilakukan dalam jangka masa tiga hari. Pelajar diingatkan tentang tujuan lawatan serta bersikap sensitif semasa mengutarakan soalan ketika berdarmawisata. Lawatan sambil belajar ini turut memberi ruang berinteraksi antara guru dan pelajar yang berbilang bangsa dalam satu-satu masa. Ini penting demi menjalin keharmonian yang menjadi salah satu objektif projek. Pelajar dibekalkan dengan buku khas yang 171

mengandungi senarai perkara yang ingin atau harus diketahui sepanjang lawatan ke tempat-tempat yang dirancang ini. Pelajar juga dikehendaki melakukan refleksi. Tahap 4 Dengan bimbingan guru, pelajar secara berkumpulan mengumpulkan dan membincangkan dapatan hasil pengajaran melalui darmawisata dan ilmu tambahan yang diperoleh seperti Kemahiran Berfikir Secara Kritis, Pembelajaran Kooperatif, Pembelajaran Sosio-Emosi dan Pendidikan Nasional. Dalam satu dewan kuliah yang besar, setiap kumpulan melakukan perkongsian akan dapatan, tanggapan dan refleksi dalam bentuk slaid powerpoint, klip video dan lakonan sketsa pendek. Perkara ini dilakukan bersama bagi semua pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum. Penyampaian dilakukan dalam bahasa Inggeris. Melalui perkongsian tersebut, ilmu tambahan begitu terserlah kerana bukan sahaja pelajar dapat memahami perbezaan budaya yang menjadi amalan kaum masing-masing tetapi guru juga mendapati pelajar lebih cenderung untuk mengetahui jawapan yang lebih tepat. Peluang berkongsi pengalaman yang dijalankan dalam bahasa Inggeris ini membolehkan kedua-dua pihak, iaitu pelajar dan guru, belajar daripada satu sama lain dengan lebih berkesan lagi. Dapatan Kajian Sebelum pakej pembelajaran ini dijalankan, satu tinjauan telah dilakukan bagi mengenal pasti sama ada para pelajar dapat menyenaraikan persamaan dan perbezaan antara ketiga-tiga budaya di Singapura. Tinjauan yang melibatkan 200 orang pelajar Menengah 3 yang mengambil Bahasa Melayu, India dan Cina menunjukkan 54% pelajar mengenali budaya mereka sendiri. Dapatan daripada tinjauan menunjukkan 34% pelajar dapat menyenaraikan persamaan antara ketiga-tiga 172

budaya ini. Sebanyak 57% pelajar pula dapat menyenaraikan perbezaan antara kaum-kaum yang tertentu. Selepas menjalani darmawisata serta perbincangan dan perkongsian yang melibatkan ketiga-tiga kaum secara bersama, dapatan menunjukkan satu peningkatan yang agak ketara. Sebanyak 87% orang pelajar lebih menghayati akan budaya mereka sendiri. Contohnya, para pelajar telah dibawa ke Bazar Ramadan semasa bulan puasa. Pelajar lebih terdedah kepada perkara–perkara yang berkaitan dengan orang Melayu. Ini termasuk penggunaan seni berpantun dalam urusan jual-beli dan tawar-menawar. Pelbagai busana Melayu dapat dilihat seperti baju kurung Pahang, baju kebarung, baju Melayu, kebaya, sarong dan kain pelikat. Bagi pelajar yang bukan Melayu, pendedahan ini merupakan ilmu dan pengetahuan yang baharu lagi menarik. Sebanyak 82% pelajar dapat menyenaraikan persamaan antara budaya manakala terdapat kenaikan sebanyak 30% tercatat bagi pelajar yang dapat menyenaraikan perbezaan antara kaum-kaum yang tertentu. Bagi para pelajar yang mengambil bahasa Melayu dan mengikuti sesi penghayatan seni meminum teh Cina, mereka kini faham mengapa menuang teh dari teko itu perlu dilakukan dengan cara yang tertentu. Dengan adanya pembelajaran silang budaya, integrasi antara kaum kian menyerlah. Tahap kesalahfahaman semakin berkurangan dan pelajar lebih bersikap terbuka untuk mendalami budaya kaum lain demi menjamin kemakmuran Singapura sebagai negara yang berbilang bangsa, budaya dan agama.

173

Kesimpulan Integrasi kaum amat penting bagi menjamin kestabilan hidup yang harmoni. Setiap warga Singapura memainkan peranan tertentu. Remaja sebagai pemangkin masa hadapan seharusnya dapat memainkan peranan dan memberi sumbangan walaupun sekecil zarah dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Hal ini demikian rupa kerana budaya adalah sebahagian daripada warisan yang diperturunkan dan dipelajari daripada nenek moyang, dan akan diwarisi pula oleh generasi akan datang. Dengan penglibatan aktif semua guru Bahasa Ibunda, projek yang direncanakan dan dijalankan secara sistematik telah membuahkan hasil yang jauh daripada jangkauan. Bagi para pelajar, pemahaman tentang budaya yang ada kalanya menyentuh tentang agama telah menjadikan pembelajaran dan pengajaran subjek bahasa ibunda itu lebih indah dan bermakna. Kerelevanan isu-isu yang bangkit melalui perbincangan, berdarmawisata dan perkongsian sebagai penutup pakej pembelajaran yang dijalankan menjadikan penimbaan ilmu itu sesuatu yang amat dihargai. Keberkesanan dapat dilihat semasa pelajar menyiapkan projek serta tugasan/pembentangan secara berkumpulan mahupun individu tugasan individu berupa penyelidikan, penulisan e-mel dan esei. Bagi guru-guru Bahasa Ibunda, penglibatan mereka secara serentak, daripada pelbagai kaum dan bangsa, merupakan suatu kolaborasi yang menguntungkan semua pihak. Pertukaran maklumat turut dimanfaatkan setiap individu. Perancangan yang teliti dengan pemantauan setiap proses menjadikan projek ini cukup berharga. Interaksi antara guru dan pelajar semasa di luar darjah merapatkan lagi hubungan antara pelajar dengan guru dan turut merapatkan jurang antara individu yang terlibat. 174

Bagi pihak sekolah, projek yang pada mulanya hanya satu lakaran pembelajaran silang budaya telah menjadi satu pakej pembelajaran yang berinovasi. Projek ini turut diiktiraf dalam satu perkongsian di sekolah sebagai pakej yang berinovasi tinggi. Melaluinya juga aspek keharmonian kaum telah dapat diselaraskan dalam ketiga-tiga subjek bahasa ibunda. Cadangan Keterbatasan waktu dan tenaga kerja tidak membolehkan lebih banyak tempat diterokai dan mengehadkan bilangan pelajar yang terlibat. Oleh sebab pakej di atas melibatkan semua kaum, ia boleh dianjurkan sebagai projek sekolah (NE). Projek ini boleh dijalankan dalam pelbagai peringkat dan melibatkan guru-guru lain serta golongan-golongan yang berkepentingan. Sekolah dan guru sebagai institusi dan individu berwibawa, boleh memainkan peranan dalam mengeratkan perhubungan antara kaum, menjelaskan ketidakseragaman pendapat tentang isu-isu biasa dan yang sensitif, serta menjadikan persekitaran di sekolah lebih harmonis.

Rujukan A.Banks, J. (2002). An Introduction To Multicultural Education ( 3rd. Ed.). Seattle University. Che Su Mustaffa dan Rasilah Mohd Rosdi (2005). Budaya Masyarakat Malaysia. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia. Ibrahim Saad (1986). Isu Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka. 175

Kementerian Pendidikan Singapura (2011). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Singapura. Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum. Kementerian Pendidikan Singapura. Nurturing our Young for the Future: Competencies for the 21st Century. Dipetik pada 10 Februari, 2012 dari http://www.moe.gov.sg/committee-of-supplydebate/files/nurturing-our-young.pdf May, S. (1962). Making Multicultural Education Work. Toronto: Ontario Institute for Studies In Education. Muklyana, Deddy dan Jalaluddin Rakhmat sebagai Editor (1996). Komunikasi antar Budaya. Panduan Berkomunikasi dengan Orang-orang Berbeda Budaya. Bandung: Remaja Rosda Karya.

176