Analisis keperluan pembangunan pusat transformasi luar

Transformasi Pembangunan Luar Bandar atau Rural Transformation Program (RTP) merupakan program bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 at...

0 downloads 52 Views 238KB Size
TM

GEOGRAFIA Online Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 77

Analisis keperluan pembangunan pusat transformasi luar bandar (RTC) Terengganu Ibrahim Mamat1, Wan Mohd Zaifurin Wan Nawang1, Nor Hayati Sa’at2 1

Universiti Sultan Zainal Abidin, Institut Darul Iman, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia. 2 Universiti Malaysia Terengganu, 21030 Kuala Terengganu,Terengganu, Malaysia.

Correspondence: Wan Mohd Zaifurin Wan Nawang (email: [email protected])

Abstrak Kajian ini bertujuan untuk menentukan keperluan penduduk setempat yang tinggal di sekitar Pusat Transformasi Luar Bandar atau Rural Transformation Center (RTC) Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Kajian ini menggunakan pendekatan campuran iaitu kaedah kuantitatif dan kualitatif. Kajian ini menggunakan borang soal selidik untuk pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif. Data kuantitatif dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS). Data kualitatif pula dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Kajian ini mendapati majoriti responden memerlukan pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Didapati juga ada dalam kalangan responden mengatakan RTC perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Di samping itu, temubual dengan pelanggan dan kakitangan agensi kerajaan di RTC pula mendapati pelaksanaan inisiatif perkhidmatan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, aktiviti zon agro istimewa dan aktiviti promosi berada pada tahap rendah dan memerlukan perhatian yang sewajarnya. Manakala perbincangan kumpulan sasar seperti penyewa, pekerja dan penduduk sekitar, pemimpin tempatan dan anak syarikat Ketengah mendapati mereka menghadapi isu tempatan dan memerlukan tindakan penyelesaian daripada pihak Ketengah. Katakunci: Transformasi luar bandar, keperluan pembangunan, Pusat Transformasi Luar Bandar, penduduk luar bandar, pembangunan luar bandar.

Developmental needs analysis of Terengganu Rural Transformation Centre (RTC) This study aimed to determine the needs of local residents living in the vicinity of the Pusat Pembangunan Luar Bandar or Rural Transformation Centre (RTC) Terengganu in Bandar Al-Muktafi Billah Shah. This study employs a mix of quantitative and qualitative methods. This study used a questionnaire to collect quantitative and qualitative data. Quantitative data were analyzed using the Statistical Package for the Social Sciences (SPSS). Data were analyzed using qualitative content analysis. This study found the majority of respondents require public transport such as buses and taxis. This study also found among respondents say RTC must provide jobs to locals. In addition, interviews with customers and employees of government agencies in the RTC found that the health services initiative by the Ministry of Health, activity zones and agro-related promotional activities are at low levels and requires the attention it deserves. While discussions target groups such as tenants, employees and local residents, local leaders and subsidiaries Ketengah found them facing local issues and require supports from the Ketengah. Keywords: Transforming rural, development needs, Rural Transformation Centre, rural residents, rural development

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 78

Pengenalan Polisi pembangunan luar bandar di Malaysia telah berubah dari hanya memberi penekanan terhadap aktiviti pertanian komersial seperti meningkatkan kecekapan sektor perladangan kepada pembangunan pertanian dan penternakan tradisional. Ketika ini, kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi menyalurkan perkhidmatan mereka terus kepada kumpulan sasar masingmasing secara bersendirian dan berasingan. Pendekatan ini didapati tidak cekap dan kurang berkesan kerana tiada sinergi perkhidmatan yang diterima oleh kumpulan sasar seperti penanam padi atau pekebun kecil getah. Semua perkhidmatan yang disalurkan kepada penduduk kawasan luar bandar seperti khidmat nasihat, pemindahan teknologi pengeluaran, pemprosesan dan pembukusan, pengangkutan dan pemasaran produk perlu disepadukan bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk luar bandar. Menyedari hakikat ini, maka pihak kerajaan telah memperkenalkan Program Transformasi Pembangunan Luar Bandar atau Rural Transformation Program (RTP) merupakan program bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 atau National Blue Ocean Strategy 4 (NBOS4) bagi meningkatkan taraf hidup dan menjana pendapatan penduduk luar bandar dengan kos rendah dalam masa singkat. Tujuan utama RTP ialah untuk memberi kesedaran kepada penduduk tentang operasi Pusat Transformasi Luar Bandar atau Rural Transformation Center (RTC). Aspek kesedaran yang menjadi tumpuan ialah ekonomi, sosial, teknologi dan pendidikan. Program ini juga merupakan pemacu dan pelengkap kepada RTC yang bertujuan mensejahterakan rakyat luar bandar. Kompleks RTC yang menggunakan slogan "Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan" menyediakan kemudahan di bawah satu bumbung untuk penduduk luar bandar. Kompleks ini menjadi pusat integrasi perkhidmatan meliputi sektor penting seperti perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, khidmat sosial, pusat pengumpulan dan pemprosesan, latihan dan kemahiran, klinik dan ruang niaga. Kompleks RTC di Negeri Terengganu telah dibina di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun mula beroperasi sejak 3 Ogos 2014 adalah yang ketujuh dibuka di negara ini. Kompleks ini mampu memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada lebih 430,000 penduduk sekitar yang menetap dalam tiga buah daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu dengan keluasan 443,876 hektar. Menurut Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud, berkata RTC AMBS ialah projek kerajaan persekutuan melalui Ketengah melibatkan peruntukan kira-kira RM10 juta. Pembangunan asal RTC ini bermula dengan pembinaan bangunan kedai dua setengah tingkat oleh kerajaan negeri dengan kos RM3.596 juta dan kerja pengubahsuaian telah dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kos sebanyak RM4.43 juta (Sinar Harian, 17 September 2014). Kompleks RTC AMBS menempatkan sebanyak 18 agensi kerajaan dan diantaranya ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Klinik Informasi 1Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Yayasan Pembangunan Usahawan, Ketengah Holding dan agensi-agensi lain. Keistimewaan RTC AMBS berbanding RTC lain kerana adanya sebuah Pusat Hemodialisis yang dikendalikan JKNT. Perkhidmatan ini amat diperlukan pesakit di sekitar RTC kerana sebelum ini mereka terpaksa berulang alik ke Hospital Dungun dan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan. Selain bangunan RTC yang meletakkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung, kerajaan juga membina sebuah pasar komuniti sebagai pusat pengumpulan daging, ayam, ikan dan sayursayuran serta produk industri kecil dan sederhana tempatan untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk setempat. Pusat ini menjadi satu hab perniagaan penting yang dapat memberi keselesaan dan kemudahan transaksi bahan-bahan mentah dan membuka peluang perniagaan kepada penduduk kerana beroperasi seperti sebuah pasar borong dan pasar pagi tanpa kongkongan orang tengah. Kompleks RTC ini juga telah dilengkapi dengan sebuah hotel, galeri orkid, terminal bas dan dirangkaikan dengan 32 buah mini RTC di seluruh negeri Terengganu di mana 28 buah dari jumlah tersebut terletak dalam wilayah Ketengah. Malah, beberapa bangunan seperti medan selera, bazaar rakyat, khemah barangan terpakai dan surau akan dibina bersebelahan dengan bangunan RTC.

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 79

Penyataan masalah Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Terengganu yang terletak di Bandar Al-Muktafi Billah Shah telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pejabat kerajaan dan swasta sudah bersedia memberi pelbagai khidmat dan tempat berniaga untuk penduduk sekitar. Namun, tinjauan awal di tempat ini mendapati suasana agak lengang terutamanya di waktu petang. Sambutan penduduk sekitar untuk melibatkan diri dalam aktiviti anjuran RTC juga agak rendah. Selain itu, pejabat kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Imigresen, Majlis Amanah Rakyat, Yayasan Pembangunan Usahawan dan sebagainya terbuka luas dan bersedia untuk berkhidmat kepada penduduk tetapi kurang mendapat sokongan mereka. Pasar komuniti yang menyediakan tempat untuk berniaga dikatakan tidak mendapat sambutan dari pemborong kecil terutama dalam kalangan orang Melayu tempatan. Masalah ini dapat diatasi untuk sementara waktu kerana pihak Ketengah mengambil alih peranan orang tengah. Pihak Ketengah menubuhkan anak syarikat dan bekerjasama dengan penduduk setempat untuk bertindak sebagai pemborong kecil. Pihak Ketengah berperanan mengumpul bahan mentah di sekitar RTC dan menjualnya di pasar komuniti dengan harga borong atau lebih murah dari harga pasaran. Namun, tindakan Ketengah menimbulkan tentangan pemborong besar kerana mereka tidak berupaya untuk bersaing secara terbuka. Persoalannya di sini ialah, mengapakah penduduk sekitar kurang mengunjungi RTC dan tidak mengambil kesempatan berniaga di pasar komuniti? Kajian ini bertujuan untuk menentukan keperluan pembangunan penduduk setempat, penyewa, pelanggan dan pengunjung RTC.

Sorotan literatur Konsep pembangunan menurut Ishak (2000) ialah proses perubahan daripada peringkat kurang maju kepada tahap moden sama ada dalam aspek pemikiran manusia, fizikal atau persekitaran. Konsep pembangunan meliputi empat komponen atau matlamat penting yang saling melengkapi dan perlu dicapai melibatkan kecekapan (untuk memastikan pencapaian pertumbuhan ekonomi yang pesat), pembahagian kekayaan yang adil (meliputi pembasmian kemiskinan dan pengurangan jurang perbezaan pendapatan), mapan (menjamin pembangunan kini tidak mengancam kehidupan generasi akan datang) dan pengupayaan rakyat terutama golongan mudah terancam (golongan miskin). Dengan kata lain pembangunan melibatkan satu usaha mengurang atau menghapus kemiskinan, ketidaksamaan dan pengangguran dalam konteks ekonomi yang berkembang. Dalam sejarah pembangunan di dunia, masyarakat telah mengalami beberapa proses pembangunan yang mendadak. Perubahan mendadak secara menyeluruh itu dikenali sebagai perubahan paradigma. Bagi menunjukkan perubahan yang berlaku secara drastik, maka Toffler (1991) menggunakan perkataan ‘waves’ yang mengikut pandangannya dunia telah mengharungi tiga gelombang perubahan revolusi iaitu: pertanian, industri, maklumat/informasi Manakala mengikut Naisbitt (1997) pula, gelombang perubahan ini mempunyai lapan megatrends yang sedang mengubah semula keadaan ekonomi, pemerintah dan budaya Asia, membentuk negara komanwel yang akan menjadi saingan kepada kuasa dan pengaruh barat. Lapan megatrends tersebut ialah: perubahan negara-negara bangsa kepada jaringan kerja, tradisi kepada pilihan, panduan eksport kepada dorongan pengguna, kawalan kerajaan kepada dorongan pasaran, ladang kepada kota raya, tenaga buruh intensif kepada teknologi tinggi, penguasan lelaki kepada kemunculan wanita dan peralihan barat ke timur. Mengikut Ohmae (1985) gelombang pembangunan ini bukan sahaja tertumpu kepada negara maju sahaja tetapi juga negara sedang membangun kerana sains dan teknologi komunikasi telah berkembang dengan sangat pesat hinggakan megatrends akan berlaku di seluruh dunia hingga menjadikan dunia sebagai ‘Global Village.’ Di Malaysia, transformasi seringkali dikaitkan dengan pembangunan akibat daripada pertumbuhan ekonomi (Nurasyikin dan Haryati, 2013). Transformasi bermaksud perubahan sifat atau rupa, bentuk dan lain-lain (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992). Perubahan polisi pembanguan luar bandar dari hanya memberi penekanan terhadap aktiviti pertanian komersial seperti meningkatkan kecekapan sektor perladangan kepada pembangunan pertanian dan penternakan tradisional

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 80

menyebabkan kerajaan memperkenalkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau Rural Transformation Center (RTC). Menurut Ibrahim (2012) RTC berperanan memberi sokongan dalam merealisasikan potensi luar bandar untuk menjana pertumbuhan ekonomi khususnya sektor mempunyai nilai tambah dan potensi pendapatan yang tinggi. Di bawah pelaksanaan pelbagai program di RTC, sebanyak lapan inisiatif diberikan tumpuan iaitu: latihan kemahiran kepada penduduk luar bandar, penubuhan kios informasi 1Malaysia, pertanian bernilai tinggi, pemprosesan produk agro-makanan, pengurusan rantaian bekalan hasil pertanian, kerjasama universiti, perkhidmatan keselamatan makanan dan farmaseutikal serta kemudahan pembiayaan kewangan kepada penduduk luar bandar. Namun begitu, RTC Terengganu baharu sahaja dibangunkan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Pihak Ketengah memerlukan maklumat tentang apakah jenis-jenis perkhidmatan yang diperlukan penduduk di sekitar RTC. Mengikut Philip dan Kotler (1991) mengatakan perkhidmatan/program dapat ditakrifkan sebagai aktiviti atau prestasi yang ditawarkan oleh seseorang atau organisasi kepada orang lain berbentuk tidak ketara dan tidak dimiliki oleh mana-mana pihak. Penyaluran perkhidmatan tidak semestinya melibatkan barangan fizikal (Philip dan Kotler, 1991). Analisis keperluan ialah usaha untuk mengenal pasti jurang di antara apa dengan yang sepatutnya ada. Usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak atau kumpulan sasar RTC Terengganu iaitu komuniti setempat yang tinggal sekitar 100 kilometer radius, pelanggan dan pengunjung RTC. Mereka diminta untuk menyenaraikan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan dan menentukan tahap kepuasan terhadap setiap perkhidmatan tersebut.

Kaedah kajian Kawasan kajian ini meliputi tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu. Tumpuan kajian adalah ketua keluarga dalam kalangan penduduk sekitar RTC Terengganu yang tinggal 100 kilometer dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS). Jumlah populasi di sekitar tiga buah daerah ialah seramai 430,929 orang dan ketua keluarga ialah seramai 91,729 orang (Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, 2013). Pemilihan responden pula adalah berdasarkan kaedah stratified cluster mengikut kawasan di sekitar Bandar AMBS. Pemilihan responden di setiap daerah dan pekan kecil dibuat secara rawak mudah. Bilangan responden yang digunakan ialah seramai 384 orang melebihi apa yang telah ditentukan oleh Krejcie dan Morgan (1970). Data kajian ini dikumpul dengan menggunakan kaedah survei penduduk, mengadakan perbincangan kumpulan berfokus dan pemerhatian. Pengumpulan data di lapangan dibuat selama tiga bulan mulai Februari hingga April 2015. Pengumpulan data yang dibuat melalui survei dengan menggunakan borang soal selidik mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk setiap responden. Kajian ini juga menggunakan pendekatan kualitatif melibatkan perbincangan kumpulan berfokus yang membabitkan seramai enam hingga 12 orang untuk mengumpul data. Data yang diperolehi dari kaedah ini berpotensi untuk digunakan bagi merancang program baru dan menilai yang sedia ada. Menurut Bilson (1989) perbincangan kumpulan berfokus bukan sahaja membantu pengkaji untuk memahami apa yang difikirkan oleh responden, malah memahami corak pemikiran mereka.

Penemuan kajian Latar belakang pengunjung dan penduduk sekitar Pusat Transformasi Luar Bandar(RTC) Kajian ini mendapati majoriti (239 orang atau 83.3 peratus) responden yang mengunjungi RTC berasal daripada daerah Dungun. Majoritinya (236 orang atau 82.2 peratus) pernah berkunjung ke RTC. Kebanyakan (89 orang atau 31 peratus) responden yang pernah pergi ke RTC adalah daripada kategori pelanggan. Kajian ini juga mendapati majoriti (130 orang atau 45.3 peratus) responden memperoleh maklumat mengenai RTC melalui risalah. Analisis taburan penduduk yang tinggal di tiga daerah sekitar RTC mendapati majoriti (149 orang atau 51.9 peratus) responden adalah lelaki dan hampir keseluruhannya (276 orang atau 96.2

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 81

peratus) berbangsa Melayu. Dari segi kategori umur pula, didapati majoriti (79 orang atau 27.7 peratus) responden berumur antara 30 hingga 39 tahun. Data seterusnya mendapati majoriti (76.8 peratus) responden telah berkahwin. Dari segi kelulusan akademik, majoritinya (145 orang atau 50.5 peratus) belajar sehingga sekolah menengah. Dalam kajian ini, kebanyakan (128 orang atau 44.6 peratus) responden bekerja di jabatan kerajaan. Kajian ini juga mendapati majoriti (128 orang atau 44.6 peratus) responden yang tinggal di tiga daerah sekitar RTC berpendapatan kurang daripada RM1,000. Keperluan penduduk sekitar RTC Tumpuan kajian ini adalah untuk menyenaraikan keperluan penduduk yang tinggal di sekitar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Dalam kajian ini terdapat empat elemen yang dikaji iaitu keperluan umum RTC, latihan dan kemahiran yang diperlukan, peluang perniagaan dan akhir sekali berkenaan dengan program RTC. Dari segi aspek keperluan umum di RTC, didapati majoriti (134 orang atau 52.3 peratus) responden memerlukan kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Kajian ini mendapati tidak ramai (71 orang atau 27.7 peratus) responden memerlukan bantuan kewangan untuk mengikuti latihan dan kemahiran. Kajian ini juga mendapati hanya terdapat segelintir (49 orang atau 19.2 peratus) responden memerlukan modal untuk memulakan perniagaan. Di samping itu didapati, agak sedikit (48 orang atau 18.7) responden memerlukan kemudahan riadah seperti gelanggang futsal.

Pelanggan dan kakitangan agensi kerajaan di Pusat Transformasi Luar Bandar Kajian ini juga menjalankan survei khusus untuk pelanggan dan kakitangan agensi yang berada di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Kajian ini melibatkan seramai 17 responden yang dipilih secara rawak. Tujuan kajian ini mengambil sub sampel ialah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelaksanaan inisiatif, hubungan strategik, perkhidmatan agensi dan aktiviti promosi RTC. Kajian ini mendapati majoriti responden adalah berbangsa Melayu (16 orang atau 94.1 peratus), perempuan (14 orang atau 82.4 peratus), berusia antara 21 tahun hingga 30 tahun (tujuh orang atau 41.2 peratus) dan telah berkahwin (11 orang atau 64.7 peratus). Dari segi tahap pendidikan tertinggi pula, bilangan responden berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (lima orang atau 29.4 peratus), Diploma (lima orang atau 29.4 peratus) dan Ijazah (lima orang atau 29.4 peratus) sama ramai. Majoriti (12 orang atau 70.6 peratus) responden bekerja di sektor kerajaan dan mempunyai jumlah pendapatan isi rumah RM1,001 hingga RM2,500 (tujuh orang atau 41 peratus). Kajian ini juga mendapati majoriti (11 orang atau 64 peratus) responden pernah menggunakan perkhidmatan dan kemudahan yang ada di RTC (15 orang atau 88.2 peratus). Keseluruhan (17 orang atau 100 peratus) responden mengetahui tentang kewujudan RTC di kawasan mereka. Majoriti (15 orang atau 88.2 peratus) responden memahami tentang fungsi RTC. Manakala iklan di media masa (empat orang atau 23.5 peratus) dan kain rentang (empat orang atau 23.5 peratus) adalah pemberi maklumat utama kepada responden mengenai RTC. Malah, majoriti (12 orang atau 70.6 peratus) responden mempunyai minat untuk mengikuti program RTC. Majoritinya (11 orang atau 64.7 peratus) juga mengakui berlaku perubahan positif di kawasan sekitar sejak wujudnya RTC. Perubahan ini berlaku kerana majoriti (enam orang atau 35.3 peratus) responden mengatakan terdapat pertambahan kemudahan kesihatan, pembukaan perumahan (empat orang atau 23.5 peratus) pembinaan jalan (tiga orang atau 17.6 peratus) wujudnya perusahaan baru (dua orang atau 11.8 peratus) dan kedai jualan hasil tani (dua orang atau 11.8 peratus) dalam tempoh dua tahun. Bagi perlaksanaan lapan inisiatif RTC, kajian ini mendapati nilai min yang tertinggi (min 2.82) adalah kerjasama universiti oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berada pada tahap sederhana. Manakala inisiatif yang menunjukkan nilai min yang terendah (min 2.11) adalah perkhidmatan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana berada di tahap rendah. Hal ini disebabkan oleh ketiadaan Klinik 1 Malaysia yang amat diperlukan oleh responden. Perkhidmatan istimewa yang

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 82

diwar-warkan akan diadakan di RTC iaitu pusat hemodialisis dan rehabilitasi masih belum beroperasi ketika kajian ini dijalankan. Manakala enam aktiviti jaringan pula, aktiviti pusat pengumpulan dan pengagihan menunjukkan nilai min yang tertinggi (min 2.62). Aktiviti zon agro istimewa menunjukkan nilai min terendah (min 2.29) berikutan ketiadaan projek pertanian berskala besar dan tanah terbiar tidak diusahakan untuk tujuan agro pertanian. Perkhidmatan kerajaan di RTC yang ditawarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan nilai min tertinggi (min 3.47). Manakala kemudahan mendapatkan rawatan dan perkhidmatan Klinik 1 Malaysia menunjukkan nilai min yang rendah (min 2.29). Hal ini disebabkan oleh Klinik 1 Malaysia sebenarnya tidak beroperasi di RTC. Manakala pemasaran dan promosi RTC menunjukkan nilai min yang sederhana (min 2.65). Walaupun suasana kawasan ini semakin menarik minat ramai orang datang sejak RTC diwujudkan, tetapi mempamerkan nilai min yang rendah (min 2.29). Hal ini sangat bertepatan dengan permasalahan kajian yang telah dibincangkan. Aktiviti-aktiviti lain menunjukkan responden memberikan maklum balas yang positif (min 3.41) terhadap kenyataan mengenai ‘peranan RTC sebagai pusat transformasi harus ditambah dan dikembangkan bagi membangunkan masyarakat sama ada dari segi ekonomi ataupun sosial.’ Hal ini menunjukkan responden berhasrat agar perkembangan peranan RTC memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi dan sosial kepada masyarakat.

Perbincangan kumpulan sasar Selain mengumpul data dengan menggunakan cara survei, kajian ini juga mengadakan sesi perbincangan kumpulan sasar yang melibatkan penyewa, pekerja, pemimpin tempatan dan pegawai anak syarikat Ketengah. a. Penyewa Kajian ini mendapati Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah mempunyai dua penyewa iaitu Syarikat Fatisha Mushroom Kopitiam dan Syarikat AMBS Baby Centre. Syarikat AMBS Baby Centre yang mula beroperasi pada bulan Ogos 2014 menjual pelbagai barangan bayi. Kajian ini dimaklumkan purata pengunjung sehari seramai 10 orang dan majoritinya dalam kalangan pekerja Ketengah di RTC. Tidak ramai pengunjung luar datang ke RTC untuk mendapatkan khidmat dan barangan basah di pasar. Justeru, jualan barangan keperluan agak kurang laku walaupun harga yang ditawarkan lebih murah daripada kedai lain di kawasan sekitar. Maka tidak hairanlah pemilik syarikat ini mengatakan ‘agak sakit’ untuk mendapat anggaran pendapatan sebelum ditolak modal sebanyak RM300-RM400 sehari. Manakala Syarikat Fastisha Mushroom Kopitiam pula agak keliru dengan terma kopitiam kerana tidak menawarkan menu yang sepatutnya. Waktu perniagaan juga agak terhad kerana kopitiam ini ditutup awal pada waktu malam atas alasan tiada pengunjung. b. Pekerja dan penduduk sekitar Hasil perbincangan yang dilakukan dengan pekerja/pesara/ketua keluarga dalam kalangan penduduk (lima orang) kawasan sekitar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah mendapati mereka menghadapi beberapa masalah pembangunan. Antaranya ialah melibatkan masalah projek dan pembinaan bangunan di kawasan sekitar. Penduduk sekitar RTC tidak berpuas hati apabila kebanyakan projek pembinaan melibatkan pengambilan kontraktor dan orang luar seperti orang Bangladesh untuk menjalankan aktiviti yang berkaitan pembangunan tersebut. Masalah ini memberikan tekanan kepada penduduk tempatan apabila peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat semakin berkurangan kerana pengambilan pekerja asing. Kedatangan pekerja Bangladesh juga

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 83

menyebabkan keselesaan dan keharmonian penduduk sekitar tergugat. Kehadiran pekerja asing membimbangkan masyarakat sekitar kerana mereka telah menimbulkan pelbagai masalah sosial. Dapatan perbincangan dengan kumpulan ini juga memberikan maklumat bahawa wujudnya masalah perumahan mampu milik di sekitar Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Hal ini adalah disebabkan oleh generasi pada masa kini tidak mempunyai rumah sendiri. Masalah sewa rumah mampu milik dengan pihak Ketengah juga wujud kerana kadar sewaan telah dinaikkan 100 peratus. Masyarakat sekitar juga menghadapi masalah gagal memperolehi geran walaupun sudah selesai membuat pembayaran. Isu tanah yang diberikan oleh kerajaan kepada penduduk turut menimbulkan masalah kerana pihak Ketengah didakwa mengambil kesempatan mengenakan sewa ke atas tanah tersebut. Selain itu, masyarakat sekitar RTC juga menghadapi masalah mengenai infrastruktur. Infrastruktur dari segi pengangkutan awam dan perhubungan amat penting bagi memberikan keselesaan kepada masyarakat sekitar. Malah, kekurangan infrastruktur telah menjejas dan memperlahankan aktiviti harian penduduk sekitar.

c. Pemimpin tempatan Perbincangan dengan Penghulu Besul mendapati terdapat tiga isu utama yang menghantui dan menjadi rungutan penduduk di kawasan Ketengah. Isu pertama ialah penempatan penduduk. Rumah di kawasan sekitar Pusat Transfomasi Luar Bandar di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dibina oleh Ketengah dan diberikan kepada penduduk sama ada melalui sewa beli atau sewa. Penduduk bersungut mengenai hak milik rumah, bayaran sewa yang tidak mampu dibayar dan juga kenaikan kadar sewaan sebanyak 100 peratus. Isu yang kedua ialah tentang infrastruktur awam seperti saliran perparitan, longkang dan juga sisa kumbahan. Tindakan pengurusan Ketengah adalah sangat lambat kerana mengambil masa yang lama dan tidak kesampaian peruntukan. Manakala isu yang ketiga pula ialah penyelewengan. Penduduk mendakwa pihak Ketengah telah memindahkan peruntukan yang diterima mereka untuk pembangunan tempat lain seperti Pasir Gajah di Kemaman. Ketengah tidak membangunkan Bukit Besi dan tidak memajukan Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Pada pandangan penghulu, lokasi RTC di Bandar Al-Muktafi Billah Shah adalah tidak strategik kerana jumlah penduduk tidak padat dan kebanyakan kampung sekitar berada jauh dari pusat ini. Penduduk merasakan adalah lebih baik berurusan terus dengan agensi di Bandar Dungun berbanding di RTC. Walaupun jarak ke Dungun dan ke RTC adalah sama jauh, tetapi perkhidmatan yang diberikan agensi kerajaan di Bandar Dungun adalah jauh lebih efisyen. Sebelum kerajaan menempatkan RTC Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, wakil dan penduduk mencadangkan agar pusat ini ditempatkan di Bukit Besi. Penempatan penduduk di Bukit Besi lebih padat berbanding di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan dekat dengan kampung sekitar seperti Jerangau, Tepuh dan Pinang. Penduduk merasakan sekiranya RTC dipindahkan ke kawasan lain adalah lebih baik dan tiada masalah berbanding jika terus berada di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Bagaimanapun, pihak Ketengah dikatakan sangat berminat RTC berada di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dengan harapan dapat menarik lebih ramai orang datang ke bandar ini. Malah, kewujudan RTC Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dijangka dapat menarik perhatian orang ramai untuk berkunjung ke pusat ini melalui Jalan Jerangau Jabur dan Lebuhraya Pantai Timur. Pembangunan Bandar Al-Muktafi Billah Shah mula merasai fasa kejatuhan dan kemalapan apabila Kilang Kayu milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu ditutup sepenuhnya 10 tahun lepas. Dalam tempoh itu, ramai penduduk mengalami kemerosotan pendapatan dan menyebabkan mereka terpaksa keluar dari kampung untuk mencari pekerjaan baru di luar kawasan Ketengah. d. Anak syarikat Ketengah Dapatan hasil perbincangan dengan penolong pengurus anak syarikat Ketengah iaitu Surada Jaya Sendirian Berhad memberi gambaran Pusat Transformasi Luar bandar (RTC) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah mempunyai potensi untuk maju dengan mengambil beberapa langkah berikut. Pertama,

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 84

menjadikan RTC sebagai hub unggas di kawasan Pantai Timur, khususnya bagi ternakan burung puyuh (daging dan telur). Tumpuan diberikan kepada pengeluaran pelbagai produk berasaskan burung puyuh. Langkah kedua pula ialah membuka restoran yang menjadikan burung puyuh sebagai menu utama. Terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi pihak pengurusan Ketengah dan RTC. Pertama, lokasi RTC yang agak terpencil dan pendalaman menyebabkan penduduk sekitar lebih gemar pergi ke Bandar Dungun atau Paka. Justeru, RTC perlu mengadakan promosi dan memberi tawaran menarik, berkualiti dan harga lebih murah berbanding tempat lain. Kedua, pembukaan Lebuhraya Pantai Timur menyebabkan laluan jalan lama ini menjadi semakin lengang. Maka pihak pengurusan RTC perlu menumpukan kepada masyarakat sekeliling dan sekitar kawasan ini untuk datang dan berurusan dengan agensi di RTC.

Cadangan perbincangan kumpulan sasar a. Penyewa Peniaga yang beroperasi di sekitar Pusat Transformasi Luar bandar (RTC) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah mencadangkan supaya kerajaan membenarkan lebih ramai peniaga kecil membuka kiosk di sekitar bangunan utama RTC selepas waktu pejabat (contoh: jam 4 petang hingga 10 malam). Hal ini kerana terdapat bakal peniaga kiosk menunjukkan minat untuk berniaga terutama menjual produk yang tidak mengotorkan kawasan RTC. Anggaran bakal peniaga kiosk yang ingin berniaga barangan seperti baju bundle, aksesori wanita, lelaki dan sebagainya ialah seramai 10 orang. Peniaga di pasar komuniti mencadangkan supaya anak syarikat Ketengah berusaha menarik lebih ramai pelanggan dengan cara menjual barangan pada harga murah berbanding kedai lain di sekitar Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Bagi mengurangkan kos penghantaran bekalan, dicadangkan supaya peniaga ikan dan sayur-sayuran membeli lori kecil atau van supaya dapat mengelakkan dari membayar sewa kenderaan yang tinggi dari pihak luar. Pihak Ketengah perlu membuat penyelarasan jenis-jenis barangan yang dijual di pasar komuniti untuk mengelakkan persaingan yang tidak sihat. Pihak Ketengah juga perlu membuka peluang perniagaan seluas-seluasnya kepada penduduk tempatan untuk mereka berniaga di pasar komuniti. Pengusaha juga mencadangkan pihak kerajaan menggalakan pihak swasta mendirikan kilang dan industri seperti kilang membuat budu, membina universiti atau kolej bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Pengusaha turut mencadangkan agar diwujudkan kawasan perumahan baru kerana kajian ini dimaklumkan agak sukar untuk mencari rumah sewa di kawasan sekitar RTC. Pihak bank juga perlu membuka cawangan berserta mesin pengeluaran wang dan deposit tunai untuk kemudahan peniaga dan penduduk setempat. Selain itu, pihak pengurusan RTC perlu sentiasa menganjurkan Karnival Usahawan Desa atau aktiviti-aktiviti lain di sekitar Bandar Al-Muktafi Billah Shah bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke RTC. Seelok-eloknya aktiviti ini dapat diadakan dengan kekerapan dua bulan sekali. Pihak pengurusan RTC boleh mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Lebuhraya Pantai Timur 2 dan Universiti Teknologi Mara Cawangan Dungun supaya dapat membuat promosi yang lengkap mengenai kemudahan, barangan, perkhidmatan dan program sedia ada di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan sekitarnya. b. Pekerja dan penduduk sekitar Pekerja dari Jabatan Pendaftaran Negara mencadangkan beberapa perkara supaya Bandar Al-Muktafi Billah Shah berkembang maju. Pertama, membina lebih banyak taman perumahan. Kedua, mendirikan kilang-kilang industri. Ketiga, membuka cawangan Institut Pengajian Tinggi atau kolej pengajian. Keempat, membuka sekurang-kurangnya satu cawangan bank, menyediakan mesin pengeluaran wang dan deposit tunai. Kelima, agensi kerajaan sedia ada mesti beroperasi sepenuhnya

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 85

di RTC secepat yang mungkin termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menarik orang ramai datang ke sini. Masyarakat sekitar pula memerlukan peluang pekerjaan yang lebih banyak. Peluang pekerjaan yang banyak dapat mengelakkan masyarakat sekitar berhijrah ke tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan. Masyarakat sekitar turut menyatakan mereka memerlukan tanah untuk menjalankan aktiviti pertanian. Aktiviti pertanian merupakan salah satu pekerjaan tradisi yang mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga mereka. c. Pemimpin tempatan Bandar yang paling hampir dengan Al-Muktafi Billah Shah ialah Bukit Besi. Pemimpin tempatan mencadangkan supaya Bandar Bukit Besi dibangunkan kerana akan memberi kesan yang positif ke atas Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Penduduk Bukit Besi rata-rata bekerja sendiri sekitar penempatan mereka, pekerja kilang kayu PESAKA dan sawit, kakitangan Ketengah, tukang rumah, loji Petronas di Paka dan berniaga. Bandar ini mempunyai beberapa potensi ekonomi yang perlu dipergiat dan diberikan perhatian seperti perusahaan seramik, rotan, ukiran kayu, industri rempeyek dan kerepek. Terdapat juga potensi ekonomi dari segi pelancongan kerana Bukit Besi mempunyai sejarah perlombongan yang boleh dikomersilkan. Penduduk mengharapkan agar mereka dibantu dan dilibatkan secara langsung dalam projek eco-pelancongan. d. Anak syarikat Ketengah Ada beberapa perkara yang dicadangkan oleh kakitangan anak syarikat Ketengah. Pertama, pihak pengurusan Pusat Transformasi Luar bandar (RTC) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Ketengah perlu meningkatkan promosi dan publisiti mengenai RTC. Kedua, membuka cawangan makanan segera seperti Kentucky Fried-Chicken, Mcdonald dan Marry Brown di sini. Ketiga, pejabat agensi kerajaan di RTC perlu segera beroperasi supaya dapat memberi pelbagai kemudahan kepada pengunjung. Masa pejabat beroperasi juga perlu disesuaikan dengan masa lapang penduduk sekitar. Contohnya, penduduk sekitar bercuti pada hari Sabtu. Maka beberapa agensi kerajaan perlu membuka kaunter pada hari minggu untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk. Keempat, perlu lebih kerap mengadakan pelbagai aktiviti karnival dengan menjemput artis membuat persembahan dan keagamaan seperti 'malam cinta Rasullullah,' forum perdana dan sebagainya.

Cadangan umum Pembangunan kawasan Bandar Al-Muktafi Billah Shah memerlukan satu keseimbangan yang menggunakan pendekatan modal dan sumber manusia. Suntikan modal atau pelaburan yang dibawa daripada luar perlu dimanfaatkan untuk membangunkan sumber manusia setempat bagi menjayakan semua sektor ekonomi. Sumber yang ada di sekitar Pusat Transformasi Luar bandar (RTC) Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah seperti keindahan semulajadi, sumber hutan, kemahiran dan warisan setempat, semua titik sentuhan (mini RTC dan bandar kecil) perlulah dikenal pasti dan dibangunkan potensi tersebut. Penglibatan semua pihak terutamanya swasta, badan bukan kerajaan dan penduduk setempat perlu digembelengkan dengan menggunakan konsep partnership in development. Selain itu, semua agensi yang terlibat tidak boleh bekerja secara bersendirian (silo) tanpa kumpulan sasar yang jelas. Sebaliknya mereka perlu bekerjasama di dalam merancang dan melaksanakan projek dan perkhidmatan untuk penduduk setempat dengan mengenal pasti beberapa kumpulan sasar secara terperinci. Seterusnya, kumpulan sasar ini perlu dibangunkan mengikut keperluan mereka. Agensi yang beroperasi di RTC harus mewujudkan kerjasama, mengubah minda penduduk dan mewujudkan connectivity untuk menjalinkan semua titik sentuhan melalui makmal yang diadakan secara berkala. Antara projek usahasama yang mungkin sesuai dijalankan agensi kerajaan ialah pembangunan generasi kedua keusahawanan dan lain-lain projek pendidikan sepanjang hayat untuk membantu keluarga penduduk sekitar.

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 86

Di samping itu juga, perlu diwujudkan kerjasama yang erat antara badan pentadbir bebas RTC (dicadangkan), Ketengah (pentadbir RTC Terengganu sekarang) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur untuk pembangunan setempat. Kawasan sekitar RTC Terengganu tidak berkembang kerana kekurangan penduduk yang tinggal disekitarnya. Beberapa strategi perlu digubal untuk meramaikan penduduk dalam Mukim Besul. Pada masa kini, penduduk tidak bertambah kerana masalah mendapatkan tanah untuk dijadikan tapak perumahan. Kawasan sekitar juga tiada taman perumahan baharu yang dimajukan oleh pihak swasta dan kerajaan. Dicadangkan pihak kerajaan negeri mengenal pasti beberapa kawasan sekitar Bandar Al-Muktafi Billah Shah untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan agar dapat menggalakkan pertambahan penduduk sekitar. Ruang dan peluang yang seluasluasnya perlu dibuka untuk menggalakkan penduduk berpindah dan menetap di kawasan sekitar bandar. Manakala strategi seterusnya ialah merangka sinergi pertumbuhan bandar yang sedia ada iaitu Bukit Besi, Ketengah Jaya, Pasir Raja, Jerangau dan pekan berdekatan dengan Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Semua agensi kerajaan yang ditempatkan di RTC perlu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan di tahap maksimum supaya golongan penduduk luar bandar mendapat manfaat sebaiknya. Pemilihan agensi untuk ditempatkan di RTC hendaklah yang benar-benar dapat memenuhi keperluan penduduk luar bandar. Malah, semua agensi kerajaan yang berada di RTC hendaklah mempunyai peranan melaksanakan semua sembilan initiatif RTC. Sekiranya perlu, agensi yang berada di RTC hendaklah beroperasi di luar waktu pejabat dan pada hari minggu mengikut keperluan dan keselesaan penduduk. Pihak pengurusan RTC juga perlulah sentiasa menganjurkan pelbagai aktiviti seperti pameran kegiatan ekonomi bercorak perdagangan yang melibatkan produk pertanian, hasil kerja tangan penduduk tempatan, penternakan dan perikanan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Pelbagai aktiviti lain juga perlu diadakan seperti mengadakan karnival kerjaya, expo, program untuk golongan belia/beliawanis dan kegiatan-kegiatan yang berkaitan kerana boleh menarik penduduk datang ke RTC. Aktiviti-aktiviti ini perlu dilakukan dengan sistematik supaya bilangan pengunjung ke RTC dapat bertambah secara berterusan. Keutamaan perlu diberikan kepada usahawan yang menetap di sekitar Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Initiatif ini adalah seiring dengan matlamat RTC untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar yang tinggal 100 kilometer radius dari RTC Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah.

Kesimpulan Kajian ini mendapati tidak ramai penduduk sekitar memberi sambutan dan berurusniaga di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Terengganu yang terletak di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Bilangan pengunjung dalam masa tiga bulan pertama (September - November 2014) ke RTC hanya seramai 115 ribu orang sahaja. Kebanyakan mereka adalah pengunjung yang sama. Mereka merupakan pelanggan di pasar komuniti, penggunjung semasa majlis perasmian dan pameran serta penduduk yang mendapatkan perkhidmatan dari agensi kerajaan dan sebagainya. Kemalapan RTC Terengganu disebabkan oleh banyak perkara. Antaranya ialah semua agensi kerajaan masih bekerja secara bersendirian (silo), kekurangan promosi tentang kewujudan RTC, banyak masalah teknikal pengurusan dan kakitangan yang dihadapi agensi semasa penempatan di sini dan perkara tersebut masih berlarutan. Penduduk tempatan yang mendiami kawasan sekitar Bandar Al-Muktafi Billah Shah terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, pekerja ladang dan pengganggur. Mereka terdiri dari kumpulan pengguna dan bukannya pengeluar. Petani yang menanam sayur atau memiliki dusun buah-buahan atau penternak mengeluarkan produk ternakan tidak ramai tinggal di sini. Maka RTC tidak digunakan untuk dijadikan sebagai satu tempat pengumpulan barangan atau produk dari kawasan luar bandar. Kebanyakan barangan yang diniagakan di sini diambil dari luar seperti mendapat bekalan sayuran dari Pasar Borong Selayang atau membeli bekalan ikan di pasar Dungun. Malah, kebanyakan penduduk sekitar tidak perlu datang ke RTC untuk membeli keperluan harian kerana mereka lebih mudah memperolehi barangan tersebut di pekan yang berdekatan seperti Ketengah Jaya, Jerangau, Bukit Besi, Paka, Kuala Berang dan Kemaman.

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 12 (77-87) © 2016, ISSN 2180-2491 87

Selain itu, kadar pertumbuhan penduduk di kawasan Bandar Al-Muktafi Billah Shah yang perlahan menyebabkan pembangunan perumahan baharu sukar dirancang. Walaupun ada permintaan penduduk untuk mendirikan rumah di sekitar Bandar Al-Muktafi Billah Shah, tetapi mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan tapak perumahan kerana kebanyakan tanah berada di bawah pentadbiran Ketengah dan kerajaan. Oleh itu, pembangunan kawasan perumahan baharu menjadi lebih sukar. Masalah bertambah serius apabila Lebuhraya Pantai Timur 2 siap dibina dan dibuka. Pengguna lebuhraya ini tidak singgah di RTC. Malah, jika pengguna lebuhraya singgah untuk mendapat perkhidmatan dan berurusan di RTC, mereka akan menghadapi pelbagai masalah kerana kebanyakan agensi kerajaan tidak dapat memberi perkhidmatan terbaik. Kebanyakan agensi menghadapi masalah teknikal seperti sistem teknologi maklumat dan komunikasi tidak beroperasi, tiada kemudahan internet wifi dan kekurangan kakitangan. Maka tidak hairanlah penduduk lebih senang berurusan di pejabat lama di Bandar Dungun atau Kemaman kerana kebanyakan urusan tidak dapat diselesaikan di RTC.

Rujukan Bilson J M (1989) Focus group: A practical guide for applied Research. Clinical Sociology Review, Vol. 7, Issue 1, Article 24. Dewan Bahasa dan Pustaka (1992) Kamus Dewan Edisi Ketiga. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Ibrahim Ngah (2012) Rural Transformations Development. Kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan Antarabangsa mengenai Sains Sosial & Kemanusiaan UKM 2012 (ICOSH-UKM 2012), Selangor, Malaysia. Ishak Shari (2000) Globalisasi ekonomi: Proses dan realitinya. Dlm. Norani Othman & Sumit K. Mandal (pnyt.). Malaysia Menangani Globalisasi Peserta Atau Mangsa. Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi, 46-70. Krejcie RV, Morgan DW (1970) Determining Sample Size for Research Activities. Educational and Psychological Measurement 30, 607-610. Naisbitt J (1997) Megatrends Asia. Paperback. Nurasyikin Miskam, Haryati Shafii (2013) Transformasi pembangunan luar bandar: kesan ke atas kesejahteraan hidup masyarakat. Kertas kerja dibentangkan di Persidangan Geografi dan Alam Sekitar, 5-6 Mei. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak. Ohmae K (1985) Triad Power: The coming shape global competion. New York: The Free Press. Philip K (1991) Marketing management: Analysis, planning, implementation, and control. New York: Prentice Hall. Inc. Sinar Harian (17 September 2014) RTC beri faedah besar. Kumpulan Media Karangkraf. Tofler A (1991) Third Wave. New York: Mass Market Paperback. Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (2013) Data Asas Negeri Terengganu 2013. Kuala Terengganu: Bahagian Penyelidikan dan Maklumat.