Analisis persepsi masyarakat setempat terhadap impak

(email: [email protected] ... pengetahuan secara langsung tentang persekitaran dalam proses ... Sehubungan dengan pengenalan di atas makalah ini adalah bertuj...

0 downloads 59 Views 651KB Size
GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

183

Analisis persepsi masyarakat setempat terhadap impak pembangunan di Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor 1

1

1

1

Er Ah Choy , Mohd Faizal Abdul Rashid , Katiman Rostam , [email protected] Mohamed , 1 Abd. Rahim Md. Nor 1

Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Correspondence: Er Ah Choy (email: [email protected])

Abstrak Artikel ini menganalisis persepsi penduduk setempat di kawasan perumahan di WPI, Johor terhadap perubahan yang berlaku ke atas alam sekitar dan komuniti. Analisis tersebut merangkumi keberkesanan langkah penguatkuasaan undang-undang alam sekitar oleh pihak kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Alam Sekitar dan IRDA; juga impak pembangunan di WPI ke atas kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat. Penyelidikan ini menggunakan kaedah suvei berasaskan kaji selidik dan pemerhatian untuk memperoleh data. Teknik persampelan campuran dipilih bagi mengenal pasti kawasan yang didiami penduduk asal dan responden yang mempunyai pengetahuan lokal. Hasil analisis menunjukkan bahawa masyarakat setempat mempunyai variasi persepsi yang tinggi bagi impak pembangunan perindustrian secara keseluruhan terhadap Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor. Mereka berpandangan bahawa, walaupun program pembangunan IRDA meninggalkan impak negatif terhadap alam sekitar dan keselamatan komuniti, tetapi banyak kesan positif yang sangat berfaedah kepada masyarakat setempat. Katakunci: impak pembangunan, Johor, masyarakat setempat, persepsi, program pembangunan, Wilayah Pembangunan Iskandar

An analysis of the perceptions of local residents towards the impact of development in the Iskandar Development Region, Johor Abstract This article analyzes the perceptions of local residents in housing estates in the IDR, Johor for the changes to the environment and community around them. The analysis includes the local residents' perceptions of the effectiveness of enforcement of environmental laws by the government, particularly local authorities, the Department of Environment and IRDA; also the impact of development in the IDR to the welfare and safety of local residents. A questionaire survey together with field observation techniqes were used to obtain data. Mixture sampling techniques were employed to determine the housing estates inhabited by the local people and identify respondents who have knowledge of the local. Result of the analysis shows that local communities have a high variation in the perception of the impact of the overall industrial development of the Iskandar Development Region, Johor. They perceived that

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

184

IRDA development programmes will not only have a negative impact on the envirounment and safety of the community, but also positive impacts which are more benificial to the local residents. Keywords: development program, impact of development, Iskandar Development Region, Johor, local residents, perception

Pengenalan Wilayah Pembangunan Iskandar atau ringkasnya Wilayah Iskandar merupakan sebuah koridor pembangunan di selatan Johor yang dijangka akan membawa impak yang besar terhadap pertumbuhan ekonomi negeri ini. WPI ditubuhkan bagi menaikkan taraf kehidupan tiga juta penduduk di Johor menjadi yang terbaik di rantau ini. Menerusi projek ini, WPI akan memiliki pelbagai produk pelancongan, tapak untuk senibina yang masyhur, penginapan idaman di pesisir pantai, sektor perkhidmatan, kewangan yang berdaya maju dan sistem pengangkutan bersepadu sepenuhnya. Kerajaan telah mengumumkan untuk menyediakan insentif termasuk potongan cukai bagi beberapa industri perkhidmatan terpilih, selain membenarkan pelabur mendapatkan sumber manusia untuk industri itu dari serata dunia. Bagi memastikan perlaksanaan ini berjalan dengan lancar, kerajaan telah mewujudkan sebuah badan kawal selia bagi menjadikan urusan perniagaan dan pelaburan di WPI lebih mesra kepada para pelabur (Er Ah Choy et al., 2009). Wilayah Iskandar dianggap mampu menarik lebih ramai pelabur asing. Hal ini kerana kedudukan geografi yang strategik dan mampu menawarkan pasaran besar kerana ianya terletak di antara negara India dan China. Faktor alam semula jadi juga menjadi salah satu daya penarik pelabur asing terhadap Johor seperti hutan hujan tertua dunia, paya bakau, pulau-pulau yang indah dan pesisir pantai. Selatan Johor berpotensi untuk berkembang dan merupakan pusat ekonomi kedua terbesar di Malaysia. Oleh hal demikian, selatan Johor perlu dibangunkan supaya mampu bersaing di peringkat global dan menghadapi cabaran liberalisasi dunia. Bagaimanapun, program pembangunan sebenarnya merupakan pedang dua belah dengan kebaikan dan kelemahannya. Penyelidikan ini bertujuan mengenal pasti kebaikan dan kelemahan pembangunan WPI daripada perspektif alam sekitar dan kesejahteraan penduduk setempat. Penduduk setempat adalah komponen penting dalam sesebuah program pembangunan. Mereka adalah golongan yang paling terkesan oleh program tersebut. Pandangan mereka boleh dijadikan kayu ukur untuk melihat sejauh mana keberkesanan sesuatu program pembangunan. Persepsi penduduk adalah satu pengalaman yang disebabkan oleh pemerhatian manusia melalui pancaindera. Konsep tersebut menunjukkan persepsi merupakan sesuatu yang tidak boleh diperhatikan secara nyata dan melibatkan psikologi tentang pemikiran seseorang. Tambahan pula, persepsi juga merupakan salah satu cara bagaimana sesebuah organisasi bertindak balas terhadap rangsangan-rangsangan yang dikesan oleh pancainderanya. Persepsi merupakan satu bentuk hakikat berdasarkan pancaindera seseorang. Artikel ini menggunakan persepsi penduduk lokal untuk menilai impak pembangunan WPI. Persepsi seseorang penting kerana ia adalah respons terhadap rangsangan yang terdapat di persekitarannya. Bagaimanapun, persepsi juga dipengaruhi oleh nilai dan emosi. Justeru, acapkali wujud kepencungan dalam persepsi. Persekitaran adalah alam sekeliling, iaitu semua objek fizikal dan organisma, sama ada yang tampak atau tidak tampak yang terdapat di keliling manusia. Mengikut Lewontin (1982:160), “there is no organism without an environment, but there is no environment without an organism”.Mengikut Gibson (1979) pula, dari perspektif psikologi ekologikal, manusia memperolehi pengetahuan secara langsung tentang persekitaran dalam proses aktiviti amali mereka. Manakala Ittelson dan Gibson (Lincoln University Research University Archive, 1970) bersetuju bahwa individu dan persekitaran tidak boleh diasingkan dan persepsi melibatkan interaksi yang konstan antara kedua-duanya.

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

185

Persepsi ialah pendekatan bersepadu untuk memahami bagaimana manusia hidup, belajar, bekerja dan mempersepsi persekitaran mereka (Ingold, 2000). Seterusnya Bonaiuto et al. (1999) mengkaji hubungan antara persepsi tentang kualiti persekitaran perumahan dengan ciri-ciri arkitek dan perancangan bandar. Sehubungan dengan pengenalan di atas makalah ini adalah bertujuan untuk menganalisis persepsi masyarakat setempat terhadap impak program pembangunan di Wilayah Iskandar terutamanya dari segi persekitaran dan keselamatan masyarakat serta tahap kesejahteraan mereka secara keseluruhannya.

Kaedah penyelidikan Penyelidikan ini menggunakan kaedah survei berasaskan kaji selidik dan pemerhatian. Temu bual dengan penduduk setempat dijalankan menggunakan satu set soalselidik yang mengandungi soalan berstruktur dan tidak berstruktur. Kaedah persampelan campuran, yakni persampelan kawasan dan persampelan pertimbangan dalam memilih responden dilakukan. Kawasan perumahan dipilih secara rawak mudah. Setelah mengenal pasti kawasan perumahan, 100 orang responden dipilih melalui teknik persampelan berdasarkan pertimbangan dari segi kesesuaian dan berdasarkan pengetahuan lokal. Kawasan perumahan yang dikaji adalah taman perumahan yang berhampiran dengan zon perindustrian dalam Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor.

Persepsi impak pembangunan pembangunan terhadap alam sekitar Persepsi masyarakat setempat boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu variasi persepsi yang tinggi, sederhana dan rendah. Skala variasi yang digunapakai dalam kajian ini ialah 75% = tinggi, 50% = sederhana dan kurang 50% adalah rendah. Hasil kajian menunjukkan bahawa variasi persepsi masyarakat setempat terhadap impak pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor adalah agak tinggi. Analisis persepsi penduduk setempat terhadap impak pembangunan ke atas alam sekitar dapat diperhatikan daripada Rajah 1 hingga Rajah 8. Rajah 1 menunjukkan sebanyak 61% responden bersetuju manakala 20% sangat setuju bahawa terdapat impak pembangunan terhadap alam sekitar. Manakala 11% tidak pasti dan 8% kurang setuju. Responden berpersepsi bahawa penerokaan tanah untuk pembukaan kilang akan mengakibatkan tanah runtuh, banjir kilat dan pemendapan sungai berhampiran. Seterusnya masalah peningkatan suhu akan berlaku dan ini menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

186

Rajah 1. Pembangunan perindustrian dan alam sekitar

Di samping itu, responden juga turut berpersepsi masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, air, kebisingan dan sisa akan berlaku akibat aktiviti pembangunan. Daripada Rajah 2, dapat diperhatikan sebanyak 46% responden bersetuju manakala 29% sangat setuju bahawa terdapat impak pembangunan terhadap alam sekitar. Manakala 20% tidak pasti, 4% tidak setuju dan 1% kurang setuju.

Rajah 2. Aktiviti perindustrian yang dijalankan berhampiran kawasan anda dan pencemaran

Rajah 3 pula menunjukkan, sebanyak 49% responden bersetuju manakala 44% sangat setuju bahawa aktiviti perkilangan yang dijalankan mengakibatkan kesan sampingan terhadap kesihatan mereka. Hanya 2% responden tidak pasti, 4% tidak setuju dan 1% kurang setuju dengan impak aktiviti pembangunan terhadap kesihatan mereka. Hal tersebut menunjukkan bahawa responden berpandangan masalah pencemaran yang wujud boleh menjejaskan kesihatan. Sebagai contoh, pencemaran udara boleh menyebabkan masalah sesak nafas terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit asma. Manakala pencemaran air boleh menyebabkan penyakit cirit-birit ataupun penyakit kulit seperti gatal-gatal dan

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

187

mudah dijangkiti kuman, terutamanya bagi mereka yang memiliki kulit luaran yang sensitif terhadap air yang mengandungi bahan-bahan pencemar.

Rajah 3. Aktiviti-aktiviti perkilangan berhampiran dan kesihatan

Pembangunan perindustrian bukan sahaja memberi impak negatif, tetapi impak positif. Hal tersebut dipersetujui oleh 78% responden (57% respoden setuju dan 21% sangat bersetuju), diikuti oleh 20% tidak pasti, 2% kurang setuju (Sila rujuk Rajah 4). Antara kesan positif yang dilihat dari aspek perindustrian ialah pembangunan kawasan sekitar seperti pembangunan infrastruktur dan pada masa yang sama menjanakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, khususnya di sektor perkilangan.

Rajah 4. Pertumbuhan perindustrian dan manfaat yang diperolehi oleh penduduk setempat

Daripada Rajah 5, dapat diperhatikan sebanyak 36% responden tidak pasti sama ada undang-undang berkaitan alam sekitar di Malaysia dipatuhi oleh pihak-pihak yang terlibat seperti IRDA, JAS, PBT. Hal ini mungkin disebabkan, tiada pendedahan kepada orang awam secara menyeluruh berkenaan bidang kuasa pihak terlibat di dalam penguatkuasaan undang-undang alam sekitar tersebut. Selain itu, 30% responden setuju dan 8% sangat setuju bahawa keberkesanan penguatkuasaan undang-undang alam

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

188

sekitar. 21% responden kurang setuju dan 5% tidak setuju dengan keberkesanaan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar oleh pihak kerajaan. Perbezaan persepsi ini disebabkan penguatkuasaan hanya berkesan di sesetengah kawasan sahaja. Sebagai contohnya, Bandaraya Johor Bahru merupakan sebuah kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai tidak kira dari dalam mahupun luar negara terutamanya warga Singapura. Oleh yang sedemikian, pihak kerajaan amat menitikberatkan pematuhan undang-undang berkaitan pencemaran alam sekitar. Sebaliknya pula, kawasan luar bandar, contohnya di Kampung Pasir Putih, kawasan yang terletak di tepi pantai ini masih mengalami pencemaran air akibat aktiviti pelabuhan dan laluan kapal-kapal besar di sini.

Rajah 5. Penguatkuasaan undang-undang alam sekitar oleh pihak kerajaan

Sebanyak 47% responden setuju dan 5% sangat setuju bahawa pihak PBT mengawal selia aktiviti perindustrian yang dijalankan di sekitar kawasan mereka seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 6. Namun demikian, terdapat seramai 34% responden yang berasa tidak pasti dengan tugas pemantauan yang dijalankan oleh PBT di kawasan mereka. Di samping itu, 8% kurang setuju manakala 6% tidak setuju. Perbezaan yang tinggi ini wujud kerana, terdapat sebilangan responden yang tidak pernah melihat aktivitiaktiviti pemantauan yang dijalankan oleh PBT dalam usaha untuk mengurangkan masalah pencemaran di kawasan mereka.

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

189

Rajah 6. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengawal selia aktiviti perindustrian yang dijalankan

Selain peranan memantau masalah pencemaran alam sekitar, pihak kerajaan juga meminta bantuan orang awam bagi menangani masalah pencemaran dengan cara membuat aduan kepada pihak kerajaan sekiranya terdapat masalah pencemaran di kawasan perumahan mahupun kawasan berhampiran tempat kediaman mereka. Daripada Rajah 7, dapat diperhatikan 41% responden bersetuju dan 10% sangat setuju untuk membuat aduan kepada pihak kerajaan apabila terdapat masalah pencemaran yang berlaku di kawasan mereka. Ini mungkin disebabkan mereka peka dengan masalah pencemaran yang berlaku dan pada masa yang sama mengambil langkah bijak dengan membuat aduan terus kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Rajah 7. Pemantauan pencemaran alam sekitar oleh penduduk setempat

Manakala 32% tidak pasti, 12% kurang bersetuju dan 5% tidak setuju untuk membuat aduan tentang masalah pencemaran di kawasan berhampiran tempat kediaman mereka. Hal tersebut mungkin

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

190

disebabkan terdapat sebahagian responden tidak tahu hak mereka dan tidak peka akan keadaan sekeliling mereka sekiranya alam sekitar di kawasan mereka diterokai mahupun tercemar. Kekurangan pendedahan berkaitan hak mereka untuk hidup dalam keadaan yang harmoni dan sejahtera tanpa gangguan turut menjadi salah satu faktor mereka tidak membuat aduan berkaitan masalah pencemaran alam sekitar yang berlaku. Rajah 8 menujukkan 50% responden bersetuju bahawa terdapat banyak kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan pada masa kini. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan pihak kerajaan menggunakan sepenuhnya media massa seperti akhbar, televisyen dan radio bagi melaksanakan kempen alam sekitar mereka. Pada masa kini, media massa merupakan salah satu cara yang berkesan untuk menyampaikan maklumat terutamanya berkaitan kempen alam sekitar. Di samping itu juga, pihak kerajaan turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Pemeliharaan Alam Sekitar Malaysia (EPSM) dan sebagainya dalam melaksanakan kempen. Ini menyebabkan mesej kempen alam sekitar yang dilaksanakan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada orang awam bukan hanya di negeri Johor sahaja malahan di semua negeri di Malaysia. Namun demikian, 21% responden tidak pasti tentang adanya kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Manakala 9% dan 1% responden masing-masing kurang setuju dan tidak setuju dengan kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Mereka mungkin beranggapan bahawa kempenkempen yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak ada makna atau tidak mendatangkan kesan sehingga boleh memperbaiki kualiti alam sekitar di kawasan mereka.

Rajah 8. Kempen alam sekitar oleh pihak kerajaan

Secara keseluruhan, berdasarkan persepsi penduduk setempat, dapat dikatakan bahawa rata-rata menerima hakikat program pembangunan Wilayah Iskandar membawa banyak impak positif dalam bentuk pertambahan peluang pekerjaan, kemudahan sosial dan pemodenan cara hidup. Variasi persepsi mereka terhadap impak positif program pembangunan di samping ada kesan negatif rata-rata cukup tinggi, iaiu melebihi 50%. Mereka juga berpandangan bahawa kesan negatif khususnya terhadap alam sekitar adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun ia boleh dikurangkan sekiranya agensi yang berkaitan melakukan pemantauan yang rapi. Rata-rata menyedari tentang kepentingan agensi kerajaan dalam mengawal alam sekitar melalui pemantauan, tindakan dan kempen.

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

191

Persepsi tentang impak pembangunan terhadap kesejahteraan penduduk setempat Persepsi tentang impak pembangunan terhadap kesejahteraan penduduk setempat dapat diperhatikan daripada Rajah 9 hingga Rajah 13. Daripada Rajah 9, dapat diperhatikan sebanyak 52% responden bersetuju manakala 15% responden sangat setuju bahawa mereka sedar tentang pembukaan kawasan perindustrian berhampiran tempat kediaman mereka. Hal ini mungkin disebabkan, responden dapat melihat dengan jelas aktiviti pembangunan perindustrian yang dijalankan seperti aktiviti penerokaan kawasan baru untuk pembinaan kilang dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga responden yang terpaksa berkongsi kemudahan jalan raya dengan lori-lori dari kawasan perindustrian yang turut sama menggunakan jalan utama. Namun demikian, 27% tidak pasti terdapat pembukaan kawasan perindustrian di kawasan mereka dan 2% kurang setuju dan 4% tidak setuju. Penduduk setempat mungkin tidak sedar tentang pembangunan yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Oleh kerana sebahagian daripada mereka tinggal berhampiran dengan tempat kerja, mereka sibuk dan dengan kebiasaan berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan tidak pernah melawat kawasan sekeliling.

Rajah 9. Pembukaan kawasan perindustrian di kawasan berhampiran

Rajah 10 menunjukkan sejumlah 57% setuju dan seramai 15% sangat setuju bahawa pembangunan khususnya perindustrian memberi kesan ke atas keselesaan penduduk setempat. Manakala 13% memberikan persepsi tidak pasti, 12% kurang setuju dan 3% tidak setuju. Responden selesa dengan pembinaan kilang perindustrian yang berhampiran dengan kawasan perumahan penduduk, contohnya di sekitar kawasan Pasir Gudang. Ini memudahkan mereka ke tempat kerja dan seterusnya menjimatkan masa dan kos perjalanan. Sebaliknya pula masalah yang sering berlaku ialah pergerakan keluar masuk lori-lori perindustrian yang mengganggu kelancaran trafik di kawasan mereka dan seterusnya melibatkan aspek keselamatan penduduk tersebut. Di samping itu, masalah pencemaran turut berlaku daripada aktiviti perkilangan yang dijalankan. Sebagai contoh pelepasan asap-asap kilang mengakibatkan hujan asid dan seterusnya memberi kesan kepada penduduk setempat terutama menjejaskan kesihatan mereka. Mereka mengatakan bahawa setiap kali hujan turun, mereka pasti akan menerima masalah seperti kulit gatal jika terkena air hujan tersebut. Malahan acapkali baju yang dijemur akan dikotori oleh asap. Sesetengah responden menyatakan udara sekeliling tidak bersih.

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

192

Rajah 10. Pembangunan perindustrian dan kesan ke atas keselesaan penduduk setempat

Rajah 11 menunjukkan sebanyak 44% responden setuju manakala 15% sangat setuju bahawa aktiviti seharian mereka terbatas dengan adanya pergerakan keluar masuk lori ke kawasan perindustrian yang berhampiran dengan kawasan perumahan mereka. Persaingan penggunaan jalan raya wujud antara penggunaan oleh ibu bapa yang menghantar dan menjemput anak mereka ke sekolah yang berhampiran dengan lori-lori setiap hari. Rajah 11 menunjukkan sebanyak 22% responden tidak pasti pembangunan meningkatkan masalah sosial kerana aliran masuk pekerja asing. 10% responden pula kurang setuju manakala 6% tidak setuju. Keadaan ini mungkin disebabkan di kawasan mereka tidak terdapatnya masalah sedemikian dan mereka berasa selesa dengan keadaan yang sedia ada sekarang tanpa sebarang gangguan dan masalah.

Rajah 11. Keterbatasan aktiviti penduduk dan pergerakan keluar masuk kenderaan berat ke kawasan perindustrian

Daripada Rajah 12, dapat diperhatikan sebanyak 41% responden bersetuju dan 33% sangat setuju bahawa kemasukan pekerja asing meningkatkan pelbagai masalah sosial. Seterusnya, seramai 17 orang

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

193

(17%) berasa tidak pasti manakala seramai 6 orang (6%) dan 3 orang (3%) masing-masing kurang setuju dan tidak setuju. Dengan adanya perkembangan perindustrian yang semakin pesat di negeri Johor, majikan atau pemilik kilang mula mambawa masuk pekerja asing untuk bekerja di kilang-kilang mereka. Hal ini adalah disebabkan pelbagai faktor, iaitu pekerja asing melibatkan kos dan gaji yang murah, sanggup bekerja dalam apa jua bidang dan keadaan dan sebagainya. Namun demikian, terdapat beberapa masalah sosial yang timbul akibat kemasukan pekerja asing ke negeri Johor, antaranya masalah sosial seperti pecah rumah, kecurian, pergaduhan sesama mereka dan pengamalan gaya hidup yang tidak selaras dengan gaya hidup rakyat Malaysia. Sebagai contoh, terdapat sebilangan warga Vietnam di Johor Bahru yang menjadikan anjing dan kucing peliharaan penduduk tempatan sebagai makanan mereka (Utusan Melayu bertarikh 25 Feb. 2007). Hal ini kurang disenangi oleh masyarakat setempat. Masyarakt tempatan berpendapat bahawa majikan yang mengambil pekerja asing sewajarnya tidak memikirkan produktiviti syarikat semata-mata tetapi turut bertanggungjawab memastikan perlakuan pekerja asing tidak menganggu sensitiviti penduduk tempatan. Oleh yang demikian lambakan pekerja asing dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan di negara ini harus dipantau agar ia tidak akan menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial dari semasa ke semasa.

Rajah 12. Peningkatan masalah sosial disebabkan pekerja asing

Persaingan peluang pekerjaan wujud antara pekerja asing dengan pekerja tempatan di sektor perkilangan. Rajah 13 menunjukkan 36% setuju manakala 29% sangat setuju persaingan tersebut wujud. Namun, 27% tidak pasti, 5% kurang setuju dan 2% tidak setuju. Persepsi bahawa penawaran peluang pekerjaan diberi keutamaan kepada pekerja asing dengan alasan mereka mempunyai daya tahan yang lebih tinggi dengan pekerjaan yang ditawarkan, terutama sebagai pekerja am, operator pengeluaran, pengendali mesin dan jentera berat dan sebagainya.

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

194

Rajah 13. Persaingan peluang pekerjaan dengan pekerja asing

Secara keseluruhan, program pembangunan di Wilayah Iskandar memang membawa impak positif ke atas penduduk tempatan. Rata-rata lebih 50% bersetuju dengan hal tersebut. Namun persetujuan mereka juga diikuti dengan ketaksetujuan. Mereka berpandangan keseluruhan impak dengan variasi yang agak tinggi, iaitu selain kesan alam sekitar, masyarakat setempat beranggapan bahawa pembangunan ekonomi yang dijalankan turut menjejaskan tahap kesejahteraan mereka pada masa kini. Hal yang paling ketara ialah, pengambilan pekerja asing yang berleluasa untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam pebagai bidang ekonomi telah menimbulkan masalah jenayah seperti pecah rumah, ragut, pukul dan pergaduhan. Masalah tersebut semakin merungsingkan. Ramai penduduk setempat merasa tergugat terutama dari segi keselamatan diri dan keluarga. Keadaan ini seterusnya menyebabkan kesejahteraan dan keharmonian mereka tidak seaman seperti dahulu. Ramai mengeluh mereka tidak lagi merasa selamat untuk menjalankan aktiviti harian. Penduduk tempatan berpandangan peranan pihak kerajaan diperlukan bagi membasmi semua masalah tersebut.

Kesimpulan Masyarakat setempat berpersepsi dengannvariasi yang tinggi bahawa memang wujud impak pembangunan terhadap alam sekitar di Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor. Aktiviti perkilangan yang dijalankan mengakibatkan kesan sampingan terhadap kesihatan masyarakat setempat. Pembangunan perindustrian bukan sahaja memberi impak negatif, tetapi impak positif. Tambahan pula masyarakat setempat tidak pasti sama ada undang-undang berkaitan alam sekitar di Malaysia dipatuhi dan digunapakai oleh pihak-pihak yang terlibat seperti IRDA, JAS, PBT. Walau bagaimanapun, masyarakat setempat setuju bahawa pihak PBT ada melakukan kerja mengawal selia aktiviti perindustrian yang dijalankan di sekitar kawasan mereka. Masyarakat setempat juga prihatin untuk membuat aduan kepada pihak kerajaan apabila terdapat masalah pencemaran yang berlaku di kawasan mereka. Terdapat banyak kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan pada masa kini yang memberi kesedaran kepada masyarakat setempat tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Masyarakat setempat di Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor sedar akan pembukaan kawasan perindustrian berhampiran tempat kediaman mereka. Sehubungan itu, mereka merasakan bahawa

GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 7 (183 – 195) © 2012, ISSN 2180-2491

195

pembangunan khususnya perindustrian telah memberi kesan ke atas keselesaan penduduk setempat. Kemasukan pekerja asing telah meningkatkan pelbagai masalah sosial. Persaingan peluang pekerjaan wujud antara pekerja asing dengan pekerja tempatan di sektor perkilangan, pekerja asing diutamakan kerana kos dan daya tahan. Berdasarkan analisis yang telah dijalankan boleh disimpulkan bahawa masyarakat setempat mempunyai variasi persepsi yang tinggi bagi impak pembangunan perindustrian secara keseluruhan terhadap Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor. Mereka berpersepsi bahawa pembangunan perindustrian bukan sahaja memberi impak negatif, tetapi impak positif. Bagaimanapun, persepsi tentang impak pembangunan terhadap kesejahteraan hidup masyarakat setempat mempunyai variasi persepsi yang sederhana. Ini kerana aktiviti perkilangan yang dijalankan mengakibatkan kesan sampingan terhadap kesihatan mereka. Walaupun pihak PBT mengawal selia aktiviti perindustrian yang dijalankan di sekitar kawasan mereka namun aktiviti seharian mereka terbatas dengan adanya pergerakan keluar masuk lori ke kawasan perindustrian yang berhampiran dengan kawasan perumahan mereka. Kemasukan pekerja asing juga meningkatkan pelbagai masalah sosial. Penawaran peluang pekerjaan yang memberi keutamaan kepada pekerja asing jga kurang disenangi. Di sebalik bersetuju untuk membuat aduan kepada pihak kerajaan apabila terdapat masalah pencemaran yang berlaku di kawasan mereka namun ramai dalam kalangan mereka tidak pasti sama ada undang-undang berkaitan alam sekitar di Malaysia dipatuhi oleh pihak-pihak yang terlibat seperti IRDA, JAS dan PBT.

Penghargaan Kajian ini telah dilakukan dengan biaya Geran Universiti Penyelidikan UKM (GUP) melalui projek penyelidikan yang bertajuk Pembentukan Wilayah Iskandar Malaysia: Impak Terhadap Kesejahteraan dan Keselamatan Sosial Penduduk Asal Setempat (UKM-GUP-JKKBG-08-05-019).

Rujukan Bonaiuto M, Aiello A, Perugini M, Bonnes M, Ercolani AP (1999) Multidimensional perception of residential environmental quality and neighbourhood attachment in the urban environment. Journal of Environmental Psychology 19 (4), 331-352. Er Ah Choy, Muslihah Mohamed, Asmahani Atan, Abdul Rahim Mohd Nor, Katiman Rostam (2009) Dasar dan polisi pembangunan di Wilayah Iskandar Johor terhadap alam sekitar. Seminar Dasar Malaysia Peringkat Antarabangsa. Kota Kinabalu, Sabah. 6-8 Oktober. (ISBN 978 967 305 415 2) Gibson JJ (1979) Reasons for realism: Selected essays of James J. Gibson. In: Reeds E, Jones R (eds). Lawrence Erlbaum, Hillsdale NJ. Ingold T (2000) The perception of the environment: Essays on livelihood, dwelling and skill. Routledge, London. Lewontin RC (1982) Organism and environment. In: Plotkin HC (ed) Learning, development and culture. Wiley, Chickester. Lincoln Research University Archive (1970) Perception of the environment. Available from: researcharchive.lincoln.nc3/dspace10182/handle/1970.