Disposisi Guru Berkesan: Personaliti dan Kemahiran Komunikasi

Makalah / Article Disposisi Guru Berkesan: Personaliti dan Kemahiran Komunikasi ... komunikasi yang merangkumi kedua-dua jenis lisan dan bukan lisan p...

0 downloads 12 Views 304KB Size
Akademika 82(2) 2012: 37-44

Makalah / Article

Disposisi Guru Berkesan: Personaliti dan Kemahiran Komunikasi Effective Teacher Dispositions: Personality Traits and Communication Skills Khairul Anuar A. Rahman ABSTRAK

Guru berkesan didefinisikan sebagai pendidik yang baik dan dapat memberikan kesan kepada pelajarnya daripada segi personaliti dan seterusnya mampu membawa perubahan tingkah laku kepada pelajarnya. Antara faktor yang paling penting yang perlu ada dalam diri seseorang guru berkesan adalah kekuatan personaliti dan keberkesanan komunikasi. Personaliti guru sering menjadi perhatian pelajar. Personaliti berkesan seperti peramah, mempunyai kawalan emosi yang mantap, penampilan, ketekunan dan dedikasi dalam tugas adalah penting untuk diamalkan oleh seseorang guru berkesan. Selain itu, komunikasi yang merangkumi kedua-dua jenis lisan dan bukan lisan perlulah dikuasai sepenuhnya oleh guru memandangkan kerjaya seorang guru yang tidak boleh lari daripada berinteraksi dengan pelbagai pihak. Komunikasi lisan termasuklah kemahiran menggunakan bahasa dan kemahiran dalam menyuntik unsur-unsur kecindan agar proses pengajaran dan pembelajaran tidak menjadi suatu rutin yang membosankan. Interaksi isyarat mata, penggunaan tangan dan anggota tubuh yang lain turut merupakan elemen yang tidak kurang penting dalam membentuk corak interaksi yang mantap. Hal ini disebabkan oleh penerangan yang disertai dengan gerak tubuh yang bermakna adalah jauh memberi kesan daripada penerangan secara verbal semata-mata. Justeru, guru berkesan haruslah mempunyai kesemua ciri-ciri personaliti dan komunikasi yang baik untuk menjadi seorang pendidik yang mampu meninggalkan bekas dalam hati dan jiwa pelajar untuk suatu jangka masa yang panjang. Kata kunci: Bahasa tubuh, ciri-ciri personaliti, guru berkesan, impak perilaku, interaksi, komunikasi lisan dan bukan lisan ABSTRACT

An effective teacher is defined as a good educator who is able to leave an impact on his students’ personality and ultimately to change their behaviour for good. Among the factors important in an effective teacher are the strength of personality and the power of good communication. A teacher’s personality is often under the scrutiny of his students. Effective personality traits such as friendliness, excellent control of emotion, appearance, perseverance and dedication to work are important to be cultivated in order for a teacher to be effective. Other than that, communication skills that consist of both verbal and non-verbal should be thoroughly mastered by a teacher, given that teaching involves a lot of interactions. Verbal communication that includes language skill and the ability to create humour in teaching and learning sessions are crucial to prevent boring routines. Physical interactions such as eye contact, the use of hands and other body parts as part of body language are also an important element in developing excellent interaction. This is because a clear explanation plus a meaningful body movement is much more effective as compared to verbal explanation alone. Thus, an effective teacher should own all the excellent personality and communication characteristics mentioned in order for him to be an educator capable of impacting the heart and soul of his students in the long run. Keywords: Behavioural impact, body language, effective teacher, interaction, personality traits, verbal and non-verbal communication

PENGENALAN Peranan guru di dalam pembangunan negara adalah amat penting dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Hal ini disebabkan pemimpin negara yang ada pada masa kini dilahirkan oleh guru pada masa lepas dan pemimpin akan datang akan dilahirkan oleh generasi guru masa kini. Kajian

Akademika 82(2)Chap 4.indd 37

literatur ini membincangkan tentang ciri-ciri disposisi seorang guru berkesan dengan membuat tinjauan daripada aspek personaliti dan jenis komunikasi. Guru berkesan mempunyai jenis personaliti yang berkuasa dan mampu menarik perhatian khalayak. Contoh-contoh personaliti berkesan adalah seperti bersifat peramah, mempunyai emosi yang terkawal, mempunyai daya ketekunan yang

3/26/2013 9:01:33 AM

38

Akademika 82(2)

tinggi, berdedikasi, mempunyai sifat sukakan anakanak dan gigih bekerja (Ball 2000; Mansor & Nordinar 2003 dan Sufian Hussin 2004). Guru juga mempunyai sifat yang kreatif dan inovatif bagi membolehkan guru mencapai prestasi yang tinggi. Sifat kreatif dan inovatif yang ada pada guru itu, akan mewujudkan pengajaran guru yang lebih menyeronokkan, diminati dan meninggalkan kesan kepada pelajar dan secara tidak langsung mempengaruhi pelajar untuk terus belajar. Selain itu, seorang guru berkesan juga perlu menonjolkan penampilan yang menarik supaya dapat menjadi model ikutan dalam kalangan pelajar (Wan Marzuki 2008). Aspek yang penting selain personaliti adalah komunikasi. Guru adalah seorang individu yang tidak boleh lari daripada berkomunikasi kerana komunikasi penting dalam menyampaikan maksud (Hashim 2000). Dua jenis komunikasi yang perlu dikuasai oleh seseorang guru adalah komunikasi lisan seperti penggunaan bahasa yang berkesan dan penerapan unsur kecindan serta komunikasi bukan lisan seperti penggunaan bahasa badan, postur dan komunikasi mata. Dengan mempraktikan kesemua ciri-ciri ini, barulah seseorang itu mampu menjadi seorang pendidik yang bakal meninggalkan bekas dalam hati dan jiwa pelajar. DEFINISI DAN CIRI-CIRI GURU BERKESAN Guru berkesan didefinisikan sebagai pendidik yang baik dan dapat memberikan kesan kepada pelajarnya dari segi personaliti dan seterusnya mampu membawa perubahan tingkah laku kepada pelajarnya (Abdull Sukor Shaari 2008). Guru berkesan adalah guru yang memenuhi spesifikasi yang tertentu. Antara ciri-ciri guru berkesan bersikap profesional, mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori, kaya ilmu, bertindak di atas landasan etika dan tata susila kerja, bermoral teguh, sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran dan prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa (Abdul Shukor 1999). Guru berkesan juga seharusnya berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid, menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul dan melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa. Selain itu, guru perlu mempastikan proses pengajaran dan pembelajaran wujud di dalam kelas. Guru berkesan perlu berupaya melahirkan “persekolahan berwatak” supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh. Guru juga perlu berupaya membina minda pelajar yang cemerlamg akademik, berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri seperti bermoral, berakhlak mulia, berketrampilan, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu. Guru berkesan adalah guru yang taat dan setia terhadap perkhidmatannya,

Akademika 82(2)Chap 4.indd 38

mempertahankan martabat profesionalnya, bebas pendirian dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah (Abdul Shukor 1999). Kesimpulannya, guru berkesan adalah guru yang mempunyai disposisi yang cemerlang dalam segala hal. Mereka sepatutnya menjadi idola dan individu yang layak menjadi model ikutan setiap pelajarnya. Guru berkesan adalah individu yang sewajarnya menjadi contoh tauladan bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah dalam kalangan masyarakat. DEFINISI PERSONALITI Personaliti pada umumnya merujuk kepada keperibadian atau sahsiah. Personaliti juga dirujuk sebagai perwatakan. Perkataan personaliti berasal daripada perkataan Latin yang membawa maksud persona. Perkataan persona membawa erti topeng muka iaitu topeng yang digunakan oleh pelakon-pelakon teater Yunani di atas pentas. Pelakon-pelakon tersebut memakai topeng yang bersesuai dengan watak yang akan dibawa oleh mereka dalam lakonan tersebut. Identiti mereka yang asal seperti sudah disembunyikan menggunakan topeng tesebut bagi menjayakan lakonan yang diarahkan. Terdapat pelbagai definisi personaliti yang telah dikemukakan oleh ahliahli psikologi pendidikan. Setiap satunya mempunyai perbezaan yang tersendiri. Personaliti didefinisikan sebagai suatu susunan pola-pola tingkah laku seseorang individu yang dijelmakan kemudian dipraktikan dalam kehidupan seharian (Mishel 1968). Personaliti turut ditakrif sebagai suatu sistem psikofizikal yang dinamik. Sistem psiko-fizikal dinamik ini akan memberi garis panduan kepada seseorang individu bagi menentukan ciri-ciri tingkah laku yang bersesuaian dengan persekitaran kemanusiaan dan fizikalnya. Personaliti yang dinamik ini akan memberi ruang kepada perubahan yang positif yang bergantung rapat dengan keadaan fizikal seseorang (Allport 1961). Personaliti daripada sudut teori tingkah laku pula menyatakan bahawa personaliti seseorang adalah hasil daripada apa yang sudah dimulakan dan juga segala apa yang dialami dalam hidup kita. Dengan lain perkataan, personaliti adalah sekumpulan tindak balas yang bertindak sebagai keseluruhan tindak balas (Watson 1919). Berdasarkan tiga definisi yang dikemukakan oleh ketiga-tiga ahli psikologi personaliti di atas, dapat disimpulkan bahawa personaliti seseorang adalah unik berbanding personaliti individu yang lain walaupun berada dalam lingkungan persekitaran yang sama. Pada umumnya, ciri-ciri personaliti individu adalah tetap dalam suatu jangka masa tertentu. Perwatakan tersebut dapat dikesan dan diperhatikan dengan jelas pada situasi yang tertentu.

3/26/2013 9:01:33 AM

Disposisi Guru Berkesan: Personaliti dan Kemahiran Komunikasi CIRI-CIRI PERSONALITI SEORANG GURU BERKESAN

Guru berkesan ialah pendidik yang baik dan dapat memberikan kesan dari segi personaliti dan membawa perubahan tingkah laku kepada pelajarnya (Abdul 2008). Antara ciri-ciri guru berkesan dari segi peribadi yang paling banyak dikaitkan dengan pencapaian pelajar ialah kemesraan dan sikap memahami. Guru merupakan contoh dan model kepada pelajar. Oleh itu, segala ciri dan tingkah laku peribadi guru banyak mempengaruhi para pelajar. Justeru, guru perlu menjaga keperibadian yang baik sebagai pendidik untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang secara holistik. Memandangkan hanya contoh-contoh sikap dan nilai positif sahaja yang diperlukan dalam usaha untuk mempengaruhi tingkah laku pelajar, adalah sangat penting untuk seseorang guru mempamerkan personaliti terpuji pada setiap masa (Fenstermacher & Richardson 2005). Contohnya apabila selesai mendapat pertolongan daripada pelajar, ucapkanlah terima kasih. Dimensi personaliti termasuklah kualiti peribadi yang ada pada seseorang guru yang merangkumi sensitiviti, kesungguhan dan perasaan tanggungjawab (Karom 2010). Selain itu, kualiti-kualiti lain ialah seperti bertenaga, keyakinan diri, kebolehan bekerja dengan orang ramai dan kebolehan mencipta humor. Kualiti peribadi ini boleh dikategorikan dalam dua aspek iaitu interaksi manusia dan kepimpinan. Interaksi manusia dicirikan oleh perhubungan erat, kemesraan, sokongan hormat dan sensitiviti. Kepimpinan pula dicirikan oleh sifat seperti dinamisme, berhati-hati, inisiatif, kesungguhan dan jaminan diri. Terdapat beberapa personaliti yang perlu ada pada seseorang guru berkesan. Antaranya ialah guru bersifat peramah akan dapat mewujudkan hubungan yang baik di antara guru dengan pelajarnya (Marzita 2003). Guru yang berkesan juga mestilah mempunyai emosi yang terkawal. Contohnya guru dapat mengawal kemarahan dengan tidak megeluarkan kata-kata kesat apabila pelajarnya melakukan kesalahan. Selain itu, guru juga perlu mempunyai sifat sukakan anak-anak dan ingin memahami tingkah laku mereka secara lebih mendalam (Mohd. Salleh 2002; Ali Murad 2003). Sifat sebegini dapat menjalin hubungan mesra antara guru dengan pelajar. Sifat ketekunan, iaitu guru yang tekun dan rajin serta tidak jemu-jemu melaksanakan tugasannya walaupun menghadapi berbagai-bagai rintangan juga merupakan sifat yang penting bagi seseorang guru. Model awal tentang amalan pengajaran guru yang berkesan dipengaruhi antara lain oleh faktor sikap dan ketekunan (Caroll 1963). Guru berkesan mestilah juga mempunyai komitmen yang tinggi dan sifat dedikasi terhadap tugas. Contohnya dengan mengadakan kelas-kelas tambahan, soalansoalan latih tubi, program-program motivasi dan sebagainya. Ciri lain personaliti yang perlu ada dalam guru berkesan ialah kegigihan dalam menjalankan

Akademika 82(2)Chap 4.indd 39

39

tugasnya. Ini bermaksud menggunakan sepenuh masa yang diperuntukan bagi sesuatu mata pelajaran itu untuk mengajar. Guru perlu membuat persediaan yang rapi seperti merujuk kepada buku-buku teks, menggunakan alat bantu mengajar atau merujuk kepada sumbersumber lain yang berkaitan untuk memantapkan lagi pengajarannya (Ball 2002). Penampilan juga memainkan peranan dalam membentuk personaliti seorang guru. Guru perlu menampilkan ciri-ciri seperti pemilihan pakaian, kebersihan tubuh badan dan kekemasan diri (Melville & Cardinal 2000). Penampilan guru yang boleh mengganggu tumpuan pelajar adalah seperti imej guru yang tidak kemas, selekeh, tidak bersih, memakai perhiasan diri yang keterlaluan ataupun haruman yang melampau mencerminkan keperibadian guru tersebut (Mok 2006). Guru yang tidak mementingkan penampilan menarik seperti memakai baju yang berkedut akan memberi gambaran kepada pelajar bahawa guru tersebut bersifat pemalas dan sekaligus tidak mencerminkan sifat-sifat seorang guru berkesan. Penampilan yang sedemikian akan memberi gambaran seolah-olah pengajaran dan nota guru tersebut juga tidak berkualiti (Mok 2004). Berpakaian yang menarik akan menunjukkan sikap yang terpuji. Selain itu, guru yang mempunyai penampilan menarik juga dikatakan mampu untuk menarik minat murid. Pemakaian kemas juga dapat memberi ketenangan kepada murid kerana apabila melihat sesuatu yang kemas, manusia akan menjadi lebih selesa dan tidak berserabut. Imej yang kemas juga akan menjadi ikutan pelajar dan seterusnya membentuk budaya sihat dalam kehidupan di sekolah. Seseorang guru berkesan juga ada kalanya perlu berlakon sebagai tegas di hadapan para pelajar bertujuan untuk mendisiplinkan mereka. Guru kadangkala perlu menunjukkan ekspresi wajah yang garang dan bengis di hadapan para pelajar yang nakal semata-mata untuk menakutkan mereka supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Pada ketika yang lain, guru juga perlu menunjukkan ekspresi wajah penyayang untuk menasihati, menggalakkan pembelajaran dan sebagainya (Wan Marzuki 2008). Dari segi fizikal pula, guru berkesan perlu menampilkan perawakan yang baik. Contohnya dalam aspek kekemasan rambut. Guru lelaki tidak seharusnya berambut panjang dan guru perempuan pula perlulah bertudung atau mendandan rambut dengan kemas. Dalam aspek bertudung pula, guru yang berkesan perlulah memakai tudung yang sesuai dan memakainya dengan kemas (Mohd. Salleh 2002). Personaliti guru sering menjadi penilaian yang dibuat bersama oleh anggota masyarakat khasnya pelajar dan ibu bapa. Pada ketika dahulu, personaliti guru turut menjadi ikutan dan idola pada masyarakat. Status guru dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat ketika itu, namun kini segalanya telah berubah kerana sesetengah guru tidak menjaga personalitinya bila berada dalam lingkungan

3/26/2013 9:01:34 AM

40

Akademika 82(2)

masyarakat. Sifat-sifat yang sepatutnya wujud pada diri seseorang guru semakin berkurangan kerana guru sudah tidak menjiwai tugas sebenar mereka dan memandang profesion perguruan sebagai suatu pekerjaan semata-mata (Azhani 2008). Kesimpulannya, personaliti yang cemerlang adalah penting agar dapat menjadi model ikutan kepada pelajar dalam usaha melahirkan generasi yang cemerlang dari segi sahsiah dan perwatakan diri. Personaliti yang baik mampu menarik minat orang lain untuk mendekati seseorang itu selain memberi kuasa pandangan pertama yang baik bagi seseorang guru dan seterusnya menjadikannya seorang guru yang berkesan. DEFINISI KOMUNIKASI Komunikasi didefinisikan sebagai suatu proses interaksi antara manusia yang melibatkan pertukaran maklumat melalui pergerakan isyarat simbol atau pertuturan (Hovlan, Janis & Kelley 1953). Jenis-jenis komunikasi ialah komunikasi lisan dan bukan lisan (Capstone 2001; Teven et al. 2004). Komunikasi lisan merangkumi penggunaan bahasa, pertuturan dan suara manakala komunikasi bukan lisan pula melibatkan jenis-jenis interaksi seperti penggunaan bahasa badan, ekspresi muka, postur dan hubungan mata.

Pada tahun 1984 dalam Nussbaum (2001), satu kajian telah dijalankan dengan mereka bentuk satu skim mengekod tingkah laku komunikasi guru yang boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran. Seramai empat orang guru dipilih untuk ujian sampel kajian dalam kelas Kursus Komunikasi Awalan. Dua daripadanya dinilai oleh guru sebagai tidak berkesan dan dua guru lagi sangat berkesan. Tingkah laku mereka dirakamkan ke dalam video dan dinilai. Tingkah laku mereka dikodkan mengikut pergerakan guru, penggunaan gerak tubuh dan pertembungan mata. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru yang berkesan lebih banyak bergerak dalam kelas, menggunakan lebih banyak tangan dan lengan, gerak tubuh serta pengekalan konteks mata lebih lama dengan pelajar berbanding dua orang guru yang kurang berkesan. Kemahiran komunikasi juga penting untuk meramal persepsi guru berkesan. Antaranya ialah kebolehan guru untuk mendapatkan maklumat, menghuraikan pandangan, menyebut dengan jelas, memujuk, menggunakan ekspresi muka dan tona suara yang baik, meringkaskan, menghuraikan perbezaan pendapat dan menjawab soalan pelajar (Mok 2006). Jadi, kemahiran komunikasi guru merupakan unsur paling penting untuk meramal keberkesanan pengajaran guru terutamanya guru-guru baru. PENGGUNAAN BAHASA YANG BERKESAN

CIRI-CIRI KOMUNIKASI SEORANG GURU BERKESAN

Guru sememagnya tidak dapat melarikan diri dari terlibat dengan komunikasi. Guru sering menyampaikan ilmu melalui komunikasi ketika mengajar. Ketika mengajar, guru akan terlibat untuk menerangkan sesuatu kepada pelajar, memberikan arahan kepada pelajar, memberi pengukuhan, bercerita dan pelbagai aktiviti berkaitan komunikasi (Abdull Sukor Shaari 2008). Dalam mesyuarat pula, guru juga akan mencadang, berhujah, membangkang, memberikan usul-usul dan mengkritik. Semua bentuk komunikasi ini memerlukan kemahiran untuk menjadikan seseorang itu sebagai seorang guru yang berkesan. Guru juga sering diminta memberi taklimat. Antara taklimat yang sering melibatkan guru ialah taklimat tentang peperiksaan kepada pelajar atau rakan-rakan sejawat. Selain itu, guru juga terlibat dalam taklimat tentang hari ucapan dan penyampaian hadiah, sukan, kokurikulum dan sebagainya. Ada kalanya, guru terlibat sebagai pengacara majlis, mengendalikan forum, mempengerusikan mesyuarat atau mempertahankan hujah semasa membuat perbincangan. Guru berkesan perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang hebat. Ini kerana melalui komunikasi, mereka akan dapat menyampaikan ilmu pengetahuan dengan lebih jelas, lancar dan mudah difahami oleh pelajar. Oleh sebab itu, kemahiran komunikasi penting kepada seseorang guru untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka (Teven et al. 2004).

Akademika 82(2)Chap 4.indd 40

Penggunaan bahasa yang berkesan sangat penting dalam situasi komunikasi guru. Ini kerana penggunaan bahasa yang tidak jelas tidak dapat memberikan kefahaman kepada pelajar. Pelajar juga sering mengatakan mereka kurang jelas apa yang diperkatakan oleh guru. Maka, guru perlu menggunakan bahasa yang jelas, tepat dan ringkas (Littlejohn 2002; Tunku Mohani 2005). Seseorang guru yang boleh menjelaskan sesuatu perkara dengan baik, akan membolehkan pelajar lebih banyak belajar dan biasanya guru sebegini akan diberikan penilaian lebih positif oleh pelajar (Newberry 2003; Sher 2004). Tahap penggunaan bahasa yang baik akan menyebabkan seseorang guru berjaya menyatakan apa sebenarnya yang mahu disampaikan. Bahasa yang digunakan perlulah tersusun dan sistematik serta jelas dan mudah. Selain itu, contoh-contoh yang berkaitan perlu diutarakan untuk mempertingkatkan kejelasan maklumat. Dengan penggunaan perkataan yang jelas dan mudah, pelajar akan senang memahami dan yakin dengan ilmu yang disampaikan. Selain itu, guru tidak boleh menggunakan bahasa yang kasar, kesat dan lucah ketika memarahi pelajar (Sungging Handoko 2002). Bahasa juga mempunyai gaya di mana gaya ialah cara kita memilih dam menyusun kata-kata dalam ayat. Setiap guru mempunyai gayanya yang tersendiri. Gaya komunikasi biasanya berbeza antara individu guru dan berbeza mengikut suasana, situasi dan siapa yang guru tersebut berhadapan. Bagi mewujudkan komunikasi yang berkesan, guru mesti menggunakan bahasa yang

3/26/2013 9:01:35 AM

Disposisi Guru Berkesan: Personaliti dan Kemahiran Komunikasi

mudah, pendek, jelas dan ringkas supaya pelajar cepat memahami berbanding dengan perkataan atau ayat yang lebih panjang dan lebih sukar (Abdull Sukor Shaari 2008). Komunikasi dikatakan berjaya jika makna yang diterima oleh pelajar adalah sama dengan makna yang dimaksudkan oleh seseorang guru (Ee 2000). Seseorang itu menterjemahkan perkataan dengan cara berbeza dan kerana banyak sebab. Antaranya, mereka tidak mempunyai pengalaman masa lalu yang sama, penggunaan perkataan yang berubah dengan cepat dan wujudnya perbezaan wilayah dalam penggunaan perkataan. Sememangnya setiap perkataan mempunyai banyak makna dan kita bertindak balas terhadap perkataan secara konotasi dan denotasi. Pertuturan dalam keadaan kebiasaannya berlaku melalui penggunaan suara dan bahasa yang berkesan. Dalam konteks sekolah, pertuturan ialah proses bagaimana guru menyampaikan pengetahuan dan juga berkongsi pengalaman dengan muridnya dengan menggunakan suara. Suara ialah alat utama untuk menyampaikan mesej bercorak ilmu pengetahuan. Pelajar sering mengatakan mereka tidak mendengar suara guru. Maka, guru seharusnya mempelajari teknik penggunaan suara yang betul seperti guna teknik berhenti sejenak, teknik menekankan kepada kata kunci perkataan dan gunakan kepelbagaian nada (Tunku Mohani 2005). Selain itu, guru tidak seharusnya mengulangi perkataan yang sama berulang kali. Hal ini adalah untuk mengelakkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi bosan (Abdull Sukor Shaari 2008). Kadangkala bahasa akan kedengaran membosankan kerana guru mengulangi perkataan atau bunyi yang sama berkali-kali. Contohnya, apabila seseorang guru yang meletakkan permulaan setiap ayat dengan kata-kata seperti “uh” atau “okey,” atau “anda tahu.” Kadangkala guru terleka dengan perkataan atau frasa tertentu dan menggunakannya hingga berulang kali dan ini akan menimbulkan kebosanan. Bahasa akan menjadi jauh lebih menarik jika guru mengelak daripada melakukan tabiat seperti ini. Guru juga perlu sedaya upaya menggelakkan klise dalam pengajaran. Hal ini berikutan jika sesuatu ekspresi digunakan secara berlebihan, lazimnya kesannya akan hilang. Apabila sesuatu ekspresi digunakan terlalu kerap sehingga pelajar sudah biasa mendengarnya, ini tidak lagi merangsangkan minat seseorang pelajar (Tunku Mohani 2005). Ekspresi yang pudar begini dirujuk sebagai klise. Antara ekspresi yang dikatakan sebagai klise termasuklah kata-kata seperti “...dan sebagai kesimpulan, pelajar-pelajar sekalian,” “akhir sekali, tapi tidak kurang pentingnya,” “sila buka buku muka surat...” ataupun kata seperti “apa pendapat kamu?.” Frasa-frasa seperti ini mungkin digunakan secara sedar mahupun secara tidak sedar. Walau bagaimanapun, kebanyakan guru menuturkan frasa-frasa kegemaran mereka secara habitual dan tanpa mereka sedari. Hal ini, jika terlalu sering kedengaran akan menimbulkan

Akademika 82(2)Chap 4.indd 41

41

rasa bosan dalam kalangan pelajar. Sebenarnya, bahasa yang dituturkan akan menjadi lebih menarik dan lebih berkesan apabila guru menghapuskan ekspresi usang yang berulang-ulang. Penggunaan bahasa kiasan sekali-sekala boleh menambahkan tenaga kepada bahasa (Abdull Sukor Shaari 2008). Bahasa kiasan yang paling kerap digunakan ialah bidalan, metafora dan personafikasi. Bidalan ialah satu perbandingan antara dua perkara yang berlainan jenis. Ini biasanya dihubungkan oleh kata perhubung “seperti,” “sebagai” atau “umpama.” Dengan perkataan lain, kita menyatakan bahawa sesuatu adalah sama ataupun tidak sama dengan sesuatu yang lain. Metafora pula ialah suatu perbandingan bayangan antara dua benda yang berbeza. Contoh penggunaan metafora ialah seperti “Apabila bercakap tentang fakta, beliau adalah seperti kertas maklumat.” Personafikasi pula berlaku apabila kita meletakkan ciri-ciri manusia kepada benda yang bukan hidup atau kepada makhluk selain manusia. Contohnya, “buku teks saya berada dalam bilik dan mempersendakan saya apabila saya menonton televisyen” atau “kereta saya melihat saya dan berkata hai kawan, masanya sudah tiba untuk bercuti” dan “kereta saya merangkak lambat di jalan raya.” Bahasa kiasan bukan sahaja berwarna-warni tetapi juga menunjukkan kejelasan dengan membolehkan kita membandingkan konsep yang baharu dengan yang biasa. Bahasa kiasan tidak perlu digunakan terlalu banyak kerana bahasa kiasan yang terlalu kerap akan menjadi klise. Kiasan yang baharu yang digunakan dengan berpatutan boleh menambahkan keindahan kepada bahasa. Ucapan yang menggunakan metafora menimbulkan perubahan sikap yang lebih signifikan dari ucapan biasa. Ucapan yang menggunakan bidalan mengurangkan perubahan sikap berbanding dengan ucapan yang menggunakan metafora, tetapi menyebabkan lebih banyak perubahan sikap berbanding dengan ucapan yang tidak menggunakan bahasa kiasan. Ringkasnya, ucapan tanpa kiasan kurang menyebabkan perubahan sikap berbanding dengan dua bentuk lain yang menggunakan bahasa kiasan. Penggunaan bahasa kiasan dengan baik boleh menyampaikan mesej dengan berkesan. Guru yang menggunakan bidalan, metafora dan personafikasi dalam pengajaran akan dapat meningkatkan keberkesanan pengajarannya. Para pelajar juga akan menjadi berminat dan kehadiran guru tersebut akan ditunggu-tunggu (Abdull Sukor Shaari 2008). Bahasa Badan Penggunaan perlakuan mana-mana anggota badan secara sengaja untuk tujuan keberkesanan komunikasi dipanggil bahasa badan. Ini termasuklah pergerakan anggota, perawakan atau sikap, ekspresi muka, tinggi rendah nada atau intonasi suara (Abdull Sukor Shaari 2008). Apabila seseorang guru bercakap, guru tersebut perlu memastikan bahawa pergerakan badan adalah sama dengan perkataan yang diucapkan. Jika mengucapkan

3/26/2013 9:01:36 AM

42

sesuatu perkataan yang jarak sesuatu tempat itu sangat jauh, penggunaan tangan yang sesuai perlu digambarkan. Jika menunjukkan sesuatu gambaran besar, tangan perlu dibayangkan benda yang sebesar sesuatu. Gambaran besar atau kecilnya sesuatu benda akan menambahkan keberkesanan sesuatu mesej yang dihantar (Teven 2004). Badan merupakan petunjuk komunikasi tanpa lisan yang paling banyak membantu dalam komunikasi yang berkesan (Capstone 2001). Ini kerana pergerakan badan yang betul dan sesuai akan dapat menimbulkan situasi berkomunikasi dengan membantu menjelaskan mesej yang ingin disampaikan, menjadikan komunikasi lebih menarik, tidak membosankan dan menunjukkan kesungguhan. Antara pergerakan badan yang digunakan dalam komunikasi guru ialah cara berdiri, kepala, ekspresi muka, kening, dahi, mata dan sebagainya (Yule 2002). Cara berdiri atau postur badan yang kurang sesuai ialah berdiri dengan keadaan yang senget ke sebelah kiri atau kanan. Cara berdiri sebegini menunjukkan kurangnya keyakinan diri seseorang guru. Selain itu, pergerakan badan yang digoyangkan sekejap ke kiri, sekejap ke kanan atau terlalu banyak berjalan juga menggambarkan sikap yang kurang berkeyakinan. Cara berdiri yang betul ialah berdiri tegak dengan berdiri secara condong sedikit ke hadapan dengan berat badan di hadapan. Posisi sebegini menunjukkan anda sentiasa bertenaga. Pergerakan dengan menggunakan tenaga hanyalah sedikit hadapan, belakang, kanan atau kiri (Abdul Rashid et al. 2008). Cara duduk guru turut berada dalam pemerhatian pelajar di sekolah. Pelajar sentiasa memerhati kelakuan guru terutama ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya guru berada dalam posisi duduk, guru seharusnya tidak terlalu menyandar ke kerusi. Sebaliknya perlu duduk dalam keadaan tegak atau condong sedikit ke hadapan bagi menunjukkan guru berminat dengan pelajar. Guru juga perlu mempunyai tahap tenaga yang mencukupi kerana hal ini akan memberikan gambaran kepada mood guru sama ada cergas, bersemangat, letih, lesu atau tidak berminat. Guru dalam keadaan bersemangat secara tidak langsung akan turut mempengaruhi semangat belajar para pelajar (Moore 2001). Para pelajar selalunya menggeleng-geleng kepala mereka untuk menggambarkan mereka tidak mengetahui akan sesuatu, tidak mahu atau tidak boleh. Guru juga akan menggeleng-gelengkan kepala untuk menggambarkan perkara yang sama di samping menundukkan kepala, mengangguk dan mendongak untuk menunjukkan tanda setuju atau sebagainya. Ekspresi muka memainkan peranan yang sangat penting dalam komunikasi guru. Ekspresi muka manusia akan berubah-ubah mengikut keadaan seperti dalam keadaan tertekan, gelisah, sedih, gembira, marah

Akademika 82(2)Chap 4.indd 42

Akademika 82(2)

dan sebagainya. Guru mesti menunjukkan ekspresi muka yang baik ketika berkomunikasi dengan pelajar. Penggunaan ekspresi muka yang sesuai mestilah selaras dengan perkataan yang diucapkan sama ada sedih, marah, gembira, terperanjat atau simpati (Mok 2006). Penggunaan kening juga membantu keberkesanan komunikasi guru. Kening boleh digerakkan mengikut keperluan, diangkat atau dikerutkan sesuai dengan keadaan dan situasi komunikasi seseorang guru. Dahi juga boleh diangkat, ditegangkan atau dikerutkan mengikut situasi komunikasi terutama apabila bercakap berhadapan dengan pelajar. Hal ini adalah untuk memastikan komunikasi yang berkesan dapat dicapai. Selain itu, maksud “tidak” atau “tidak tahu” juga bleh disampaikan dengan menjungkitkan bahu. Apabila seseorang ingin mengatakan ‘tidak,’ bahu boleh diangkat atau digerakkan untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi. Cara komunikasi seperti ini adalah biasa dan sering kali digunakan dalam interaksi. Komunikasi mata pula merupakan kemahiran paling penting apabila kita berhadapan dengan orang lain. Ini kerana mata dapat mengancam, menghina dan dapat membuatkan hati menari dengan keriangan. Kebiasaannya ketika kita berkomunikasi, mata kita akan memandang seseorang dari 5 ke 15 saat manakala kalau kita memandang seseorang dalam satu kumpulan pula, lebih kurang antara 4 ke 5 saat (Abdull Sukor Shaari 2008). Komunikasi mata penting kepada seseorang guru untuk menimbulkan suasana pengajaran dan pempelajaran. Contohnya, ketika guru sedang mendengar soalan atau jawapan yang disampaikan oleh pelajar, mata guru perlu tepat memandang ke arah pelajar tersebut. Apabila seseorang guru sedang menerangkan sesuatu kepada sekumpulan pelajar yang ramai, penggunaan imbasan mata selama lima saat kepada setiap orang ialah penting. Ini kerana, jika kita melihat seseorang pelajar dalam masa lima saat, pelajar yang lain merasakan seolah-olah sedang memerhatikan mereka. KEMAHIRAN KECINDAN

Majoriti pelajar menyukai guru yang boleh berjenaka atau membuatkan mereka geli hati (Mohd. Salleh 2002). Mereka akan menanti kedatangan guru tersebut dan memberikan perhatian kepadanya. Secara semula jadi setiap manusia sukakan suasana yang ceria dan mengembirakan (Abdul Rashid et al. 2008). Manusia secara amnya, membenci rasa terancam dan keterasingan. Guru yang mampu membawa pelajar untuk belajar dalam suasana yang ceria akan menjadi idola dan figura kesayangan pelajar. Memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran adalah proses mental yang memenatkan, maka keupayaan seseorang guru untuk

3/26/2013 9:01:36 AM

Disposisi Guru Berkesan: Personaliti dan Kemahiran Komunikasi

menyuntik elemen kecindan dalam pengajarannya akan menjadikan suasana bilik darjah lebih menggembirakan dan hal ini akan dapat mempertingkatkan proses penerimaan ilmu dan menjadikan seseorang guru itu seorang pendidik yang berkesan (Mok 2006). KESIMPULAN Guru yang berkesan adalah aset yang tidak ternilai bagi bangsa dan negara. Memandangkan guru adalah contoh model yang paling dekat dengan pelajar selain daripada ibu bapa, maka wajarlah bagi seseorang guru untuk menyemai kualiti peribadi yang mulia dan membina personaliti yang terpuji agar dapat menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada pelajar. Selain itu, memandangkan komunikasi adalah aspek yang penting dalam kerjaya seseorang guru kerana setiap hari guru perlu menyampaikan ilmu kepada pelajar dan berurusan dengan pihak pentadbir dan ibu bapa, maka tidak boleh tidak komunikasi yang diamalkan haruslah berkesan dan meninggalkan makna yang mendalam dalam jiwa seseorang pelajar. Komunikasi yang berkesan bukan hanya melibatkan komunikasi secara verbal tetapi juga turut melibatkan komunikasi bukan verbal seperti penggunaan bahasa badan, postur dan komunikasi mata. Kadangkala, komunikasi bukan lisan boleh menjadi lebih berkesan daripada komunikasi lisan. Hal ini disebabkan anak-anak biasanya lebih memahami ekspresi wajah yang marah berbanding kata-kata berunsur marah itu sendiri. Sebagai seorang guru yang berkesan, seseorang perlu menguasai kesemua bidang komunikasi ini selain mempunyai kekuatan personaliti yang mantap agar pengajaran dan pembelajaran yang dikendalikannya menjadi lebih berkesan. RUJUKAN

Abdul Rashid Mohamed, Abd. Rahman Abd. Aziz & Abdul Ghani Abdullah. 2008. Humor dalam Pengajaran. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. Abdul Shukor Abdullah. 1999. Perutusan Hari Guru. Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Abdul Sukor Shaari, Nuraini Yusof & Mohd Isha Awang. 2003. Bahasa Melayu Komunikasi. PTS Publications & Distributor. Abdul Sukor Shaari. 2008. Guru Berkesan: Petua dan Panduan. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia. Allport, G.W. 1961. Pattern and Growth in Personality. New York: Holt, Rinehart & Winston. Azhani Adnan. 2008. Kertas kajian. Personaliti Guru: Pengaruh ke Atas Pengajaran dan Pembelajaran. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris. Ball, D. 2000. Bridging Practies: Intertwining context and pedagogy in teaching and learning to teach. Journal of Teacher Education 51: 241-247. Carroll, J. 1963. A model of school learning. Teacher College Record 64: 723-731.

Akademika 82(2)Chap 4.indd 43

43

Ee Ah Meng. 2000. Psikologi: Perkembangan Aplikasi dalam Bilik Darjah. Edisi kedua. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.164. Fenstermacher, G. D. & Richardson, V. 2005. On Masking Determination of Quality in Teaching. Teachers College Record 107: 186-213. Hashim Fauzy Yaakob. 2000. Pengantar Komunikasi Manusia. Edisi Pertama. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia. Karom Kingsoka. 2010. Sikap yang Harus Dimiliki oleh Seorang Guru. Makalah keperibadian guru. (19 Januari). Littlejohn, S. W. 2002. Theories of Human Communication. 7th edition. Belmont, CA: Wadsworth. Marzita Abdullah. 2003. Kualiti guru selari dengan perkembangan semasa. Utusan Malaysia. 20 Mei: 6. Melville, D. S. & Cardinal, B. J. 2000. Are overweight physical educators at a disadvantage in the labor market? A random survey of hiring personnel. The Physical Educator 54: 216-221. Mishel, W. 1968. Personality and Assessment. New York: Wiley. Mohd. Nasir Masran. 2000. Guru cemerlang: Personaliti dan kurikulum. Kertas kerja yang dibentang dalam Seminar Kebangsaan Penyelidikan dan Pembangunan dalam pendidikan 2000, Berita Harian. 5 Oktober 2000. Mohd Salleh. 2002. Perancangan Pendidikan: Peringkat Sekolah dan IPT. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distribution Sdn. Bhd. Mok Soon Sang. 2004. Ilmu Pendidikan untuk KPLI. Edisi ketiga. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Mok Soon Sang. 2006. Ilmu Pendidikan untuk KPLI. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Moore, K. D. 2001. Classroom Teaching Skills. London: MacGraw-hill. Newberry, B. 2003. Effects of social motivation for learning and student social presence on engagement and satisfaction in online classes. Unpublished doctorial dissertation. Kansas: Kansas University. Nussbaum, J. F. & Williams, A. 2001. Intergenerational Communication Across the Life Span. Lawrence Erlbaum Assoc. Inc. Publishers. Shahril Hj. Marzuki. 2005. Kertas seminar. Amalan pengajaran guru yang berkesan: Kajian di beberapa sekolah menengah di Malaysia. Universiti Malaya. Sher, A. 2004. Assessing the relationships of student-instructor and student-student interaction with student learning and satisfaction in Web-based learning program. Unpublished doctorial dissertation. Washington University, Georgia. Sufean Hussin. 2004. Dasar Pembangunan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka. Sungging Handoko. 2002. Sikap mengajar guru serta pengaruhnya dalam pendidikan. Educare 1(2). Teven, J. J. & Hanson, T. L. 2004. The impact of teacher immediacy and perceived caring on teacher competence and trustworthiness. Communication Quarterly 52(1): 39-54. Winter: University Park. Tunku Mohani Tunku Mohtar. 2005. Bahasa dan Berbahasa dalam Komunikasi. Jabatan Pendidikan Bahasa & Literasi. Universiti Malaya. Wan Marzuki Wan Ramli. 2008. Ambil peluang jadi guru berilmu. Dlm. Perkhidmatan Pelajaran Blingspot. (atas talian). http://perkhidmatanpelajaran.blogspot. com/2008/07/ambil-peluang-jadi-guru-berilmu.html. (2 Ogos 2009).

3/26/2013 9:01:37 AM

44

Akademika 82(2)

Watson, J. B. 1919. Psychology from the standpoint of a behaviorist. Dlm. Philadelphia: Lippincott Company, edited by Yule, G. Pragmatics. Oxford: Oxford University Press. Khairul Anuar A. Rahman Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia 43400, UPM Serdang Selangor, Malaysia.

Akademika 82(2)Chap 4.indd 44

3/26/2013 9:01:37 AM