FaktorFaktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pembelajaran

3 Menentukan sama ada sikap pelajar mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. ... selidik selalu digunakan untuk mengetahui sikap seseora...

0 downloads 35 Views 78KB Size
Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pembelajaran Menggunakan Bahasa Inggeris Pelajar Tahun Satu Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Ahmad Johari Bin Sihes & Sopiah Binti Marjuki @ Ismail Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia

Abstrak: Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Kajian deskriptif berbentuk tinjauan digunakan dalam kajian ini. Kajian yang dijalankan adalah untuk mengakaji faktor latar belakang pelajar, pengajaran pensyarah, sikap pelajar dan pengaruh rakan sebaya. Kajian ini dijalankan di Universiti Teknologi Malaysia, yang menggunakan 150 orang pelajar tahun satu Fakulti Pendidikan. Sampel yang dipilih adalah secara rawak kelompok. Instrumen yang digunakan ialah dengan soal selidik yang mengandungi dua bahagian iaitu maklumat diri dan faktor-faktor yang dikaji. Soal selidik diuji melalui kajian rintis bagi mendapatkan kebolehpercayaan. Data yang diperolehi dianalisis menggunakan perisian Statistical Package For The Social Science (SPSS). Analisis yang dibuat diterjemahkan dalam bentuk frekuensi, peratus dan min. Dapatan kajian yang berada di tahap min yang tinggi, ialah faktor pengajaran pensyarah dan faktor sikap. Faktor-faktor yang berada di tahap sederhana ialah faktor rakan sebaya dan faktor latarbelakang. Beberapa cadangan dan kajian lanjutan telah diberikan agar dapat meningkatkan lagi pencapaian pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Katakunci: pembelajaran, bahasa Inggeris Pengenalan Era globalisasi meletakkan Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Malaysia perlu meningkatkan daya saing dan meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia untuk menjadi sebuah negara membangun sepenuhnya menjelang tahun 2020. Penggunaan dan kemahiran bahasa Inggeris amat penting dalam era globalisasi. Kebanyakan kerajaan di negara membangun, termasuk Malaysia mula menekankan dan menggesa masyarakat mereka yang ingin maju dan mempunyai daya saing supaya berusaha menguasai bahasa Inggeris. Menurut Abdul Rahim (2005), bahasa Inggeris yang menyalurkan pemikiran dan budaya barat amat penting untuk pemodenan dan kemajuan masyarakat Malaysia. Kelemahan menggunakan bahasa Inggeris perlu ditangani dengan lebih objektif dan praktis. Pelbagai bentuk kemahiran perlu dikembangkan kepada pelajar seperti kemahiran berfikir, kemahiran menulis, dan kemahiran komunikasi perlu mendasari perkembangan profesion keguruan. Kementerian Pendidikan telah memandang serius keperluan ini dari semua aspek termasuk keperluan kurikulum pendidikan sendiri dan penyediaan tenaga pengajar yang terlatih bagi mendidik generasi yang merealisasikan matlamat tersebut. Penguasaan bahasa Inggeris penting kerana dunia telah mengiktiraf bahasa ini sebagai bahasa sejagat. Malaysia memerlukan tenaga mahir yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik dan berkesan (Tajul Ariffin et al, 2007). Penyataan Masalah Berdasarkan kepada latar belakang masalah yang dibincangkan, kajian ini menumpukan kepada beberapa persoalan terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris di kalangan pelajar tahun satu, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Beberapa faktor perlu dikaji bagi melihat pemasalahan ini.

Sehubungan dengan ini, kajian yang dibuat mengambil beberapa faktor untuk menentukan sejauh manakah faktor-faktor seperti, latar belakang pelajar, pengajaran pensyarah, sikap pelajar dan rakan sebaya mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris . Objektif Kajian Objektif kajian ini adalah untuk: 1 Menentukan sama ada latar belakang pelajar mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. 2 Menentukan sama ada pengajaran pensyarah mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. 3 Menentukan sama ada sikap pelajar mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. 4 Menentukan sama ada rakan sebaya mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Kepentingan Kajian Kajian ini dijalankan memandangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran merupakan sesuatu yang penting dalam menentukan matlamat kerajaan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa ilmu. Adalah menjadi harapan pengkaji agar kajian yang dijalankan dapat: 1 Mengenal pasti faktor-faktor yang memainkan peranan dalam meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. 2 Memberi panduan dan hala tuju kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan masalahmasalah yang berkaitan dengan pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. 3 Melahirkan satu anjakan positif terhadap sikap pelajar dan guru kepada pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Skop dan Batasan Kajian Kajian ini menumpukan kepada persoalan yang berkaitan dengan faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris. Skop ini dilihat kepada faktor-faktor latar belakang pelajar , pengajaran pensyarah, sikap pelajar dan pengaruh rakan sebaya. Batasan kajian ini dijalankan hanya terbatas kepada pelajar-pelajar tahun satu, Fakulti Pendidikan, di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor Bahru. Metodologi Populasi dan Responden Kajian Populasi di dalam kajian ini terdiri daripada pelajar-pelajar Fakulti Pendidikan tahun satu di Universiti Teknologi Malaysia. Pemilihan responden ini adalah berdasarkan pelajar-pelajar yang memulakan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris. Jumlah populasi tahun satu Fakulti Pendidikan adalah seramai 480 orang. Responden kajian yang dipilih terdiri daripada 150 orang pelajar yang dipilih secara rawak iaitu secara kelompok . Menurut Mohamad

Najib (1999), responden secara kelompok ialah dimana responden dipilih berdasarkan rumpunan populasi, seperti pilihan rawak berdasarkan tingkatan dalam sesebuah sekolah. Instrumen Kajian Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk soal selidik . Soal selidik dipilih sebagai instrumen untuk mendapatkan maklumat data daripada responden. Menurut Mohamad Najib (1999), soal selidik selalu digunakan untuk mengetahui sikap seseorang dengan menggunakan soalan bebas-jawab (terbuka), senarai semak atau skala kadar. Borang soal selidik ini mengandungi dua bahagian iaitu bahagian A dan B. Bahagian A menggunakan skala norminal iaitu soalan yang perlu ditanda oleh responden berkaitan dengan latar belakang mereka. Bahagian B pula soalan berkaitan dengan faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Skala yang yang digunakan untuk mengukur pemarkahan bahagian B bagi kajian ini ialah menggunakan kaedah skala Likert lima peringkat iaitu Amat Setuju, Setuju , Tidak Pasti, Tidak Setuju dan Sangat Tidak Setuju. Kajian Rintis Bagi menentukan item-item bagi soal selidik yang digunakan dalam kajian ini relevan dan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi, kajian rintis ini telah dijalankan. Dalam kajian rintis ini, sebanyak 10 orang sampel terdiri dari pelajar tahun satu yang dipilih secara rawak. Kajian rintis bertujuan untuk menguji kebolehpercayaan instrumen yang dibina dan memastikan soalan di dalam kaji selidik sesuai dan difahami pelajar yang menjadi responden. Menurut Mohd. Salleh dan Zaidatun (2001), kebolehpercayaan atau reliabiliti merupakan ukuran keupayaan sesuatu instrumen penyelidikan dalam mengukur permasalahan (pembolehubah) kajian secara konsisten setiap kali ia digunakan pada masa, tempat dan sampel berlainan. Menurut Mohd Najib (1999), kajian rintis soal selidik pada tahap ini adalah berguna bagi mendedahkan kekeliruan dan soalan bermasalah yang lain yang masih wujud dalam soal selidik. Melalui kajian rintis ini, penyelidik dapat mengesan kelemahan item agar matlamat kajian dapat dicapai. Menurutnya lagi, pekali kebolehpercayaan adalah di antara 0.0-1.0. Sekiranya kebolehpercayaan menghampiri satu , maka komponennya dikatakan sah. Ini bermakna semakin hampir nilai alpha kepada 1.0 , maka semakin tinggi kebolehpercayaannya. Pekali Alpha Cronbach dalam SPSSv.14.0 digunakan untuk mendapatkan pekali kebolehpercayaan. Nilai indeks kebolehpercayaan item soal selidik yang telah diperolehi adalah sebanyak 0.9643 ini menunjukkan indeks kebolehpercayaan mempunyai tahap yang tinggi dan setiap item boleh diterima. Keputusan Hasil daripada kajian dan anaisis yang dibuat, peratusan untuk keseluruhan kajian ini telah diperolehi melalui jumlah purata min bagi setiap persoalan kajian yang dikaji. Jadual berikut menunjukkan analisis keseluruhan faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa Inggeris di kalangan pelajar tahun satu, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Jadual 1:

Min Keseluruhan Responden Berdasarkan Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Pengajaran dan Pembelajaran Menggunakan Bahasa Inggeris.

Daripada analisis keseluruhan di atas, min pada faktor pengajaran pensyarah dan faktor sikap pelajar merupakan min yang berada pada tahap tinggi iaitu 3.70, dan 3.68. Faktor rakan sebaya dan latar belakang, masing-masing mencatat min sebanyak 3.15 dan 2.96 iaitu min yang berada di tahap sederhana. Perbincangan Hasil daripada penganalisaan dan perbincangan dapatan kajian menunjukkan faktor pembelajaran pensyarah mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Terdapat unsur-unsur galakan dan mendapat perhatian pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran yang baik bermakna pensyarah menyampaikan pengetahuan dengan berkesan. Satu unsur umum dalam kategori ini terdapat pelajar mengharapkan supaya pengajaran membawa perubahan-perubahan positif dalam diri mereka, khususnya mendalami penggunaan bahasa Inggeris. Perubahan-perubahan lain adalah perubahan tingkah laku dan pengetahuan. Unsurunsur pengajaran yang baik adalah diarahkan kepada perubahan, terutama dalam pemahaman pengetahuan yang disampaikan di dalam kelas. Pelajar melihat guru sebagai sumber pengetahuan dan mereka mengharapkan pensyarah untuk menyediakan bahan kursus. Pensyarah mempunyai peranan yang aktif dalam dalam pengajaran kerana ia memutuskan tentang perancangan dan penyediaan bahan pengajaran. Pensyarah juga diharap dapat menyampaikan isi pelajaran bersesuaian dengan kebolehan pelajar. Dapatan ini menunjukkan pensyarah melakukan kebanyakan daripada tugas pembelajaran seperti memudahkan isi pelajaran bagi pelajar memahaminya. Sikap pelajar itu sendiri menentukan faktor yang tidak kurang pentingnya terhadap penggunaan pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Pelajar pada dasarnya mengetahui tentang perubahanperubahan yang bersifat global, dan perlu meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris. Kepentingan bahasa Inggeris pada masa kinilah menyebabkan pelajar bertukar arah untuk mendalami bahasa Inggeris. Sikap pelajar yang mendapat pengalaman dari membaca suratkhabar, novel dan menonton filem-filem dari televisyen membantu pelajar untuk memahami penguasaan bahasa Inggeris. Untuk membentuk sikap pelajar yang cemerlang , minat terhadap bahasa Inggeris perlu dirubah, yakni meminatinya untuk

memberi sesuatu kekuatan yang mendorong untuk melaksanakan dan berusaha agar ianya berlaku tanpa sebarang paksaan. Peranan rakan sebaya berperanan untuk mempengaruhi pelajar untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mereka. Walaupun peranan guru dan ibu bapa penting, peranan rakan sebaya sebagai pengukuh dan penyokong nilainilai yang disampaikan oleh mereka adalah sangat penting. Namun, perbezaan perlakuan antara mereka menyebabkan kemahiran berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris kurang berjaya. Pelajar masih lagi menghadapi masalah berkomunikasi dengan rakan sebaya. Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan yang sangat penting untuk mewujudkan hubungan yang mesra, menyatakan idea-idea dan secara tidak langsung akan memudahkan permasalahan diri dikemukakan. Pelajar dan rakan tidak menghadapi masalah ini semasa menggunakan bahasa pertama, iaitu bahasa Malaysia dalam mengadakan perbincangan atau sebarang corak komunikasi yang lain. Namun masalah ini timbul antara mereka bila penggunaan bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris digunakan. Komunikasi yang baik merangkumi penggunaan bahasa yang jelas dan mudah difahami, intonasi suara yang menarik dan pergerakan badan “boddy Language” boleh mempengaruhi suasana perbincangan berjalan dengan lancar. Peranan untuk mendapat dan menerima galakan dari rakan sebaya inilah perlu diperolehi oleh pelajar. Keadaan ini perlu diwujudkan agar pelajar dapat bertutur dengan lancar menggunakan bahasa Inggeris, seterusnya memudahkan mereka untuk menggunakan dan mengaplikasikan kebiasaan ini semasa pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Latar belakang adalah pendorong kepada penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Namun demikian kajian yang dijalankan menunjukkan faktor latar belakang pelajar bukan lagi penentu utama dalam mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Desakan pembangunan ketika ini, seperti pembangunan teknologi dalam pembelajaran menyebabkan pelajar berhadapan dengan perubahan globalisasi ini, walaupun latar belakang mereka tidak begitu terdedah dengan pengalaman-pengalaman terhadap penguasaan bahasa Inggeris, mereka terdesak untuk menggunakan bahasa Inggeris. Rumusan Dapatan kajian telah dibincangkan dan dikemukan. Diharapkan penyelidikan ini dapat memberikan gambaran mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris. Selain itu, diharapkan agar hasil kajian ini digunakan oleh pihak-pihak terbabit untuk memperbaiki kelemahan agar tahap keberkesananya dapat ditingkatkan pada masa hadapan. Rujukan Abdul Aziz Ibrahim (2002). Penggunaan ABM dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik. Universiti Teknologi Malaysia : Projek Sarjana Muda. Abdul Rahim Abd. Rashid (2005). Profesionalisme Keguruan Prospek dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdullah Hassan, Ainon Mohd (2006). Kemahiran Interpersonal untuk Guru. Selangor: PTS Professional Publishing Sdn Bhd. A.Aziz Deraman. 1998. Pelita Bahasa. Disember 1998. Abdul Fattah Mohamad. 1994. “ Pelajar Melayu Lemah Matematik -Salah Siapa”? dlm Berita Warta , 25 November 1994.

Ahmad Tajudin Abd. Rahman (1997). Persepsi Terhadap Penguasaan dan Penggunaan Bahasa Inggeris di Kalangan Pelajar KH. Universiti Teknologi Malaysia: Projek Sarjana Muda. Atan Long (1988). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Antonia Chandrasegeran (1981). Problems of Learning Engslish as a Second Language. Singapore : Singapore University Press. Awang Azman Awang Pawi 2008, Gerakan Baharu Bahasa Kebangsaan. Dewan Bahasa. Februari: 44-45. Azizi Yahaya, Fawziah Yahya, Zurihanami Zakariya, Noordin Yahaya (2005). Pembangunan Kendiri. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia. Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli, Yusof Boon, Abdul Rahim Hamdan (2007). Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia. Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif, Sharin Hashim, Yusof Boon (2005). Psikologi Sosial Alam Remaja. Bentong : PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. Blair, G.M. , Jones R.S. & Simpson R.H (1975). Education Psychology. 4th edition. New York : McMillan Publishing Co. Brown, H.D. (1987). Teaching English as an International Language: From Practice to Principle. Britaian: Perogaman Press. Child, Dennis (1977), Psychology and the Teacher 2nd edition. Scotland : William Collins Sons & Compony Ltd. Chaim Heng Keng (1976). Problem of The Adoles Cence, Masalah Pendidikan. Kuala Lumpur : Universiti Malaya, Malaysia. Crow and Crow (1983). (Terjemahan) Psikologi Pendidikan untuk Perguruan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dembo (1991).Education Psychology.4 th edition. New York: McMillan Publishing Co. Dulay da Bur (1975). Proses Pemerolehan Bahasa Pertama dan Pembelajaran Bahasa kedua, dlm Jurnal Bahasa Moden. Keluaran 6:58-63 (1991). Esah Sulaiman (2004). Pengenalan Pedagogi. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia. Esah Sulaiman (2003). Amalan Profesionalisme Perguruan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia. Fathman, A.K (1976). Variables Affecting The Successful Learning of English As A Second Language, TESOL Quarterly. Fasold R. (1999). Sociolinguistics Of Society. New York : Basil Blackwell Incorporation. Ganesan a/l Ramasamy (1985). Strategi-strategi Pembelajaran Bahasa Inggeris di Kalangan Penuntut Sekolah Menengah. Bangi: Projek Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Galda, L. Culliman, B.E & Strickland, D.S. (1993). Language, Literacy & The Child. . USA : Harcourt Brace & Company. Glenn Myers Blair, Jones R.S & Simpson R.H, Psikologi Pendidikan.Terjemahan: Noran Fauziah Yaakob, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.