Memenuhi Aspirasi Kemahiran Berfikir dalam Pelan

Kata kunci: Kemahiran berfikir ... Kita lihat bahawa bentuk soalan dalam ujian PISA ini lebih ... mengetahui apa makna toksid dan kesan pencemaran sun...

0 downloads 35 Views 114KB Size
Memenuhi Aspirasi Kemahiran Berfikir dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menerusi inkuiri dan pedagogi filosofiyyah dalam kalangan guru1 Rosnani Hashim Institut Pendidikan, IIUM [email protected]

Abstrak Kemahiran berfikir merupakan satu matlamat utama dalam sistem pendidikan di seluruh dunia masa kini dan ia turut digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 sebagai kesinambungan terhadap apa yang sudah dilaksanakan di sekolah dalam negara sejak dasar sekolah Bestari diperkenalkan pada tahun 1998 tetapi sehingga hari ini masih belum mencapai prestasi yang membanggakan. Pelbagai usaha pedagogi sudah dicuba dan dilaksanakan untuk mencapai matlamat tersebut khususnya yang memberi pemusatan kepada pelajar seperti kaedah diskusi kumpulan kecil, pembelajaran berasaskan masalah dan pembentangan hasil diskusi atau kajian. Kertas ini mencadangkan bahawa pendekatan pedagogi di institusi latihan perguruan harus diubah terlebih dahulu dengan memperkenalkan pedagogi inkuiri filosofiyyah atau apa yang juga dinamakan pedagogi hikmah untuk melahirkan guru yang berfikiran kritis, kreatif dan berakhlak mulia. Hanya guru yang kritis sahaja yang boleh melahirkan pelajar yang kritis di sekolah. (158 perkataan) Kata kunci: Kemahiran berfikir, pedagogi inkuiri filosofiyyah, pedagogi hikmah, kurikulum pendidikan guru, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Latar belakang Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menggariskan enam aspirasi yang wajar dimiliki oleh setiap murid demi menghadapi cabaran globalisasi dan semasa, sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu: • Pengetahuan • Kemahiran berfikir • Kemahiran memimpin • Kemahiran dwibahasa • Etika dan kerohanian • Identiti nasional. Umum mengetahui bahawa pencapaian Malaysia dalam ujian antarabangsa PISA pada tahun 2009 amat menyedihkan kerana kita berada pada kedudukan satu pertiga terendah di dunia. Malahan Thailand mengatasi kedudukan kita. Ini amat mengecewakan apabila kerajaan Malaysia membelanjakan bajet yang besar – malah jauh lebih tinggi daripada Negara yang mengatasi kita dalam keputusan PISA tersebut. Lebih mengecewakan juga ini berlaku walhal nisbah guru: murid di Malaysia adalah yang tertinggi iaitu 1:13 berbanding Negara lain. Kita lihat bahawa bentuk soalan dalam ujian PISA ini lebih kepada menyelesaikan masalah yang memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi seperti menganalisis, menilai dan mensintesis dan bukan sekadar aplikasi. Justeru, ia memberi kita petanda bahawa sistem pendidikan kita masih lemah dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran tersebut. 1

PPPM (hal. 2-5) menggariskan bahawa setiap murid perlu mempunyai semangat ingin tahu, dan belajar cara untuk terus mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat, mampu menghubung kait pelbagai pengetahuan, dan yang paling penting dalam ekonomi berasaskan pengetahuan ialah mewujudkan pengetahuan baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif yang penting: ▪▪ Pemikiran Kreatif dan Inovatif: kemampuan menginovasi, menjana kemungkinan baharu, dan mencipta idea atau pengetahuan baharu; ▪▪ Penyelesaian Masalah dan Penaakulan: keupayaan meramal masalah dan mendekati isu secara kritis, logik, induktif, dan deduktif bagi mencari penyelesaian, dan akhirnya membuat keputusan; dan ▪▪ Keupayaan Belajar: keupayaan memacu pembelajaran sendiri, dengan kemampuan menghargai nilai pembelajaran sepanjang hayat. Makna pendidikan Pendidikan melibatkan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai yang disampaikan dan dikembangkan terus menerus dari seseorang kepada seseorang yang lain, dari suatu budaya kepada satu budaya lain dan dari satu peradaban ke peradaban yang lain. Menerusi pendidikan – ta’dib dan tarbiyyah dan ta’lim, dan ilmu, nilai dan kemahiran yang diperolehi, seseorang insan itu diubah dan dibentuk menjadi beradab, bertamaddun and bijak mengurus diri dan masyarakatnya. Pada zaman lampau, pendidikan bersifat tidak formal dan diadakan bukan di bilik darjah walaupun pada zamannya lagi Aristotle telah berhujah tentang keperluan pendidikan awam bagi memelihara masyarakat demokratik. Plato pula berbicara tentang masyarakat adil dan merekacipta kurikulum pendidikan yang dibahagi kepada beberapa tahap bagi mencapai matlamat tersebut dan juga melahirkan raja serentak ahli filsafat. Dari perspektif Islam, ‘ilmu bermakna ketibaan makna sesuatu objek ilmu ke dalam ruh atau ketibaan ruh kepada makna sesuatu objek ilmu.2 Justeru, melalui pendidikan seseorang mencapai makna kehidupan dan kewujudan. Dengan adanya ilmu, seseorang itu dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sewajar dan seterusnya berlaku adil kepada dirinya, orang lain dan Penciptanya. Dia juga boleh bertindak dengan betul bukan sahaja semasa di dunia ini tetapi juga untuk kebaikannya di akhirat. Justeru, pendidikan adalah cara untuk mencapai kebijaksanaan yang membawa kepada keadilan. Tetapi selepas pendidikan mendapat perhatian umum dan sekolah umum didirikan, tujuan utama pendidikan berubah. Sekolah telah digunakan oleh pemerintah untuk mencapai agenda politiknya yang sebahagian daripadanya bertepatan dengan matlamat akhir insan dan masyarakat. Sekolah mula menjadi alat. Walaupun sekolah umum yang didirikan amat baik dalam kontek menyediakan pendidikan yang sepatutnya membawa pencerahan kepada massa (dan matlamatnya adalah 100 peratus pendidikan sejagat), namun ia mula mengalami anjakan paradigma semenjak “ketibaan era industri, peranan utamanya: melahirkan pekerja bagi jawatan yang diwakili oleh petak-petak dalam carta organisasi korporat yang mempunya bentuk piramid, lebar di bawah dan sempit dan kecil di puncak.” 3 Lebih banyak kepada pengetahuan profesional dan kemahiran daripada pengetahuan dan nilai yang praktikal. Lebih banyak kepada yang dapat dilihat daripada yang sebaliknya. Terlalu banyak penekanan kepada peperiksaan sebagai satu tanda ukur. Tidak ada banyak ruang untuk 2

pelajar mengemukakan soalannya sendiri yang berkait dengan minat dan daya ingin tahu mereka. Hasil daripada ini, pergi ke sekolah menjadi satu bebanan kepada sebahagian murid, membunuh daya ingin tahu mereka, malahan membiak kebosanan dan kehilangan minat untuk belajar. Sekolah tidak lagi mampu memberi makna kepada kehidupan. Ia seolah-olah satu aktiviti yang tidak bermakna, tanpa tujuan. Dalam kertas ini saya cuba menunjukkan kepentingan inkuiri filosofiyyah sebagai satu kaedah pengajaran atau pedagogi dan perlunya mengembalikan pendidikan filosofi bagi memulihkan matlamat pendidikan yang sudah terhakis. Saya akan membawa hujahhujah untuk menyokong kenyataan ini di samping kepentingannya dalam tradisi ilmu Islam dan juga peranannya bagi memelihara masyarakat demokratik. Saya akan menjelaskan bagaimana pedagogi inkuiri filosofiyyah boleh menjadi mekanisme untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan pendidikan yang bermakna dan kepentingannya dalam latihan para guru. Masalah pendidikan hari ini Kalau kita lihat pedagogi yang digunakan dalam bilik darjah di negara kita hari ini, kita akan merintih dan mengeluh sebagai pendidik guru sebab ia sekadar menyediakan murid untuk menjawab soalan peperiksaan. Semasa saya bersekolah rendah dulu pada tahun 1960an, saya tidak ingat kami sekelas dilatihtubi untuk menjawab soalan peperiksaan. Kali pertama saya mengambil bahagian untuk membuat persediaan secara tak formal bersama rakan ialah semasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan MCE 1972 – itupun atas inisiatif sendiri dan bukan dibilik darjah. Seingat saya guru hanya bertugas untuk menghabiskan silibus sehingga beberapa hari sebelum peperiksaan besar tersebut. Prinsipnya ketika itu mungkin – anda faham dan dapat menjelaskannya kepada orang lain atau mengaplikasikannya dalam situasi yang berbeza atau pun anda tidak faham. Anda bertanggungjawab atas kejayaan diri anda. Guru ada untuk membantu bila ada yang tidak dapat difahami atau diselesaikan. Apa yang tercatat dalam sijil peperiksaan benar-benar mencerminkan ilmu yang dimiliki. Tetapi hari ini, pelajar diberi latihtubi berhari-hari malah berbulan-bulan sebelum hari peperiksaan tanpa benar-benar memahami konsep, langkah dan sebagainya. Masa mengajar disingkatkan dan dipecutkan supaya dapat meninggalkan baki untuk latihtudi di akhirnya. Kerana pecutan ini sudah tentulah pelajar yang kurang kecerdasan semakin menghadapi tekanan. Ambil sahaja kes Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, iaitu dua matapelajaran yang memang khusus untuk membangun Insan Baik. Subjek ini malangnya tidak dapat memberi makna kepada pelajar kita. Ini jelas daripada peningkatan gejala sosial dan masalah disiplin yang dihadapi di sekolah hari ini. Walaupun keseluruhan kesilapan ini tidak boleh dibebankan kepada sekolah, namun guru ini amat mempunyai peluang yang terbaik untuk membimbing pelajar. Bagaimanakah hubungan guru ini dengan pelajar mereka? Bolehkah mereka dipercayai oleh pelajar sendiri sehingga mereka boleh mendapat nasihat atas masalah yang dihadapi? Pelajar ini hanya boleh bertindak atas sesuatu dan komited kepadanya jika mereka benar-benar memahami maknanya. Walaupun sekolah dan universiti berusaha untuk memenuhi kehendak dan permintaan komuniti korporat dan perniagaan, mereka masih lagi terus bersungut tentang kekurangan graduan ini dalam kemahiran insaniah (softskills). Mereka dikatakan kurang keupayaan berfikir kritis dan kreatif, keupayaan berkomunikasi, keupayaan berinteraksi dengan

3

orang lain khususnya jika bukan rakan sebaya, kurang keyakinan diri dan kurang keupayaan bekerja dalam satu pasokan. Sekolah kita masih mengajar mereka untuk zaman lampau walhal dunia hari ini berubah dengan pesat. Alat teknologi canggih yang boleh melakukan pelbagai perkara kepada penjanaan dan penaburan ilmu semakin murah dan dapat dimiliki oleh pelajar sekalipun. Friedman berhujah bahawa dunia semakin “merata”, dengan peletupan teknologi termasuk blog, ensaiklopedia ditalian, podcasting, di mana ilmu dan sumbernya dijaringkan di seluruh cakrawala untuk dicapai oleh semua. Ini belum pernah berlaku. Dia menegaskan, “Pada masa depan, bagaimana kita mendidik anak mungkin lebih mustahak daripada berapa banyak kita mendidik mereka.”4 Dalam dunia yang rata, keupayaan yang paling penting yang perlu dikembangkan ialah kebolehan “belajar bagaimana hendak belajar”, dan membangun daya ingin tahu dan kesungguhan. Ini lebih penting daripada IQ. “Tidak ada orang yang akan belajar bersungguh-sungguh melainkan kanak-kanak yang mempunyai daya ingin tahu yang mendalam.”5 Jawatan kuasa sebuah sekolah di Massachusetts menegaskan bahawa sekolah sewajarnya berhenti daripada memberi fokus kepada peperiksaan umum dan sebaliknya memberi tumpuan kepada kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, kolaborasi atau kerja berpasokan, daya kreativiti dan penyelesaian masalah. "6 Apakah inkuiri filosofiyyah (PI) Dalam kontek perbicaraan di atas, maka inkuiri filosofiyyah dan pedagoginya amatlah relevan dan mustahak sebab ia berhasrat untuk mencapai makna dalam apa yang dipelajari. Kandungan inkuiri ini adalah konsep yang kaya seperti keadilan, kebebasan, hak, tasamuh, hormat-menghormati, kebenaran sains, dan berbagai lagi konsep yang terdapat dalam banyak mata pelajaran yang diajar disekolah; dan juga soalan filosofiyyah. Tidak cukup bagi para pelajar untuk bersetuju bahawa satu punca kematian ikan adalah sungai yang tercemar akibat tumpahan bahan toksid ke dalamnya tetapi juga untuk mengetahui apa makna toksid dan kesan pencemaran sungai itu. Tidak cukup pelajar Islam mengetahui Nabi Muhammad s.a.w. menjadi yatim piatu pada usia yang sangat muda tanpa memahami apakah erti kehidupan tanpa ayah dan ibu. Terdapat banyak situasi yang mana kelas pendidikan Moral dimulakan dengan guru mengenalkan topik seperti hak kanak-kanak, yang diikuti dengan perbincangan dalam kumpulan kecil dan diakhiri dengan pembentangan oleh setiap kumpulan tersebut yang tercatat atas kertas mahjong dengan ringkas dan tergesa-gesa tanpa sebarang persoalan dan perbincangan yang bermakna oleh kelas itu. Seolah-olah aktiviti itu diadakan untuk mengisi masa kelas. Perkara yang sama boleh dikatakan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, Sejarah dan juga Sivik dan Kewarganegaraan. Fakta-fakta yang guru hendak pelajar luahkan juga wajar serupa dengan apa yang terkandung dalam buku teks. Kalau 100 peratus sama, lagi baik. Bolehkah kita panggil ini pendekatan pengajaran yang bermakna dan mengembangkan daya berfikir pelajar? Bagaimanakah bezanya kalau guru menggunakan pendekatan inkuiri filosofiyyah? Perkara paling pokok dalam pedagogi ini ialah pertanyaan yang timbul dari pelajar sendiri dan bukan dari guru sahaja. Pedagogi ini menggalakkan pelajar mengemukakan pertanyaan yang kritis dan merenung secara kreatif sebab memang perbincangan dan pertanyaan adalah tersirat dalam filosofi itu sendiri. Berbanding dengan perbincangan sains yang tunduk kepada bukti empirikal sebagai autoritinya atau perbincangan matematik yang mempunya jawapan yang tepat dan pasti, perbincangan filosofi lebih banyak bergantung kepada pena’akulan yang logik bagi mempercayai sesuatu. Ia amat

4

berguna apabila sesuatu perkara itu dilihat mempunyai pendokong yang kelihatan tidak bersependapat. Justeru ia terpaksa menentukan pandangan yang manakah yang lebih sahih. Untuk itu tidak ada jawapan dalam buku tek tetapi pelajarlah sendiri yang wajar memikirkannya dengan bantuan guru. Sebenarnya banyak masalah bersabit Fiqh tergolong dalam pemikiran bentuk demikian sehingga timbul pedoman daripada Rasul s.a.w. bahawa kita pilihlah penyelesaian yang memudahkan dan bukan menyusahkan. Pedagogi inkuiri filosofiyyah (IF) atau apa yang kami di Centre of Philosophical Inquiry in Education di Institut Pendidikan UIAM panggil dengan pedagogi hikmah (PH), amat sesuai digunakan di dalam bilik darjah kerana ia melibatkan satu kumpulan atau komuniti penyelidik atau penyiasat. Kumpulan IF ini terdiri daripada mereka yang sayangkan kebenaran. Oleh itu mereka sanggup bekerjasama untuk menyiasat sesuatu masalah atau isu yang ditimbulkan oleh seorang ahlinya dengan persoalan yang menganalisis isu itu dan usaha menjawab. Dalam proses ini mereka terpaksa menggunakan kemahiran berfikir seperti memberi takrifan, membuat pengelasan, membuat penjelasan, membuat pembezaan, memberi sebab dan hujah, mempertahankan pandangan dengan hujah yang kuat dan sebagainya. Selain daripada kemahiran kognitif ini, pedagogi ini juga memberi perhatian kepada aspek ketatasusilaan atau etika bagi menajamkan kesensitifan ahli kumpulan kepada nilai dan tatasusila budaya yang berbeza. Kumpulan IF ini berusaha mencapai satu kesepakatan atau consensus menerusi proses perbincangan atau shura. Dalam ertikata lain, kumpulan ini memupuk kecenderungan berfilosofi dalam kalangan peserta sebab satu daripada objektifnya ialah untuk meresapkan kemahiran-kemahiran ini kedalam jiwa mereka. Secara tidak langsung, peserta akan dapat menggunakan kaedah ini sebagai satu mekanisme bagi meleraikan sebarang konflik, menghargai nilai shura atau demokrasi yg berbatas di mana shura sememangnya digalakkan dalam al-Qur’an dan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri dalam hal-hal yang tidak jelas hukumnya atau pedomannya. Pengakuan (Testimoni) peserta Dari pengalaman saya mengendalikan kursus dan kelas berteraskan pedagogi filosofiyyah di peringkat sekolah dan universiti, saya dapati pelajar mendapat pelbagai manfaat. Satu daripada komentar yang kerap pelajar tidak kira tua atau muda lontarkan ialah: “Ia membuka minda saya kepada cara-cara baru untuk melihat sesuatu itu,” pelajar 13 tahun (Program Hikmah Cuti Sekolah 29/11/07) Ini tidak menghairankan sebab pandangan setiap anggota kumpulan inkuiri sememangnya diteliti dan diperiksa oleh anggota yang lain. Dengan mendengar hujah, standard, kriteria dan pandangan orang lain terhadap ideanya, pelajar itu dapat membetulkan idea beliau sendiri, kedudukan atau prinsipnya dan mungkin menukar posisi kepada yang baru, dan lebih kukuh, yakni ia melakukan pembetulan kendiri. Tetapi ini akan berlaku jika seseorang itu tidak berfikiran sempit dan keras. Lipman menegaskan bahawa pertimbangan yang baik bergantung kepada hujah dan pena’akulan, terutama kepada kriteria dan standard, pemikiran kritis, pembetulan kendiri dan kesensitifan kepada kontek 7 dan inilah sebabnya kita menganggap pedagogi ini amat berguna bagi membangun pelajar yang berhikmah.

5

Pengalaman saya juga menunjukkan bahawa pedagogi ini dapat menambah keyakinan diri, kematangan emosi dan kefahaman diri secara am dalam kalangan para pelajar. Ini diungkapkan sendiri oleh para peserta: “… there are a lot of debates with hot issues, the programme also improves the confidence level and helps make friend with others,” Master student AIKOL (SLEU Hikmah Programme 18/9/07). “Communication skills, Argumentation, Overcome the feeling of shy,” first year student KIRKHS (18/9/07).. “Before I join this programme I feel afraid to ask questions if I don’t understand I prefer to keep quiet. Now I am able to ask questions,” First year student KIRKHS (18/9/07). “It gives me confidence to express my view and defend it,” 14 year old student (29/11/07) “I am able to think more logically now,” 13 year old student (29/11/07) Pandangan ini memang diduga sebab dalam pedagogi ini, belajar berfikir secara filosofiyyah berlaku pada asasnya dalam proses diskusi dalam kumpulan dan dalam merenung sesuatu idea atau isu. Ia membuat seseorang itu lebih peka atau sensitif kepada minat, nilai, kepercayaan dan kecenderungan berat sebelah (bias) orang lain. Seorang guru pelatih Pendidikan Moral yang menggunakan kaedah ini melaporkan bagaimana pelajar rasa janggal pada mulanya dengan pedagogi ini tetapi selepas itu merasa pelajaran lebih bermakna daripada menghafaz fakta sahaja. Guru juga mula mengubah cara mengajarnya untuk pembelajaran yang bermakna dan peranan utamanya memastikan objektif pelajaran dapat dicapai (Sri, Jan 15 2010): I am using the method to teach moral for form 4 and 5 students, at first they don’t want to respond. Later they try to ask question and answer their friends’ questions. I am so happy because the worst class also try to talk and give their point of views regardless whether it is right or wrong. I learn more from their views, either their thinking styles or update my thinking styles. Last time when I used the normal method and give example questions to train them to get “A” on Moral. They only memorize and didn’t realize it. They are as robots applying the moral value only on question paper, even they don’t know how to communicate or the right way to talk to teacher although they are smart students. Actually Moral subject is very interesting to do inquiry especially upper forms. They realize, learn to practice the value in their life. Dalam kajian yang lain, Juhasni mendapati bahawa dengan menggunakan pedagogi IF dalam kelas Pendidikan Islam, pelajarnya semakin berminat dan rajin bertanya. Kajian beliau menunjukkan bahawa soalan pelajar semakin bersifat higher order dan bukan soalan remeh-temeh. Pelajar juga mula mengaitkan pengetahuan mereka dengan situasi kehidupan iaitu pelajaran semakin lebih bermakna.8

6

Tetapi pedagogi inkuiri filosofiyyah (IF) atau pedagogi hikmah (PH) ini ada juga cabarannya. Kadangkala seseorang guru yang mengamalkannya boleh didakwa dengan dakwaan yang melampau. Ini pengalaman seorang guru yang mengajar Sejarah: I would like to share my experience using philosophical inquiry (PI) method in teaching Form 4 history. I use a lot of stimulus material from the newspaper. .. One of the issue that I discussed is the historical fact that the Chinese came to this country as immigrants in the 18 and 19thth century. Fuhhh… I was called by the school authority. The Chinese students sent a letter to the principal saying that they were not satisfied and claimed that I was racist… The principal did not understand this methodology and said I was wrong. .. He forbid me from using this approach because he said it will bring problem to him. … I think all this while the method of teaching history did not produce any effect although it is a core subject but when I use philosophical inquiry, students become more sensitive to the subject of history. I strongly agree that PI should be used as a base to teach history … especially Malaysian history. Sudah tentu pedagogi hikmah akan menggalakkan pelajar menjadi lebih kreatif terutama dalam menjana idea bagi tujuan menjelaskan, memberi bukti atau hujah untuk mempertahankan pandangan mereka. Mereka juga dapat mengembangkan kefahaman etikal dan juga nilai moral yang murni sebab ini tidak dapat dipisahkan daripada perbincangan menyentuh pengalaman manusia. Oleh itu pedagogi inkuiri filosofiyyah amat berfaedah bagi melihat perkaitan antara idea dan buah fikiran (menerusi bahasa), membuat pertimbangan yang bijak, membuat kesimpulan dan mencari makna dalam kehidupan. Membawa IF atau PH ke dalam bilik darjah Satu daripada isu yang dihadapi ialah bagaimana hendak membawa IF atau PH ke dalam bilik darjah. Sebenarnya IF boleh diaplikasikan dalam banyak subjek sama ada sains, matematik atau pun kemasyarakatan dan kemanusiaan. Tetapi dalam kontek sekolah, matapelajaran Bahasa, Pendidikan Moral, Sivik dan Kewarganegaraan, dan Pendidikan Islam amatlah sesuai sebab matapelajaran ini mengandungi konsep dan idea besar dan sentral dalam etik, norma sosial dan politik, dan cara hidup. Topik dalam Pendidikan Moral seperti hak – individual, agama, dan sosial, kebebasan, toleran dan tanggungjawab amat penting khususnya dalam masyarakat pelbagai budaya, agama dan nilai. Sudah pasti akan wujud perbezaan pendapat dalam banyak isu. Bagi menyelesaikan isu tersebut, kumpulan yang pelbagai ini harus boleh mengadakan sessi dialog. Mereka seharusnya dapat membincangkan isu itu secara terbuka dan menentukan tindakan yang terbaik selepas mengambilkira semua pandangan dan cadangan alternatif. Oleh demikian, IF dan kumpulan inkuirinya amat penting dalam mengasuh pemuda dan pemudi kita dengan satu mekanisma bagi meleraikan konflik. Ini bukan bermakna kumpulan inkuiri adalah satu lagi sessi Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Ia bukan ‘brainstorming’. Ia memerlukan bahan perangsang yang baik bagi merangsang soalan dan perbincangan dan paling penting seorang guru yang terlatih dalam teori dan praktis pedagogi ini. Guru itu sendiri mesti seorang yang berfikiran kritis, suka mencabar minda, kreatif, berbuat mengikut cakap atau suri teladan dan juga berfikiran terbuka. Satu lagi cara untuk membawa IF ke sekolah ialah melalui Kelab IK atau Hikmah yang bertemu seminggu sekali sebagai satu kumpulan IF. Bagaimana pun ini agak sukar dilakukan dalam sistem pendidikan negara

7

kerana pemimpin sekolah tidak mahu mencuba sesuatu yang baru tanpa arahan pihak atasan walau pun pihak berwajib ini sudah memberi lampu hijau dengan penubuhan pelbagai kluster atau sekolah berprestasi tinggi. Setakat ini pedagogi ini digunapakai oleh beberapa buah sekolah swasta. Penyelidikan terhadap keberkesananya telah dibuat dalam beberapa subjek dan kontek dan hampir semua menunjukkan kesan positif dalam kemahiran berfikir, membuka minda, keyakinan diri dan keupayaan kemahiran sosial.9 Inkuiri filosofiyyah dalam tradisi Islam Satu masalah penggunaan pedagogi ini untuk Pendidikan Islam timbul daripada pergulatan yang berlaku di antara pihak Muhaddithin dan mu’tazilah, iaitu antara tradionalis dan rasionalis pada kurun ke-9 hingga ke-11. 10 Satu cara untuk mengatasi perkara ini ialah meyakinkan golongan yang masih was-was dengan semangat inkuiri dalam al-Qur’an itu sendiri yang telah berjaya memacu umat Islam zaman keemasan untuk mencapai kemuncak kejayaan bidang ilmu. Al-Qur’an memerintah umat Islam untuk berfikir and terdapat banyak ayat-ayat berkaitan hal ini.11 Terdapat lebih daripada 10 cara berfikir dalam al-Qur’an. 12 Kepentingan berfikir bagi menyelesaikan masalah melahirkan konsep ijtihad dan pada zaman Islam yang awal, terdapat banyak mazahib yang melambangkan kebebasan berijtihad atau berfikir atau inkuiri. Begitu juga, penelitian mendalam ke atas tradisi dan budaya untuk melihat kerelevanannya juga tersirat dalam tasawwur Islam. Malahan al-Qur’an berhujah bahawa Allah telah mengurniakan manusia dengan fakultas fizikal panca indera bagi pemerhatian dan penerokaan empirikal. Penggunaan panca indera ini iaitu penglihatan, pendengaran dan hati akan dipertanggungjawabkan pada hari akhhirat kelak. Justeru, al-Qur’an mengecam peniruan membuta tuli. Mithalnya, al-Qur’an menjelaskan keadaan orang yang menolak seruan kepada iman semata-mata kerana mereka tidak dapat meninggalkan amalan tradisi nenek-moyang mereka walaupun ia suatu yang jelas sesat. Al-Qur’an meminta kelompok ini menggunakan akal untuk berfikir. Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”. (Al-’Araf 7: 70).

(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: “Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”. Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orangorang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”. Rasul itu berkata: “Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayat petunjuknya daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?” (Al-Zukhruf 43: 22-24).

8

Semangat inkuiri filosofiyyah dalam tradisi Islam menghadapi sedikit kemunduran kerana pergulatan antara golongan mu’tazilah dan muhaddithin selepas zaman Khalifah al-Ma’mun dan juga al-Ghazali yang sehingga kini sukar untuk dibangun dalam sistem pendidikan, hatta pengajian Islam sekalipun. Ini terus berlaku walaupun alGhazali terus menekankan kepentingan logik yang pada pandangannya digunakan dan dianjurkan dalam al-Qur’an. 13 Keperluan filosofi bagi umat Islam hari ini juga disuarakan oleh ahli falsafah dan sejarawan sains tersohor, H.Nasr. Beliau menegaskan bahawa pengajaran filosofi Islam amat genting masakini sebab “ia adalah alat untuk mempertahankan Kebenaran (al-Haq) dan memberi cara untuk menolak seranganserangan yang dibuat terhadapnya dari semua penjuru.”14 Serangan-serangan ini semakin kerap selepas tamatnya Perang Dingin, kemunculan globalisasi dan peristiwa September 11. Malahan, Nasr menganggap pengajaran filosofi Islam satu kewajipan agama. Saya yakin apa yang dimaksudkan dan diperlukan di sini bukanlah kandungan filosofi Barat, sebab tradisi Ilmiah Islam mengandungi teori metafizik dan etik yang sudah pesat berkembang, tetapi yang dimaksudkan ialah filosofi sebagai alat bagi pemikiran, bagi hujah yang sahih dan jelas, bagi menjelaskan kekeliruan konseptual, bagi hujah secara qiyas, bagi mengenali kesamaran-kesamaran dalam kenyataan, bagi memeriksa asumsi tersirat, bagi menemui falasi dalam pemikiran dan hujah. Alat ini sangat penting pada masa kini bagi membantu belia dan pemuda pemudi Islam dan Malaysia amnya membuat pertimbangan dan keputusan yang bijak dalam kehidupan mereka dalam dunia yang semakin majmuk dalam semua segi – pemikiran, budaya, nilai dan kepercayaan.15 Penutup Memang terdapat banyak program kemahiran berfikir hari ini seperti Program Berfikir Lateral oleh deBono dan Peta Minda Buzan dan juga hasilan tempatan berdasarkan psikologi dan taksonomi Bloom yang diajar di sekolah dan universiti kita. Tetapi berfalsafah ada kelebihannya – ia adalah cara yang asli dan telahpun berjaya membuktikan kejayaannya dalam sejarah manusia dan masih lagi diguna hingga hari ini. Di sinilah Program Hikmah berlandaskan pedagogi Hikmah atau IF boleh diperkenalkan dalam bilik darjah tetapi didahului dengan melatih guru dalam Program Latihan Perguruan di IPTA bagi memberi satu cara mengajar kemahiran berfikir kritis dan pena’akulan dan secara tidak langsung mencapai satu daripada enam aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025. Dalam kontek ini Centre for Philosophical Inquiry in Education di UIAM telah pun mengorak langkah semenjak tahun 2006 untuk mencuba dan melakukan eksperimen ke atas pedagogi IF atau PH dengan melaksanakan program cuti sekolah bagi anak-anak kakitangan UIAM dan kemudian membukanya kepada umum. Kajian telah juga dibuat di sekolah dan juga latihan perguruan diadakan. Kini program Hikmah telah pun dilaksanakan di beberapa buah sekolah swasta. Rujukan 1

Kertas ini telah dibentangkan di Persidangan Majlis Dekan Fakulti Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, 7-9 Oktober 2012. 2 Lihat SM Naquib al-Attas, The concept of education in Islam ( Kuala Lumpur: ISTAC, 1993). 3 T.L. Friedman, The world is flat (London: Penguin, 2006), 304. 4 Ibid., 302. 5 Ibid., 303.

9

6

The Boston Globe, 30th October 2008. Matthew Lipman, Philosophy goes to school (Philadelphia: Temple University Press, 1988). 8 Juhasni Adila Juperi, Philosophical Inquiry in Islamic Education for Effective Questioning skills, Tesis Sarjana 2011, Kuala Lumpur: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tesis ini telah dianugerahkan tesis sarjana terbaik 2011 oleh Yayasan Nurul Yaqeen. 9 Rosnani Hashim, ‘Philosophy for Children: Its Effects on the Reading and Reasoning Skills of Average and High Achievers in a Malaysian Primary School’, Kertas dibentangkan di 12th Learning Conference at the Universidad de Granada, Spain, July 10-13, 2005; Moomala Othman & Rosnani Hashim. Critical Thinking and Reading Skills: A comparative study of the Reader Response and the Philosophy for Children Approaches. Thinking: the Journal of Philosophy for Children. 18:2, pp. 2634, Dec 2006; Norillah Abdullah, Philosophical Inquiry (PI) As An Approach To Developing Critical Thinking And Self-Confidence: A Case Study Of IIUM, Tesis PhD 2009, Kuala Lumpur: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Abdul Shakour Preece, Using Philosophical Inquiry To Enhance Muslim Learners’ English And Critical Thinking Skills, Kertas kerja dibentang di Persidangan Filosofi bagi Kanak-Kanak, Seoul, Korea 2011; Juhasni Adila Juperi, Philosophical Inquiry in Islamic Education for Effective Questioning skills, Tesis Sarjana 2011, Kuala Lumpur: UIAM. 10 Bagi masalah dalam P-P Pendidikan Islam, lihat Rosnani Hashim, Rethinking Islamic Education in Facing the Challenges of the Twenty-first Century, American Journal of Islamic Social Sciences, 22:4 (Fall 2005). 11 Saya berhujah perlunya inkuiri kritis dalam pendidikan umat Islam dalam kertas, ‘Pragmatic Education for the development of the Muslim Ummah’, Kertas jemputan yang dibentangkan di Conference for Minority Affairs in Asia Pacific Region, Jamiyah Singapore and ISESCO, August 2004; dan ‘Reviving Islam Pragmatism in Muslim Education’, paper presented in the 22nd World Congress of Philosophy, Seoul National University, Seoul, July 30- Aug 5, 2008. 12 Lihat J Badi and M. Tajdin, Creative thinking from an Islamic perspective (Kuala Lumpur: IIUM Research Centre, 2003). 13 Al-Ghazali, Abu Hamid. Al-Qistas al-Mustaqim: The Just Balance. Translated by D.P. Brewster. Lahore: Sh Muhammad Ashraf, 1978. 14 S.H. Nasr , Traditional Islam in the Modern World (New York: Kegan Paul International, 1987). 15 Lihat Rosnani Hashim, Philosophy in the Islamic Tradition: Implications for the philosophy for Children (P4C) Program in E. Marsal, Dobashi & B. Weber (Eds.), Children Philosophize Worldwide: Theoretical and Practical Concepts (Peter-Lang: Hodos Edition, 2009), 655-662. 7

10