Meningkatkan Kemahiran Menjawab Soalan Kefahaman

kumpulan kawalan, serta menggabungkan penggunaan data kuantitatif dan kualitatif. Sampel kajian terdiri daripada 123 orang murid dalam Darjah 3, 4, da...

0 downloads 18 Views 302KB Size
15 Meningkatkan Kemahiran Menjawab Soalan Kefahaman Manisah Osman

[email protected] Sekolah Rendah Yio Chu Kang

Abstrak Kajian ini meninjau keberkesanan menggunakan beberapa strategi pengajaran yang terdapat dalam pendekatan Pengajaran Kefahaman Pelbagai Strategi dan Berperingkat untuk murid-murid Darjah 3 hingga 5 dalam usaha meningkatkan kemahiran mereka menjawab soalan-soalan kefahaman subjektif. Ini bertujuan untuk melihat sama ada pengajaran kefahaman yang menggunakan strategi tersebut dapat membantu memperbaik kelakonan murid. Kajian ini bersifat kuasi-eksperimen dan menggunakan reka bentuk pra dan pascaujian tanpa kumpulan kawalan, serta menggabungkan penggunaan data kuantitatif dan kualitatif. Sampel kajian terdiri daripada 123 orang murid dalam Darjah 3, 4, dan 5. Dapatan awal menunjukkan bahawa hampir kesemua murid dapat menunjukkan pemahaman teks melalui kaedah Penceritaan Semula (ReTelling) menggunakan Peta Cerita (Story Map). Namun, kemahiran murid menjawab soalan-soalan kefahaman masih lemah kerana mereka tidak dapat menjawab soalan-soalan kefahaman yang memerlukan pemikiran aras tinggi seperti mengaplikasi, menganalisis atau menilai isi teks yang dibaca. Ekoran itu, adalah perlu untuk kajian diteruskan dengan menumpukan kepada pengajaran yang menekankan aspek pemikiran kritikal secara eksplisit untuk melihat kesannya ke atas prestasi murid menjawab soalan-soalan kefahaman yang memerlukan pemikiran aras tinggi. Kata Kunci: kefahaman, penceritaan semula (Re-Telling), peta cerita (Story Map)

176 Menjana Inovasi Memarak Inspirasi

Pengenalan Kemahiran membaca dan memahami apa yang dibaca ialah kemahiran penting yang harus dimiliki oleh setiap murid. Kebolehan memahami bahan yang dibaca akan membantu murid dalam memberikan respons yang wajar semasa menjawab soalan-soalan kefahaman. Penelitian awal ke atas kelakonan muridmurid ini mendapati sebahagian besar daripada mereka gagal menunjukkan pencapaian yang baik dalam komponen kefahaman. Murid secara umumnya menghadapi kesukaran memahami isi cerita yang terdapat dalam teks, yang merupakan satu keperluan asas dalam kefahaman. Kelemahan memahami isi teks yang dibaca ini akan menjejas jawapan-jawapan kefahaman mereka, sekali gus menyebabkan mereka mendapat markah paling rendah untuk komponen kefahaman. Kajian ini dijalankan sebagai satu usaha untuk membantu murid meningkatkan kelakonan mereka dalam komponen kefahaman agar markah keseluruhan mereka dapat ditingkatkan.

TUJUAN KAJIAN Kajian ini dilaksanakan dengan tujuan: 1. menilai pencapaian murid-murid memahami teks dan menjawab soalansoalan kefahaman sebelum dan sesudah kajian; dan 2. menilai keberkesanan strategi-strategi pengajaran kefahaman yang digunakan dalam pengajaran kefahaman membaca.

PERNYATAAN MASALAH Penelitian guru-guru ke atas keputusan ujian CA1, tahun 2015 di sekolah ini mendapati sebahagian besar murid tidak dapat menjawab soalan kefahaman dengan baik. Purata markah kefahaman mereka gagal mencecah separuh daripada markah penuh. Markah yang diperoleh oleh murid untuk hampir kesemua jenis soalan umumnya sangat rendah. Ini bermakna, ramai daripada mereka yang hampir langsung tidak memahami teks yang dibaca. Berdasarkan keprihatinan ini, penyelidik bersama guru-guru tersebut telah melakarkan suatu pendekatan bersepadu yang menggabungkan beberapa strategi utama untuk membantu membina kemahiran murid menjawab soalan kefahaman. 177

Seminar Bahasa Melayu 2016

Satu rangka Pendekatan Pengajaran Kefahaman Pelbagai Strategi dan Berperingkat dibina untuk memastikan bahawa usaha ini dapat memanfaatkan seberapa ramai murid yang boleh. Murid dari Darjah 3 hingga 5 menjadi kumpulan sasaran untuk memastikan kemahiran-kemahiran asas seperti menceritakan semula isi teks dapat disemai dari awal dan diperkukuhkan pada setiap peringkat tahun demi tahun. Strategi-strategi dalam rangka ini diharapkan dapat meningkatkan keupayaan murid memahami isi teks yang dibaca serta membina kemahiran berfikir yang lebih mendalam melalui rutin berfikir dan mengenal pasti idea utama.

KAJIAN LEPAS Pentingnya kemahiran membaca dan memahami dapat dilihat kebenarannya melalui kajian-kajian lepas. Pengajaran yang tertumpu kepada pembinaan kemahiran pelajar memahami teks telah dikaji dari semasa ke semasa. Butler et al (2010) mendapati bahawa penggunaan strategi yang pelbagai dan pengajaran kefahaman yang eksplisit amatlah berkesan untuk membangun kefahaman murid tentang teks yang dibaca. Cara guru mengajarkan kefahaman juga adalah penting. Pengajaran yang berpusatkan murid dalam kumpulan-kumpulan kecil yang menggunakan arahan-arahan yang eksplisit dengan contohan-contohan dan galakan yang baik berjaya menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penggabung jalinan strategi-strategi pengajaran kefahaman yang sedia ada dengan kaedah motivasi murid dapat menjana hasil pembelajaran yang lebih baik juga. Yahya Othman (2005) dalam bukunya ‘Trend dalam Pengajaran Bahasa Melayu’ menulis bahawa, untuk murid “mendapatkan pemahaman yang lebih jelas dan bermakna semasa membaca, penggunaan strategi yang sesuai juga dapat memberikan kesan yang sesuai dalam pemahaman”. Beliau menukil daripada kajian oleh Coleman (1995) yang mendapati bahawa penggunaan strategi membaca untuk pemahaman seperti menggunakan alat berfikir yang sesuai dapat meningkatkan pemahaman pembaca. Antara kaedah pengajaran kefahaman yang disebut di dalam buku yang sama termasuklah kajian yang menggunakan strategi-strategi yang menekankan penyoalan kendiri, membuat rumusan dan sistem model. 178 Menjana Inovasi Memarak Inspirasi

Stahl (2004) telah meninjau sejumlah kajian lepas berkaitan strategi pengajaran kefahaman kepada murid-murid sekolah rendah. Daripada kajiannya itu, didapati bahawa guru menggunakan banyak strategi pengajaran kefahaman yang pelbagai yang boleh membantu murid memahami teks yang dibaca. Daripada sejumlah strategi yang digunakan itu, beliau menyenaraikannya mengikut penggunaannya oleh guru. Beliau mendapati ada strategi pengajaran kefahaman yang digunakan dengan meluas oleh para guru, dan begitu juga sebaliknya. Strategi-strategi tersebut, ada yang sering dikaji oleh pengkaji, dan begitu juga sebaliknya. Jelas daripada tinjauan literatur ini, kajian ke atas kaedah dan pendekatan pengajaran kefahaman bukanlah sesuatu yang baharu ataupun tidak penting. Malahan, masih terdapat banyak lagi sebab yang mungkin mendorong sesuatu kajian ke atas kaedah pengajaran ini dijalankan. Inilah yang membuat penyelidik terpanggil untuk melakukan kajian mengenai pengajaran kefahaman. Apatah lagi dapatan daripada kajian ini akan dapat membantu memberikan kesan ke atas skor murid dalam peperiksaan sekolah.

KAEDAH KAJIAN Kajian ini bersifat kuasi-eksperimen dan menggunakan reka bentuk pra dan pascaujian tanpa kumpulan kawalan. Kajian ini juga menggabungkan penggunaan data kuantitatif dan kualitatif. Data kuantitatif mengambil kira markah murid untuk komponen kefahaman subjektif dan respons murid dalam borang kaji selidik sementara data kualitatif pula meliputi respons bertulis murid dalam borang kaji selidik yang sama serta hasil pemerhatian dan perbincangan guru sepanjang kajian ini dijalankan. Subjek Kajian Subjek kajian terdiri daripada 123 orang murid dalam Darjah 3, 4, dan 5 pada tahun 2015. Pemilihan subjek kajian ini tidak dijalankan secara rawak, sebaliknya melibatkan kesemua pelajar daripada setiap kohort peringkat Darjah 3, 4 dan 5.

179 Seminar Bahasa Melayu 2016

Instrumen Kajian Instrumen kajian yang digunakan adalah seperti yang berikut: 1. 2. 3. 4.

Borang Kaji Selidik Aktiviti Praujian dan Pascaujian Pakej Pengajaran Kefahaman Subjektif Catatan Refleksi dan Perbincangan Guru semasa sesi PLC (Professional Learning Community)

Prosedur Kajian Kajian telah dijalankan selama tiga minggu. Murid-murid yang terlibat dalam kajian telah diajarkan kefahaman Bahasa Melayu oleh guru-guru dalam kumpulan penyelidik. Mereka telah mengajarkan kefahaman dengan menggunakan Pakej Pengajaran yang disiapkan bersama oleh semua guru yang terlibat dalam kajian ini. Pengajaran dijalankan selama satu jam setiap sesi untuk tempoh selama kira-kira enam minggu. Untuk praujian, data yang digunakan melibatkan markah untuk komponen kefahaman kertas ujian CA1 sementara pascaujian pula merupakan markah untuk komponen kefahaman peperiksaan SA2. Instrumen utama untuk kajian ini ialah Pakej Pengajaran Kefahaman Subjektif yang terdiri daripada 2 set pengajaran bagi setiap peringkat yang terlibat. Setiap set pengajaran dilengkapi dengan beberapa hal seperti berikut: 1. Aktiviti pembinaan kosa kata; 2. Teks naratif dan soalan-soalan kefahaman mengikut format kertas peperiksaan; dan 3. Rutin berfikir “What Makes You Say That” – suatu strategi yang memerlukan murid mencari bukti kepada jawapan yang mereka berikan. Lembaran-lembaran kerja dalam pakej pengajaran menggunakan teks jenis naratif. Kebolehpercayaan instrumen untuk kajian ini walau bagaimanapun, tidak dapat disahkan memandangkan tiada ujian-ujian khusus yang telah dijalankan ke atasnya. Namun, beberapa faktor pemboleh ubah seperti jenis 180 Menjana Inovasi Memarak Inspirasi

dan jumlah perkataan dalam teks serta bentuk-bentuk soalan yang digunakan telah disetarakan dengan sebaik mungkin. Dalam setiap set Pakej Pengajaran untuk setiap peringkat, guru-guru menggunakan strategi-strategi utama seperti Penceritaan Semula (Retelling), K-W-L dan Peta Cerita (Story Map). Strategi-strategi tersebut digunakan dengan tujuan untuk membina kemahiran murid memahami teks yang dibaca. Beberapa lagi strategi lain seperti Directed Reading-Thinking Activity dan Question-Answer Relationships yang terdapat dalam rangka pendekatan Pengajaran Kefahaman Pelbagai Strategi dan Berperingkat tidak digunakan kerana keterbatasan waktu untuk membina sumber sepanjang kajian ini dijalankan. Satu tinjauan untuk mengkaji pandangan subjek terhadap kaedah pengajaran yang digunakan dalam kajian ini telah diadakan pada akhir kajian menerusi borang kaji selidik. Respons bertulis murid dijadikan data kualitatif bagi kajian ini. Guru-guru juga telah membuat catatan pemerhatian mereka dan hasil perbincangan sepanjang tempoh kajian ini dijalankan telah direkodkan sebagai data kualitatif.

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN Data yang digunakan dalam kajian ini mengambil kira respons murid-murid terhadap soalan-soalan dalam Borang Kaji Selidik, markah pra dan pascaujian bagi komponen kefahaman subjektif dalam peperiksaan CA1 dan SA2, serta dapatan daripada Catatan Refleksi dan Perbincangan Guru semasa sesi PLC (Professional Learning Community) Dapatan daripada Borang Kaji Selidik menunjukkan bahawa secara keseluruhan, murid-murid dapat memahami teks dengan lebih baik serta boleh menceritakan semula isi teks yang dibaca. Mereka juga tahu menggunakan Peta Cerita untuk membantu memahami isi teks. Sebahagian besar daripada mereka juga berfikir bahawa Peta Cerita telah dapat membantu mereka memahami teks kefahaman dengan lebih baik. Jadual 1 di bawah menunjukkan peratusan respons murid berdasarkan soalan-soalan dalam Borang Kaji Selidik. Sebahagian besar murid akur bahawa strategi Penceritaan Semula 181 Seminar Bahasa Melayu 2016

dengan penggunaan Peta Cerita telah berkesan untuk membantu mereka memahami isi teks. Mereka juga boleh melengkapkan Peta Cerita. Jadual 1: Peratusan Respons Murid Berdasarkan Soalan dalam Borang Kaji Selidik

Catatan respons murid terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu menerangkan sebab-sebab mereka boleh menceritakan semula isi teks kefahaman yang dibaca dan mengapa mereka suka menggunakan Peta Cerita. Setelah dianalisis catatan-catatan murid itu, perkara-perkara yang ditimbulkan telah dikumpulkan dan disusun mengikut kekerapannya. Penyelidik mendapati terdapat 3 tema utama yang timbul bagi setiap bahagian itu. Berikut adalah tema-tema tersebut: Jadual 2: Contoh Tema-tema dalam Kajian

Namun, apabila ditinjau markah murid untuk komponen kefahaman bagi peperiksaan SA2 yang diambil daripada Item Analysis, tidak terdapat peningkatan yang nyata daripada segi skor mereka. Perbandingan min markah untuk komponen kefahaman subjektif mengikut peringkat atau kohort, tidak menunjukkan peningkatan yang ketara. 182 Menjana Inovasi Memarak Inspirasi

Jadual 3. Pencapaian Murid dalam Kajian

Walau bagaimanapun, dapatan daripada Catatan Refleksi dan Perbincangan Guru semasa sesi PLC (Professional Learning Community) menunjukkan bahawa, walaupun skor peperiksaan subjek tidak menunjukkan peningkatan yang ketara, secara umumnya, mereka telah dapat memahami isi teks dengan lebih baik. Kesemua guru yang mengajar Darjah 3, 4 dan 5 melaporkan bahawa hampir semua murid telah dapat menunjukkan pemahaman terhadap isi teks dengan menceritakan semula cerita yang terdapat dalam teks kefahaman yang diberikan. Murid juga dapat menerangkan semula isi teks mengikut urutannya. Oleh sebab itu, kemungkinan besar mereka telah dapat menjawab dua soalan pertama dalam komponen kefahaman peperiksaan dengan baik. Namun, murid masih belum dapat menjawab soalan-soalan kefahaman lain yang memerlukan pemikiran aras tinggi dengan baik. Daripada pemerhatian guru, murid mungkin menghadapi kesukaran memahami soalan dan juga kehendak soalan yang memerlukan pemikiran aras tinggi. Ekoran perbincangan dan refleksi yang lebih mendalam, penyelidik mendapati bahawa hal ini timbul mungkin kerana pakej pengajaran yang dihasilkan terhad dan hanya tertumpu kepada penggunaan dua strategi pertama yang terdapat dalam rangka pendekatan Pengajaran Kefahaman Pelbagai Strategi dan Berperingkat yang dilakarkan pada awalnya. Kemungkinan keterbatasan masa dan sumber serta keperluan murid yang mendesak telah menyebabkan pakej yang dihasilkan lebih tertumpu hanya kepada dua strategi itu. Tambahan pula, pendekatan Pengajaran Kefahaman Pelbagai Strategi dan Berperingkat itu sendiri pun memang agak tinggi jangkaannya. Ini kerana, ia dibina dengan tujuan untuk dapat membuat perubahan pada cara guru mengajar dan bahan pengajaran yang digunakan dalam masa yang terdekat. Namun, realitinya ialah setiap perubahan yang dilakukan memerlukan masa untuk menghasilkan kejayaan.

183 Seminar Bahasa Melayu 2016

KESIMPULAN Secara keseluruhannya, kajian ini bermula dengan satu harapan atau jangkaan yang sangat tinggi. Penyelidik sendiri memaklumi hal ini kerana tujuan asal kajian sebenarnya tertumpu kepada menangani masalah kelakonan murid di sekolah ini yang sudah boleh dikatakan berada di tahap genting. Pada masa yang sama, pendekatan Pengajaran Kefahaman Pelbagai Strategi dan Berperingkat bukanlah suatu struktur yang mudah kerana terdapat beberapa lapis strategi yang dicadangkan. Walaupun penyelidik maklum bahawa strategi-strategi yang disarankan harus digunakan secara gabung jalin untuk mendapat hasil yang lebih menyeluruh, namun, oleh sebab keterbatasan masa dan sumber, kajian yang dijalankan hanya sempat membina pakej yang mengambil kira hanya dua daripada beberapa strategi yang disarankan. Lebih banyak yang boleh penyelidik dan guru-guru lakukan untuk membina bahan yang lebih menyokong pembelajaran murid pada masa akan datang. Walaupun begitu, penggunaan strategi Penceritaan Semula yang disokong dengan penggunaan Peta Cerita kelihatannya telah dapat membantu murid memahami teks kefahaman. Penggunaan strategi yang guru lakukan secara sedar (consciously) dan eksplisit membolehkan murid memahami terdapatnya elemen-elemen asas dalam sesebuah teks naratif yang dapat digunakan untuk mereka memahami urutan sesebuah cerita. Sekurangkurangnya bahagian asas dalam menjawab soalan-soalan kefahaman telah juga dapat ditangani dan kemahiran di peringkat asas murid dapat dibina. Namun, kemahiran murid menjawab soalan-soalan kefahaman masih lemah kerana mereka tidak dapat menjawab soalan-soalan kefahaman yang memerlukan pemikiran aras tinggi seperti mengaplikasi, menganalisis atau menilai isi teks yang dibaca. Lanjutan dari itu, adalah perlu untuk kajian diteruskan dengan menumpukan kepada pengajaran yang tertumpu kepada meningkatkan prestasi murid menjawab soalan-soalan kefahaman yang memerlukan pemikiran aras tinggi pula.

184 Menjana Inovasi Memarak Inspirasi

Nota: Guru-guru yang turut terlibat dalam kajian: 1. Noraisah Ahmad 2. Norhafizah Samsudin 3. Siti Norazirah Ma’arof 4. Siti Nurulhuda Md Yunus

RUJUKAN Othman, Yahya (2005). Trend Dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Bentong, Pahang Darul Makmur: PTS Professional Pub, Print. Shari Butler, Kelsi Urrutia, Anneta Buenger & Marla Hunt. (2010). A Review of the Current Research on Comprehension Instruction [Review of book Online]. http://www.readingrockets.org/article/what-research-tells-us-about-readingcomprehension-and-comprehension-instruction http://www2.ed.gov/programs/readingfirst/support/compfinal.pdf

185 Seminar Bahasa Melayu 2016