Modeniti & hubungannya dengan idea kemajuan

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8 96 KONSEP MODENITI Konsep modeniti mendokong prinsip-prinsip rasionalisme, sekularisme, liberalisme dalam menjadikannya s...

0 downloads 46 Views 271KB Size
Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

95

Modeniti & hubungannya dengan idea kemajuan NASRUDDIN YUNOS1 & SITI NOR BAYA MAT YACOB2

ABSTRACT Rooted from the Greece and Roman scholastic discourses, the idea of progress became a dominant worldview, especially after the Renaissance. Darwin's theory of evolution is the symbol of maturity of the idea of progress. On the positive side, the evolution theory not only influenced on the scientific development but the humanities as well. After the Renaissance, the idea of progress becomes more relevant as the idea of modernity took place. Later on, the root for the idea of progress became the main idea for modernity. Modernity, with its own characteristic, is the material basis for modernization and modernism is the ideological framework of modernization.

PENGENALAN Pemikiran Barat sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Yusuf Al-Qardhawi (1999), bermaksud pemikiran teori yang menguasai dunia moden Barat di Eropah dan Amerika pada hari ini. Ia merujuk kepada pemikiran falsafah yang menentukan pandangan manusia Barat terhadap agama dan kehidupan, tentang alam semesta dan manusia, ilmu pengetahuan dan nilai. Kegemilangan peradaban Barat kontemporari secara jelas merujuk kepada satu konsep penting iaitu konsep moden yang berjaya mendapat tempat dan diterima sebagai keseluruhan cara hidup masa kini. Asasnya dikatakan bermula pada abad ke 15 lagi tetapi ideanya hanya benar-benar berkembang seiring dengan perkembangan ilmu pada abad ke 18. Pada abad ke 19 pula, imej modeniti menjadi sinonim dengan ekonomi perindustrian, masyarakat yang besar diikuti dengan perubahan budaya. Berasaskan dimensi sejarah, perkembangan idea modeniti mempunyai susur galur yang panjang. Idea kemajuan yang berakar umbi pada zaman Yunani dan berkembang pada zaman Rom terus mekar menyelusuri era moden. Seterusnya membina imej baru yang disebut sebagai modeniti. Justeru, modeniti amat berkait rapat dengan kemajuan, terutamanya dari sudut penekanan ke atas elemen ‘terus maju kehadapan’. Mengenali modeniti dari pelbagai aspeknya, secara tidak langsung membolehkan idea kemajuan difahami dengan lebih baik.

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

96

KONSEP MODENITI Konsep modeniti mendokong prinsip-prinsip rasionalisme, sekularisme, liberalisme dalam menjadikannya sebagai suatu konsep yang bersifat universal. Oleh yang demikian ia tidak mengiktiraf sifat-sifat yang bersangkutan dengan dogmatisme yang dikatakan tidak universal. Pengaruh besar modeniti dalam bidang keilmuan jelas tersebar melalui sains moden. Pendekatan sains moden dianggap serasi bagi memenuhi tuntutan konsep kemajuan moden kerana berjaya meningkatkan kehendak nafsu fizikal manusia pada tahap yang optimum. Hal ini telah mencatatkan sejarah dalam ketamadunan manusia di mana sains dan teknologi dianggap sebagai ilmu alat penting untuk mencapai kemajuan. Baharuddin Yatim & Wan Mohammed Wan Muda (1997) pernah memetik pernyataan seorang ahli antropologi Barat iaitu Darcy Riberio mengenai hubung kait antara sejarah sains dan ketamadunan. Salah satu pernyataan Riberio adalah terdapatnya pelbagai proses pentamadunan yang berlaku dalam masyarakat manusia. Antaranya adalah penyebaran teknologi, revolusi urbanisasi, revolusi teknologi dan revolusi industri. Ternyata peringkatperingkat tersebut telah dicapai oleh modeniti menerusi sains moden dan ciricirinya yang sekular itu. Berteraskan ciri-ciri dan keperluan tersebut, modeniti semenjak daripada era kemunculannya hingga kini terus mendominasi ruang dalam pembangunan tamadun dunia Barat.

DEFINISI MODENITI Memberikan definisi terhadap istilah ‘modeniti’ bukanlah semudah menyebutnya. Suatu realiti yang perlu difahami mengenai modeniti adalah, ia merupakan perkataan yang terbit daripada fenomena sejarah. Atau dengan kata lain, modeniti merupakan sebahagian daripada pengalaman kehidupan dalam lipatan sejarah Barat. Dalam kebanyakan wacana ilmiah, pelbagai bentuk pendefinisian terhadap modeniti telah dilakukan dan pengertian tersebut dibuat berdasarkan perspektif serta fokus perbincangan mengenainya. Antara wacana ilmiah yang sering menjadi rujukan dalam memahami konsep dan definisi modeniti adalah menerusi penulisan-penulisan buku dan artikel yang berkaitannya. Perbincangan oleh Krishan Kumar (1995) menerusi bukunya yang bertajuk From Post Industrial to Post Modern Society tidak hanya menggalurkan perkembangan sejarah masyarakat moden Eropah secara umum. Sebaliknya maklumat asas mengenai modeniti begitu diberi penekanan, sebagai contoh pengertian modeniti diteliti bermula pada peringkat pengusulan etimologi

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

97

lagi. Berdasar penulisan beliau, definisi modeniti dapat diperolehi dengan jelas. Selain itu, penulisan Tourine (1995) juga turut memberi maklumat berharga mengenai modeniti dan pengertiannya. Walaupun perbincangan beliau lebih berpusat kepada kritikan falsafah, namun ia telah membawa pengertian mendalam dalam memahami falsafah modeniti itu sendiri. Persoalan modeniti terus mendapat perhatian dan diwacanakan oleh para sarjana, termasuklah para sarjana muslim seperti Shamsul Amri (1995) dan Abdul Wahab M-Elmessiri (1997).

DEFINISI MODENITI DARI SUDUT BAHASA Modeniti bukan sekadar suatu perkataan biasa. Suatu signifikasi penting mengenai modeniti adalah perkaitannya dengan projek pembinaan tamadun. Secara etimologinya, konsep modeniti berasal daripada perkataan Latin. Bermula dengan akar kata modo yang bersamaan maksudnya dengan recently, just now dan mula digunakan pada abad ke 15 lagi (Krishan 1995). Seterusnya kata ciptaan itu turut dikaitkan dengan perkataan hodiernus (daripada perkataan hodie yang bermaksud today). Terdapat juga terminologiterminologi lain terbit dan berkembang daripada akar kata tersebut. Antaranya adalah terminologi modernitas yang merujuk kepada modern times dan modeni yang bermaksud men of today (Krishan 1995). Berpandukan rujukan yang dilakukan oleh Ghazali Darussalam (1998), pengertian moden boleh dinyatakan sebagai sesuatu yang bersifat kini atau yang baru-berhubung dengan waktu yang berlalu atau waktu kini. Dalam konteks ini, sesuatu yang baru selalunya dikaitkan dengan perubahan, di mana perubahan tertakluk kepada apa yang selama ini ada dan kemudian ia mungkin diganti dengan yang lain, atau boleh difahami juga sebagai suatu tindakan pengubahsuaian. Tiada pengertian yang kompleks dalam menjelaskan modeniti secara literal jika dirujuk kepada kamus-kamus bahasa kini. Dalam Longman Dictionary of Contemporary English (1995), perkataan modeniti didefinisikan dengan pengertian yang agak umum iaitu sebagai the quality of being modern: a conflict between tradition and modernity. Dalam pengusulan etimologi juga, selain daripada perkataan modenitas dan modeni, masih terdapat perkataan lain yang agak sinonim dalam perbincangan mengenai modeniti iaitu merujuk kepada perkataan modenisme dan modenisasi. Walaupun dalam beberapa keadaan ia sering diguna bertukar ganti dengan perkataan modeniti tetapi kedua-dua perkataan tersebut tetap mendokong makna yang tersendiri dalam melengkapkan pengertian moden kepada kita.

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

98

Sebagai contoh, terjemahan modernisme dalam Reese (1980) adalah merujuk kepada sesiapa yang mengambil norma-norma pemikiran moden dan mengamalkannya dalam kehidupan sebagai seorang modenis dan percaya kepada modenisme di samping mengaitkannya dengan pemikiran agama. Edward (1967) pula mengaitkan modernisme sebagai pergerakan dalam agama Katholik terutama dalam membuat kritikan terhadap Bible yang dibangunkan pada abad ke 19. Artikel yang bertajuk ‘Pengalaman Modenisasi dan Sekularisasi di Asia’ oleh Shamsul Amri (1995) secara tidak langsung menjelaskan perbezaan makna antara modeniti, modenisasi, dan modenisme. Baginya, modenisme dan modeniti merupakan dua komponen utama yang menjadi teras kepada proses modenisasi. Modeniti dikatakan sebagai asas material kepada modenisasi dan modenisme pula merupakan gagasan ideologikal yang mengiringi fenomena modenisasi. Modenisasi pula walaupun tidak diterjemahkan secara khusus, tetapi disebut sebagai proses sosial yang membawa perubahan politik, ekonomi dan ideologi. Bagaimanapun, istilah modenisasi pernah dijelaskan secara panjang lebar oleh Mohammad Mumtaz Ali (1997) menerusi artikelnya yang berjudul The Concept of Modernization: An Analysis of Contemporary Islamic Thought, iaitu sebagai proses perubahan dalam struktur sosial dan sistem sosial melalui peningkatan pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi; sebagai pergerakan perubahan daripada masyarakat tradisional yang berpegang kepada agama, sihir dan tahyul kepada masyarakat moden dan pasca moden yang bebas daripada perkiraan agama dan norma tradisi ; sebagai proses perubahan dalam ikatan perhubungan antara individu dan masyarakat; sebagai proses pergerakan, perbezaan, perindustrian, dan sekularisasi; sebagai proses ke arah peningkatan ekonomi, kestabilan demokrasi dan ekonomi kapitalis.

DEFINISI MODENITI DARI SUDUT FALSAFAH Pemikiran falsafah Alain Touraine membawa pengenalan yang sangat mendalam terhadap konsep modeniti berdasarkan pernyataan ini; Modernity destroys the sacred world, which was at once natural and divine, transparent to reason and created. It did not replace it with the world of reason and secularization or relegate final ends to a world that human beings could no longer attain; it introduced a divorce between the subject which came down from heaven to earth

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

99

and was humanized, and a world of objects manipulated by techniques. It replace the unity of a world created by the divine will, Reason or History, with duality of rationalization and subjectivation. (Touraine, A. 1995) Dalam pernyataan yang lebih ringkas, beliau merumuskan modeniti sebagai; menjadikan sains lebih daripada tuhan, dan pemusatan kuasa adalah bertumpu kepada manusia dengan menurunkan kepercayaan agama dalam kehidupan mereka (Touraine 1995). Selain itu, modeniti juga turut dikaitkan dengan rasionalisasi yang dilihat sebagai suatu prinsip tunggal di sebalik organisasi personal dan kehidupan kolektif yang juga disertai dengan tema sekularisasi. Dalam konteks falsafah juga, Abdul Wahab M.Elmessiri (1997) menerusi artikel bertajuk A Study In The Relationship Between Modernity, Immanence, And Deconstruction telah cuba memberi gambaran yang jelas tentang modeniti berdasarkan pertautan antara konsep-konsep tersebut. Dalam perbincangan tersebut beliau telah menggunakan beberapa terminologi bagi menzahirkan makna sebenar modeniti. Terminologi pertama yang disebutkannya adalah God atau Tuhan. Istilah ini kemudiannya dikaitkan dengan konsep hubungan antara pencipta dan yang dicipta. Berdasarkan perspektif agama, Abdul Wahab M.Elmessiri (1997) menerangkan bahawa God atau Tuhan selepas mencipta dunia iaitu alam dan manusia merupakan ex nihilo, tidak tinggal di dunia ciptaannya atau tidak memusnahkannya begitu sahaja, sebaliknya terus menjadi pemerhati (maintains a distance). Dalam konteks perhubungan ini, ia telah menerbitkan suatu paradigma atau batas yang menjadi pemisah antara pencipta dan yang dicipta. Konsep pemisahan ini adalah sebagaimana yang difahami menerusi prinsip-prinsip metafizik dan antaranya adalah melihat kedudukan pencipta itu sebagai berada di atas dan yang dicipta itu dibawah. Konteks perhubungan antara alam atas dan alam bawah ini juga menjadi sebahagian daripada fahaman pemikiran silam Barat. Bagaimanapun dalam perspektif moden Barat, hubungan ini telah dimusnahkan menerusi semangat kemanusiaannya. Perbincangan mengenai semangat kemanusiaan pula seringkali tidak terlepas daripada mengaitkannya dengan sekularisme. Abdul Wahab M-Elmessiri (1997) seterusnya menjelaskan bahawa dalam fahaman sekularisme, operasi modeniti adalah didasarkan kepada istilah nature-matter. Secara tersiratnya istilah tersebut boleh dianggap sebagai mewakili suatu piawai yang terkandung dalam modeniti iaitu nilai yang diukur berdasarkan fizikalnya (sesuatu yang nampak).

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 0

Menerusi penerangan yang lebih lanjut, istilah nature-matter dalam penjelasannya telah dikaitkan dengan perkataan immanence iaitu suatu istilah daripada kata kerja Latin immanere yang membawa maksud to dwell atau tinggal. Immanent pula membawa maksud ‘beroperasi dengan’. Immanence dengan ini dikaitkan dengan apa sahaja (nature-matter, the world), dalam fahaman sekular adalah sebagai self-contained, self operating, self activating, self explanatory, terhadap kehidupan. Namun menurut Abdul Wahab M-Elmessiri (1997) lagi, perkataan immanence membawa maksud yang bertentangan dengan transcendence yang berasal daripada perkataan Latin trancendere (trans bermaksud across dan beyond atau to climb). Metafizik immanence telah menafikan kewujudan tuhan tetapi dalam kebanyakan keadaan ia mengakui kewujudannya sendiri. Secara umumnya dalam konteks perbincangan ini, beliau menggunakan perkataan immanence bagi memberi kekuatan terhadap penerangannya mengenai gejala materialistik, semangat humanisme, dan sekularisme yang mendasari asas-asa pemikiran moden. Dengan itu, perbincangan mengenai modeniti tidak mempunyai apaapa pengertian tanpa makna immanentistic. Immanence atau kehadiran dalam konteks modeniti bermaksud sesuatu yang hadir dalam bentuk fizikal atau material. Justeru, apabila kita bercakap tentang kehidupan iaitu merujuk kepada manusia dan alam ia akan secara langsung membawa peraturan alam dengan maksud manusia didefinisikan dengan istilah pengeluaran (Adam Smith dan Karl Marx) dan penghasilan (Sigmund Freud). Secara keseluruhannya, suatu kesimpulan yang jelas daripada aspek kefalsafahannya, konsep modeniti dapat dijelaskan dengan melihat konsep ketibaan atau kehadiran sesuatu dalam kehidupan. Kehadiran tersebut diterangkan menerusi pengusulan etimologi immanence dalam konsep modeniti yang sangat berkait dengan suatu unsur bersifat ‘nampak’ dan boleh dinilai secara fizikal. Penjelasan ini sangat bersesuaian dengan matlamat pengisian modeniti itu sendiri di mana penekanan pembangunan adalah berteraskan sesuatu yang boleh dinilai dengan mata kasar. Berdasarkan kepada konsep ini, modeniti menjadi jiwa dalam kehidupan moden sama ada secara sedar atau pun tidak. Modeniti juga menjadi dasar kepada pembinaan semangat manusia zaman moden, yang seterusnya menjalar ke dalam segenap ruang lingkup kehidupan. Delanty (2000) menyatakan bahawa kemunculan modeniti di England adalah berkait rapat dengan kebangkitan sains moden terutama berdasarkan hasil eksperimen Francis Bacon. Dikatakan bahawa pada waktu tersebut, modeniti dan moden telah membentuk suatu time consciousness terhadap masyarakat. Bagi pemikir Kristian zaman pertengahan awal, moden adalah merujuk kepada era kontemporari pada zaman awal gereja.

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 1

Salah satu daripada penggunaan awal terminologi moden adalah dengan kembali kepada abad ke 15 dengan merujuknya kepada penemuan budaya kuno atau lama, iaitu merujuk kepada pernyataan the modern were the new ancients Schabert (1986). Glassman (1991) telah mengaitkan dua proses dalam sejarah sebagai kunci untuk memahami modeniti. Menurutnya, dua proses tersebut adalah berkaitan dengan analisis Max Weber iaitu yang pertama adalah proses kejatuhan pandangan dunia terhadap agama dan kebangkitan pandangan rasional saintifik dengan disertai perubahan terhadap gaya hidup personal. Kedua adalah kejatuhan autoriti tradisional dan kebangkitan autoriti rasional dengan pentadbiran biroksi yang menghasilkan pembangunan yang sangat besar dalam birokrasi kerajaan, ekonomi dan sektor perkhidmatan.

CIRI-CIRI MODENITI Modeniti sebagai suatu idea pemikiran yang mendasari kehidupan masyarakat, terutamanya di Barat, mempunyai ciri dan sifat yang tersendiri. Antara ciri penting yang terkandung dalam modeniti adalah bersifat rasional, sekular, liberal serta mengutamakan kemajuan sains dan pembangunan ekonomi. Secara umumnya ciri-ciri tersebut merupakan asas kepada kekuatan modeniti terutama menerusi peranannya sebagai konsep penting dalam pembangunan moden.

BERSIFAT RASIONAL Rasionaliti merupakan antara ciri utama bagi mengenali modeniti. Ia merupakan cabang pemikiran yang berasaskan kepercayaan falsafah bahawa tidak ada autoriti yang lebih tinggi sebagai sumber ilmu pengetahuan, dan segala-galanya mampu diterangkan oleh akal fikiran dalam suatu sistem rasional tanpa pertolongan wahyu (Osman Bakar 1994). Dengan kata lain, pendekatan akliah ini menolak agama, mitos dan metafizik sebagai sumber ilmu pengetahuan dan menggantikannya dengan keupayaan intelek manusia sebagai pembentuk ilmu (Muhammad Kamlin 1986). Rasionaliti mula diterima sebagai kaedah pemikiran moden yang menyeluruh apabila berjaya menghasilkan pendekatan baru dan penilaian semula terhadap perkara-perkara sains dan sosiopolitik. Ia hadir pada saat masyarakat Barat sangat memerlukan suatu kaedah jelas dan tidak rigid ke arah matlamat perubahan. Sejak itu ia menjadi sinonim dalam proses pembangunan dan kemajuan tamadun Barat. Touraine (1995) menyifatkan idea modeniti sebagai sangat rapat hubungannya dengan rasionalisasi. Malahan menurutnya lagi, menerusi

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 2

rasionalisasilah berkembangnya idea masyarakat rasional di mana akal bertindak sebagai pengawal utama. Ia tidak terbatas kepada aktiviti saintifik dan teknikal sahaja tetapi juga kepada kerajaan manusia, sebagaimana kerajaan alam benda. Beliau juga merumuskan bahawa dalam semua hal, rasionalisasi dilihat sebagai prinsip jiwa yang wujud di sebalik organisasi personal dan dalam kehidupan kolektif, seterusnya disertai juga dengan tema sekularisasi atau boleh diterjemahkan sebagai the ultimate end. Tokoh-tokoh zaman pencerahan merupakan penyumbang kepada pemikiran rasional ini dan ia dibarisi oleh intelektual seperti Descartes, Spinoza dan Leibniz (Abdul Rahman 2000). Kaedah rasional menjadi kaedah yang paling sesuai untuk tujuan pembangunan saintifik dalam matlamat modenisasi di Barat. Malahan rasionalisasi tidak boleh tidak telah menjadi komponen kepada modeniti sama ada secara sengaja atau sebaliknya sebagai mekanisme pembangunan dan kemajuan peradaban (Touraine 1995). Senario perhubungan dan pertautan ini menjadikan sifat rasional sebagai sebahagian daripada ciri penting modeniti.

BERSIFAT SEKULAR Selain daripada bersifat rasional, konsep modeniti di Barat juga dikatakan sangat sinonim dengan sifat sekular. Sifat ini secara khususnya merujuk kepada salah satu aliran dalam perkembangan falsafah ilmu di Barat bermula pada abad 15 lagi. Asas pembangunan sesebuah peradaban adalah sangat berkait dengan pencapaian intelektual dan keilmuan. Ilmu dari sudut pembahagian adalah terbahagi kepada dua iaitu ilmu wahyu (ilmu agama) dan ilmu sains (ilmu keduniaan). Secara umumnya ilmu tidak menjadi sekular melainkan setelah kehilangan sifat keagamaan, kekudusan, dan kesepaduan yang dianugerahkan kepadanya oleh wahyu. Bagaimanapun menerusi kegiatan keilmuan yang berlangsung pada Zaman Renaisans dan Zaman Pencerahan sifat-sifat kekudusan ini telah dilenyapkan secara beransur-ansur. Dengan kata lain, telah berlaku penolakan terhadap ilmu agama sebagai sumber untuk membina persepsi dalam kehidupan. Osman Bakar (1994) dalam perbincangannya mengenai tamadun ilmu pernah menyatakan bahawa dalam sejarah Tamadun Barat, punca sebenar kehilangan sifat ini bermula di tangan orang-orang Barat sendiri iaitu semenjak kelahiran semula Renaisans di Eropah. Tokoh-tokoh seperti Nicholas Copernicus, Tycho Brahe dan Galileo Galilei, merupakan antara yang giat memperkenalkan sumber ilmu baru terhadap kehidupan. Galileo umpamanya pernah menyatakan bahawa: Rupa bentuk dunia kita adalah bergantung kepada bagaimana kita melihatnya, ia bergantung kepada kecenderungan kita.

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 3

Kita mungkin berada dalam kecenderungan saintifik, yang bercorak seni, emosi mahupun sosial. Hasil daripada semua cara kita melihat dunia kita, sebenarnya merupakan agama kita. ( Singer, C. 1993) Pengaruh langsung ajaran Copernicus pula, walaupun sangat bertentangan dengan pandangan umum masyarakat pada zamannya serta bercanggah dengan pandangan agama namun secara keseluruhan sudah ramai generasi pada waktu tersebut menerimanya serta sangat sedikit yang menentang. Prinsip politik yang berteraskan ‘matlamat menghalalkan cara’ oleh Machiavelli juga cuba memberi panduan kepada masyarakat zaman kesedaran agar tidak terlalu memikirkan persoalan dosa dan pahala atau membelakangkan ajaran agama dalam usaha untuk mencapai matlamat kehidupan. Bagaimanapun, terdapat ciri-ciri perbezaan antara intelektual dan kegiatan ilmu Zaman Renaisans dan Zaman Pencerahan. Walaupun dikatakan benih-benih sekularisme mula bercambah pada Zaman Renaissans tetapi sikap golongan intelektual pada waktu itu tidaklah seagresif sifat golongan intelektual pada Zaman Pencerahan. Mereka tidak menolak terus agama sebaliknya hanya menolak dogma-dogma yang terlalu ekstrim dan bercanggah dengan teori ilmu yang dikeluarkan oleh mereka sahaja. Ianya adalah berbeza dengan intelektual zaman Pencerahan yang secara terangterangan menolak agama, antaranya adalah Voltaire. Beliau dikatakan bersikap skeptis terhadap agama dan membuat serangan terhadap gereja bagi menggongcang sikap ortodok Kristian pada zamannya (Dampier 1993). Berteraskan ilmu atau persepsi rasional sekular inilah modeniti beroperasi dalam peradaban Barat. Apabila diaplikasikan sebagai ilmu alat, ia juga telah memperlihatkan keserasian yang baik sehingga menghasilkan mekanisme sains dan teknologi. Seterusnya, meningkatkan perkembangan modeniti sehingga memungkinkan segala kehendak material dan fizikal dapat dicapai dalam peradaban moden.

BERSIFAT LIBERAL Aliran pemikiran moden dalam sejarah modeniti tidak hanya menghidupkan sifat rasional dan sekular tetapi juga telah menerbitkan arus pemikiran liberal. Pemikiran liberal merupakan suatu bentuk pemikiran yang bertujuan untuk meningkatkan kebebasan terhadap individu (Sulaiman 2000). Pemikiran liberal dalam modeniti adalah sangat berkait rapat dengan peranan golongan humanis zaman Renaisans.

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 4

Perkataan ‘liberal’ berasal daripada perkataan Latin libertas atau freedom. Liberalisme pula jika didefinisikan melalui konsep asas adalah bermaksud individu, kontrak dan negara Skirbekk & Gilje (2001). Liberalisme merupakan konsep kebebasan dalam falsafah politik moden yang diperkenalkan buat pertama kalinya oleh Thomas Hobbes menerusi teori politiknya yang berhubung dengan kontrak sosial. Bagaimanapun menurut Russell (1993), liberalisme awal bermula di England dan Belanda dengan ciri-ciri tersendiri. Liberalisme ini dikatakan sebagai lambang toleransi agama iaitu merujuk kepada mazhab protestan yang merupakan suatu aliran dalam reformasi agama Kristian. Dikatakan bahawa aliran tersebut pada waktu ini adalah sangat optimistik, bertenaga dan berfalsafah. Aliran liberal ini sangat menghargai perdagangan dan industri serta lebih menghargai golongan pertengahan berbanding raja dan aristokrasi. Ini secara tidak langsung menjelaskan peranan Martin Luther dalam mencetuskan pemikiran liberal yang telah membentuk sikap serta matlamat ke arah kamajuan materialistik dan perkembangan ekonomi dalam peradaban Barat moden. Aliran liberal terus berkesinambungan di tangan golongan sarjana zaman moden yang mendokong pemikiran moden merupakan kumpulan yang bertanggungjawab mempromosi sifat-sifat liberal yang mengutamakan kebebasan individu dan kebebasan moral dalam menentukan tujuan hidup serta bebas daripada nilai agama. Pembebasan daripada ikatan agama dan tradisi merupakan antara perkara yang diutamakan oleh para pemikir moden dalam kegiatan ilmiah. Arus pemikiran liberal telah menjadi sebahagian daripada ciri modeniti apabila ia diterima pakai sebagai antara kaedah berfikir bagi masyarakat moden Eropah. Kaedah berfikir secara liberal dalam modeniti telah melahirkan manusia yang bersifat individualistik, berfikiran bebas, sekular serta rasional. Ia merupakan sifat-sifat watak yang baik dalam merealisasikan konsep modeniti di Barat. Dalam perkembangan lain, pemikiran liberal dalam modeniti telah mempromosi sistem demokrasi yang pada peringkat awal sebagai jalan keluar daripada cengkaman Gereja. dalam bidang politik dan pemerintahan. Hari ini, konsep demokrasi liberal menjadi sebahagian daripada konsep penting dalam bidang politik dan pemerintahan.

MENGUTAMAKAN KEMAJUAN SAINS Falsafah pemikiran moden tidak sekadar berteori tentang kebenaran ilmu tetapi secara tidak langsung ia juga telah memperkenalkan ilmu yang bersifat rasional dan praktikal. Seawal kemunculannya lagi, modeniti sering dikaitkan dengan

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 5

sejarah perkembangan sains. Malahan sumbangan dan amalan sains yang tidak terhingga di samping kekuatan rasional sangat mempengaruhi perkembangan modeniti. Berhubung dengan hal tersebut, Touraine (1995) menjelaskan; The classical conception of modernity, which dominated Europe and then the whole of the westernized world before retreating in the face of critiques and transformations of sosial practices, has as its central theme the identifications of social actors with what they can produce thanks to either to the triumph of scientific and technical reason or society’s rational responses to the needs and desires of individuals. Kepercayaan dan keyakinan terhadap ilmu sains di Barat adalah jelas malahan sikap optimis terhadap sains dan teknologi tidak pernah tergugat sehinggalah pada awal abad ke 20. Pembangunan dan aplikasi sains dan teknologi juga adalah seiring dengan perkembangan politik dunia. Tempoh masa antara 1944-1965, kerajaan Amerika Syarikat sahaja telah membelanjakan sejumlah US$2,800 juta hingga US$12,600 juta setiap tahun untuk perkembangan sains (Shaharir 1985). Tahap-tahap perkembangan sejarah Barat membuktikan bahawa modeniti sangat mementingkan pembangunan saintifik. Selepas tamadun Barat memasuki zaman moden, telah berlaku kepesatan terhadap kajian-kajian sains. Malahan kegiatannya berlangsung dengan baik sekali hasil penerimaan semua pihak. Kepentingan terhadap ilmu sains dalam zaman moden boleh dilihat menerusi perkembangan dan peranannya sebagai ilmu alat pada zaman moden. Dampier (1993) mengatakan bahawa pada abad ke 17 dan 18 pengaruh kebangsaan yang menggantikan kesejagatan gereja adalah ilmu sains. Pada abad ke 18 Paris telah menjadi pusat saintifik dunia. Perancis pula terkenal dengan institusi kajian sains seperti Acedemia des sciences. Tidak ketinggalan juga dengan universiti-universiti di Jerman. England pula terkenal dengan Oxford dan Cambridge yang menjadi sumber perkembangan ilmu-ilmu fizik, matematik, biologi dan sebagainya. Falsafah pemikiran sains merupakan roh kepada modeniti. Dalam perkembangan selanjutnya modeniti menjadi konsep yang tidak boleh dipisahkan daripada sains. Konsep modeniti yang mengutamakan sifat kemajuan fizikal sangat memerlukan suatu mekanisme yang efisyen bagi merealisasikan matlamatnya. Falsafah sains pada satu tahap telah berjaya memainkan peranan sebagai ilmu alat, dengan gabungan unsur rasional dan sekular yang diterjemahkan pula ke dalam sifat zahir teknologi dan kejuruteraan. Revolusi Sains dalam episod perkembangan sejarah Barat merupakan natijah daripada kemajuan bidang sains. Pada zaman itu, masyarakat Barat buat

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 6

pertama kalinya menikmati hasil kekayaan ekonomi melalui perkembangan ekonomi mekantalis yang sekaligus meletakkan mereka pada suatu zaman baru yang dikatakan sebagai zaman moden. Berasaskan daripada pencapaian ini, masyarakat Barat moden mula mempercayai bahawa sains merupakan jalan untuk membawa mereka ke peringkat yang lebih maju. Konsep kemajuan yang dibawa oleh modeniti tidak hanya memberi keutamaan terhadap kemajuan bidang sains tulen tetapi juga sains kemanusiaan. Setelah masyarakat menjadi maju serta mula menerima natijah dan kesan daripada kemajuan sezaman, maka dari satu perspektif mereka sudah pun melalui perubahan. Perubahan ke zaman baru memerlukan suatu sistem atau keselarasan agar penyesuaian terhadap keadaan tersebut cepat berlaku. Berdasarkan keperluan ini, para pemikir sosial hadir membawa penyelesaian. Antara yang terkenal seperti Auguste Comte, Emile Durkheim, Max Weber dan ramai lagi. Berasaskan pemikiran rasional dan sekular, mereka mengemukakan teori-teori sosial baru ke dalam kehidupan masyarakat moden. Comte memperkenalkan teori positivisme dalam bidang sosiologi yang mempercayai bahawa memahami kehidupan adalah lebih berkesan melalui penyiasatan atau penyelidikan saintifik.

MENGUTAMAKAN PEMBANGUNAN EKONOMI Sememangnya seawal kemunculan zaman moden lagi kepercayaan terhadap kemajuan ekonomi dalam mencapai perubahan hidup menjadi antara unsur yang diperjuangkan. Kegilaan golongan borjoies menentang kedudukan raja sebagai pemerintah mutlak adalah berpusat kepada agenda kepentingan ekonomi. Demikian setelah jatuhnya kedudukan raja sebagai pemerintah mutlak, golongan ini terus berperanan dalam menghidupkan aktiviti ekonomi sehingga termakbulnya matlamat awal modeniti. Dalam perkiraan Tofler (1980), natijah daripada kemajuan pembangunan ekonomi terhadap tamadun moden diistilahkan kepada beberapa peringkat, peringkat pertama digelar Gelombang Pertama (The First Wave) yang mengungkap tahap-tahap kemajuan manusia dalam ekonomi menerusi amalan pertanian, Gelombang Kedua (The Second Wave) pula adalah mengenai kehebatan ekonomi perindustrian dan Gelombang Ketiga (The Third Wave) adalah zaman kemajuan ekonomi dan kehidupan pesat yang dialami kini. Menyingkap sejarah pembangunan ekonomi berteraskan idea modeniti, secara umumnya terdapat tiga prinsip ekonomi yang pernah dibangunkan iaitu pinsip kapitalisme, sosialisme dan komunisme. Namun dalam pertarungan ideologi, prinsip kapitalisme adalah prinsip yang dominan dalam perjuangan

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 7

modeniti, manakala sosialisme dan komunisme pada satu tahap lebih kepada prinsip yang mendokong ideologi politik. Pada dasarnya, ketiga-tiga prinsip ini mempunyai tujuan yang sama iaitu mempopularkan semangat materialisme dalam kehidupan moden. Sebagaimana juga kepentingan kedudukan sains dalam konsep modeniti dan terhadap kepercayaan masyarakat moden, begitu juga dengan kedudukan ekonomi. Dalam peradaban Barat moden, perkembangan sektor perindustrian merupakan menefestasi daripada perlaksanaan idea modeniti itu sendiri. Dalam hubungannya dengan prinsip ekonomi kapitalis pula, pencapaian sektor perindustrian merupakan manifestasi kepada kejayaan matlamatnya. Hari ini kejayaan ekonomi kapitalis tidak hanya terhad kepada memperkembangkan perindustrian tetapi mempromosi semangat utilitarianisme di kalangan masyarakat dunia seluruhnya dan dalam masa yang sama mengukuhkan lagi konsep modeniti sebagai matlamat hidup moden. Ia juga tidak lebih daripada merealisasikan falsafah hedonisme yang diasaskan oleh Jeremy Bentham dan John Stuart Mill.

MODENITI & HUBUNGANNYA DENGAN IDEA KEMAJUAN Modeniti begitu menekankan konsep perubahan bersesuaian dengan sifatnya yang mendak finalism iaitu tiada penghujung atau penamat. Ia sentiasa progress kerana tiada ultimate ends, dengan itu ia sesuai dipadukan dengan konsep kemajuan. Justeru, kedua-dua idea ini percaya bahawa ianya adalah suatu hakikat yang berlaku terus-menerus bermula daripada suatu ketika dan seterusnya berkembang menuju peringkat yang lebih baik dan seterusnya ke peringkat yang lebih baik lagi. Bagi sesetengah pihak, konsep ini digunakan sebagai ukuran dalam menilai pergerakan dan perkembangan kehidupan. Ada juga yang menerimanya sebagai satu kepercayaan, satu dogma atau satu ideologi yang seharusnya dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan mereka (Muhammad 1994). Modeniti dan idea kemajuan mempunyai hubungan yang amat erat. Sains dan teknologi merupakan mekanisme modeniti. Kepercayaan terhadap sains dan teknologi adalah berdasarkan kepercayaan bahawa manusia yang maju dalam sains dan teknologi akan menjadi cekap dan efisyen. Jika diambil kira, peranan teknologi sahaja sudah cukup besar dalam mempengaruhi kehidupan moden. Frankel (1955) menilai teknologi sebagai asas atau elemen dinamik yang mempengaruhi kehidupan moden. Baginya, teknologi membawa kesan menyeluruh terhadap semua perkara termasuk bentuk, saiz, pandangan, mobiliti terhadap populasi dan sebagainya.

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 8

Idea kemajuan ini mempunyai sejarah yang panjang, iaitu berakar daripada zaman Greek dan Rom lagi, kemudiannya menjadi pandangan hidup yang menyeluruh bermula daripada zaman Renaisans. Ketika itu beberapa ahli fikir di Eropah seperti Turgot dan Condorcet telah mengemukakan falsafah hidup yang menjadi inti kepada fahaman berhubung dengan kemajuan (Muhammad 1994). Kedua-dua tokoh ini pernah membayangkan gagasan mengenai teori pergerakan dan kemajuan berdasarkan proses sejarah. Turgot percaya dengan idea kemajuan dalam pergerakan sejarah, manakala Condorcet juga pernah menyuarakan idea yang sama melalui karyanya yang berjudul Sketch for a Historical Picture of the Progress of the Human Mind (Abdul Rahman 2000). Idea ini telah diperkemaskan lagi oleh J.G.Herder dan Hegel sehingga mencapai kematangan di tangan Auguste Comte. Teori kemajuan ini seterusnya disebarkan pula oleh tokoh-tokoh yang mempopularkan fahaman kebendaan seperti Charles Darwin dan Karl Marx terutama sekitar abad ke 19. Teori evolusi yang dibawa oleh Darwin bukan setakat menggambarkan kemajuan manusia sebagai hasil perjuangan daripada satu spesis untuk hidup dan menyesuaikan diri dengan alam sekitar dalam tempoh yang sangat lama. Lebih jauh dari itu, ianya mengusulkan teori baru mengenai kehidupan yang mengandungi falsafah materialis. Teori Darwin mengetengahkan idea bahawa perjuangan hidup merupakan sebab utama berlaku penyesuaian yang berjaya dan memerlukan penekanan kepada sifat tamak, mementingkan diri, ganas, bersaingan dan berkonflik (Thompson 1982). Ianya seperti sama tingkah laku yang diamalkan oleh masyarakat moden hari ini. Tokoh sosiologi yang berasal daripada Jerman iaitu Karl Marx tidak ketinggalan menyumbang kepada bidang kemajuan. Analisisnya mengenai kapitalisme moden dan industrialisasi banyak mempengaruhi perkembangan sains sosial di Barat terutamanya sosiologi, antropologi, sains politik dan ekonomi. Selain itu, terdapat juga tokoh akedemik Barat yang turut membicarakan tentang idea ini. Antaranya ialah Bury, Ginsburg, Pollard dan Nisbet yang merupakan golongan sarjana pendokong fahaman moden abad ke 19. Idea kemajuan telah menghapuskan sifat kebergantungan kepada sumber primer dalam kegiatan ekonomi. Ekonomi pertanian cuba ditingkatkan operasinya, dipelbagai dan dikomersialkan. Jadi, pengeluaran tidak hanya secukup makan sahaja malah untuk tujuan perdagangan. Dalam sektor perindustrian, mesin-mesin dan peralatan yang canggih mula digunakan untuk melancarkan operasi. Sebagai kesannya, masyarakat Barat pada waktu itu mula mengamalkan kegiatan ekonomi berskala besar.

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

10 9

Gambaran kehebatan perkembangan ekonomi hasil daripada aplikasi idea kemajuan ini dijelaskan oleh kebanyakan penulis dan pengkaji sejarah dunia Barat dan tamadun dunia seperti yang digambarkan oleh Wan Abdul Rahman Latif (1996) menerusi buku yang ditulisnya iaitu Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Bernal (1971) menerusi Science in History, Thompson (1982) menerusi buku Eropah Sejak Napoleon, Inkeles (1999) menerusi artikel yang berjudul A Model of a Modern Man, dan ramai lagi. Berdasarkan huraian pengkaji-pengkaji tersebut sama ada secara umum mahu pun khusus telah memaparkan perkembangan pelbagai bidang kehidupan yang saling mempunyai perkaitan erat antara satu sama lain dalam mencorak sejarah awal kegemilangan tamadun Barat moden. Revolusi perindustrian umpamanya telah membawa kemajuan dalam bidang pengangkutan, penghijrahan penduduk ke kawasan maju, pertambahan penduduk, perluasan perdagangan antarabangsa, perubahan gaya hidup, kelahiran kelas baru dan sebagainya (Sivachandralingam 1996). Kemajuan sains dan teknologi serta pengurusan menyebabkan meningkatnya kemahiran dan keupayaan manusia dalam bidang ekonomi, khususnya dari segi teknikal (Wan Abdul Rahman 1996). Kelebihan ini telah berjaya mewujudkan keupayaan yang besar dalam bidang ekonomi ke arah proses pengumpulan modal dengan lebih banyak dan dalam bentuk yang lebih produktif. Perkembangan dan kemajuan atau progress ini tidak berkesudahan setakat itu sahaja, tetapi kehebatan perkembangannya jauh menjalar hingga hari ini. Malahan kemajuan perhubungan antarabangsa dalam pelbagai hala semakin hebat jaringannya. Pencapaian dan perubahan yang dicapai selama beberapa abad ini telah membawa masyarakat Barat kepada kemahuan baru yang tidak terhingga. Ia tidak hanya bersifat falsafah pemikiran sahaja, tetapi kepada suatu ketentuan yang realistik. Objektif yang sebeginilah yang cuba dicapai oleh tokoh-tokoh seperti Turgot, Condorcet, Comte, Mill, Spencer, malahan Marx sendiri.

KONSEP KEMAJUAN MODEN Konsep kemajuan moden merupakan antara ciri penting dalam modeniti. Konsep ini menekankan kepada pergerakan yang semakin ke hadapan semakin baik. Di Barat, teori-teori kemajuan yang disumbangkan oleh tokoh-tokoh seperti Jean Bodin, Francis Bacon, Montesquieu, Turgot, Condorcet, J. G. Herder, Herbert Spencer dan Auguste Comte membawa perbahasan sepanjang zaman tentang teori kemajuan. Idea mereka sangat bermakna dalam memberi panduan merealisasikan kemajuan moden hari ini (Abdul Rahman 2000).

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

11 0

Teori kemajuan dalam sejarah mencapai kematangannya di tangan Charles Darwin pada abad ke 19. Bukan sahaja dalam bidang falsafah, bahkan juga dalam bidang sains, prinsip perubahan mencapai kemuncaknya dengan kemunculan teori evolusi. Menerusi bukunya iaitu The Origin of Species dan The Descent of Man, secara mudah mengemukakan teori evolusi yang menyatakan bahawa semua jenis hayat yang ada di muka bumi adalah bermula dari satu keturunan yang sama, haiwan yang simple menjadi jenis yang kompleks secara beransur (Sulaiman 1997). Kemudian teori Darwin terus dipopularkan oleh pengikutnya yang mendakwa bahawa hanya yang kuat sahaja berhak untuk hidup. Seterusnya teori materialisme oleh Karl Marx yang membawa idea pendewaan terhadap kebendaan merujuk kepada ekonomi sebagai faktor asasi untuk mencipta perubahan (Abdul Rahman 2000). Marx telah menyusun teori sejarah kebendaan dengan menekankan peranan dan keupayaan manusia membentuk sejarah dan masa depannya sendiri, dan bukannya menerusi peranan tuhan sebagaimana fahaman abad pertengahan (Abdul Rahman 2000). Secara rumusan, Marx berpandangan bahawa tanda-tanda kemajuan adalah dengan adanya perubahan, dan perubahan yang dilakukan adalah demi perubahan itu sendiri change for change’ sake (Muhammad Abu Bakar 1994). Kedua-dua teori ini telah membuka jalan kepada konsep perubahan, kekayaan dan kemajuan dalam hidup. Setelah teori ini diaplikasikan ke dalam sains kemanusiaan ia telah menerbitkan fahaman bahawa manusia dan masyarakat akan berkembang dari keadaan yang kurang memuaskan kepada kedudukan yang lebih memuaskan dan akan mencapai kemajuan yang lebih besar pada masa hadapan. Secara positifnya, teori ini bukan sahaja ini telah mempengaruhi perkembangan sains biologi, tetapi juga bidang sains sosial dan kemanusiaan keseluruhannya. Selain itu, dalam dunia yang dipengaruhi oleh doktrin evolusionisme, semuanya bergerak dan terus bergerak dan setiap gerakan itu semestinya membawa kemajuan (Abdul Rahman 2000). Teori yang dibawa oleh Marx ini secara tidak langsung telah mencetus kepada kemunculan aliran materialisme dan pengukuhan rasionalisme. Hasilnya masyarakat abad 19 dan 20 mula bertungkus-lumus mengejar kekayaan bagi memperolehi kesamarataan dalam aspek ekonomi dan sosial. Fenomena ini tanpa disedari telah mewujudkan gejala eksploitasi, alienisasi dalam budaya kerja masyarakat sehingga konsep kemajuan moden diterima sebagai keseluruhan gaya hidup hingga kini. Lebih dari itu, pada abad ini telah muncul golongan baru dalam organisasi kerja, iaitu terdiri daripada golongan wanita. Namun begitu, baik daripada segi fizikal, material, mahupun spiritual teori ini telah membawa cabaran besar dalam sejarah pemikiran Barat. Segala

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

11 1

bentuk kemajuan dan kemusnahan dalam peradaban Barat kini banyak dikaitkan dengan teori ini. Dalam hubungan ini, alam sekitar telah dimanipulasi untuk tujuan pembangunan dan kemajuan, kekuasaan dan kekayaan. Sememangnya dari awal lagi alam telah dihilangkan roh dan kekudusannya, dan yang tinggal adalah alam yang bersifat fizikal sahaja. Fahaman dan aliran pemikiran sekular seperti materialisme dan kapitalisme tidak langsung mempertimbangkan keharmonian alam sekitar dalam aktiviti kemajuan mereka.

KESIMPULAN Secara umumnya segala permasalahan yang berlaku dalam peradaban Barat kesan daripada modeniti adalah bermula daripada peringkat dasar lagi. Penolakan peranan agama dalam kehidupan merupakan cabaran paling besar dalam pembinaan tamadun Barat moden. Dunia rasionaliti yang bertitik tolak daripada pemusatan kuasa manusia secara tidak langsung mencipta sempadan kehidupan yang sangat luas dalam dunia moden. Kehidupan yang luas tanpa sebarang batasan membawa kecenderungan kepada kesesatan. Realiti ini sebenarnya sudah lama disedari tetapi oleh kerana terlalu asyik dengan nikmat kehidupan ciptaan mereka, masyarakat Barat terus bergelumang dengan dunia hedonisme moden. Bagi mereka yang berjuang untuk mengembalikan ciri-ciri kekudusan dalam peradaban pula terus berusaha memikirkan pelbagai teori yang sesuai untuk diaplikasikan dalam kehidupan yang kian hancur itu.

RUJUKAN Abd Rahman Hj Abdullah. 2000. Wacana falsafah sejarah perspektif Barat dan Timur. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Abdul Wahab M. Elmessiri. 1997. A study in the relationship between modernity, immanence, and deconstruction dalam The American journal of Islamic social sciences. Vol 14. Washington: An Association of Muslim Social Scientist and Internationational IslamicThought. Baharuddin Yatim & Wan Mohammed Wan Muda. 1997. Sejarah dan Falsafah Sains: Kerelevenan dalam Pendidikan Sains dan Perspektif Kerja, dalam Siri wacana sejarah dan falsafah sains, Jilid 6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

11 2

Bernal, J.D. 1971. The natural science in our times. Science in history. Vol. 3. Cambridge: The M.I.T.Press. Dampier, W.C. 1993. Falsafah dan agama dan hubungannya dengan sejarah ilmu sains. Terj. Rusli Abd Ghani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Delanty, G. 2000. Modernity and postmodernity, knowledge, power and the self . London: Sage Publications. Edwards, P. 1967. Encyclopedia of philosophy. Vol 5. London: The MacMillan Company & The Free Press New York Collier. Frankel, C. 1955. The case for modern man. Boston : Beacon Press. Ghazali Darussalam. 1998. Dakwah Islam dan ideologi Barat. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Glassman, R.M. 1991. Max Weber, The Modern World and Modern Sociology, dalam The renaissance of sociological theory, classical and contemporary. Ilianois: F.E.Peacock Publishers Inc. Itasca. Inkeles, A.1999. A model of the modern man. Modernity, Critical Concepts. Vol 11. Edited by Malcolm Waters. London: Routledge. Krishan Kumar. 1995. From post industrial to post modern society, New Theories of The Contemporary World. USA: Blackwell Publishers. Mohammad Mumtaz Ali 1997. The concept of modernization: An analysis of contemporary Islamic thought. The American Journal of Islamic Social Sciences. Vol 14. Washington: An Association of Muslim Social Scientist and International Islamic Thought. Muhammad Abu Bakar. 1994. Potret masa, persaingan ideologi dan pemulihan tradisi. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House Sdn.Bhd. Muhammad Kamlin. 1986. Pengantar pemikiran politik Barat. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Osman Bakar. 1994. Wujudkan tamadun ilmu berlandaskan tauhid, dalam Falsafah Sains daripada Perspektif Islam, selanggaraan Baharuddin Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Reese, W. L. 1980. Dictionary of Religion Eastern & Western Thought. New Jersey: New Jersey Humanities Press. Russel, B. 1993. Sejarah Falsafah Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka. Schabert, T. 1986. Modernity and history. New York : de Gruyter. Shaharir Mohammad Zain. 1985. Pengenalan tamadun Islam dalam sains dan teknologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Shaharom TM Sulaiman. 2001. Realiti dan ilusi kehidupan maya dalam era siber. Mahzum Book Services.

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

11 3

Shamsul Amri Baharuddin. 1995. Pengalaman modenisasi dan sekularisasi di Asia, dalam Pemikir, Bil. 1, edisi Julai-September. Kuala Lumpur : Utusan Malaysia. Singer, C. 1993. Sejarah ringkas idea saintifik sehingga 1900. Terj. Khidmat Terjemahan Nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka. Sivachandralingam Sundara Raja. 1996. Tamadun Eropah. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Skirbekk, G. & Gilje, N. 2001. A history of Western thought from Ancient Greece to the Twentieth Century. London: Roudledge. Sulaiman Nordin. 2000. Islam, al-Quran dan ideologi masa kini. Bangi: Pusat Pengajian Umum. Thompson, D. 1982. Eropah sejak Napoleon. Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Tofler, A. 1980. The third wave. London: William Collins Sons & Co.Ltd. Touraine, A. 1995. Critique of modernity. Translated by Daved Macey. Oxford: Blackwell. Wan Abd Rahman Latif et al . 1996. Sejarah perkembangan tamadun dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Yusuf Al-Qardhawi. 1999. Tamadun Islam, alternatif masa depan. Terj Juanda Haji Jaya. Kuala Lumpur: Maktabah Al-Qardhawi.

1

Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia 2

Pusat Pengajian Umum Universiti Sains Islam Malaysia

Jurnal Pengajian Umum Bil. 8

11 4