Pengetahuan Seksualiti Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

yang berisiko kepada gejala lain termasuk kehamilan tanpa nikah seterusnya yang menyebabkan berlakunya pembuangan bayi. Tanpa pengetahuan seks yang be...

0 downloads 5 Views 538KB Size


Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 16 (Jun) 2013: 15–31

15

Pengetahuan Seksualiti Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

                 

 (Knowledge on Sexuality among School Children) ABDUL RAZAK ABD MANAF, AZLIN HILMA HILLALUDDIN, ZAKIYAH JAMALUDDIN, NOOR AZIZAH AHMAD, FATIN HAKIMAH MOHD ARSHAD, ZARINA MAT SAAD, RAJWANI MD ZAIN & WAN AB RAHMAN KHUDZRI WAN ABDULLAH Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia Email: [email protected] Abstrak Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap pengetahuan, sumber dan pengalaman pelajar tentang seksualiti; dan menguji sama ada terdapat terdapat perbezaan dari segi tahap pengetahuan, sumber dan pengalaman pelajar tentang seksualiti berdasarkan faktor-faktor demografi yang terpilih. Ia dilaksanakan di sebuah sekolah di utara Semenanjung yang melibatkan seramai 414 orang pelajar dengan menggunakan kaedah tinjauan keratan rentas. Hasil kajian mendapati tahap pengetahuan pelajar adalah berada pada tahap sederhana. Tiada perbezaan signifikan di antara skor pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan. Didapati juga sumber rujukan tentang pengetahuan seksualiti adalah majoritinya dari kawan-kawan, televisyen/ wayang dan internet. Tinjauan mendapati pengalaman yang paling kerap dilaporkan adalah menonton filem atau video lucah, keluar temujanji, dan membaca bahan lucah. Maklumat yang diperolehi dapat mengenal pasti keperluan dan permasalahan pelajar dalam menangani isu-isu seksualiti dan sosial. Sekaligus ia dapat memberi input kepada keluarga dan kepada pihakpihak yang berkepentingan untuk menambahbaik polisi berkaitan keluarga dan pelaksanaan program-program pendidikan seksualiti serta programprogram pencegahan masalah sosial dalam kalangan pelajar dan remaja. Kata kunci: seksualiti, pengetahuan, pelajar sekolah, remaja, Malaysia. Abstract The purpose of this study is to explore students’ knowledge, resources and experiences of sexuality; and to examine whether there were differences of the students’ knowledge, resources and experiences of sexuality based on the

16 17

Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 16

demographic factors. This study was conducted in a school in the northern region of Malaysia, involving 414 students, using a cross-sectional survey technique. The results indicate that the students’ level of knowledge is at a moderate level. There was no significant difference of knowledge level between male and female students. Among the sources that the students refer to for sexuality information were majorly friends, television/movies and the internet. The most frequently reported sexual experiences were watching pornographic movies or videos, dating and reading pornographic materials. The findings of this study have identified the issues and the needs of Malaysian youngsters regarding sexuality, as well as inputs regarding the role of the family and to the related agencies to improve policies regarding the family and the implementation of educational programs on sexuality and preventive programs for social problems among students and adolescents. Keywords: sexuality,  knowledge, school children, adolescent, Malaysia Pengenalan Pendidikan seksualiti manusia adalah amat penting dan merupakan satu topik yang kompleks (Hatta Sidi, Mohamed Hatta Shaharom & Ramli Hassan, 1999). Namun begitu, pengetahuan dan penyelidikan mengenai seksualiti dalam kalangan pelajar di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah. Masih banyak kajian diperlukan bagi menangani pelbagai persoalan yang berkaitan. Apabila anak-anak meningkat remaja dan menuju ke arah kedewasaan, mereka semakin dipengaruhi oleh rakan sebaya dan pengaruh keluarga menjadi semakin berkurangan (Whitehead, 2009). Tambahan pula, perbincangan mengenai isu seksualiti dalam kalangan ahli keluarga masyarakat Malaysia masih dianggap taboo (ataupun larangan) dan memalukan untuk dibincangkan. Oleh itu, terdapat kebarangkalian remaja dan mereka yang berusia awal dewasa tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai seksualiti akibat kurangnya bimbingan keluarga mengenai mengenai isu ini. Peningkatan kes-kes berkaitan seksual juga menimbulkan persoalan mengenai pengetahuan golongan muda mengenai seksualiti memandangkan golongan inilah yang sering terlibat sama ada sebagai mangsa ataupun pelaku. Ulasan Karya Pengetahuan tentang seksualiti Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh United Nations Population Fund (UNFPA) (Ghazi Farooq, 2000), kehamilan dalam kalangan remaja berlaku disebabkan kurang pengetahuan berkaitan anatomi dan fisiologi sistem

Pengetahuan Seksualiti Pelajar Sekolah

17

pembiakan, kaedah pencegahan kehamilan dan penyakit kelamin. Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan kehamilan berlaku iaitu penglibatan dengan bahan terlarang terutama dadah dan alkohol; kecuaian individu terutama tidak mengawal tingkah laku seksual; kurang disiplin dan kawalan diri; mengabaikan pendidikan moral; gangguan seksual; pengaruh media massa serta persepsi bahawa kehamilan boleh memaksa lelaki untuk bertanggungjawab. Kajian yang dilakukan oleh Azlin Hilma Hillaluddin, Yusmarhaini Yusof dan Chan Cheong Chong (2004) terhadap kanak-kanak sekolah rendah Tahun 4 – 6 (10 – 12 tahun) tentang pengetahuan mereka mengenai penderaan seksual menunjukkan tahap pengetahuan yang rendah dan hanya setara dengan kanak-kanak Gred 1 (6 -7 tahun) di Kanada dalam kajian serupa yang dijalankan oleh Tutty (1997). Ini mungkin disebabkan isu ini dianggap taboo dan kurangnya pendedahan terhadap isu keselamatan dan pengetahuan seksual dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah tersebut. Pengetahuan berkaitan sistem pembiakan oleh pelajar amat penting bagi membolehkan mereka mengawal perlakuan atau tingkah laku seksual yang berisiko kepada gejala lain termasuk kehamilan tanpa nikah seterusnya yang menyebabkan berlakunya pembuangan bayi. Tanpa pengetahuan seks yang betul dan tingkah laku seksual yang tidak dilindungi, seseorang akan terdorong atau cenderung untuk terlibat dalam penyebaran jangkitan HIV, peningkatan keguguran, kehamilan yang tidak diingini atau perkahwinan terlalu awal serta yang tidak diingini. Walau bagaimanapun, kesan tersebut boleh dicegah dengan mengamalkan seks selamat. Pendidikan seks adalah penting dalam menyediakan maklumat yang tepat terutama kepada golongan pelajar. Ini membolehkan mereka untuk membangunkan sikap yang sihat dan pemahaman mengenai seks, untuk membuat keputusan yang bijak sebelum melakukan hubungan seks, dan mempunyai kesedaran tentang kesan yang akan dihadapi akibat melakukan seks yang tidak selamat. Manakala berdasarkan perbezaan jantina pula, kajian-kajian terdahulu yang dijalankan di luar negara yang rata-ratanya mendapati pelajar perempuan lebih berpengetahuan daripada pelajar lelaki (Ghazi Farooq, 2000; Amazigo, Silva, Kaufman & Obikeze, 1997). Namun begitu, hasil kajian Siti Nor, Wong Fui-Ping, Rozumah, Mariani, Rumaya & Mansor (2010) pula mendapati tiada perbezaan pengetahuan berdasarkan jantina. Sumber pengetahuan seksual Rujukan atau sumber maklumat yang diperolehi oleh individu merupakan faktor penting yang boleh mempengaruhi tingkah laku seksual mereka. Ini kerana setiap sumber yang diperolehi belum pasti kesahihannya. Satu kajian

18 19

Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 16

yang telah dijalankan terhadap para pelajar sekolah tinggi di Iran mendapati terdapat tujuh sumber yang sering digunakan oleh golongan pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan seksualiti. Sumber-sumber tersebut ialah rakan sebaya, buku, majalah dan gambar, audiovisual (CD, filem dan sebagainya), sekolah, pusat kaunseling, keluarga (ibu bapa atau adik beradik) dan ahli keluarga yang rapat (Ayyoub Malek, Hamid Abbasi, Ali Naghi, Mahdi Bina & Ali Reza, 2010; Amazigo, Silva, Kaufman, & Obikeze, 1997). Berbeza dengan satu kajian yang telah dijalankan di Turki oleh Duyan & Duyan (2009) mendapati dua kumpulan utama yang dijadikan sumber bagi mendapatkan maklumat berkaitan HIV/AIDS dan penyakit-penyakit kelamin yang lain adalah kakitangan perubatan (termasuk doktor dan jururawat) serta rakan sebaya. Hasil kajian tersebut menunjukkan golongan remaja dan pelajar tetap merujuk pihak yang tepat bagi mendapatkan maklumat berkaitan. Para remaja mengatakan bahawa gambaran yang jelas dan lengkap berkenaan isu tersebut tidak diberikan (misalnya, risiko pada perilaku, masalah kesihatan akibat daripada kehamilan, pengguguran dan penularan jangkitan seksual, akibat daripada perilaku seksual yang tidak bertanggungjawab, pencegahan dan pengurusan masalah kesihatan reproduktif remaja). Tambahan pula, bagi mereka maklumat mengenai keperluan khas remaja dalam bentuk yang menarik adalah kurang. Banyak kes yang menyampaikan mesej-mesej secara negatif dan menanamkan rasa takut semata-mata (Ghazi Farooq, 2000). Selain itu, seiring dengan perkembangan dan teknologi semasa, para remaja mendapatkan pengetahuan seksual melalui media massa seperti poster, pamplet, komik, surat khabar, radio dan televisyen (Ghazi Farooq, 2000). Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa remaja lebih gemar merujuk rakan sebaya dan internet sebagai sumber rujukan seksual, berbanding ibu bapa (Siti Nor et al., 2010; Ayyoub et al., 2000; Eggleston, Jackson & Hardee, 1999). Kajian Jas Laile Suzana & Masnona (2006) terhadap 1,347 responden berumur di antara 13 hingga 18 tahun daripada 28 buah sekolah di Sarawak mmendapati remaja lelaki lebih cenderung melayari laman web lucah. Manakala kajian yang dilakukan oleh Institut Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia mendapati bahawa kebanyakan remaja Melayu bandar berusia di antara 13-19 tahun lebih kerap melawati laman web pornografi, berbanding kaum lain (The Star, 22 Julai 2010; The Star, 30 Julai 2010). Perbincangan mengenai isu seksual adalah merupakan perkara yang sukar atau kurang selesa dilakukan oleh ibu bapa di Asia dengan anak-anak mereka. Sebagai contoh, satu kajian mendapati kebanyakan ibu bapa di China takut untuk berbincang tentang pendidikan seks bersama anak-anak mereka, sedangkan pendidikan seks seharusnya bermula daripada ibu bapa sebelum anak-anak masuk ke alam dewasa (Chao, Lin, Ma, Ku, Tsai, & Shi, 2010).

Pengetahuan Seksualiti Pelajar Sekolah

19

Pengalaman berkaitan seksual Kemudahan untuk mengakses dan melayari internet serta sumber-sumber dalam bentuk maya turut memberi kesan kepada peningkatan masalah sosial termasuk tingkah laku seksual dalam kalangan golongan muda (McManus & Dhar, 2008). Selain itu, menurut Amazigo, Silva, Kaufman, & Obikeze (1997) masalah tersebut bukan hanya terjadi di kawasan-kawasan bandar sahaja tetapi turut melibatkan semua tempat termasuk di kawasan kampung dan pedalaman. Kajian mereka juga mendapati 40% daripada responden mereka pernah melakukan hubungan seksual sebelum kahwin tetapi hanya sebahagian kecil (17%) yang menggunakan kaedah kontraseptif. Perbezaan dalam aspek demografi turut dikaji iaitu golongan yang lebih berusia (17 hingga 19 tahun) dan wanita lebih kerap dan cenderung mempunyai pengalaman seksual yang lebih kerap dan aktif. Bagi mereka yang telah mempunyai pengalaman seksual, mereka telah mula terlibat dengan tingkah laku seksual itu seawal umur 14 tahun. Berdasarkan situasi tersebut pengkaji menyarankan agar pendidikan kesihatan reproduktif perlu diperkenalkan dan didedahkan kepada pelajar semua peringkat. Pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk memberikan pendedahan tersebut perlu sesuai, kreatif dan melibatkan pelbagai pihak bagi menarik minat para pelajar memperolehi pengetahuan tersebut. Kajian tersebut turut disokong oleh Anwar, Sulaiman, Ahmadi & Khan (2010). Hasil kajian mereka juga mendapati 12.6% (daripada 1139 orang responden) mempunyai pengalaman mengadakan hubungan seks, manakala 38.2% menyatakan mereka mempunyai lebih daripada tiga orang pasangan seksual. Majoriti responden (75.7%) telah melalui pengalaman pertama mengadakan hubungan seks ketika berusia antara 15 hingga 19 tahun. Berdasarkan perbezaan jantina, Silver & Bauman (2006) mendapati kumpulan remaja lelaki dan berusia lebih tinggi mempunyai pengalaman seksual yang lebih aktif dan agresif. Majoriti kumpulan berpengalaman adalah remaja berkulit hitam, berbangsa Latin atau berdarah campuran sementara kumpulan tidak berpengalaman pula lebih tinggi dalam kalangan remaja berkulit putih dan bangsa Asia. Dalam aspek pengalaman seksual remaja/ pelajar, struktur keluarga juga turut memainkan peranan iaitu mereka yang terlibat dengan salah laku seksual mempunyai keluarga yang tidak lengkap (perceraian ibu bapa) dan tinggal bersama ibu atau bapa sahaja. Manakala bagi pelajar yang tidak mempunyai pengalaman seksual dan tidak terdedah kepada aktiviti berisiko mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga di samping tinggal bersama ibu dan bapa masing-masing. Kajian Silver & Bauman (2006) ini disokong oleh kajian-kajian lain (O’Donnell, O’Donnel, & Stueve, 2001; Blinn-Pike, 1999; Eggleston, Jackson & Hardee, 1999). Dapatan kajian menunjukkan mereka yang mempunyai pengalaman seksual turut dikaitkan dengan aktiviti dan faktor berisiko lain. Pelajar yang terlibat dengan aktiviti seksual turut menunjukkan prestasi akademik yang lemah dan kian merosot. Mereka juga mula ketagih rokok, alkohol serta terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

20 21

Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 16

Pengalaman keluar temujanji (dating) yang awal juga memberi laluan kepada aktiviti seksual (Jas Laile Suzana, 2005; De Gaston et al., 1995; Zelnik et.al., 1981). Kajian Jas Laile (2005) mendapati bahawa 43% remaja mula keluar temujanji (dating) ketika usia 13 hingga 15 tahun dan 36% ketika berumur 16 hingga 17 tahun. Manakala 44% belajar tentang seks daripada kawan-kawan, 35% daripada vcd, 29% melalui teman lelaki atau wanita dan 27% daripada majalah lucah. Berasaskan kepada kajian-kajian lepas dan isu semasa yang sedang hangat diperkatakan dalam media massa di Malaysia, maka kajian yang meneroka pengetahuan seksualiti dalam kalangan pelajar-pelajar dirasakan penting. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap pengetahuan, sumber dan pengalaman pelajar sekolah tentang seksualiti; serta mengenal pasti sama ada terdapat perbezaan dari segi tahap pengetahuan, sumber dan pengalaman pelajar tentang seksualiti berdasarkan faktor-faktor demografi yang terpilih (jantina, umur dan faktor teman lelaki/wanita). Metod Kajian Kajian ini dilakukan ke atas pelajar-pelajar di salah sebuah sekolah menengah di Kedah. Populasi kajian terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan satu, dua dan empat di salah sebuah sekolah menengah di Kedah. Seramai 414 pelajar telah dijadikan sampel dalam kajian ini berdasarkan kaedah tinjauan keratan rentas (cross sectional survey). Borang soal selidik digunakan bagi mendapatkan data daripada sampel kajian. Borang soal selidik ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Bahagian A tentang pengetahuan berkaitan reproduktif, Bahagian B mengenai sumber pengetahuan seksual, Bahagian C merangkumi pengalaman berkaitan reproduktif manusia, Bahagian D berkaitan sikap terhadap seksualiti dan Bahagian E ialah mengenai demografi. Soalan-soalan adalah berdasarkan dan diubahsuai daripada kajian-kajian lepas (Ayyoub Malek, Hamid Abbasi, Ali Naghi, Mahdi Bina & Ali Reza, 2010; Azlin Hilma Hillaluddin, Yusmarhaini Yusof & Chan, 2004; Raudah Abu Hassan, 2003; Ghazi Farooq, 2000; Kirby, 1988, Amazigo, Silva, Kaufman, & Obikeze, 1997). Soalan-soalan dalam soal selidik ini mengandungi soalan pelbagai-pilihan berskala Likert dan juga soalan terbuka bagi memperolehi data yang dikehendaki. Bagi tujuan kertas kerja ini, hanya bahagian A, B dan C sahaja yang dilaporkan dan dibincangkan. Borang soal selidik telah diedarkan di dalam kelas setelah memperolehi kelulusan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dengan mematuhi syaratsyarat yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan. Di samping itu, kebenaran juga diperolehi daripada pihak sekolah berkenaan serta mendapat persetujuan daripada responden. Soalan di dalam borang soal selidik adalah di dalam Bahasa Malaysia bagi memudahkan responden menjawabnya secara bersendirian

Pengetahuan Seksualiti Pelajar Sekolah

21

dan bebas. Sebelum soal selidik diedarkan, kenyataan dan maklumat dibaca dan diterangkan kepada pelajar bagi menjelaskan tujuan soal selidik dan kajian yang dijalankan. Bagi mendapatkan respon yang sewajarnya, pelajar diyakinkan tentang aspek kerahsiaan dan diberi ruang untuk bertanya apa jua soalan berkaitan soal selidik yang diedarkan. Data dianalisis menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for the Social Sciences) versi 17. Ujian statistik deskriptif dan statistik inferensi dilakukan bagi menjawab objektif kajian ini. Statistik deskriptif ialah seperti bilangan dan peratusan serta min dan sisihan piawai. Ujian statistik inferensi seperti pengujian t dan ANOVA sehala digunakan bagi mengkaji perbezaan di antara kumpulan. Hasil Kajian Dan Perbincangan Demografi responden Seramai 414 orang pelajar sekolah menengah telah terlibat di dalam kajian ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 204 orang (49.3 %) adalah pelajar lelaki, manakala pelajar perempuan adalah seramai 209 orang (50.5%). Para responden terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu (n = 132, 31.9%), Tingkatan Dua (n = 133, 32.1%) dan Tingkatan Empat (n = 149, 36.0%). Majoriti responden merupakan pelajar berbangsa Melayu (n = 377, 91.1%) (Rujuk Jadual 1). Jadual 1 Demografi responden

Frekuensi

Peratus

204 209 1 414

49.3 50.5 0.2 100.0

Tingkatan Tingkatan Satu Tingkatan Dua Tingkatan Empat Jumlah

132 133 149 414

31.9 32.1 36.0 100.0

Bangsa Melayu Cina India Lain-lain Jumlah

377 25 7 5 414

91.1 6.0 1.7 1.2 100.0

Jantina Lelaki Perempuan Tidak dilaporkan Jumlah

22 23

Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 16

Pengetahuan berkaitan reproduktif manusia Soalan di Bahagian A merupakan soalan berkaitan pengetahuan responden mengenai reproduktif manusia. Soalan-soalan tersebut adalah berkaitan sistem pembiakan, kehamilan, alat pencegah kehamilan dan penyakit kelamin. Didapati purata tahap pengetahuan responden adalah di tahap sederhana rendah iaitu 0.41 (sp = 0.19, Julat = 0 hingga 0.88) (1.00 adalah skor tertinggi yang boleh diperolehi oleh responden). Analisis juga dilakukan untuk mengenal pasti soalan-soalan yang kerap dijawab dengan tidak tepat oleh para responden. Jadual 2 menunjukkan soalan-soalan tersebut. Secara umumnya, analisis kekerapan menunjukkan tahap pengetahuan pelajar-pelajar berada di tahap sederhana. Majoriti pelajar kurang pengetahuan berkaitan ovari, sperma, telur, pencegah kehamilan dan penyakit kelamin. Dapatan ini adalah selari dengan laporan oleh UNFPA (Ghazi Farooq, 2000) yang mendapati rata-rata remaja yang hamil adalah mereka yang cetek pengetahuan berkaitan seksualiti. Oleh itu, penyelidik merasakan keadaan ini boleh membawa risiko kepada gejala-gejala yang negatif seperti kehamilan luar nikah dan penderaan seksual. Kajian-kajian terdahulu yang dijalankan di luar negara yang rataratanya mendapati pelajar perempuan lebih berpengetahuan daripada pelajar lelaki (Ghazi Farooq, 2000; Amazigo, Silva, Kaufman & Obikeze, 1997). Namun begitu, hasil kajian ini mendapati tiada perbezaan signifikan di antara skor pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan, t (411) = -0.98, p > 0.05 walaupun purata skor pengetahuan pelajar perempuan (m = 0. 41, sp = 0.18) kelihatan sedikit tinggi berbanding pengetahuan pelajar lelaki (m = 0.40, sp = 0.20). Hasil dapatan kajian ini juga selaras dengan kajian Siti Nor, Wong Fui-Ping, Rozumah, Mariani, Rumaya & Mansor (2010) yang mendapati tiada perbezaan pengetahuan berdasarkan jantina. Oleh itu, alasan yang mungkin boleh diberikan adalah kerana pendedahan tentang maklumat seksualiti adalah terhad, tidak tepat dan tidak dibincangkan dengan terbuka secara meluas. Tambahan pula, dalam budaya masyarakat Malaysia, perbincangan mengenai seksualiti adalah sesuatu yang “taboo” atau tertutup.

Pengetahuan Seksualiti Pelajar Sekolah

23

Jadual 2 Soalan-soalan yang paling kerap dijawab tidak tepat Soalan

Frekuensi

Peratus

Ovari dihasilkan dalam uterus

337

81.4

Fungsi sperma akan terjejas pada suhu yang tinggi daripada suhu badan

334

80.7

Telur telah wujud sejak bayi perempuan dilahirkan

311

75.1

Kedua-dua ovari mesti berfungsi untuk membolehkan seseorang wanita mengandung

388

93.7

Alat pencegah kehamilan mengurangkan jangkitan penyakit kelamin

329

79.5

Pihak perempuan bertanggungjawab untuk menggunakan alat pencegahan kehamilan semasa hubungan seks

293

70.8

Pil pencegah kehamilan adalah paling popular digunakan oleh wanita untuk mencegah kehamilan

375

90.6

Penyakit kelamin boleh diubati

311

75.1

Penyakit kelamin boleh dicegah dengan membasuh alat kelamin

370

89.4

Seseorang yang telah sembuh daripada penyakit kelamin tidak akan dijangkiti oleh penyakit kelamin lain

317

76.6

Namun begitu, analisis ANOVA sehala yang dilakukan terhadap purata skor berdasarkan tingkatan mendapati terdapat perbezaan skor yang signifikan (F (2, 411) = 73.31, p < 0.01) di mana purata skor pelajar tingkatan empat (m = 0.54, sp = 0.14) didapati lebih tinggi berbanding purata skor pelajar tingkatan satu (M = 0.33, SP = 0.17) dan pelajar tingkatan dua (m = 0.34, sp = 0.18). Ini bermakna semakin meningkatnya umur seseorang pelajar itu, maka semakin

24 25

Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 16

tinggi tahap pengetahuan mereka. Dapatan ini adalah selari dengan kajian terdahulu yang menunjukkan bahawa keadaan ini berlaku disebabkan oleh sumber maklumat dan interaksi sosial yang meluas, dan pemahaman terhadap aspek seksualiti yang meningkat seiring dengan peningkatan umur (Siti Nor et al., 2010). Selain itu, para responden juga diminta untuk menjawab sama ada mereka mempunyai teman wanita/lelaki, tidak mempunyai teman wanita/ lelaki, atau sedang mengenali seseorang. Analisis ANOVA sehala bagi kategori ini juga menunjukkan perbezaan skor yang signifikan (F (2, 403) = 9.11, p < 0.01) di mana responden yang mengaku mempunyai teman lelaki/ wanita didapati memperolehi skor pengetahuan yang lebih tinggi (m = 0.46, sp = 0.20) berbanding responden yang tidak mempunyai teman lelaki/wanita (m = 0.38, sp = 0.18). Manakala purata skor responden yang sedang mengenali seseorang (m = 0.46, sp = 0.15) didapati lebih tinggi dan signifikan pada tahap p = 0.60 berbanding responden yang tidak mempunyai teman lelaki/wanita. Dapatan ini juga merupakan indikator yang penting di mana ia menunjukkan bahawa pelajar lebih berkecenderungan untuk mempunyai maklumat berkaitan seksualiti apabila mempunyai teman lelaki/wanita. Namun, ia dikhuatiri bahawa maklumat seksualiti yang diperolehi itu tidak cukup dan tepat untuk membantu mereka mengelak dari terjebak ke dalam aktiviti seksual yang tidak sepatutnya. Sumber rujukan pengetahuan seksual Tinjauan telah dijalankan terhadap sumber rujukan yang digunakan oleh responden untuk mendapatkan maklumat berkaitan isu seksual. Didapati ‘kawan-kawan’ merupakan majoriti sumber rujukan (n = 297) yang dilaporkan oleh para responden, diikuti oleh ‘televisyen/wayang’ (n = 234) dan ‘internet’ (n = 229) (Rujuk Jadual 3). Sementara itu, ahli keluarga merupakan di antara sumber yang paling jarang dirujuk oleh para responden. Dalam kalangan ahli keluarga ini, ibu merupakan orang paling kerap dirujuk (n = 59) manakala bapa merupakan ahli keluarga yang paling jarang dirujuk (n = 36) oleh para responden mengenai isu seksual. Dapatan kajian ini tidak berbeza dengan kajian-kajian yang pernah dilakukan iaitu pelajar lebih cenderung untuk merujuk kawankawan dan internet untuk mendapatkan maklumat seksual (Siti Nor et al., 2010; Jas Laile Suzana & Masnona, 2006; Ayyoub et al., 2000; Eggleston, Jackson & Hardee, 1999). Namun, maklumat-maklumat ini dikhuatiri tidak terkawal dan tidak tepat. Perbincangan dengan ahli keluarga mengenai seksualiti adalah perlu kerana ibu bapa dapat memahami dan sekaligus memantau pergaulan sosial anak-anak mereka. Ini secara tidak langsung membantu pelajar mengekalkan kehormatan diri dan tidak terlibat dengan aktiviti secara bebas dengan adanya penerapan nilai-nilai murni atau agama (Morris, Young & Jones, 2000; Meschke, Bartholomae & Zentall, 2000). Namun, apa yang diperolehi daripada kajian ini adalah membimbangkan kerana pelajar kurang

Pengetahuan Seksualiti Pelajar Sekolah

25

mendapat maklumat daripada ahli keluarga seperti, ibu, bapa, adik-beradik lelaki/perempuan atau saudara-mara. Antara alasannya mungkin disebabkan budaya masyarakat, adat, trend atau kegagalan ahli keluarga sendiri membantu pelajar mendapat maklumat sepatutnya. Jadual 3 Sumber rujukan pengetahuan seksual

Pengalaman berkaitan seksual Para responden turut diminta melaporkan pengalaman berkaitan seksual yang pernah dilakukan oleh mereka. Tinjauan mendapati pengalaman yang paling kerap dilaporkan oleh responden adalah menonton filem atau video lucah (n = 162). Ini selari dengan kajian-kajian lepas (Siti Nor et al., 2010; Jas Laile Suzana & Masnona, 2006; Ayyoub et al., 2000; Eggleston, Jackson & Hardee, 1999). Terdapat juga responden yang mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan pasangan yang sama jantina (n = 8) dan berlainan jantina (n = 5). Jadual 4 menunjukkan kekerapan pengalaman seksual yang dilaporkan oleh para responden. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa pelajar-pelajar berisiko untuk terlibat dengan aktiviti seksual jika tidak didedahkan dengan maklumat yang cukup dan tepat. Ini amat membimbangkan berdasarkan kajian-kajian lepas yang menunjukkan remaja terlibat dalam hubungan seks seawal usia 14 tahun (Amazigo, Silva, Kaufman, & Obikeze, 1997).

26 27

Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 16

Selain itu, penggunaan pencegahan kehamilan seperti penggunaan kondom dan pil perancang adalah sangat sedikit berbanding dengan jumlah pelajar yang pernah melakukan hubungan seksual. Namun, dari sudut yang lain, ia dilihat sebagai suatu kesedaran awal apabila ada responden yang pernah menggunakannya. Walau bagaimanapun, keadaan ini dilihat amat serius kerana ia berlaku dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Hasil kajian juga menunjukkan ada sebilangan pelajar yang melaporkan mereka pernah memaksa dan dipaksa melakukan seks. Dapatan ini memberi gambaran bahawa bagi yang dipaksa melakukan seks, pelajar-pelajar tersebut perlu mempunyai kemampuan asertif yang tinggi untuk menghalang daripada dipergunakan oleh individu lain. Bagi mereka yang kurang asertif, ia boleh membawa ke arah penderaan yang berterusan (Yuille, Marxsen & Cooper, 1999). Jadual 4 Pengalaman berkaitan seksual yang pernah dilakukan oleh responden

Implikasi Dasar dan Cadangan Seperti yang telah dibincangkan, kajian mendapati pelajar lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat berkaitan seks melalui rakan, televisyen dan

Pengetahuan Seksualiti Pelajar Sekolah

27

internet. Sumber-sumber rujukan ini secara tidak langsung boleh mendedahkan para pelajar kepada maklumat yang mungkin tidak tepat sehingga membawa kepada berlakunya pelbagai masalah sosial seperti seks bebas, hamil luar nikah dan peningkatan jumlah pembuangan bayi. Selaras dengan itu, untuk menjayakan matlamat Dasar Keluarga Negara iaitu membangunkan keluarga yang sejahtera, sihat dan resilien untuk memastikan kestabilan sosial, maka keluarga perlu digerakkan untuk menjadi satu sumber rujukan utama bagi remaja mendapatkan maklumat berkaitan seksualiti. Perubahan pemikiran dan peningkatan pengetahuan ibu bapa tentang aspek seksualiti anak-anak perlu diberi perhatian bagi menjadikan mereka lebih bersedia untuk berbincang dengan anak-anak yang semakin meningkat dewasa. Selaras dengan itu juga, paradigma masyarakat yang menganggap isu seksualiti sebagai ‘taboo’ perlu diubah sedikit demi sedikit melalui pelbagai aktiviti dan program bagi memastikan maklumat yang lengkap dan betul didedahkan kepada para pelajar. Pihak-pihak bertanggungjawab seperti Lembaga  Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara  (LPPKN), Jabatan Kesihatan dan sekolah boleh digerakkan untuk memastikan ibu bapa berupaya untuk berinteraksi dengan anak-anak dengan lebih selesa berkaitan isu seksual. Kecenderungan yang berlaku dalam keluarga untuk mendiamkan diri tentang isu seks perlu diperbaiki bagi membolehkan anak-anak tidak merasa takut atau malu mengemukakan soalan atau kebimbangan tentang aspek berkait seksualiti. Oleh itu, program-program yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak perlu menumpukan bukan sahaja kepada anak-anak tetapi juga perlukan penglibatan aktif daripada keluarga. Penggembelengan usaha pelbagai pihak ini juga boleh mengatasi masalah sesuatu pihak hanya menyerahkan tugas pendedahan isu seksualiti ini kepada pihak lain. Contohnya ibu bapa menyerahkan tugas tersebut kepada guru agama atau guru sekolah. Jurang komunikasi di antara ibu bapa dan anak-anak dalam hal ini perlu diperbaiki selaras dengan salah satu alasan rasional pembentukan Dasar Keluarga Negara iaitu untuk merapatkan jurang generasi. Konsep kesejahteraan keluarga yang cuba digarapkan melalui Dasar Keluarga Negara ini memerlukan semua pihak yang terlibat terutamanya ibu bapa memberi perhatian kepada isu seksualiti dalam kalangan remaja ini. Dapatan kajian menunjukkan terdapat kalangan pelajar yang juga telah melakukan hubungan seksual sama ada dengan persetujuan bersama atau dengan secara paksaan. Ada juga dalam kalangan mereka mengaku mempunyai kawan yang telah melakukan hubungan seks dan menonton video lucah. Kesejahteraan keluarga akan terjejas sekiranya diketahui anakanak pernah terlibat dalam aktiviti sedemikian dan akan menjadi lebih buruk sekiranya ada anak-anak yang hamil. Ini secara langsung boleh membawa kepada ibu bapa yang menghalau anak keluar dari rumah atau anak melarikan diri disebabkan ketakutan. Program-program kekeluargaan yang dianjurkan

28 29

Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 16

oleh LPPKN atau Jabatan Agama sewajarnya perlu mendedahkan kepada ibu bapa kaedah-kaedah bagi berhadapan dengan kes-kes sebegini dan berbanding dengan hanya mengambil cara mudah dengan menghalau anak keluar dari rumah. Sementara itu, dapatan kajian mendapati lebih 80 responden mempunyai rakan yang pernah melakukan hubungan seks rambang atau telah melakukan hubungan seksual. Ini merupakan satu situasi yang membimbangkan dan perlu mendapat perhatian yang sewajarnya dari semua pihak. Memandangkan zaman remaja merupakan satu peringkat kitaran hidup yang mementingkan penerimaan rakan sebaya, maka adalah penting bagi ibu bapa terutamanya, bagi memantau dan memastikan anak mereka untuk mempunyai akan taulan yang baik dan tidak mengamalkan budaya yang tidak sihat. Khidmat nasihat dan penerapan kemahiran asertif perlu diperkasa secara berterusan kepada anak-anak remaja agar mereka mampu mengelak dan menjauhi ajakan mahupun perbuatan yang tidak bermanfaat temasuk hubungan seksual oleh rakan sebaya. Berdasarkan situasi tersebut, pengkaji mencadangkan agar pemdidikan kesihatan reproduktif perlu diperkenalkan dan didedahkan kepada pelajar di semua peringkat. Pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk memberikan pendedahan tersebut perlulah sesuai, kreatif dan melibatkan pelbagai pihak bagi menarik minat para pelajra memperolehi pengetahuan tesebut. Memandangkan ramai daripada pelajar yang suka merujuk kepada kawan, maka kawan-kawan harus dilengkapkan dengan pengetahuan yang benar tentang seksualiti. Para pelajar boleh diberikan kursus dan latihan bagi membantu rakan-rakan melalui kaedah peer counselling bagi memastikan maklumat atau nasihat yang tepat diberikan dan tidak mendorong para pelajar daripada terus berkelakuan yang tidak sewajarnya. Kesibukan ibu bapa mencari nafkah hidup berkemungkinan menyebabkan ibu bapa kurang memberi perhatian kepada laman-laman web yang dilayari oleh anak-anak. Keadaan mungkin disulitkan lagi dengan peningkatan jumlah pusat-pusat video atau pusat komputer yang memberi ruang kepada pelajar-pelajar menyaksikan video lucah tanpa sekatan. Oleh itu, kawalan ke atas penggunaan internet dan video perlu dipertingkatkan bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa malahan pihak berkuasa bagi memastikan para pelajar tidak dengan mudah boleh memperolehi sumber-sumber tersebut. Kesimpulan Seksualiti dalam kalangan pelajar sekolah merupakan satu isu yang kompleks. Pengetahuan, sumber rujukan dan pengalaman pelajar tentang seksualiti dalam kajian ini sedikit sebanyak menggambarkan satu keperluan yang mendesak

Pengetahuan Seksualiti Pelajar Sekolah

29

untuk semua pihak menangani permasalahan yang berlaku. Ia perlu diberi penekanan segera agar tidak menjadi semakin parah sekaligus menjadi barah dalam masyarakat di negara ini. Pelbagai usaha dan tindakan yang sewajarnya perlu diperkemas dan diperkasa dalam menangani isu seksualiti ini bagi menjamin kesejahteraan keluarga dan keharmonian masyarakat dapat dipelihara. Kajian ini mempunyai beberapa kekangan dan dapatan kajian perlu diinterpretasikan dengan lebih berhati-hati. Pertamanya, kajian ini hanya memfokuskan kepada sebuah sekolah menengah di utara Semenanjung dan tidak wajar dibuat generalisasi secara menyeluruh ke seluruh negara. Ia hanya boleh digeneralisasikan di sekolah tesebut sahaja. Keduanya, kajian ini hanya menggunakan menggunakan soal selidik sebagai instumen kajian. Sehubungan dengan ini, maklumat yang lebih mendalam tentang pengetahuan, sumber, dan pengalaman pelajar tentang seksualiti tidak dapat diperoleh bagi memperhalusi dan meneliti isu ini secara lebih kompehensif. Adalah diharapkan kajian pada masa akan datang dapat dilakukan kepada lebih banyak sekolah dan melibatkan lebih ramai pelajar agar dapatan kajian dapat menceminkan senario semasa di seluruh negara. Adalah disaankan juga agar kajian-kajian yang akan datang dapat mempelbagaikan kaedah pengumpulan data seperti penggunaan kaedah kualitatif agar maklumat yang diterima lebih mendalam untuk difahami bagi manfaat kajian saintifik. Rujukan Amazigo, U., Silva, N., Kaufman, J. & Obikeze, D.N. 1997. Sexual activity and contraceptive knowledge and use among in-school adolescents in Nigeria. International Family Planning Perspective, 23(1), 28-33. Anwar M., S. Sulaiman, Ahmadi K., & M. Khan. 2010. Awareness of school students on sexually transmitted infections (STIs) and their sexual behavior: a cross-sectional study conducted in Pulau Pinang, Malaysia. BMC Public Health, 10 (47). Ayyoub Malek, Hamid Abbasi Shokoohi, Ali Ngahi Faghihi, Mahdi Bina, & Ali Reza Shafiee-Kandjani. 2010. A study on the sources of sexual knowledge acquisition among high school students in Northwest Iran. Archives of Iranian Medicine, 13(6), 537-542. Azlin Hilma Hillaluddin, Yusmarhaini Yusof, & Chan Cheong Chong. 2004. Pengetahuan kanak-kanak universiti rendah mengenai penganiayaan seksual: Satu kajian penerokaan. (Laporan kajian penyelidikan). Universiti Utara Malaysia. Blinn-Pike, L. 1999. Why abstinent adolescents report they have not had sex: Understanding sexually resilient youth. Family Relations, 48, 295-301.

30 31

Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 16

Chao, J., Lin, Y., Ma, M., Ku, Y., Tsai, C., & Shi, M. 2010. Sexual knowledge, attitudes and activity of men conscripted into the military. BMC Public Health, 10:577 De Gaston, J. F., Jensen, L., & Weed, S. 1995. A closer look at adolescent sexual activity. Journal of Youth & Adolescence, 24(4), 465-479. Duyan V. & Duyan G. 2009. HIV/AIDS knowledge among a group of youngsters under social protection in Turkey. Turk J Med Sci, 39(3): 429-437. Eggleston, E., Jackson, J., & Hardee, K. 1999. Sexual attitudes and behaviour among young adolescents in Jamaica. International Family Planning Perspectives, 25(2), 78-84. Ghazi Farooq 2000. Report of the UNFPA Intercountry Workshop Adolescent Reproductive Health for East and South-East Asia and the Pasific Island Countries. UNFPA Country Technical Services Team for East and South-East Asia Bangkok, 2000. Hatta Sidi, Mohamed Hatta Shaharom, & Ramli Hassan. 1999. Seksualiti Manusia Keharmonian Jalinan Antara Jantina. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jas Laile Suzana, J. 2005. Takat keagamaan (religiosity) dan motivasi sosial seks sebelum nikah di kalangan remaja Melayu. Dalam O. Roziah & P. Sivamurugan (Eds.), Malaysia: Isu-isu sosial semasa (27-40). Kuala Lumpur: Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Jas Laile Suzana, J., & Masnona, A. K. 2006. Pengaruh internet terhadap psikologi remaja. Dalam Y. Mohd Fauzi (Ed.), Malaysia:Menangani perubahan dan pembangunan (87-110). Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Kirby, D. 1988. Mathtech questionnaires: Sexuality questionnaires for adolescents. Dalam C. Davis, W. Yarber, & S. Davis (Eds.), Sexualityrelated measures: A compendium (ms. 201-212). Lake Mills, IA: Graphic Publishing Company. McManus, A. & Dhar, L. 2008: Study of knowledge, perception and attitude of adolescne girls towards STIs/HIV, safer sex and sex education: (A cross sectional survey of urban adolescent school girls in South Delhi, India). BMC Women’s Health, 8: 12 Meschke, L. L., Bartholomae, S. and Zentall, S. R. 2000, Adolescent Sexuality and Parent-Adolescent Processes: Promoting Healthy Teen Choices. Family Relations, 49, 143–154.  Morris J., Young M., & Jones C. 2000. Self-Esteem and Adolescent Sexual Behavior Among Students at an Elite Bolivian School. The International Electronic Journal of Health Education. 3(1), 36-4.

Pengetahuan Seksualiti Pelajar Sekolah

31

O’Donnell, L., O’Donnel, C., & Stueve, A. 2001. Early sexual initiation and subsequent sex-related risks among urban minority youth: The reach for health study. Family Planning Perspectives, 33, 268-275 Raudah Abu Hassan. 2003. Pengetahuan seks di kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun. Latihan ilmiah BSWMgt: Universiti Utara Malaysia. Silver, E. & Bauman, L. 2006. The association of sexual experience with attitudes, beliefs, and risk behaviors of Inner-City adolescents. Journal of Research on Adolescence, 16(1), 29-45. Siti Nor Y., Wong Fui-Ping, Rozumah B., Mariani M., Rumaya J., & Mansor, A.T. 2010 Factors related to sexual knowledge among Malaysian adolescents. Jurnal Kemanusiaan, 16. The Star. 22 July 2010. Malaysia youth itch for online porn. The Star. 30 July 2010. No sex please, we are online. Tutty, L.M. 1997. Child sexual abuse preventions programs: evaluating “who do you tell.” Child Abuse & Neglect: The International Journal, 21(9), 869-881 Whitehead, E. 2009. Understanding the association between teenage pregnancy and inter-generational factors: A comparative and analytical study. Midwifery, 25, 147-154. Yuille, J., Marxsen, D., & Cooper, B. 1999. Training investigative interviewers: Adherence to the spirit, as well as the letter. International Journal of Law and Psychiatry, 22(3/4), 323–336. Zelnik, M., Kantner, J., & Ford, K. 1981. Sex and pregnancy in adolescence. CA: SAGE Publication.