PENGURUSAN EKONOMI DAN PROSPEK

pembangunan bioteknologi, Dasar Bioteknologi Nasional (DBN) telah dilancarkan pada 28 April 2005, bersama dengan penubuhan Perbadanan Bioteknologi Mal...

0 downloads 63 Views 50KB Size
1

PENGURUSAN EKONOMI DAN PROSPEK

1

LAPORAN EKONOMI 2005/2006

Tinjauan

P

ada tahun 2005 dasar makroekonomi Kerajaan menumpukan kepada pengekalan momentum pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kapasiti negara untuk menjana pertumbuhan. Sepanjang tahun ini, ekonomi negara terus menghadapi persekitaran luar yang semakin mencabar, terutamanya pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, kembalinya tekanan inflasi dan arah aliran dasar monetari yang ketat terutamanya di Amerika Syarikat (AS). Ekonomi global menghadapi kejutan besar apabila harga minyak mentah meningkat dengan ketara mencecah hampir USD70 setong pada 30 Ogos 2005, yang tertinggi dicatatkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Namun begitu, prestasi ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan mencatat pertumbuhan 4.9% pada separuh pertama tahun ini. Prospek ekonomi bagi tempoh selanjutnya adalah baik dan dijangka mencatatkan pertumbuhan 5% bagi keseluruhan tahun 2005. Pertumbuhan ini mencerminkan pengembangan ekonomi yang lebih meluas, dengan dipacu oleh permintaan domestik yang mantap, terutamanya daripada aktiviti sektor swasta.

Asas-asas ekonomi negara terus kukuh, termasuk: i. Pemulihan ekonomi yang kukuh sejak enam tahun yang lalu berikutan krisis kewangan 1997/98 yang telah memberi fleksibiliti untuk meneruskan pelaksanaan dasar yang menyokong pertumbuhan; ii. Struktur ekonomi negara dan pasaran dagangan yang lebih pelbagai telah mengurangkan pendedahan ekonomi negara kepada persekitaran luar yang tidak menentu; iii. Imbangan pembayaran luar negara terus kukuh, berikutan daripada lebihan akaun semasa yang besar bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut sebelum ini dan disokong dengan pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih tinggi dalam tahun kebelakangan ini; iv. Pendapatan negara terus berkembang dan dianggar meningkat 9.1% mencapai RM463,546 juta pada tahun ini, dan

2 seterusnya menyumbang ke arah peningkatan 6.8% pendapatan per kapita yang mencecah RM17,741. Dari segi pariti kuasa beli (PPP), ia dijangka meningkat lagi sebanyak 7.2% kepada USD10,323; v. Peningkatan pendapatan negara juga menyumbang kepada pertambahan tabungan negara sebanyak 36.4% kepada keluaran negara kasar (KNK). Kadar tabungan yang tinggi ini telah menyediakan mudah tunai yang mencukupi bagi membiayai aktiviti pelaburan sektor swasta dan seterusnya membolehkan Malaysia membiayai pertumbuhan, terutamanya daripada sumber-sumber tempatan; dan vi. Dari segi kedudukan fiskal, Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit kewangan dari 5.6% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) pada 2002 kepada tahap yang lebih mapan iaitu 3.8% pada 2005. Pengurangan defisit ini dicapai tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Dengan ini, Kerajaan berupaya menyediakan lebih peruntukan untuk pembangunan yang akan menyumbang dan mencergaskan lagi aktiviti ekonomi negara, khususnya oleh sektor swasta.

Pengurusan Ekonomi Dalam menguruskan ekonomi negara, Kerajaan telah menggunakan kelebihan daripada kedudukan yang kukuh ini untuk meneruskan lagi dasar dan strategi bagi memastikan prestasi pertumbuhan terus kukuh sehingga kini. Bajet 2005 yang menyediakan hala tuju dasar untuk tahun ini, terus memberi fokus ke arah mempercepatkan peralihan aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi, memastikan sektor swasta yang lebih dinamik dalam menerajui pertumbuhan dan membangunkan modal insan yang akan menyokong pertumbuhan. Satu lagi strategi utama ialah untuk menambah baik kualiti kehidupan rakyat Malaysia selaras dengan dasar pengagihan kemajuan ekonomi yang lebih saksama.

Peralihan Ke Arah Pertumbuhan Nilai Ditambah Yang Tinggi Malaysia telah berjaya mengalih struktur ekonomi daripada yang berasaskan komoditi kepada berteraskan perindustrian, dengan sektor pembuatan pada masa ini menyumbang hampir satu pertiga KDNK, sementara jumlah eksport sektor ini merupakan 83% daripada pendapatan keseluruhan eksport negara. Peralihan ke arah ekonomi yang berasaskan perindustrian juga diperkukuhkan lagi dengan pembangunan industri minyak dan gas yang telah menyumbang secara khusus kepada pembangunan aktiviti hiliran, terutamanya petrokimia. Negara juga telah berjaya menjana dan mempelbagaikan sektor perkhidmatan yang menjadikan sumbangan sektor ini meningkat kepada 57.8% daripada keluaran negara. Seterusnya, sebagai langkah menuju ke hadapan untuk menggalakkan sumber pertumbuhan dalaman dan meningkatkan daya saing, tumpuan telah diberikan kepada pembangunan sumber pertumbuhan baru. Dalam sektor pertanian, Kerajaan terus berusaha menggunakan kelebihan bandingan dan penggunaan sumber alam yang pelbagai untuk meneroka bidang baru yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, seperti agro bioteknologi. Bagi mencetuskan pembangunan bioteknologi, Dasar Bioteknologi Nasional (DBN) telah dilancarkan pada 28 April 2005, bersama dengan penubuhan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BPM) yang akan menjadi agensi utama berfungsi sebagai agensi setempat yang akan bertanggung jawab ke atas keberkesanan pelaksanaan DBN. Dasar ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa meliputi jangka 15 tahun dari 2005 hingga 2020. Apabila DBN dilaksanakan dengan sepenuhnya, usaha ini akan menarik penubuhan 100 buah syarikat yang memberi peluang pekerjaan sebanyak 280,000 orang dan menyumbang kira-kira 5% daripada KDNK benar. Selain itu, Kerajaan turut melipatgandakan usaha untuk memodenkan dan mengkomersilkan serta menambah baik rangkaian pembekalan aktiviti pertanian. Berdasarkan kejayaan negara dalam membangunkan pertanian perladangan, peningkatan pengkomersilan bagi sektor ini

3 sedang pesat dijalankan. Ini termasuk menggalakkan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sedia ada dalam bidang perladangan untuk membantu aktiviti pengkomersilan sayuran dan ternakan. Bagi tujuan ini, Kerajaan telah menyediakan sejumlah RM300 juta kepada GLC dan sambutan mereka dari segi permohonan sehingga kini adalah menggalakkan. Sejumlah RM225.9 juta telah diluluskan untuk pelbagai projek dan beberapa projek tersebut sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Pada 2005, Kerajaan juga telah melanjutkan pelbagai insentif percukaian yang menarik untuk menggalakkan lagi pemodenan dan pengkomersilan sektor pertanian. Ini termasuk memberi potongan 100% ke atas perbelanjaan modal, Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan. Untuk meningkatkan lagi pengeluaran makanan, syarikat telah disediakan elaun pelaburan atau group relief, manakala syarikat subsidiari yang menjalankan projek berkenaan diberi pengecualian cukai sepenuhnya sehingga 2010. Seterusnya bagi menggalakkan penggunaan jentera dan automasi di sektor pertanian dengan matlamat meningkatkan kecekapan serta mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing, Kerajaan juga telah mengurangkan tempoh hapus kira bagi perbelanjaan modal kepada dua tahun. Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi pengeluar dan pengeksport global utama bagi makanan halal. Untuk meningkatkan lagi pengiktirafan antarabangsa ke atas kepakaran Malaysia dalam persijilan produk halal melalui pengeluaran sijil logo halal, Standard Halal Malaysia MS 1500:2004 telah dilancarkan. Sebagai insentif untuk memastikan kualiti produk Malaysia bermutu tinggi dan menepati piawaian antarabangsa, potongan cukai dua kali diberikan kepada pengeluar ke atas perbelanjaan dalam mendapatkan sijil halal tersebut. Sebagai tambahan, sebuah tabung khas bagi pembangunan dan promosi produk halal telah diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk membiayai pelan perniagaan dan pembangunan pasaran bagi pengeluar.

Dasar mempelbagaikan lagi struktur ekonomi diteruskan dengan memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan, khususnya dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan dan pendidikan. Dalam industri ICT, Kerajaan terus mengambil peluang ke atas penggunaan teknologi terkini yang canggih. Kerajaan juga terus membangunkan Koridor Raya Multimedia (MSC) dengan memperluaskannya ke bandarbandar siber seperti Bayan Lepas, di Pulau Pinang dan Kulim High Technology Park di Kedah. Di samping itu, usaha Kerajaan dalam mempromosikan industri perkongsian perkhidmatan dan perkhidmatan penyumberan luar ke dalam negara telah meletakkan Malaysia di tangga ketiga sebagai lokasi terbaik di dunia. Pada akhir Jun 2005, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) telah meluluskan penubuhan 98 buah ibu pejabat operasi antarabangsa dan serantau (OHQ), 169 pusat perolehan antarabangsa (IPC) dan lapan pusat pengagihan serantau (RDC). Industri penyumberan luar ini juga telah menyumbang kepada peluang pekerjaan baru dengan sejumlah 7,000 pekerjaan diwujudkan dalam separuh pertama 2005, iaitu tambahan kepada 8,000 pekerjaan yang telah diwujudkan pada 2004. Pelancongan semakin menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan tukaran asing. Ketibaan pelancong meningkat 3.5% mencapai jumlah 8.16 juta orang pada separuh pertama tahun ini berbanding 7.89 juta orang pada tempoh yang sama tahun lepas. Sementara itu, pendapatan dari pelancongan dan aktiviti berkaitan pelancongan dijangka meningkat kepada RM33.2 bilion pada tahun ini berbanding RM29.7 bilion pada tahun lepas. Usaha Kerajaan untuk mempromosikan pelancongan kesihatan juga telah meningkatkan bilangan pelancong yang mendapatkan rawatan, dengan jumlahnya meningkat kepada 174,200 orang dan menjana pendapatan sebanyak RM105 juta pada 2004 berbanding 39,000 orang dengan pendapatan RM14.1 juta pada 1998. Begitu juga dengan promosi bagi pelancongan pendidikan, usaha ini telah menarik 40,686 pelajar asing dari lebih 150 buah negara di institusi pengajian tinggi awam dan swasta pada 2004.

4 Bagi mempromosi produk pelancongan pada 2005, Kerajaan telah memberi pengecualian sepenuhnya duti hiburan ke atas persembahan kesenian dan kebudayaan oleh artis tempatan yang membuat persembahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Bagi meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, Kerajaan telah memberi pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah kepada kolej swasta yang bergabung bagi memperkukuhkan institusi tersebut. Dalam mempromosi pelancongan kesihatan, Kerajaan terus melonggarkan syarat pengeluaran visa kepada pakar perubatan asing serta kepada mereka yang ingin mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia. Usaha terus diambil untuk mempertingkatkan lagi infrastruktur dan pembangunan produk pelancongan. Bagi tujuan ini, Kerajaan telah menyediakan tambahan RM500 juta kepada Tabung Infrastruktur Pelancongan yang mana meningkatkan saiz keseluruhan Tabung kepada RM700 juta. Daripada tambahan tersebut, RM479 juta telah diluluskan bagi projek pelancongan bersepadu, taman tema dan marina. Selain itu, pembukaan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan menyediakan satu lagi pusat konvensyen tercanggih dan terus memperkukuhkan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran antarabangsa (MICE). Salah satu langkah untuk menggalakkan lagi pelancongan dalam negeri, Kerajaan telah mengumumkan dasar lima hari bekerja seminggu bagi kakitangan Kerajaan.

Mempromosi Sektor Swasta Supaya Lebih Dinamik Dalam Menjana Pertumbuhan Dasar dan strategi memperkukuhkan inisiatif pelaburan sektor swasta terus diberi penekanan dengan matlamat memudahkannya menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi. Dalam Bajet 2005, struktur insentif terus diperkukuhkan bagi menggalakkan pelaburan, khususnya bidang baru dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan, manakala usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan juga terus dipertingkatkan.

Penambahan insentif percukaian bertujuan menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, terutamanya langkah mengurangkan lagi kos kendalian perniagaan. Satu inisiatif penting yang dilaksanakan ialah penubuhan Panel Semakan Percukaian untuk memastikan sistem percukaian menjadi lebih efisien, saksama dan mesra perniagaan. Penambahbaikan akan juga dibuat ke atas peruntukan percukaian yang sedia ada bagi membolehkan pentadbiran percukaian negara menjadi lebih jelas dan telus. Langkah-langkah khusus percukaian juga disediakan, termasuk mempercepatkan bayaran balik cukai melalui penubuhan sebuah tabung bagi menyediakan pembayaran balik cukai, membenarkan zakat sebagai potongan cukai bagi syarikat untuk mengurangkan kos kendalian perniagaan serta beberapa langkah memudahkan pembayar cukai untuk menentukan jumlah tanggungan cukai yang perlu dibayar. Bagi syarikat yang menempatkan semula industri mereka di kawasan yang digalakkan, termasuk Koridor Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, Kerajaan telah menyediakan Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan pusingan kedua. Selain daripada itu, bagi menggalakkan pengeluaran produk Malaysia yang berkualiti tinggi, potongan cukai dua kali telah diberi ke atas perbelanjaan untuk mendapatkan piawaian kualiti antarabangsa. Duti import ke atas beberapa barangan terpilih juga dimansuhkan atau dikurangkan untuk terus membantu sektor swasta mengurangkan kos kendalian perniagaan.

Meningkatkan Keberkesanan Perbelanjaan Sektor Awam Komitmen Kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan kewangannya telah terbukti dengan pengurangan ketara defisit bajet dari 5.6% daripada KDNK pada 2002 kepada 3.8% pada 2005. Kejayaan mengurangkan defisit ini dicapai melalui pertambahan hasil dan peningkatan kecekapan serta keberkesanan perbelanjaan Kerajaan. Pengurangan defisit ini tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi, malah ekonomi negara terus tumbuh dengan kukuh dalam tempoh tersebut.

5 Pengurangan defisit membolehkan Kerajaan memilih dasar dan opsyen yang fleksibel dalam mengurangkan sebarang kesan ketidaktentuan persekitaran luar. Pada 2005, Kerajaan telah memberi tumpuan perbelanjaan terutamanya ke arah terus menjana aktiviti ekonomi. Sehubungan itu, perbelanjaan pembangunan meningkat 5.7%, dengan menekankan kepada projek kecil yang memberi kesan pengganda yang cepat dalam menggalakkan aktiviti ekonomi jangka pendek, terutamanya kegiatan pertanian, pembinaan, perumahan dan infrastruktur di luar bandar. Dalam hal ini, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan projek bernilai RM2.4 bilion untuk dilaksanakan dengan serta merta oleh kontraktor kecil pada 2005. Sebagai tambahan, sejumlah RM2.5 bilion juga disediakan untuk pembinaan kuarters kediaman anggota Polis Diraja Malaysia melalui kaedah bina-pajak-pindah. Dalam menguruskan perbelanjaan, penekanan diberi terhadap memaksimumkan penggunaan kemudahan infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan nilai aset berkenaan melalui penggunaan secara produktif dan penyenggaraan secara berkala. Dalam konteks ini, Kerajaan telah menyediakan RM500 juta untuk kerja-kerja penyenggaraan bangunan kerajaan. Kerajaan terus memberi penekanan kepada pembangunan sumber manusia, dengan tumpuan kepada pembangunan kemahiran untuk meningkatkan produktiviti dan sumbangan nilai ditambah daripada tenaga kerja. Oleh itu, sektor pendidikan dan latihan akan terus diberi peruntukan terbesar melebihi satu perempat daripada bajet tahunan. Selain daripada program untuk mengukuhkan sektor pendidikan, peningkatan peluang latihan kemahiran untuk rakyat Malaysia juga telah diberi penekanan melalui skim latihan siswazah dan kursus yang ditawarkan oleh pusat pembangunan kemahiran

Dasar Monetari Pertumbuhan

Menyokong

Dasar monetari terus kekal menyokong pertumbuhan ekonomi. Asas makroekonomi Malaysia yang kukuh terus memberi ruang dan fleksibiliti dalam melaksanakan dasar monetari yang akomodatif. Pemansuhan tambatan ringgit

dan perubahan kepada apungan terurus pada Julai 2005 telah dilaksanakan dalam kedudukan ekonomi yang kukuh, terutamanya pertumbuhan ekonomi yang mapan, rizab antarabangsa yang tinggi, lebihan akaun semasa yang besar dan sistem perbankan yang mantap. Paling penting, sistem apungan terurus memberi lebih fleksibiliti kepada Kerajaan dalam melaksanakan dasar monetari. Beberapa kelonggaran juga telah dibuat ke atas peraturan pentadbiran pertukaran mata wang asing sepanjang tahun 2005 bertujuan untuk mengurangkan kos kendalian perniagaan, memudahkan urus niaga yang melibatkan tukaran mata wang asing dan juga memantapkan pengurusan risiko. Antara lain, langkah liberalisasi yang berkuat kuasa pada 1 April 2005 membenarkan individu dan syarikat pemastautin membuat pelaburan di luar negara dengan masing-masing dihadkan kepada RM100,000 dan RM10 juta bagi pelaburan yang dibiayai menerusi kemudahan kredit tempatan. Jumlah maksimum pelaburan luar negara yang dibenarkan oleh syarikat pengurusan saham amanah juga dinaikkan daripada 10% kepada 30% nilai aset bersih dana tempatan. Langkah memperkukuhkan institusi perbankan dan kewangan telah membawa kepada peningkatan kecekapan dalam industri perbankan. Penyertaan pelabur asing dalam perbankan Islam baru-baru ini dan peningkatan ekuiti asing daripada 30% kepada 49% di dalam subsidiari Islam dijangka memberikan persaingan dan meningkatkan jalinan kewangan global.

Menambah Baik Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan terus berusaha menambah baik sistem penyampaiannya bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti yang dapat meningkatkan lagi inisiatif pelaburan sektor swasta. Menyedari kepentingan sistem penyampaian yang berkualiti, agensi Kerajaan telah mewujudkan pejabat perkhidmatan pelanggan dan pusat sehenti untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Di samping itu, Kerajaan juga menyediakan portal perkhidmatan awam yang menyeluruh dengan

6 penggunaan kemudahan ICT untuk meluaskan capaian perkhidmatan kepada orang awam dan mempercepatkan masa mengambil tindakan. Kecekapan perkhidmatan kaunter telah juga dipertingkatkan dengan penggunaan kemudahan ICT yang meluas. Masa yang diambil oleh Jabatan Imigresen untuk memproses dan mengeluarkan pasport bercip baru telah dipendekkan daripada tiga kepada hanya dua hari. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dalam proses melaksanakan sistem elektronik baru dikenali sebagai e-Khidmat bagi memudahkan lagi orang awam menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga dalam usaha menaik taraf sistem pinjaman pendidikan berkomputer yang akan memudahkan lagi proses permohonan dan kelulusan pinjaman pelajar. Langkah untuk mempertingkat dan memodenkan urusan pentadbiran tanah telah dilaksanakan melalui sistem e-Tanah dengan projek perintis dimulakan di Pulau Pinang. Pada masa yang sama, Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas khas di setiap pejabat daerah bagi mengurangkan tunggakan proses kelulusan tanah. Sehingga 1 April 2005, hampir 890,000 kes tertunggak bagi 2003 dan 2004 telah dapat diselesaikan.

Memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana Tumpuan khusus telah diberi untuk mempertingkatkan daya saing dan menggalakkan pelaburan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memandangkan ia merupakan segmen penting dalam ekonomi yang menyediakan jalinan dengan syarikat-syarikat besar dan multinasional (MNC) dalam pembangunan industri negara. Bilangan PKS adalah besar, merupakan lebih 90% daripada keseluruhan syarikat di dalam sektor pembuatan. Kedudukan ini menyediakan peluang luas baginya untuk menjadi pemangkin pertumbuhan kepada perkembangan pelaburan sektor swasta.

Langkah Kerajaan yang strategik dalam membangunkan PKS ialah dengan penubuhan SME Bank yang akan mula beroperasi pada 3 Oktober 2005. Bank ini yang merupakan gabungan antara Bank Industri & Teknologi Malaysia Berhad (BITMB) dan Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad (BPIMB), akan menyediakan bantuan perkhidmatan kewangan dan bukan kewangan khusus kepada PKS. Bank baru ini juga berfungsi sebagai pusat sehenti untuk menyelaras dan memenuhi keperluan khidmat nasihat perniagaan PKS serta menjalankan program pendidikan dan latihan, terutamanya bagi PKS yang baru ditubuhkan. Bank ini akan juga menggalakkan pewujudan usahawan di bidang baru, termasuk pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Bagi menggalakkan PKS menceburi pasaran luar negara dan meningkatkan eksport barangan dan perkhidmatan mereka, Bank Eksport-Import Malaysia (EXIM Bank) akan diperkukuhkan, di samping mengambil alih fungsi Malaysia Export Credit Insurance Berhad (MECIB). Langkah ini akan meningkatkan kemudahan pembiayaan perdagangan dan insurans eksport bagi mempertingkatkan lagi daya saing pengeksport Malaysia di pasaran global. Ke arah mempertingkatkan aktiviti pemasaran dan promosi PKS, had maksimum bantuan di bawah Geran Pembangunan Pasaran dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM100,000 dan skopnya juga telah diperluaskan meliputi pemasaran dan promosi dalam pasaran tempatan serta penubuhan pejabat perwakilan di luar negara. Di samping itu, sebuah tabung berjumlah RM100 juta telah juga ditubuhkan bagi membiayai aktiviti meningkatkan reka bentuk produk, pembungkusan dan pelabelan barangan.

Membangun Pasaran Modal Negara telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam mengukuhkan asas pasaran modal. Malaysia mempunyai kerangka urus tadbir korporat yang baik, hubungan perantara pasaran modal yang kukuh serta pasaran bon yang rancak dan pelbagai termasuk pasaran modal Islam yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

7 Membangunkan pasaran modal bertaraf dunia merupakan satu prasyarat untuk terus menyokong pembangunan, terutamanya bagi sektor swasta. Di samping itu, peningkatan penglibatan pihak antarabangsa akan menarik pelabur asing ke dalam pasaran modal. Bagi tujuan ini, Kerajaan telah membenarkan lima broker saham utama asing dan lima pengurus dana global beroperasi di Malaysia. Sehingga kini, dua syarikat broker saham telah diberikan lesen dan memulakan operasi pada September 2005, manakala dua lagi akan memulakan operasi pada Oktober dan satu lagi pada akhir tahun ini. Bagi pengurus dana, sebuah syarikat telah memulakan operasinya. Kehadiran pelabur asing akan mewujudkan peluang pertumbuhan, menggalakkan inovasi produk dan meningkatkan mudah tunai melalui aliran dana global yang lebih banyak. Pada masa yang sama, ia akan menyumbang kepada promosi produk dan perkhidmatan pasaran modal, dengan jalinan kerjasama pelabur dan penerbit instrumen kewangan antarabangsa serta serantau.

Bagi menggalakkan pelaburan asing dalam bon ringgit, pengecualian cukai telah diberikan kepada syarikat bukan pemastautin ke atas pendapatan yang diperoleh daripada faedah sekuriti ringgit dan debentur serta kertas yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia. Selain itu, sejumlah RM1.16 bilion Bon Simpanan Merdeka telah diterbitkan sehingga akhir Ogos, yang memberi manfaat kepada pesara.

Untuk meluas dan memperdalamkan pasaran bon domestik, agensi supranasional seperti International Finance Corporation (IFC), Asian Development Bank (ADB) dan Islamic Development Bank (IDB) dibenar menerbitkan bon ringgit di dalam pasaran modal domestik termasuk terbitan bon yang mematuhi prinsip syariah. Sehingga kini, sejumlah RM1.7 bilion telah diterbitkan oleh ketiga-tiga agensi tersebut. Kejayaan terbitan bon ini mencerminkan keyakinan institusi antarabangsa terhadap pasaran modal Malaysia.

Mengurangkan Beban Kewangan Rakyat Malaysia

Sementara itu, untuk terus menggalakkan kepelbagaian produk dalam pasaran bon, Kerajaan telah melaksanakan pensekuritian bersandarkan aset bagi pinjaman perumahan kakitangan Kerajaan dalam dua terbitan berjumlah RM3.6 bilion yang telah mendapat sambutan menggalakkan, termasuk daripada pelabur asing. Salah satu daripadanya, berjumlah RM2.1 bilion, adalah mengikut prinsip syariah yang merupakan sekuriti bersandarkan gadai janji kediaman Islam yang pertama diterbitkan di dunia.

Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Tahunan Lembaga Gabenor IDB Ke30 pada Jun tahun ini, membolehkan negara menonjol dan berkongsi mengenai perkembangan dan pembangunan yang dicapai dalam kewangan Islam kepada seluruh dunia Islam. Satu inisiatif penting yang telah diambil ketika Mesyuarat ini ialah pembangunan Pelan Induk Sepuluh Tahun bagi Industri Perkhidmatan Kewangan Islam. Pelan induk ini akan menyediakan hala tuju strategik bagi pembangunan perkhidmatan kewangan Islam untuk negara ahli Persidangan Negara-negara Islam (OIC).

Kerajaan prihatin terhadap potensi kesan kenaikan harga petroleum ke atas pengguna. Bagi mengekalkan harga runcit petroleum yang berpatutan, Kerajaan telah memberi subsidi harga serta pengecualian cukai ke atas petrol dan diesel. Dalam suasana kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang tinggi pada masa ini, paras subsidi dan kerugian pendapatan Kerajaan dijangka meningkat kepada RM15.7 bilion tahun ini, berbanding RM11.9 bilion pada 2004 dan RM6.6 bilion pada 2003. Kerajaan terpaksa menaikkan harga petrol secara beransur-ansur memandangkan Kerajaan tidak dapat menampung tahap subsidi yang berterusan. Walau bagaimanapun, bagi mengurangkan beban kepada pengguna, Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pengekalan harga minyak sehingga akhir tahun. Begitu juga, kadar tol bagi 2005 dan 2006 tidak akan dinaikkan. Untuk mengurangkan lagi beban pengguna, Kerajaan telah mengurangkan cukai jalan ke atas kenderaan persendirian dan komersil.

8

Kesimpulan Perkembangan terkini persekitaran global menunjukkan sektor luar yang semakin mencabar pada 2006. Walaupun ekonomi dunia dijangka terus berkembang, namun begitu masih terdapat beberapa risiko, khususnya, ketidakpastian mengenai pelarasan terhadap ketidakseimbangan akibat kenaikan harga minyak yang mendadak. Dengan kemungkinan tekanan kepada tingkat harga umum, dasar kadar faedah dijangka ketat secara berterusan dengan kadar beransuransur meningkat, terutamanya di AS. Menyedari akan kesan langsung daripada kemungkinan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, Bajet 2006 akan menggaris langkah proaktif bagi terus mengukuhkan lagi kegiatan ekonomi domestik dalam jangka masa terdekat dan pendek. Strategi tersebut akan ditumpukan kepada penyediaan persekitaran yang lebih kondusif bagi membolehkan sektor swasta

bertambah dinamik; membangunkan soft infrastructure, terutamanya modal insan, untuk memastikan penggunaan optimum infrastruktur sedia ada; serta langkah untuk memastikan rakyat Malaysia terus memperoleh manfaat daripada kemajuan ekonomi dan kualiti hidup yang lebih tinggi. Dalam konteks ini, prospek ekonomi Malaysia kekal menggalakkan dengan disokong oleh permintaan dalam dan luar negeri. Kerajaan yakin bahawa dengan kemantapan ekonomi dan asasnya yang kukuh, Malaysia akan mencapai pertumbuhan KDNK pada kadar 5.5% pada 2006. Dalam jangka masa sederhana, Kerajaan sedang merangka hala tuju dasar dan teras strategik Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), 2006-2010, di samping fasa kedua Wawasan 2020. RMKe-9 akan menggariskan asas bagi memperkukuhkan pembangunan dalam jangka masa sederhana dan panjang serta prospek ekonomi Malaysia.