Penyalahgunaan Bahan Dalam Kalangan Belia di Malaysia

Instrumen kajian adalah merupakan ... Kajian ini tertumpu kepada faktor-faktor masalah penyalahgunaan bahan seperti menghisap rokok, ... Faktor Penyeb...

0 downloads 18 Views 94KB Size
Penyalahgunaan Bahan Dalam Kalangan Belia di Malaysia Siti Hajar Razali & Hanina Halimatisaadiah Hamsan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Pengenalan Peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia kini menjadi satu kebimbangan masyarakat terhadap golongan muda ini. Menurut Zamzuri (2003), masalah salahlaku dalam kalangan belia telah pun dikesan sejak tahun 2001 lagi. Banyak kajian yang lepas menunjukkan bahawa pelbagai masalah sosial yang melibatkan remaja mengalami peningkatan pada kadar yang membimbangkan (Zainudin & Norazmah, 2011). Beberapa masalah salahlaku yang melibatkan golongan belia adalah seperti berkhalwat, hubungan sejenis,mencuri, bergaduh,melanggar peraturan dan penyalahgunaan bahan.

Penyalahgunaan bahan ini merangkumi perbuatan seperti menghisap rokok termasuk vape, meminum minuman beralkohol dan mengambil dadah seperti syabu,ganja,pil khayal dan menghidu gam. Kementerian Kesihatan Malaysia (2012) menyatakan jumlah perokok di Malaysia terus meningkat dan mencecah 4.7 juta orang pada 2011. The Channel News Asia (2015) pula melaporkan bahawa jumlah pengguna vape di Malaysia dianggarkan mencecah sejuta orang. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa rokok dan vape boleh memberikan kesan negatif kepada penggunanya.

Peyalahgunaan alkohol seperti meminum minuman beralkohol sehingga mabuk boleh mengundang banyak keburukan seperti kemalangan,pergaduhan dan penyakit. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2011 meletakkan Malaysia di tangga ke 10 negara yang paling banyak mengambil alkohol. Penyalahgunaan dadah pula bukan lagi isi yang baru di Malaysia. Statistik terbaru oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada 2015 menujukkan jumlah penagih meningkat kepada 26 668 orang berbanding tahun sebelumnya.

Kebanyakkan rakyat Malaysia telah lama didedahkan dengan maklumat tentang keburukan penyalahgunaan dadah ini oleh ramai pihak. Begitu juga dengan maklumat mengenai keburukan

merokok dan minuman beralkohol. Walau bagaimanapun, peningkatan kes penyalahgunaan bahan ini tetap berlaku dan kebiasaannya ia didominasi oleh golongan belia.

Apakah sebenarnya punca belia melakukan salahlaku ini?. Apakah jenis salahlaku yang paling utama dilakukan oleh belia?. Kajian ini dijalankan bagi melihat pola dan mengenalpasti puncapunca belia melakukan salahlaku penyalahgunaan bahan yang akhirnya menjerumuskan mereka kepada permasalahan sosial.

Metodologi Kajian ini melibatkan golongan belia yang meliputi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Lokasi kajian dibahagikan kepada 5 zon iaitu Utara (Kedah dan Perak), Timur (Terengganu dan Kelantan), Tengah (Selangor dan Kuala Lumpur), Selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka) dan Sabah/Sarawak (Sabah dan Sarawak).

Populasi kajian melibatkan belia Malaysia yang berumur antara 15 hingga 30 tahun pada tahun 2015. Sampel kajian dibahagikan mengikut nisbah etnik (Melayu:Cina: India atau 4:3:3), jantina (Lelaki:Perempuan atau 5:5) dan kategori umur belia di Malaysia (belia di alam pengajian (15-24 tahun) dan belia di alam pekerjaan (24-30 tahun).

Kajian ini dijalankan menggunakan pendekatan soal selidik. Instrumen kajian adalah merupakan pengubahsuaian daripada Kajian Gejala Sosial yang telah dijalankan oleh Institut Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) pada tahun 2010.

Perlaksanaan kajian telah bermula pada September 2015 sehingga November 2015. Tempoh 3 bulan ini telah melibatkan beberapa proses seperti penentuan dan pembentukan instrumen, pengumpulan data, analisis dan penulisan laporan.

Kajian ini telah mengumpulkan sebanyak 2799 data secara keseluruhannya. Namun terdapat 2767 data yang dapat dianalisis manakala yang selebihnya merupakan data yang tidak lengkap dan tidak menepati kehendak kajian.

Hasil Kajian Kajian ini tertumpu kepada faktor-faktor masalah penyalahgunaan bahan seperti menghisap rokok, meminum minuman beralkohol, dan pengambilan dadah (seperti: syabu, ganda, pil khayal, menghidu gam).

a) Penggunaan rokok elektronik (vape) 39.0% responden menghisap vape disebabkan oleh bahan yang mudah didapati dan mempunyai kepelbagaian rasa. Sebanyak 35.4% responden bersetuju bahawa vape sangat sesuai untuk menggantikan tembakau dan rokok biasa. Selain itu, 34.0% belia yang menghisap vape ini ingin kelihatan lebih bergaya manakala 33.1% bersetuju bahawa tiada akta pengharaman bahan atau kempen kesedaran yang meluas tentang bahaya penggunaan vape ini. Sebanyak 33.0% belia pula bersetuju bahawa mereka menghisap vape kerana ianya tidak merbahaya.

b) Merokok Seramai 34.4% belia bersetuju bahawa rokok sudah menjadi kebiasaan dan tabiat mereka manakala 33.6% pula menyatakan bahawa mereka merokok untuk menghilangkan tekanan terhadap tugasan atau ingin mencari idea.Selain itu, pengaruh rakan merupakan faktor merokok bagi 33.4% belia manakala sifat ingin mencuba sesuatu yang baru mendorong 33.1% responden untuk merokok. Seramai 27.1% pula menganggap mereka kelihatan segak dan bergaya sekiranya pandai menghisap rokok.

c) Minuman beralkohol Sebanyak 27.7% responden menyatakan bahawa mereka terlibat dengan perbuatan ini kerana pengaruh kawan dan sifat berani dan tidak takut apabila dicabar.

Di samping itu, 25.8%

menyatakan mereka meminum minuman beralkohol sehingga mabuk adalah untuk menghilangkan tekanan sama ada tekanan di tempat kerja, di rumah mahu pun peribadi. 19.6% responden bersetuju bahawa minuman beralkohol mampu menjadi bahan perangsang terutamanya ketika mabuk manakala 19.3% responden pula terlibat dengan minuman beralkohol disebabkan oleh dipaksa

d) Penyalahgunaan dadah Kajian ini menunjukkan sebanyak 25.0% responden bersetuju bahawa belia terlibat dengan penyalahgunaan dadah disebabkan oleh pengaruh rakan. Selain itu, seramai 23.2% belia bersetuju bahawa faktor penyalahgunaan dadah adalah sifat ingin tahu dan ingin mencuba sesuatu yang baru. Seramai 22.4% belia pula bersetuju bahawa faktor belia mengambil dadah adalah untuk menghilangkan tekanan manakala 20.1% responden bersetuju bahawa bahan ini diambil sebagai bahan perangsang. Dalam pada itu, 17.8% mengatakan bahawa belia mengambil dadah adalah kerana paksaan.

Kesimpulan dan Cadangan Melalui kajian ini, dapat dilihat bahawa penyalahgunaan bahan di luar bandar adalah lebih serius berbanding bandar. Ianya mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti belia di luar bandar mempunyai masa senggang yang lebih banyak, kurang peluang pekerjaan, kemudahan akses bahaan dan faktor luaran dan dalaman yang lemah.

Kekuatan jati diri dan mental adalah faktor utama bagi membendung diri belia daripada terlibat dalam permasalahan sosial. Aspek pertahanan dalaman diri ini perlu ditekankan dalam setiap program kesedaran yang melibatkan belia.

Peranan orang-orang sekeliling seperti ibu bapa,guru dan masyarakat juga penting dalam membentuk sahsiah belia. Belia perlu diberi pendidikan dengan cara yang bersesuaian dengan zaman mereka.

Pelbagai aktiviti fizikal juga boleh membantu mengisi masa lapang belia dengan cara yang lebih sihat. Ianya bukan sahaja menyumbang kepada pencegahan masalah sosial malah membantu meningkatkan taraf kesihatan belia dan mengeratkan hubungan antara belia berlainan kaum.

Rujukan Chuang, Y., Ennett, S. T., Bauman, K. E., & Foshee, V. A. (2005). Neighborhood influences on adolescent cigarette and alcohol use: Mediating effects through parent and peer behaviors. Journal of Health and Sosial Behavior, 46, 187-204.

Hanina H. Hamsan & Mastura Mohamad (2010). Belia Berisiko: Profil, Faktor Penyebab dan Intervensi. Putrajaya: IPPBM. Kementerian Kesihatan Malaysia. 2013. Garis panduan pengendalian penyalahgunaan Amphetamine Type Stimulant (ATS) dan Psikostimulant lain di peringkat primer dan komuniti. Putrajaya. Kementerian Kesihatan Malaysia. 2015. Ringkasan kandungan cecair rokok elektronik dan vape. Mohd Dahlan A. Malek & Ida Shafinaz Mohamed Kamil (2010).Jenayah Dan Masalah Sosial Di Kalangan Remaja: Cabaran Dan Realiti Dunia Siber.eprints.ums Peterson, C.H., Buser, T.J., Westburg, N.G. (2010). Effects of Familial Attachment, Sosial Support, Involvement, and Self-Esteem on Youth Substance Use and Sexual Risk Taking. The Family Journal, 18:369. Swahn, M. H. & Bossarte, R. M. (2009). Assessing and Quantifying High Risk: Comparing Risky Behaviors by Youth in an Urban, Disadvantaged Community with Nationally Representative Youth. Public Health Rep., 124 (2). Tolan, P. H., & Henry, D. (1996). Patterns of psychopathology among urban-poor children: Comorbidity and aggression effects. Journal of Consulting and Clinical Psychology, 64, 1094–1099.