Perspektif Tasawwuf Kontemporari: Analisis Terhadap

pendidikan kesufian. ... agar siap menghadapi bentuk cabaran dan serangan pemikiran Barat. ... luas dan bermaklumat dengan pembacaan karya falsafah,...

0 downloads 3 Views 200KB Size
Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

Perspektif Tasawwuf Kontemporari: Analisis Terhadap Sumbangan Sa`id Hawwa Azmil Zainal Abidin

Abstrak Sa`id Hawwa adalah tokoh idea kebangkitan Islam pasca-Uthmaniyyah. Selain menceburi gerakan al-Ikhwan al-Muslimun Syria, keperibadian beliau berlatarkan tradisi dan pendidikan kesufian. Dalam konteks keilmuan, beliau berusaha menyusun semula kerangka tradisi ilmu agar siap menghadapi bentuk cabaran dan serangan pemikiran Barat. Karya beliau sarat dengan idea pembaharuan berhubung bentuk interaksi terhadap disiplin ilmu Islam secara sepadu dan seimbang, termasuk ilmu tasawwuf. Kajian ini bertujuan mengenal pasti sudut pandang yang melatari karya tasawwuf Sa`id Hawwa. Penulisan ini turut mengkaji perspektif beliau dalam menyegarkan wacana tasawwuf menurut realiti semasa. Termasuk dalam objektif kajian adalah menganalisis saranan beliau dalam memperbaiki aspek kefahaman dan pengamalan tasawwuf semasa. Penulisan ini diasaskan kepada kajian kepustakaan menerusi metode dokumentasi dalam mengumpulkan data penting berkaitan persoalan yang dikaji dan metode analisis data iaitu proses mengesan bentuk data yang telah dikumpul untuk melakukan interpretasi. Kajian mendapati, karya Sa`id Hawwa adalah berpaksikan pemurnian semula konsepsi umat Islam dalam berinteraksi dengan tasawwuf. Beliau menekankan pertautan di antara ilmu tasawwuf dengan panduan ilmu-ilmu Islam lainnya. Dalam konteks teoritikal, beliau menegaskan kedudukan ilmu tasawwuf yang berupa iman di peringkat rasaan (dhawqi) sebagai susulan ilmu akidah tauhid yang berupa iman di peringkat akliah (aqli). Dalam konteks praktikal, beliau menekankan kepentingan orientasi penghayatan tasawwuf yang tidak mencuaikan tuntutan kewajipan semasa (wajib al-waqt) menurut senario umat Islam. Kajian merumuskan sumbangan utama Sa`id Hawwa di bidang tasawwuf iaitu mengintegrasikan tasawwuf dengan perspektif ilmu-ilmu Islam lain, mengaitkan wacana tasawwuf dengan realiti semasa dan mengkritik gejala penyimpangan dari landasan tasawwuf yang sahih. Beliau turut mengaitkan aspek pengamalan tasawwuf sebagai persiapan rohani dalam mengembalikan semula sistem khilafah. Dalam erti kata lain, perspektif Sa`id Hawwa berpaksikan kepada pemaknaan semula tasawwuf sebagai wahana memartabatkan syariat Islam secara komprehensif. Kata kunci: Sa`id Hawwa; perspektif tasawwuf kontemporari; tradisi kesufian.

56

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

Abstract Sa`id Hawwa was a prominent figure of the post-Ottoman Islamic revival. As well as being a member of the Muslim Brotherhood of Syria, he was also grounded in Sufi tradition and education. He exerted an effort to re-organize the orientation of understanding about the tradition of Islamic knowledge in order to answer the challenge of the Western thoughts. His work is impregnated with new ideas related to the forms of interactions towards the Islamic disciplines which come in equilibrium; this includes the knowledge of tasawwuf. The objective of this study is to identify the Sufi framework which underlies Sa'id Hawwa’s works. The study also examines his perspective in revitalizing Sufi discourse in relation to current reality. Another objective of the study is to analyse his recommendations in endorsing the current understanding and practice of Sufism. This research was based on literature review through the documentation method in collecting data related to the research questions as well as data analysis method; thaht was the process of identifying the form of data collected for interpretation. The study finds that Sa'id Hawwa’s works are centered on purifying the conceptions of the Muslim community in their interaction with the world and Sufism. He stressed on the link between tasawwuf with other Islamic branches of knowledge. In the theoretical context, he reaffirmed that Sufism, as a stage of experiential faith (dhawqi), is a consequence of the monotheistic creed of Islam, which is a stage of intellectual faith (aqli). In the practical context, he emphasized the importance of orientating Sufism so as not to neglect the demands of the current obligations (wajib al-waqt) based on the current Islamic scenarios. The study concludes that Sa'id Hawwa made several contributions to the field of Sufism: they are the integration of Sufi discourse with perspectives from other forms of Islamic knowledge; and the revitalization of Sufi discourse by acknowledging current reality; and the criticism of those apsects of Sufism that are deemed to have deviated from the authentic Sufi path. He also linked aspects of the practice of Sufism with spiritual preparation for the restoration of the caliphate system. In other words, Sa’id Hawwa’s perspective is centered on the re-interpretation of Sufism, as a medium to elevate the status of the Islamic Sharia comprehensively. Keywords: Sa`id Hawwa; contemporary tasawwuf perspective; Sufism tradition.

57

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

Pendahuluan Sebagai wasilah yang menyampaikan seseorang ke maqam ihsan, disiplin tasawwuf tidak wajar diabaikan sebagai landasan hidup beragama. Namun, orientasi pembawaannya menuntut suatu anjakan paradigma agar tuntutan `ubudiyyah dapat ditunaikan dengan sempurna. Fungsi institusi tasawwuf sebagai ‘bahtera penyelamat’ buat ummah perlu dipertahankan sesuai dengan cabaran dan realiti semasa yang sentiasa berubah. Sebagai tokoh sufi dan aktivis Islam pascaUthmaniyyah, al-Marhum Sa`id Hawwa – yang meninggal dunia pada tahun 1989 – turut sama mengemukakan perspektif tasawwuf kontemporari beliau sebagaimana tinjauan penulisan ini. Latar kesufian Sa`id Hawwa Lahir di Hamah, Syria pada tahun 1935, peribadi kesufian Sa`id Hawwa terbentuk melalui latar didikan kekeluargaan yang bertemu nasab dengan Rasulullah s.a.w melalui kabilah al-Na`im dari sebelah bapanya (Sa`id Hawwa 1988 : 9-10). Faktor ini diperkukuhkan oleh lingkungan masyarakat Hamah yang kuat pegangan keagamaannya. Ini tergambar dalam tingkah laku perangai, penjagaan maruah, keberanian dan akhlak mereka yang terpuji lainnya. Secara tidak langsung, majlis maulid dan perayaan Islam lainnya menjadi pemangkin terhadap penerimaan dakwah kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat Hamah. Di antara impak positifnya adalah meratanya pengamalan hijab, penghantaran anak-anak ke halaqah al-Quran di masjid dan meluasnya penyertaan di dalam kegiatan jamaah dakwah (Sa`id Hawwa 1988 : 108-109). Ciri ini menjadikan penduduk Hamah agak terpelihara daripada kesan pemikiran politik asing seperti komunisme dan nasionalisme perkauman berbanding sisi keagamaan mereka (Sa`id Hawwa 1988 : 14-15). Sejak kecil lagi, beliau diasuh dengan budaya ilmu dan membaca – al-Quran, ilmu akademik dan agama – melalui didikan bapanya. Seiringan itu, beliau meminati perkembangan politik kepartian sejak belia remaja (Sa`id Hawwa 1988 : 17-23). Di peringkat usia berikutnya, ufuk pemikiran beliau semakin terbuka luas dan bermaklumat dengan pembacaan karya falsafah, sejarah dunia dan tasawwuf. Kitab al-Insan al-Kamil al-Jili tetap ditekuni sekalipun tidak dapat difahami dengan baik, manakala Kitab Ihya’ al-Ghazali amat mempengaruhinya dalam meninggalkan kehidupan mewah. Namun, titik penting dalam jiwa kesufian Sa`id Hawwa bermula melalui siri pengajiannya dengan Syeikh Muhammad al-Hamid (Sa`id Hawwa 1988 : 24-25). Berikutnya, penceburan ke dalam jemaah al-Ikhwan al-Muslimun membuka ruang yang banyak untuk beliau bertafakur dan melakukan koreksi diri. Ini diperkukuhkan dengan perguruan dan pertautan rohani beliau dengan Syeikh Muhammad al-Hamid sehingga terpupuk kecintaan yang mendalam terhadapnya, para fuqaha dan ulama lainnya. Bahkan peningkatan rohani ini turut mencorakkan pegangan beliau yang kukuh terhadap hukum syarak dan panduan nas. Setelah itu, kehidupan beliau disemarakkan dengan siri pengajian dengan para ulama di samping komitmennya yang semakin mendalam dengan aktiviti dakwah Ikhwan (Sa`id Hawwa 1988 : 2729). Dari aspek amalan tarekat, Syeikh Muhammad al-Hamid mewasiatkan beliau dengan zikir tarekat Naqshabandiyah, manakala wirid tarekat al-Darqawiyah pula diambil daripada Syeikh Muhammad al-Hashimi, guru tarekat di Damsyik. Kedua-dua syeikh ini amat dikasihi oleh Sa`id

58

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

Hawwa serta membekas di hati dan kuat mempengaruhi kehidupan beliau (Sa`id Hawwa 1988 : 31-32). Menurut Sa`id Hawwa (1988 : 32), Syeikh Muhammad al-Hamid amat menekankan kepentingan majlis tafaqquh ilmu. Beliau amat mengkagumi keperibadian gurunya itu yang terhimpun padanya – unsur – zikir, amalan soleh, kewarakan, dakwah dan pencapaian rohani dan keilmuan yang tinggi. Justeru, faktor ini mendorong beliau untuk terus menimba ilmu di tangan syeikh sufi, ulama, wali dan ahli zikir sehingga sanggup berpergian ke Damsyik (Sa`id Hawwa 1988 : 34). Sekalipun adakalanya Sa`id Hawwa tidak menyetujui kalangan syeikh tertentu, namun ini tidak menghalang beliau daripada memanfaatkan ilmu mereka. Khusus berhubung ilmu tasawwuf – selain guru utamanya, Syeikh Muhammad al-Hamid – beliau turut mempelajari kitab Qawa`id al-Tasawwuf dengan Syeikh Sa`id al-Nu`san, bahkan halakah pengajian ulamak sufi yang disertai beliau tidak terhitung banyaknya. Ini termasuklah tokoh ulama yang amat disegani, Mulla Ramadan al-Buti. Beliau juga menyertai khalwat kesufian bersama-sama Syeikh Muhammad alHashimi, menerima ijazah tarekat daripada Syeikh Muhammad `Ali al-Murad dan syeikh-syeikh dari tarekat yang pelbagai. Juga tidak ketinggalan, Syeikh `Abd al-Karim al-Rifa`i. Kehadiran para fuqaha dan ahli sufi ini memberikan impak yang besar dalam mengekalkan tunjangan Islam di bumi Syria (Sa`id Hawwa 1988 : 39-40). Ketika usianya mencecah dua puluhan, Sa`id Hawwa semakin bertumpu kepada tasawwuf berbanding peringkat sebelumnya. Di Hamah, beliau giat menceburi kelompok sufi yang dipimpin oleh Syeikh Muhammad al-Hashimi sehingga bersebati jiwa dengannya. Perjalanan kesufian juga menguasai dirinya. Seiringan itu, beliau larut dalam urusan ibadat, wirid, zikir, majlis selawat dan menyertai khalwat kesufian bersama-sama Syeikh Sa`id al-Burhani, Syeikh `Abd al-Qadir `Isa, Syeikh Bashir Qahwaji serta syeikh lainnya. Beliau turut melalui kenangan menyertai halakah zikir bersama-sama Syeikh Ahmad Harun dan Syeikh Yahya al-Sabagh (Sa`id Hawwa 1988 : 48-49). Dari satu sisi yang lain, perhatian Sa`id Hawwa tidak lepas daripada mengikuti perkembangan politik semasa – lantaran impaknya yang besar terhadap jatuh bangun agama (Sa`id Hawwa 1988 : 18-19) –, maka al-Ikhwan al-Muslimun adalah wadah yang sesuai untuk beliau menterjemahkan aspirasi murni politik Islam. Jiwa perjuangan beliau turut diinspirasikan oleh keperibadian pimpinan al-Ikhwan al-Muslimun Syria seperti Syeikh Mustafa al-Siba`i dan Muhammad al-Mubarak, juga kesempatan bertemu tokoh besar dakwah seperti Ma’mun al-Hudaybi dan al-Maududi (Sa`id Hawwa 1988 : 36-37). Melalui pengalaman awalnya menyertai program tarbiah al-Ikhwan seperti usrah dan mukhayyam, Sa`id Hawwa melihat komitmen al-Ikhwan dalam mewujudkan suasana kemesraan dan kasih sayang sesama Muslimin, juga keiltizaman dan disiplin keIslaman yang tinggi (Sa`id Hawwa 1988 : 29 & 35). Kredibiliti al-Ikhwan ini amat diperakui sebagai harapan baru umat Islam selepas keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah dan bermulanya penguasaan musuh ke atas dunia Islam. Menurutnya, kelahiran al-Ikhwan al-Muslimun – dengan ciri-ciri kelayakannya – merupakan ilham Allah SWT kepada al-Imam Hassan al-Banna sebagai mujaddid kurun ini (Sa`id Hawwa 1988 : 37).

59

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

Justeru, keunikan perspektif tasawwuf Sa`id Hawwa merujuk kepada kombinasi di antara kecenderungan jiwa tasawwufnya dengan komitmennya terhadap idealisme al-Ikhwan alMuslimun. Selain mendukung sikap guru sufinya, Syeikh Muhammad al-Hamid yang menerima baik keberadaan al-Ikhwan al-Muslimun sebagai gerakan jihad dan siasah (Sa`id Hawwa 1988 : 32 & 92), identiti tasawwuf turut ditemukan dalam orientasi tarbiah dan dakwahnya. Bahkan di peringkat awal perkembangannya, kitab al-Hikam dipelajari di markaz al-Ikhwan pada hari tertentu dengan bimbingan Hassan al-Banna (Sa`id Hawwa 1989a : 31). Dakwah al-Ikhwan al-Muslimun itu sendiri adalah bertunjangkan ilmu, tarbiah dan jihad. Kecacatan salah satu daripada tiga rukun ini bakal mengimplikasikan kepincangan jemaah. Ketiadaan ilmu bakal mengimplikasikan kegelinciran pemikiran sebagaimana tanpa tarbiah, maka keredaan Allah SWT dan kepercayaan terhadap kredibiliti jemaah bakal tergugat, manakala tanpa jihad bakal menggagalkan matlamat jemaah. Melalui kombinasi ketiga-tiga aspek ini, maka lahirlah keseimbangan dalam diri individu dan jemaah (Sa`id Hawwa 1984a : 24 & 70). Menurut Hassan al-Banna, dakwah al-Ikhwan al-Muslimun bercirikan hakikat kesufian iaitu kesucian jiwa dan hati, kesenantiasaan amal dan zikir, pemalingan hati daripada makhluk dan kecintaan kepada Allah SWT yang kesemua itu merupakan asas kebaikan yang didukung oleh anggota al-Ikhwan (Sa`id Hawwa 1984a : 218). Berhubung marhalah tarbiah, Hassan al-Banna menggariskan tahap kualiti yang dituntut ke atas anggota jemaah Ikhwan agar menjadi seperti seorang sufi yang tulen dari aspek kerohaniannya dan seumpama seorang tentera yang tulen dari aspek disiplin amalinya (Sa`id Hawwa 1984a : 246). Kesimpulannya, latar kesufian Sa`id Hawwa dicorakkan oleh beberapa faktor iaitu kekeluargaan dan sosio-budaya tempatan, penceburan secara langsung di bidang tasawwuf dan penglibatan beliau di dalam jemaah al-Ikhwan al-Muslimun. Menurutnya, tidak timbul sebarang konflik di antara penisbahan dirinya kepada institusi ulama – di antaranya, Syeikh Muhammad alHamid – berserta identiti ilmu dan tasawwufnya dengan penisbahan dirinya sebagai ahli al-Ikhwan al-Muslimun berserta identiti dakwah, jihad dan siasahnya. Ini dinukilkan dalam karya beliau, Risalah Ihya’ al-Rabbaniyyah dan `Aqd al-Qarn al-Khamis `Ashr. Baginya, pembentukan peribadi dan masyarakat Islam adalah sia-sia tanpa sebarang program ilmu dan tarbiah kesufian yang diistilahkan sebagai “Ihya’ al-Rabbaniyah”. Ianya adalah pelengkap (mukammil) bagi gerakerja Islam yang berlangsung, bukan pula menjadi alternatif atau pengganti (badil) baginya (Sa`id Hawwa 1988a : 67 & 151). Perspektif tasawwuf kontemporari Sa`id Hawwa Berdasarkan kapasitinya yang terlibat secara langsung di bidang tasawwuf, maka Sa`id Hawwa turut berusaha memulihkan hala tuju tasawwuf kontemporari. Menurut beliau, ilmu tasawwuf masa kini diselubungi beberapa isu utama yang menuntut usaha pemurnian semula konsep tasawwuf yang sahih. Ilmu tasawwuf – umpamanya – dianggap milik ekslusif bagi kelompok tertentu sedang ia amat diperlukan oleh setiap manusia. Melalui perkembangan sejarahnya yang panjang pula, tasawwuf dilihat telah bercampur-aduk dengan perkara yang memperlihatkan ianya kelihatan bebas daripada panduan nas serta terpisah tanpa sebarang kaitan dengan ilmu tauhid, fiqah dan usul fiqah. Berdasarkan faktor-faktor ini, beliau mengusahakan salasilah karyanya tentang tasawwuf (Sa`id Hawwa 1989b : 9-10). Selain itu, perspektif tasawwuf beliau juga tidak boleh 60

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

ditanggapi secara terpisah daripada karya-karya beliau lainnya, lantaran ia melibatkan diagnosis terhadap permasalahan ummah dan cara menanganinya. Berikut adalah sebahagian daripada sumbangan perspektif tasawwuf kontemporari beliau: Tasawwuf Sebagai Iman Secara Rasaan Adalah Lanjutan Bagi Iman Secara Akliah Dalam analisisnya terhadap hadis sahih yang diriwayatkan daripada Huzayfah r.a, Sa`id Hawwa menghujahkan bahawa umat Islam selepas kewafatan baginda s.a.w melalui beberapa peringkat silih-ganti di antara kebaikan dan kejahatan. Selepas peringkat lahirnya bidaah pada zaman ‘kekaburan’ atau ‘kekabusan’ (al-dakhn), maka tiba zaman berikutnya yang menyaksikan berleluasanya seruan ke neraka jahannam. Menurut telahan Sa`id Hawwa, marhalah yang diisyaratkan itu merujuk kepada zaman ini dengan dominasi dan kemunculan ideologi Barat seperti Komunisme, Kapitalisme dan Existantialisme, lantas menyempitkan ruang bagi Islam untuk bersuara. Menurutnya lagi, hadis ini menunjukkan bahawa kewajipan semasa pada zaman ini adalah melepaskan generasi yang mewarisi ‘kekaburan’ atau ‘kekabusan’ ini daripada gejala fitnah tersebut seraya memisahkan diri daripada aliran-aliran sesat tersebut (Sa`id Hawwa 1988b : 2829). Juga, umat Islam dituntut melazimi jemaah Islam yang melengkapi ciri-cirinya. Dalam konteks akademiknya, Sa`id Hawwa menyarankan rangka kerja untuk menangani marhalah ‘kekaburan’ dan ‘kekabusan’ ini iaitu: i) menulis apa yang masih belum ada tetapi diperlukan atau menulis apa yang telah ada tetapi memerlukan pengumpulan dan penyelarasan, ii) mengekalkan tradisi – ilmu – yang sedia ada lantaran kemanfaatannya, dan iii) berusaha memurni atau menyaring saki-baki ‘kekaburan’ atau ‘kekeliruan’ yang ada, sama ada merumuskan kaedah dengan neraca yang konsisten atau mengusahakan penulisan semula dengan sandaran tradisi silam berserta pemurnian daripada ‘kekaburan’ atau ‘kekeliruan’ tersebut (Sa`id Hawwa 1984a : 51). Khusus mengenai ilmu tasawwuf, terdapat dua tugasan yang menanti iaitu: i) membimbing manusia tentang perjalanan yang sahih menuju Allah SWT, dan ii) membebaskan tasawwuf daripada “kekaburan” yang menyelubunginya demi menghalang Muslim daripada terjerumus ke dalam kejahilan (Sa`id Hawwa 1989b : 16). Inilah dorongan karya Jawlat fi al-Fiqhayn al-Kabir wa al-Akbar secara umum dan Tarbiyyatuna al-Ruhiyyah beliau secara khusus di bidang ilmu tasawwuf (Sa`id Hawwa 1981 : 8 & 9 dan 1989b : 9-14). Dalam konteks kesepaduan ilmu Islam, Sa`id Hawwa menjelaskan perkaitan tasawwuf dengan ilmu akidah. Menurutnya, jika ilmu akidah membentangkan persoalan iktikad, dalil-dalil dan aspek pendirian Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah, maka tasawwuf pula mengisyaratkan kepada aspek rasaan berhubung makna-makna akidah tersebut. Jika kitab akidah membicarakan definisi keimanan, maka kitab tasawwuf pula membicarakan cara untuk mencapai iman tersebut secara amali. Ilmu akidah memandu ilmu tasawwuf, manakala ilmu tasawwuf melengkapkan ilmu akidah. Tuntasnya, ilmu tasawwuf adalah pentahkikan kepada ilmu akidah. Kedudukan ini diperjelaskan melalui hieraki pentahapan iman sebagaimana yang diisyaratkan oleh ulama silam seperti alSanusi dan Ibn `Ata’ Allah al-Sakandari secara tersirat, namun diistilahkan semula secara tertib oleh Sa`id Hawwa. Menurut beliau, iman itu terbahagi kepada tiga peringkat: i) iman taklid iaitu mereka yang mengambil kata-kata orang lain tanpa bersandarkan dalil. Status keimanan mereka 61

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

ini diperselisihkan oleh ulama; ii) al-iman al-`aqli yang terbina melalui dalil. Iman ini adalah muktabar. Ia tertera melalui aspek mengenal Allah SWT berserta sifat, nama dan perbuatanNya, juga mengenal rasulNya secara akalan – menurut hukum akal yang pasti iaitu wajib, mustahil dan harus – seperti yang dipelihara Allah SWT melalui iktikad Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah (Sa`id Hawwa 1989b : 35); iii) al-iman al-dhawqi al-qalbi iaitu iktikad yang difahami oleh akal itu sampai ke dalam hati, lantas menyinari dan menghidupkannya. Inilah tahap iman siddiqin (Sa`id Hawwa 1992 : 243). Hieraki pentahapan iman ini selari dengan apa yang dapat difahami daripada karya al-Sanusi yang mengisyaratkan bahawa penghujung ilmu tauhid merupakan pangkal ilmu tasawwuf. AlSanusi (1999 : 57-58) menyarankan supaya ‘setiap orang yang berakal hendaklah memperbanyakkan zikir dengan kalimah – syahadah – ini dengan menghadirkan kandungankandungan yang terdapat padanya daripada akidah-akidah iman sehingga kalimah itu dan maknanya menjadi bersebati dengan daging dan darahnya, sesungguhnya ia akan melihat bagi kalimah ini terdapat rahsia-rahsia dan keajaiban-keajaiban yang tidak terhitung, insya-Allah’. Terdapat perbezaan di antara aras makrifatullah menurut ilmu tauhid dengan aras makrifatullah menurut ilmu tasawwuf sebagaimana ungkapan Ibn `Ata’ Allah al-Sakandari (1983 : 32) betapa ‘jauh berbezanya di antara orang yang berdalil bahawa adaNya Allah SWT menunjukkan adanya alam ini berbanding dengan orang yang berdalil bahawa adanya alam inilah yang menunjukkan adanya Allah SWT. Bilakah Allah SWT itu ghaib sehingga memerlukan dalil untuk mengetahuiNya dan bilakah pula Allah SWT itu jauh sehingga adanya alam ini dapat menyampaikan kepadaNya?’ Dalam menjelaskan lagi keluasan inti pati al-iman al-`aqli tadi, Sa`id Hawwa menggariskan makna mengenal syariat Rasul dalam erti kata yang luas. Di antaranya adalah gambaran umum tentang asas, cabang, prinsip dan panduan syariat, juga berhubung perkara yang lazim bagi setiap mukallaf untuk mengetahuinya dalam konteks mengenal jalan yang dapat menyampaikannya kepada penunaian segala kefarduan, sama ada fardu ain atau fardu kifayah. Bahkan, termasuk di dalamnya ialah kewajipan mengenal jalan ke arah meninggikan kalimah Allah SWT di seluruh alam. Kesemua ini adalah asas ilmu dalam beramal (Sa`id Hawwa 1989b : 35). Sa`id Hawwa terlebih dahulu mentertibkan kesinambungan tasawwuf sebagai medan ‘kesuburan iman’ setelah ia ditapakkan di atas asas akidah tauhid sebagai medan ‘kecelikan iman’ dalam mengenal Allah SWT, Rasul dan syariatNya. Selanjutnya, makna ‘mengenal syariat’ tersebut pula dikembangkan oleh beliau sebagai ‘mengenal jalan atau cara untuk menunai atau merealisasikan syariat’ itu sendiri. Dalam erti kata lain, terdapat dua bentuk kefarduan yang dituntut iaitu kefarduan dari aspek ilmu dan aspek amal sebagai bentuk taklif yang perlu dibereskan terlebih dahulu sebelum bertasawwuf. Makna bertasawwuf meluasi skop taklif syarak Sa`id Hawwa amat menekankan kepentingan penguasaan ilmu Islam secara lengkap dan sepadu, lantaran ilmu mendahului amal sebagaimana teori mendahului praktik. Konsepsi yang sahih bakal menjurus kepada pelaziman hukum yang sahih. Sebaliknya tanpa ilmu, sesuatu situasi itu bakal 62

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

terdedah kepada kegelinciran, terutamanya era yang mencabar kini (Sa`id Hawwa 1994 : 4). Dalam rangka persiapan sebagai pewaris nabi yang sempurna (al-warith al-kamil), pendakwah rabbani atau tentera Allah, beliau menyenaraikan disiplin ilmu Islam yang perlu dikuasai oleh mereka iaitu ilmu tentang Allah SWT, Rasulullah s.a.w dan Islam – karya penulisan beliau –, alQuran dan ilmunya, al-Sunnah dan ilmunya, usul fiqah, akidah, fiqah, akhlak dan penyucian jiwa (tasawwuf), sirah dan sejarah Islam, Bahasa Arab, ancaman konspirasi musuh Islam, kajian Islam semasa serta fiqah dakwah dan harakah. Setiap disipilin ini memiliki kepentingan masing-masing. Dengan menguasainya, maka urusan dakwah menyelamatkan ummah ini dapat berlangsung melalui panduan yang jelas dan terarah (Sa`id Hawwa 1994 : 62; 1993: 31; 1988a : 101 & 1987 : 11). Ironisnya, kegagalan menanggapi aspek kesyumulan Islam melalui aspek-aspek ini secara sepadu dan seimbang bakal melahirkan kepincangan pandangan dan pemikiran. Dalam isu ini, Sa`id Hawwa melakukan teguran kepada sesetengah syeikh tarekat yang sekadar mengajar fiqah dan tauhid tetapi mencuaikan pengajaran al-Quran, al-Sunnah dan sirah atau sejarah umat Islam, lantas berlaku kelompangan dalam konteks kefahaman Islam yang lengkap dan sempurna. Akibatnya, syeikh tersebut gagal membimbing muridnya dengan sikap yang dituntut oleh syarak ketika berhadapan dengan gejala penyelewengan daripada Islam masa kini (Sa`id Hawwa 1989b : 212-213). Terdapat juga kalangan ahli sufi yang gagal menanggapi gambaran Islam yang komprehensif, lantas menatijahkan keterasingan mereka daripada realiti semasa yang menuntut kefahaman hakiki berhubung makna “perjalanan menuju – keredaan – Allah SWT” (al-sayr ila Allah SWT). Pada hakikatnya, setiap Muslim berjalan menuju Allah SWT selama mana ia melakukan apa yang diperintahkan olehNya, sekaligus mencapai maqam tertentu daripada tahap perjalanannya itu (Sa`id Hawwa 1989b : 10-11). Taqwa dalam erti kata yang luas bermakna keiltizaman yang mutlak terhadap syariat Allah SWT dalam urusan umum dan individu (Sa`id Hawwa 1989b : 33). Selain terdapat Muslimin yang langsung jahil dan lalai terhadap kewajipan berjihad, kedapatan juga kalangan ahli sufi yang mencuaikan persoalan jihad akibat jahil terhadap keluasan tuntutan Islam dalam konteks kewajipan semasa. Ini berbeza dengan bentuk tarbiah kesufian Syeikh Sa`id alKurdi al-Naqshabandi di Turki, Syeikh Shamil al-Naqshabandi di Turkistan, gerakan al-Sanusi di Libya dan gerakan Darawish di Sudan dalam mempelopori kerja jihad dalam konteks realiti dan situasi tertentu (Sa`id Hawwa 1989b : 11). Dalam hal ini, Sa`id Hawwa mengemukakan bentuk kefarduan yang diistilahkan sebagai “kewajipan semasa” – secara umum – (fard al-waqt) dan – secara khusus – (fard al-`asr wa alzurf). Fard al-waqt adalah “sesuatu yang dituntut daripada seseorang pada ketika yang ia berada di dalamnya”. Contohnya, apabila seseorang itu memeluk Islam selepas masuk waktu Zohor, maka ‘kewajipan semasa’nya adalah mempelajari solat secara umum, lantas menunaikan solat Zohor tersebut. Kefarduan ini sering dilupakan oleh ramai manusia, lantas menjatuhkan mereka ke dalam dosa besar. Bentuk kefarduan ini turut melibatkan urusan jihad, kekeluargaan dan sebagainya. Berikutnya, fard al-`asr wa al-zurf pula adalah “sesuatu yang dituntut secara mendatang ketika ini tetapi pula tidak dituntut pada masa lalu, lantaran ketika itu ia belum lagi wujud atau timbul”. Contohnya, perubahan hukum jihad yang adakalanya menjadi fardu ain dan adakalanya fardu kifayah, lantaran ia tertakluk kepada syaratnya atau tidak. Justeru, Muslim yang tidak mengetahui ‘kewajipan semasa’nya dianggap cuai dan adakalanya berdosa – seolah-olah – ia hidup bukan 63

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

pada – realiti dan konteks – zamannya. ‘Kefarduan semasa’ pada zaman ini adalah usaha menyelamatkan umat Islam daripada perpecahan, sekaligus beramal dalam menyatu-padu dan memajukan ketamadunan mereka serta beramal untuk mengembalikan wilayah dan khilafah Islam yang telah lenyap (Sa`id Hawwa 1989b : 214 dan 1984b : 13-16). Syeikh tarekat yang gagal mengenal realiti zamannya bakal memperjudikan urusan seseorang murid yang meminta bimbingan dan fatwa daripadanya (Sa`id Hawwa 1989b : 214). Dalam memurnikan keluasan konsep baiah misalnya, Sa`id Hawwa mengemukakan perbezaan di antara baiah ketaatan terhadap sultan – atau pemerintah Islam – dengan baiah keiltizaman dalam bertaqwa terhadap syeikh tarekat. Menurutnya, baiah pada zaman Rasulullah s.a.w berbentuk anutan keIslaman dan beramal dengannya, termasuklah baiah untuk mendengar dan patuh kepada baginda. Berikutnya selepas kewafatan baginda, wujud pula bentuk baiah siasah yang diberikan kepada Amir al-Mu’minin sebagai asas kesetiaan (wala’) peribadi dari aspek politik. Konteks pemerintahan ini kekal sehingga kurun kelima hijrah yang menyaksikan kemunculan institusi tarekat dengan baiah terhadap syeikh di atas asas keiltizaman dalam beramal dan bertaqwa. Justeru masa kini, wujud dua bentuk baiah iaitu baiah ketatan terhadap sultan dalam konteks umum dan baiah keiltizaman dalam beramal dan bertaqwa terhadap syeikh tarekat ketaqwaan. Kondisi ini berlanjutan sehingga jatuhnya Daulah Uthmaniyyah dan terhapusnya hukum Islam dalam kebanyakan aspek kehidupan. Lantas, kejahilan menguasai kalangan ummah sehingga tercuainya isu khilafah dan kepentingan berusaha dalam menegakkan semula institusi khilafah (Sa`id Hawwa 1989b : 218-221). Kesimpulannya, – berdasarkan dua premis di atas – dapatlah difahami kedudukan dan fungsi tasawwuf dalam kerangka tarbiah Islam yang sahih – menurut Sa`id Hawwa –. Proses tersebut bermula daripada iman di tahap kefahaman akliah (al-iman al-aqli), kemudian disusuli oleh penunaian terhadap kewajipan semasa (wajib al-waqt) dan akhirnya, barulah – muncul – tumpuan – atau giliran – penyucian hati atau tasawwuf. Dalam erti kata lain, makrifah atau pengenalan akliah terhadap Allah SWT, Rasul dan syariatNya – melalui ilmu akidah tauhid – yang disusuli berikutnya oleh penunaian “kewajipan semasa” – sebagai penyempurnaan taklif syarak dan ketaqwaan –, kedua-duanya menyampaikan nur ke dalam hati, lantas bermulalah proses pengislahan hati sebagai perjalanannya menuju Allah SWT (Sa`id Hawwa 1989b : 106). Justeru, Sa`id Hawwa memperingatkan kaedah penting bahawa pembawaan bertasawwuf tidak sayugianya membawa kecuaian terhadap prioriti kewajipan yang lebih utama. Kecenderungan bertasawwuf pada zaman ini perlu diimbangi dengan kepekaan terhadap bentuk ancaman ideologi sekularisme yang menggugat usaha makrifatullah. Justeru, beliau sendiri mengarang kitab “Allah Jalla Jalaluh” sebagai usaha menangkis faham materialisme yang menghijab hakikat rububiyyahNya di alam ini. Kecenderungan bertasawwuf juga tidak sayugianya melahirkan sikap memandang remeh kewajipan mendirikan hukum Islam dan mengembalikan kesatuan Muslimin dan institusi khilafah (Sa`id Hawwa 1989b : 107). Inilah antara inti pati penting perspektif tasawwuf kontemporari beliau.

64

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

Kesimpulan Sa`id Hawwa menegaskan kedudukan tasawwuf – aspek kesuburan iman – sebagai lanjutan bagi ilmu akidah tauhid – aspek kecelikan iman –, sekaligus meletakkan keutamaannya berdasarkan urutan ketertiban syarak dan realiti semasa umat Islam. Tasawwuf perlu dipertautkan dengan panduan ketertiban syarak dan kesepaduannya dengan disiplin ilmu lain, berikutnya dihubungkan pula dengan fiqh al-harakah. Tuntasnya, perspektif tasawuf Sa`id Hawwa mungkin tidak memperdalami perbahasan tasawwuf yang rumit dan sulit, namun sekurang-kurangnya beliau berjaya mengemukakan panduan bertasawwuf pada era pasca keruntuhan institusi khilafah. Tatkala dunia keintelektualan Islam diselubungi kerosakan ilmu dan penjajahan epistemologi, manakala ummahnya dikepung oleh dominasi Yahudi dan konspirasi Salib, perspektif tasawwuf beliau amat didambakan – persis kelangsungan madrasah kesufian al-Ghazali yang kemudiannya memunculkan generasi gemilang Nur al-Din al-Zinki dan Salah al-Din al-Ayyubi.

Rujukan al-Hashimi, Muhammad. (1999). (Terjemahan al-Aqa’id al-Durriyyah Sharh Matn al-Sanusiyyah) (trj. Muhammad Ramzi Omar). T.tp.: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. al-Sakandari, Ahmad bin `Ata’ Allah. (1983). (Terjemahan al-Hikam) (trj. Salim Baharish). Kota Bharu: Pustaka Aman. Sa`id Hawwa. (1994). Jund Allah Thaqafatan wa Akhlaqan. Kaherah: Maktabah Wahbah. Sa`id Hawwa. (1993). Jund Allah Tanziman. Kaherah: Dar al-Salam. Sa`id Hawwa. (1992). al-Asas fi al-Sunnah wa Fiqhiha: al-`Aqa’id al-Islamiyyah. Jil. 1. Kaherah: Dar al-Salam. Sa`id Hawwa. (1989 a). Mudhakirat fi Manazil al-Siddiqin wa al-Rabbaniyyin. Kaherah: Dar alSalam. Sa`id Hawwa. (1989 b). Tarbiyyatuna al-Ruhiyyah. Beirut & Amman: Dar `Ammar. Sa`id

Hawwa. (1988 a). Hadhihi Mu’assasah al-Khalij al-`Arabi.

Tajribati

wa

Hadhihi

Shahadati.

Kaherah:

Sa`id Hawwa. (1988 b). Min Ajl Khutuwat ila al-Amam `ala Tariq al-Jihad al-Mubarak. Beirut & Amman: Dar `Ammar. Sa`id Hawwa. (1987). Ijazah Takhassus al-Du`ah. Kaherah: Dar al-Salam.

65

Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari ISSN 2289 6325

Bil. 11 2015 (Edisi Khas)

Sa`id Hawwa. (1984 a). al-Madkhal ila Da`wah al-Ikhwan al-Muslimin. Kaherah: Maktabah Wahbah. Sa`id Hawwa. (1984 b). Falnatadhakkar fi `Asrina Thalathan. Kaherah: Dar al-Salam. Sa`id Hawwa. (1981). Jawlat fi al-Fiqhayn al-Kabir wa al-Akbar. Kaherah: Maktabah Wahbah.

Dr. Azmil Zainal Abidin Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya 50603 Kuala Lumpur, MALAYSIA. [email protected]

66