Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar

lain seperti Pasai, Melaka dan Banten, diperkirakan bahawa pada saat didirikan, bandar ini terpisah dengan lebih ketara daripada masyarakatnya yang be...

0 downloads 108 Views 882KB Size
Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar Perdagangan Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu 3:1 Disember (2011) 41 - 56

41

Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar Perdagangan Dunia Melayu daripada Abad ke-15 Hingga Abad ke-17* CLAUDE GUILLOT

Dalam tulisan ini, saya ingin secara singkatnya memerikan hal bandar-bandar di Dunia Melayu yang berlaku dalam perdagangan antarabangsa sebelum campur tangan Eropah yang menimbulkan perubahan besar dalam pemerintahan mereka. Saya akan berupaya menyelidiki sejauh mana analisis terhadap strukturnya itu dapat membantu mencapai pemahaman yang lebih baik tentang susunan masyarakat mereka, dan saya akan berupaya menunjukkan bahawa pola-pola itu mencerminkan fahaman yang bertentangan dan berlanggaran di peralihan abad ke-17, serta menimbulkan pecahnya revolusi politik. STRUKTUR BANDAR-BANDAR PERDAGANGAN Saya akan membatasi analisis saya kepada tiga bandar pelabuhan di Dunia Melayu, iaitu Melaka di pantai barat Semenanjung Melayu, Banten di bahagian barat pantai utara Jawa, dan Aceh di hujung bahagian utara Sumatera. Pilihan ini didasarkan dua alasan sederhana: pertama, kerana pada suatu masa tertentu, selama jangka masa yang terhalang antara abad ke-15 hingga abad ke-17, bandarbandar ini merupakan pusat perdagangan yang terkemuka di Nusantara, dan kerana jaringan perdagangannya yang luas, kita memiliki sejumlah sumber yang cukup terperinci, yang dihasilkan oleh orang Melayu sendiri, atau oleh saksi mata yang berasal dari China atau Eropah, yang menggambarkan bandar-bandar ini; kedua, kita juga cukup bernasib baik memiliki beberapa peta daripada zaman itu di antara dokumen-dokumen tersebut, meskipun sebahagian daripada petapeta ini mungkin nampak sebagai sekadar gambar sketsa. Sebagai permulaan, tumpuan akan diberi kepada bandar Melaka, sebuah bandar perdagangan makmur yang didirikan pada akhir abad ke-14 dan mencapai puncak kejayaannya di antara dekad akhir abad ke-15 dan 1511, ketika orang Portugis menyerang dan menguasainya. Hanya terdapat sebuah peta dari bandar ini, iaitu yang digambarkan oleh Godinho de Erédia, seorang berdarah campuran, separuh Portugis, yang hidup di sana sepanjang abad ke-16 dan ke-17. Peta ini menggambarkan keadaan bandar pada masa itu – iaitu setelah satu abad dikuasai bangsa Portugis – tetapi sumber-sumber Portugis daripada masa sebelumnya serta beberapa sumber Melayu, memungkinkan kita untuk menggambarkan secara umum struktur atau paling tidak unsur-unsur utama bandar ini sebagaimana adanya sebelum kedatangan orang Eropah.

42

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

Melaka: Pada awal abad ke-17 (Manuel Godinho de Erédia, Declaração de Malaca)

Benteng yang dibangunkan di antara sungai utama dan sungai yang lebih kecil itu menggantikan kompleks istana sultan setelah penaklukan Portugis. Luasnya dapat diperkirakan berasaskan gambar lain yang dibuat pada abad ke17, yang memperlihatkan bahawa kawasan dalam benteng ini meliputi keluasan tanah yang cukup besar untuk melingkupi bandar orang Eropah. Hal ini membuktikan bahawa kompleks hunian raja itu tidak sahaja berisi istana, tetapi juga bangunan-bangunan dan kediaman lain yang sesungguhnya merupakan

Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar Perdagangan

43

Melaka: Bandar berbenteng pada awal abad ke-17 (Manuel de Faria e Sousa, Asia Portuguesa)

bandar raja. Kita ketahui berdasarkan sumber-sumber Melayu bahawa tidak lama sebelum itu, kompleks istana sultan masih berada di hulu sungai, agak jauh dari bandar di sekitar pelabuhan. Di luar benteng ini, sisa wilayah bandar terbahagi menjadi beberapa kampung yang terpisah. Meskipun hanya dua di antaranya memiliki nama suku – Kampung Cina dan Kampung Keling – sumber tertulis mencatatkan bahawa sebahagian besarnya dihuni oleh orang asing, termasuk orang Jawa, Gujarati, Tamil, Brunei, Luzon dan seterusnya. Mengenai Aceh, kita juga hanya memiliki sebuah peta yang agak baik, yang dibuat orang Belanda sekitar tahun 1640-an. Bandar ini nampaknya tidak terpisah dari hutan di sekitarnya, yang hanya dibersihkan sebahagiannya untuk diubah menjadi beberapa buah kampung. Bandarnya yang mengarah ke utara dan selatan itu terletak di sepanjang sungai yang bersama dengan sebuah jalan lurus digunakan sebagai laluan komunikasi utama. Kompleks istana yang dikelilingi parit, terdiri di atas istana itu sendiri yang menghadap ke tanah terbuka yang luas, dengan masjid di sisi barat sebagaimana biasanya di bandar-bandar Melayu tua, dan kediaman pegawai tinggi dekatnya. Kompleks istana ini hampir terpisah dari kampung-kampung. Jika dibandingkan dengan bandar-bandar lama yang lain seperti Pasai, Melaka dan Banten, diperkirakan bahawa pada saat didirikan, bandar ini terpisah dengan lebih ketara daripada masyarakatnya yang bekerja. Penduduk bandar ini hidup di sejumlah kampung yang terpisah dan terpencil, tersebar dari pelabuhan di utara hingga kompleks istana di selatan. Paling tidak, dua wilayah pinggir bandar itu memiliki nama yang menunjukkan suku, iaitu Cina dan Pegu.

44

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

Aceh, pada tahun 1640 (Firenze, Biblioteca Medicea Laurenziana)

Tentang Banten, kita memiliki jauh lebih banyak sumber, termasuk tiga peta dan dua gambar tiga dimensi daripada abad ke-17. Yang paling tepat antaranya berasal daripada tahun 1659. Sungai yang melintasi bandar ini bercabang dua dan mengalir ke laut melalui dua muara yang digunakan sebagai pelabuhan, serta membahagi bandar ini menjadi tiga bahagian dengan keluasan yang berbezabeza. Bahagian tengah yang juga adalah bahagian utama itu merupakan bandar raja. Berlainan dengan contoh-contoh sebelumnya, Banten dikelilingi sebuah benteng pertahanan. Di tengahnya terdapat kompleks kerajaan dengan istana yang dibangunkan di salah satu sisi tanah lapangnya. Dekatnya, terdapat dua buah rumah kediaman menteri negara utama, serta masjid di sisi barat. Tanah terbuka ini merupakan pusat bandar, baik secara fizikal mahupun simbolik. Titik

Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar Perdagangan

45

tengahnya ditandai sebatang pokok beringin keramat, yang di Jawa biasanya dikirakan sebagai tempat kediaman roh penjaga bandar tersebut. Mulai dari pusat bandar ini, terdapat empat jalan lurus yang berkiblat ke arah mata angin dan secara garis besar membahagikan bandar raja ini menjadi empat bahagian. Oleh kerana peta ini dibuat untuk keperluan strategik, pembuat peta Belanda itu menggambarkan kompleks kerajaan dengan sangat terperinci, dan sengaja mengosongkan sisa bandar yang dibatasi benteng ini. Tetapi, sumber-sumber bertulis menyebutkan bahawa di luar kompleks ini, bandar itu terbahagi menjadi banyak kampung, dan masing-masing dalam skala kecil mengulangi pola kompleks kerajaan itu sendiri: lapangan yang dibangunkan untuk rumah pembesar serta sebuah masjid di tengah-tengahnya, dan seluruh kompleks ini dikelilingi sejumlah kelompok perumahan. Setiap kampung berada di bawah kekuasaan seorang bangsawan yang dilantik oleh raja, dan semua orang yang hidup di sana terdiri di atas rakyat atau anak buahnya. Dengan sistem seperti ini, hanya warga Banten yang dapat tinggal di dalam bandar yang berbenteng ini. Bahagian di sebelah barat bandar raja disebut Pacinan (Kampung Cina). Di sana, hidup para pedagang terbesar di negeri ini, iaitu mereka yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, baik pedagang Cina, Eropah, mahupun yang lain. Oleh kerana itulah, di sini terletak pusat pentadbiran untuk perdagangan atau urusan luar negeri, termasuk jawatan syahbandar, jawatan bayaran cukai, jawatan timbang rasmi, rumah pemimpin masyarakat Cina, dan keempat-empat loji Eropah. Di bahagian sebelah timur bandar raja terletak pasar utama bandar ini dengan dikelilingi perkedaian dan rumah kediaman. Daerah ini diperuntukkan bagi perdagangan runcit dan pertukangan. Orang-orang yang tinggal di sini tidak berasal dari Banten. Mereka datang dari kawasan-kawasan yang jauh serta dari pelbagai wilayah Nusantara. Apabila kita menelusuri lebih jauh ke timur, pengunjung yang datang ke bandar ini akan menjumpai sebuah daerah pinggiran bandar yang miskin, yang dihuni oleh pelaut dan nelayan, diteruskan oleh tempat membaiki kapal dan tambak garam. PENTAFSIRAN Meskipun terlihat perbezaan yang ketara, bandar-bandar ini mencerminkan pandangan yang serupa mengenai susunan masyarakat. Untuk lebih menerangkan hal ini, pada pandangan saya, elok kita mulai dengan keadaan di Banten. Sebagaimana baharu sahaja kita lihat, kawasan perdagangan dan kawasan penghasilan barang berada di luar benteng bandar dan berdekatan dengan keduadua pelabuhan, sehingga bahagian tengah, yang merupakan kawasan yang terbesar bandarnya itu sama sekali tidak memiliki kegiatan perekonomian. Bandar raja dihuni penduduk yang berasal dari Banten semata-mata, manakala orang asing kena tinggal di kedua-dua bahagian pinggiran bandar di luar batas benteng.

46

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

Pembahagian penduduk menjadi dua bahagian ini bermakna bahawa di bandar pelabuhan ini, perdagangan dan kegiatan-kegiatan yang berhubungan, yang merupakan sumber penghasilan utama, tidak berada di tangan penduduk tempatan, melainkan diserahkan kepada orang asing. Jelas bahawa istana dapat memperoleh keuntungan besar daripada kegiatan-kegiatan ini melalui penerapan pelbagai pajak. Selain itu, sejumlah, kalau bukan semua, bangsawan sering ikut serta melalui modal kewangan dalam urusan perdagangan ini, yang biasa dilakukan oleh para pedagang asing. Memang benar, para bangsawan memiliki tanah, kampung atau perkebunan lada yang diserahkan oleh raja, tetapi penghasilan yang didapati daripada bidang pertanian itu tetap rendah dan tidak berubah. Hasilnya jauh daripada yang diperoleh melalui perdagangan. Perbezaan ini menjadi semakin tajam ketika asas sumber perekonomian Banten beralih dari eksport lada ke transaksi perdagangan. Dengan kata lain, penduduk Banten bergantung semata-mata kepada kegiatan para pedagang asing untuk kehidupan mereka. Apabila kita memperhatikan dua bandar lainnya dan membandingkannya dengan Banten, maka kedua-dua bandar ini dengan ketara memperlihatkan sejumlah ciri yang serupa. Pembahagian yang sama ditemui antara kompleks kerajaan dan tempat tinggal penduduk yang terlibat dalam kegiatan pelabuhan, yang terutamanya berasal dari luar negeri. Nampaknya orang-orang ini tidak bertaburan di pelbagai kampung berdasarkan suku bangsa semata-mata sebagaimana ditunjukkan oleh beberapa nama tempat, tetapi lebih tersebar berdasarkan kegiatan mereka, sebagaimana dapat kita simpulkan dari sumber mengenai Melaka. Perbezaan utama antara Banten, Melaka dan Aceh adalah kedua-dua bandar yang disebut terkemudian itu tidak memiliki kompleks kerajaan atau bandar raja sebesar dan seramai Banten. Berdasarkan pengamatan ini, kita boleh mencuba mengambil beberapa kesimpulan tentang komposisi masyarakat. Dahulu, sepanjang pengetahuan kita, bandar-bandar perdagangan lama sesungguhnya terbentuk daripada dua bandar yang berbeza yang dibangunkan di sepanjang sungai yang sama. Memang demikian halnya dengan Pasai, Banten, dan Melaka. Jarak antara kompleks kerajaan dan pelabuhan hanya sejauh beberapa kilometer, dan setiap bandar kadangkala memiliki nama yang berbeza. Pemisahan secara fizikal ini mencerminkan pandangan khas masyarakatnya: penduduk pelabuhan di pantai berpaling ke arah laut dan kegiatan kelautan, manakala raja menghadap ke arah darat yang menunjukkan bahawa beliau ingin dipandang sebagai perantara utama antara penduduk pedalaman dan penduduk pesisir. Garis batas yang ketara itu menentukan peranan mereka yang berbeza. Raja memiliki kekuatan politik atas tanah dan penduduknya. Penduduk pelabuhan yang berasal dari luar negeri memiliki hak untuk tinggal di tempat kerajaan dan berdagang dengan membayar pajak kepada raja. Tetapi, sebagai tetamu di negeri tersebut, mereka tidak memiliki hak suara dalam persoalan politik. Dengan berjalannya waktu, baik disebabkan oleh pertumbuhan penduduk yang menyebabkan dibangunkannya rumah-rumah

Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar Perdagangan

47

di antara kedua-dua pola ini, misalnya di Aceh, mahupun oleh keputusan raja untuk memindahkan istananya berhampiran pelabuhan, seperti di Melaka atau di Banten, kedua-dua bandar yang tadinya terpisah itu lambat laun saling mendekati, sehingga pada saat tertentu, kedua-duanya menjadi sebuah kesatuan. Saat inilah yang digambarkan dalam peta-peta kita. Kita dapat membayangkan bahawa pendekatan baru ini akan membawa kepada perpaduan manusia dan pandangan. Kalau pun berlaku, keadaan ini tidak bertahan lama; bahkan cepat timbul kerusuhan politik yang dalam setiap contoh menampilkan ciri-ciri berlakunya sebuah revolusi. REVOLUSI SOSIAL Meskipun jumlahnya sedikit sahaja, sumber data tentang Aceh di abad ke-16 itu memungkinkan kita memahami kejadian tragik yang menimpa negeri ini. Pada tahun 1520-an, Aceh di bawah pimpinan seorang pangeran putera daerah, menguasai bandar-bandar perdagangan di seluruh wilayah hujung utara Sumatera dan menetapkan diri sebagai kekuatan utama politik dan ekonomi di wilayah ini. Sekitar lima puluhan tahun selepas itu, negerinya menghadapi krisis kegawatan pada saat pergantian takhta. Hanya dalam tempoh setahun, tiga sultan berturut-turut menggantikan kedudukan di atas takhta, di antaranya terdapat seorang budak yang baharu berusia beberapa bulan. Keadaan ini disebabkan oleh persaingan antara ahli kaum elit kerajaan yang disebut Orang Kaya yang semakin berpengaruh dalam bidang politik. Pengaruh ini memuncak sedemikian rupa sehingga mereka merebut hak untuk pemilihan sultan. Pada tahun 1579, mereka memilih seorang yang tua sebagai raja, dengan anggapan bahawa beliau tidak memiliki kekuatan mahupun waktu untuk membangunkan kekuasaan kerajaan yang kuat. Ternyata sangkaan mereka betul-betul salah. Orang yang lanjut usia ini hidup lebih dari lima belas tahun selepas itu dan menunjukkan semangat yang luar biasa tinggi untuk memulihkan kekuasaan raja. Untuk mengakhiri pengaruh berlebihan dari para Orang Kaya ini, beliau memerintahkan pembunuhan yang berlangsung dalam beberapa hari. Menurut sebuah sumber, dalam semalaman sahaja, seribu orang dari kalangan ini telah dibunuh. Mengenai pertanyaan penting tentang identiti Orang Kaya tersebut, terdapat beberapa pendapat yang berbeza. Ada pakar sejarah yang berpuas hati dengan erti luas “kaum elit”, manakala ada yang berpendapat bahawa istilah ini merujuk kepada bangsawan yang memiliki tanah. Namun, ada pula yang mengatakan bahawa istilah ini merujuk kepada kelas menengah. Dengan alasan yang tidak dapat diperincikan di sini, saya menyokong pendapat yang terakhir. Jika penafsiran ini tidak salah, kejadian-kejadian politik ini perlu dilihat sebagai upaya kelas menengah untuk merebut atau mempertahankan kekuasaan politik dan membatasi gerakan raja hanya pada upacara dan lambang negara sahaja, sehingga dapat diberi kepada seorang anak kecil. Sehingga pada zaman itu, Aceh sudah

48

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

berubah menjadi sejenis republik oligarki dengan raja di pucuk pimpinan yang hanya berperanan sebagai lambang. Pembunuhan beramai-ramai yang menandai awal kekuasaan raja yang baharu merupakan upaya pertamanya untuk memulihkan (atau mungkin untuk menegakkan) kekuasaan raja. Beliau gagal mencapai tujuan ini sendiri, dan tugasnya diambil alih serta diselesaikan oleh cucu lelakinya yang mewarisi takhta melalui kekerasan. Beliau memperlakukan kekuasaan raja yang bersifat mutlak di seluruh negeri pada awal abad ke-17. Mudah untuk menemui kesamaan antara kejadian-kejadian ini dan keadaan di Banten. [Pada] tahun 1580, dalam keadaan yang sama, dan lagi-lagi melibatkan pergantian tampuk kekuasaan, kaum elit bandar ini memilih raja yang masih budak dari kalangan putera yang berhak ke atas takhta, manakala calon penentang lainnya memiliki kemampuan untuk memerintah. Mereka membentuk suatu dewan pemangku raja yang tentunya berpihak penuh untuk kepentingan mereka. Dengan tidak adanya kekuasaan raja yang kuat, kelompok ini menguasai negeri ini selama paling tidak tiga puluhan tahun lamanya. Dalam hal Banten, kedudukan sosial kaum elit ini jelas: penguasa baharu terdiri di atas para pedagang dan kaum yang menyokong kegiatan perniagaan. Pendek kata, mereka menjadi ahli kelas menengah borjuis. Seperti Aceh, Banten telah berubah menjadi seperti republik yang bersifat oligarki. Kaum elit borjuis ini berhasil mempertahankan kuasa atas urusan Banten sehingga munculnya seorang putera yang bersemangat tinggi dan menentang mereka dengan pasukan tenteranya. Kaum borjuis itu tidak mampu melawan dalam perang saudara yang kemudiannya menyusul dan terpaksa menyerah. Pangeran ini melantik dirinya sendiri sebagai pemimpin dari sebuah dewan pemangku raja yang baharu dan membuang kerajaan sebelumnya yang terdiri daripada golongan rakyat jelata dan penyokong mereka ke wilayah dekat negeri itu pada tahun 1609. Menurut sebuah dokumen Belanda, tujuh ribu orang terpaksa meninggalkan Banten. Setelah itu, raja itu menjalankan kekuasan mutlak di Banten. Revolusi sosial ini tercermin dalam peta luar biasa yang kita miliki ini. Meskipun jauh dari lengkap, peta yang paling awal dari Banten yang digambarkan oleh orang Belanda pada saat pelayaran pertama mereka ke Nusantara pada akhir abad ke-16, iaitu sebelum revolusi sosial, dengan jelas memperlihatkan pembahagian bandar ini menjadi tiga bahagian, dengan keterangan yang tertulis pada peta ini menjelaskan tentang lokasi kediaman tokoh-tokoh penting di bandar ini, serta menunjukkan bahawa beberapa pedagang asing yang besar tinggal di bahagian dalam bandar berbenteng, iaitu di dalam bandar raja. Dengan kata lain, mereka mengambil bahagian dalam kekuasaan politik. Dalam dua contoh ini, kita dapat melihat adanya perubahan drastik yang berlaku pada kedua-dua kerajaan niaga di Dunia Melayu selama dekad-dekad yang terakhir pada abad ke-16 dan di peralihan abad ke-17. Dalam kedua-dua contoh ini, kita dapat menyaksikan kegagalan kelas menengah untuk menyusun diri sebagai kekuatan politik yang berkuasa secara tetap. Kedua-dua usaha itu tidak bertahan lama, dengan kelas menengah terpaksa menyerah secara mutlak kepada kekuasaan raja atau hilang dalam erti sesungguhnya, baik kerana dibunuh

Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar Perdagangan

49

seperti yang berlaku di Aceh, atau dibuang seperti yang dialami di Banten. Kekalahan yang mereka alami itu menghapuskan salah satu manfaat terbesar yang dapat diberikan oleh masyarakat bandar kepada ahlinya, iaitu peluang yang lebih besar untuk bergerak dalam hierarki sosial. Pada saat yang sama, kita melihat juga tumbuhnya sistem politik autokratik yang sangat mirip dengan sistem yang terdapat di kerajaan pertanian di Dunia Melayu. Pada tahap ini, perlu ditambahkan sebuah catatan penting, iaitu dokumen yang menjelaskan kepada kita bahawa di Banten, pemimpin dari pihak yang bersedia membatasi kekuasaan raja itu terdiri daripada pedagang, orang asing, atau peribadi yang memiliki darah campuran. Di kalangan mereka, terdapat kedua-dua pegawai tertinggi di negeri itu, yang berasal dari pantai Coromandel di India. Hal ini tidak mengejutkan dan mengingatkan bahawa hanya penduduk yang aktif yang dapat membentuk kelas menengah, dan kegiatan perekonomian pada dasarnya terbatas pada orang-orang yang bukan berasal dari negeri ini. Kami tidak memiliki keterangan yang sama terperincinya mengenai Aceh, tetapi banyaknya persamaan antara kedua-dua gerakan ini membawa kita kepada perkiraan bahawa pelakunya seharusnya adalah orang asing. Reaksi daripada pihak istana tidak berhenti di sini sahaja. Para raja Aceh dan Banten berupaya menetapkan kebijakan monopoli dengan mengambil alih kekuasaan untuk keuntungan kerajaan dari penjualan lada, komoditi yang paling berharga yang dihasilkan di dua buah negeri ini. Meskipun berlaku tindakan berulang, monopoli negara ini tidak pernah menimba hasil yang meyakinkan, paling tidak dari segi ekonomi. Pada saat sistem yang baru itu diterapkan di kedua-dua buah kerajaan, kedatangan pendatang baru – bangsa Eropah utara – di perairan Nusantara telah membawa serangkaian masalah bagi penguasa dan menyebabkan mereka mengambil tindakan yang sangat keras. Anehnya, dokumen-dokumen yang berkaitan dengan saat yang penting ini cukup sulit ditemui. Dokumen yang menjelaskan tentang alasan di sebalik keputusan yang radikal untuk menuntut hak atas pendapatan dari lada itu bahkan lebih sedikit lagi. Selama dekad-dekad awal abad ke-17, para raja, baik di Aceh mahupun di Banten, memerintahkan penebangan tanaman lada di negeri mereka untuk menghentikan atau paling tidak mengurangi penghasilan rempah ini secara ketara. Alasan utama dilakukannya tindakan ekonomi bunuh diri ini adalah perilaku liar dari tentera Belanda dan Inggeris, baik terhadap satu sama lain mahupun terhadap kerajaan, dalam upaya mereka untuk memperoleh bekalan lada. Oleh kerana memandang diri tidak boleh menguasai para pedagang yang kasar dan jarang memanfaatkan kekuatan senjata mereka ini, maka para raja lebih memilih untuk membinasakan bahan yang menjadi sasaran dan daya tarikan bagi mereka. Dengan sendirinya, perekonomian kedua-dua negeri ini jatuh, dan keadaan di Aceh tidak pernah benar-benar dapat dipulihkan, manakala Banten baharu pulih setelah mereka mengalami kesulitan perekonomian yang menyakitkan selama beberapa dekad, dan baharu setelah itu diambil keputusan untuk menanam pokokpokok lada yang baru.

50

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

Semua peristiwa ini mencerminkan perdebatan faham, yang dalam hal ekonomi melibatkan monopoli kerajaan melawan usaha bebas, dan dalam hal politik, monarki melawan oligarki. Mungkin menarik bagi kita untuk mengamati perdebatan ini secara lebih mendalam. KRISIS FAHAM Nampaknya tidak perlu membincangkan kefahaman pemikiran para pedagang, yang jelas-jelas didasari oleh keberhasilan peribadi dan penguasaan politik. Saya lebih memilih untuk berusaha menjelaskan faham sosial yang dianuti masyarakat Melayu yang nampaknya lebih sulit difahami. Analisis tentang bandar-bandar Melayu itu dapat membantu kita dalam hal ini. Dilihat dari sudut pandangan pihak luar, paling tidak, ciri yang paling menonjol dari Banten dan Aceh adalah penampilan kedua-dua bandar ini yang tidak biasa. Rumah yang diperbuat dari bahan tumbuhan, tertutup dari pandangan mata kerana tersembunyi di sebalik pokok buah-buahan dan semak belukar. Sumbersumber asing, baik Eropah mahupun China, menceritakan tentang kehairanan para pengunjung ketika menghadapi penduduk yang padat di satu tempat yang tidak kelihatan sebagai bandar, melainkan sekadar kampung-kampung yang sangat luas. Jalan-jalan nyaris tidak ada. Kalau pun ada, jalan yang jarang ada mengarah ke kompleks istana dan lebih memiliki kegunaan ritual daripada kegunaan yang lain. Bahkan jalan-jalan ini tidak diperkeras atau dialasi bebatuan, melainkan sekadar jalan tanah yang memang cukup nyaman untuk pejalan kaki yang tidak mengenakan alas kaki, tetapi terdapat pula debu atau lumpur, bergantung pada musimnya. Batu pada umumnya jarang ada – bahkan tidak ada – pada bangunan dan monumen. Akibatnya, di tapak-tapak ini hampir tidak ada bangunan tetap yang meninggalkan kesan dari zaman dahulu, kecuali bangunan misteri, berupa tugu kecil berbentuk bulat yang disebut “gunungan” di Aceh, dan di Banten berupa menara batu yang didirikan di depan masjid. Tentunya kerosakan berlaku, disebabkan oleh waktu, perang dan kejadian-kejadian lain, tetapi sumber-sumber sezaman tidak memberikan petunjuk mengenai adanya lebih banyak bangunan tetap di masa lalu. Bangunan rasmi, seperti istana dan tempat pemujaan, pada hakikatnya diperbuat dari kayu, begitu pula halnya dengan rumah-rumah peribadi di bandar. Para penguasa tidak pernah berfikir untuk mendirikan monumen yang keaslian, ukuran, atau keindahannya dapat menghiasi bandar dan mengekalkan namanya menerusi zaman. Makam adalah satu-satunya bangunan yang mewujudkan konsep monumen. Bahawa hal ini menjadi pilihan yang diambil secara sengaja, terbukti dengan kenyataan bahawa bangsa Melayu telah biasa menunjukkan kepiawaian mereka dalam pembuatan bangunan ibadah dari bahan batu. Di samping itu, untuk melihat hasil pemikiran yang sangat berbeza tentang sebuah bandar, kita hanya perlu melihat sekilas Pacinan di seberang sungai

Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar Perdagangan

51

yang menampilkan deretan rumah batu yang dibangunkan di kedua-dua sisi jalan lurus. Keterikatan kepada lingkungan semula jadi ini, bahkan pada tanah, dapat ditemui lagi di beberapa aspek lain dari sejarah negeri-negeri Melayu. Kita baharu sahaja menyentuh tentang saat tragik ketika kedua-dua raja Aceh dan Banten memerintahkan penebangan pokok lada di wilayah kekuasaan mereka. Pada masa yang sama, mereka mengambil keputusan untuk mengubah pedagang yang kehilangan mata pencarian menjadi petani. Kita dapat sahaja menjelaskan sikap ini sebagai hasrat para raja untuk menjadikan kerajaan mereka mandiri. Tetapi, di sebalik keputusan yang dapat diertikan sebagai tindakan pemerintah yang baik, tersembunyi juga kecurigaan terhadap perdagangan dan keinginan untuk beralih semula ke bumi dan tanah. Di dalam hikayat kerajaan dari negeri penghasil lada yang lain, iaitu Banjarmasin, juru tulis istana mengingat akan kata-kata bijak dari raja terdahulu yang menentang bahayanya penanaman lada, tetapi memuji-muji manfaat penanaman padi. Contoh yang lebih jelas lagi, terdapat dalam tindakan Sultan Ageng di Banten. Selama bertahun-tahun pertama pemerintahannya, beliau memperlakukan sistem monopoli dalam perdagangan lada, tetapi ketika menghadapi kegagalan, beliau mengikuti nasihat para penasihatnya orang Cina dan beralih kekebijakan yang lebih bebas. Peralihan ini memberikan kesempatan kepada Banten untuk menjadi kerajaan perniagaan asli yang terbesar di Dunia Melayu selama abad ke-17. Sultan Ageng juga merupakan raja Melayu yang pertama yang menunjukkan keinginan untuk memiliki kumpulan kapal dagangnya sendiri, sebuah keputusan yang memungkinkannya untuk meraih keuntungan, bukan sahaja daripada hasil memetik tanaman, sebagaimana biasanya, tetapi juga daripada pengangkutan mata dagangan ini ke pasaran pengguna, dan akhirnya, dari perdagangan mata dagangan lain. Kegiatan yang terakhir disebutkan ini menjadi jauh lebih menguntungkan. Pertama kali pandang, raja ini dikesan memiliki cara berfikir sebagai pedagang sejati. Akan tetapi, kenyataan ini nampaknya jauh berbeza. Dalam urusan-urusan ini, peranannya terbatas kepada sokongan yang diberikannya kepada usaha dagang yang dijalankan oleh sejumlah pedagang Eropah dan Cina. Beliau hanya menanamkan modal dalam usaha ini, dengan harapan tentunya, untuk mendapatkan hasil daripada modal yang ditanamkannya. Ketika pelaku sesungguhnya hilang, raja menjual kapal-kapalnya dan usaha ini pun beku. Sekali pun sepanjang pengetahuan kita, raja ini tidak pernah melibatkan diri dalam perdagangan, di samping menanamkan modal, beliau memperlihatkan semangat yang tinggi dalam kegiatan pertanian. Tidak ada hentinya beliau melancarkan projek baru, menggali terusan, mendirikan bendungan, membuka hutan, membebaskan tanah baru, membangunkan kampung-kampung baru, tempat pindahnya ribuan penduduk bandar. Beliau bahkan memutuskan untuk memindahkan istananya ke salah satu kampung baru dan berdiam di sana, jauh dari bandar yang sibuk, sambil mengabdikan diri kepada projek pertanian.

52

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

Demikian bersemangatnya raja ini sehingga perilakunya mendapatkan cukup banyak sindiran tajam daripada pedagang. Pada pendapat saya, hubungan erat antara masyarakat dan tanah adalah salah satu unsur utama pemahaman tentang kerajaan Melayu. Meskipun setelah revolusi, perdagangan dan hubungan luar negeri masih diteruskan dari semua bandar Melayu, para pedagang disisihkan, tersingkir ke pinggiran negara, dan diterima hanya apabila mereka sendiri menerima faham politik yang baru. Daripada satu sudut, mereka disingkirkan dari masyarakat yang “sesungguhnya”, tetapi pada saat yang sama, mereka menikmati banyak hak istimewa kerana kerajaan bergantung pada mereka untuk sebahagian besar anggaran pendapatan negara. Keadaan yang aneh ini nampaknya lebih mudah diterima oleh para pedagang Cina berbanding dengan pedagang India, sebagaimana terlihat di Banten. Para pedagang Cina mengambil alih kedudukan pedagang India setelah revolusi. Mereka berperanan sebagai pegawai raja dan bangsawan, dan tidak pernah menuntut kekuasan politik yang lebih besar atau integrasi yang lebih dalam masyarakat. Mereka menikmati seperti monopoli dalam semua kegiatan, selain pertanian, kerana tidak menghadapi persaingan peribumi yang harus dikhuatirkan. Meskipun hak kewarganegaraan mereka terbatas, keadaan mereka ini dapat menimbulkan iri hati di kalangan calon pendatang yang sebahagian besarnya terdiri daripada bangsa Cina, yang pada tahun-tahun berikutnya terus berdatangan bagaikan arus air yang tidak putusputusnya. Dapat kita lihat sisi yang kurang baik di sini adalah bahawa manfaat kehidupan masyarakat bandar tidak menembusi ke dalam bandar-bandar besar ini. Masyarakat-masyarakat ini tidak memberikan banyak keuntungan, selain daripada apa yang dapat diberikan oleh perkampungan untuk meningkatkan kehidupan dan perkembangan perorangan. Pendidikan terbatas kepada pengajaran doa, dan pembahasan keagamaan sebahagian besarnya sekadar mengulangi yang sudah bertulis dalam buku-buku. Anehnya, tidak ada lembaga yang diperuntukkan bagi peningkatan kesejahteraan masyarakat: tidak ada rumah sakit, rumah asuhan, atau tempat tinggal orang tua Melayu, meskipun lembagalembaga ini sudah ada di Sri Lanka atau di China, misalnya, dan meskipun pendatang dari negeri-negeri ini tinggal di bandar-bandar Melayu. Ternyata pandangan masyarakat pertanian di masing-masing bandar, yang ditonjolkan oleh penguasa dan pembahagian masyarakat berdasarkan suku bangsa banyak berperanan dalam menghalang evolusi bertahap. Setelah kajian sepintas tentang susunan masyarakat ini, menarik apabila kita melihat aspek tindakan perekonomian. Bandar-bandar perdagangan ini merupakan negeri yang agak kecil, tetapi sumber-sumber sezaman menggambarkan negeri-negeri ini sebagai negeri yang makmur, dan beberapa sumber memberikan perincian tentang kekayaan raja yang dapat ditimbangkan dalam jumlah ton emas, atau dalam mata wang perak yang disimpan dalam jumlah yang cukup besar sehingga memungkinkan negara itu untuk bertindak

Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar Perdagangan

53

sebagai bank yang meminjamkan banyak wang kepada pedagang. Hal ini menimbulkan pertanyaan tentang cara pemanfaatan kekayaan ini. Sebagaimana baharu sahaja kita lihat, tidak terdapat badan yang mengurus kesejahteraan masyarakat, dan tidak juga terdapat bangunan atau monumen yang berprestij. Bekalan tenaga kerja untuk pekerjaan umum dan tentera untuk berperang disediakan oleh para bangsawan daripada penduduk setempat yang mereka perintah. Ini bermakna bahawa kos tenaga kerja ini tidak mungkin menjadi beban berat bagi anggaran kerajaan. Senjata api memang kena diimport, tetapi apabila diselidiki secara saksama, sumber-sumber menunjukkan bahawa di samping pembelian sejumlah meriam, banyak juga yang disumbangkan atau yang direbut daripada musuh. Sumber pengeluaran yang terbesar mungkin adalah perlengkapan perhiasan dan kemegahan sekeliling peribadi raja dan bangsawan yang digunakan dalam upacara dan pesta-pesta rasmi. Meskipun demikian, patut diragukan bahawa pakaian yang berhiaskan emas, perhiasan, perlengkapan kuda atau gajah, kapal dengan hiasan lapis emas, serta barang-barang mewah lainnya mampu menghabiskan kekayaan bandar-bandar dagang yang makmur ini. Kalau kita tidak salah mentafsirkan sumber data yang ada, perlu disimpulkan bahawa kekayaan ini dibahagikan dalam jumlah yang tidak begitu besar, tetapi secara teratur, sehingga tidak meninggalkan jejak pada sumber sejarah atau pada peninggalan di tapak-tapak purbakala. Seandainya kesimpulan ini benar, akan sesuai sekali dengan rangka susunan masyarakat pada umumnya, sebagaimana yang kita sudah gambarkan, dan ini menjawab keganjilan berkenaan dengan sumber pendapatan masyarakat setempat. Belum jelas daripada mana sumber pendapatan orang Banten. Ketika menggambarkan bandar di Jawa ini, pengunjung dari Eropah menyebut dengan sindiran yang tajam tentang kemalasan penduduknya. Tidak pada tempatnya bagi kita di sini untuk memasuki perdebatan tentang pandangan dunia Barat mengenai dunia tropika; cukup dicatatkan bahawa istilah “malas” ini tidak digunakan untuk kampung-kampung bangsa asing. Oleh sebab itu, istilah ini sebenarnya menggambarkan gaya hidup yang nampaknya istimewa dan sulit difahami oleh orang Barat. Tentang Banten, sudah dicatatkan bahawa para bangsawan memperoleh sumber pendapatan mereka daripada kampung, kebun lada, atau tambak garam. Tetapi, sangatlah diragukan bagaimana pendapatan mereka ini dapat menutup pengeluaran mereka dan pengeluaran begitu banyak anak buah mereka. Digambarkan dalam sebahagian besar sumber bahawa kaum bangsawan ini bukan sangat kaya, tetapi tidak juga menggambarkan penduduk Jawa sebagai orang yang miskin, sebagaimana mereka melukiskan kehidupan buruh yang hidup di luar bandar kerajaan. Hal ini membawa kita kepada kesimpulan bahawa raja, atau negara, memberikan wang kepada para bangsawan dengan cara tertentu. Dengan demikian, beliau membantu mereka dengan cara yang menyerupai hubungan antara para bangsawan dan anak buah serta pelayan mereka. Semua ini bermakna bahawa hierarki yang tidak berubah dapat dipertahankan melalui pembahagian harta yang baik, dan bahawa pada

54

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

akhirnya, raja atau negara menanggung paling tidak sebahagian daripada keperluan seluruh penduduk Banten di bandar. ISLAM Sering disebutkan bahawa Islam, yang lahir dalam konteks Barat, merupakan pembawa konsep dan pemikiran dari wilayah ini, termasuk konsep individualiti, keunggulan manusia di atas semua makhluk, dan waktu yang terarah. Sebahagian besar daripada konsep ini bertentangan dengan sikap berfikir yang dikembangkan atau disesuaikan di Dunia Melayu sebelum masuknya Islam ke wilayah ini. Di bandar-bandar yang dibahas di sini, serta dalam kurun waktu yang bersangkutan, agama Islam sudah berakar di dalam masyarakat. Oleh sebab itu, ada manfaatnya apabila kita mencermati seberapa jauh dan ke arah mana evolusi sikap berfikir berlaku di bawah pengaruh Islam. Dalam hal ini, karya sastera dapat membantu kita. Secara sekilas, semua karya sastera yang dihasilkan di ketiga-tiga bandar ini dapat digambarkan sebagai sastera Islam, kerana karya-karya ini dikesan saling bersaing dalam memaksakan kepatuhan terhadap agama ini. Tetapi, pengamatan yang lebih saksama itu memungkinkan kita untuk membezakan dua aliran utama. Aliran pertama melingkupi karya yang berupaya memasukkan Dunia Melayu dalam keutuhan besar yang terdiri daripada bangsa-bangsa Muslim, yang kerana itu berusaha memberikan acuan yang sama kepada dunia mereka. Kita dapat menemui terjemahan atau adaptasi dalam bahasa Melayu daripada buku-buku yang ditulis di Timur Dekat, salasilah yang menghubungkan raja-raja Melayu dengan wira —yang tersohor kerana perbuatan keagamaan atau keduniawian— dari Timur Dekat, begitu pula karya-karya yang menggambarkan tokoh-tokoh yang melakukan perjalanan panjang dan berbahaya untuk melukiskan kebesaran dunia yang bertamadun. Kisah-kisah ini setaraf dengan karya yang berasal dari negara-negara Islam. Karya sastera ini, yang memuji kebaikan akhlak, keberanian, kebijaksanaan atau kecerdikan perorangan, dan menyajikan kepada pembaca atau pendengarnya sebuah dunia yang ditentukan oleh kefahaman yang dianutinya dan bukan oleh batas kesukuan, hampir dapat dipastikan muncul di abad ke-15 dan nyaris hilang secara pasti di pertengahan abad ke-17. Aliran kedua pada dasarnya berasal daripada lingkungan istana dan bertujuan untuk memuliakan salasilah keturunan raja, tetapi dirancang dalam ruang yang sempit, iaitu terbatas di tingkat “negara” atau Dunia Melayu. Kelompok karya ini tentunya terdiri atas semua hikayat kerajaan yang terdapat di kesemua bandar yang kita membahaskan di sini. Menghairankan sekali bahawa dalam karya-karya ini tidak disebutkan tentang negara-negara asing yang memiliki hubungan usaha berlanjutan dengan bandar-bandar ini, atau tentang masyarakat yang berbagai-bagai, yang membawa kemakmuran kepada bandar-bandar ini.

Pola Perbandaran dan Pemerintahan di Bandar-Bandar Perdagangan

55

Jenis sastera ini, yang mencerminkan kefahaman yang dianuti di lingkungan istana, mungkin sezaman dengan aliran di atas, tetapi sastera ini menjadi sangat menonjol di Dunia Melayu pada abad ke-17. Pada pandangan saya, pembahasan singkat, bahkan terlampau singkat ini, cenderung menunjukkan bahawa selama jangka waktu yang agak singkat itu setelah masuknya agama Islam, agama ini berjaya mengubah sikap berfikir dengan cara mengintegrasikan bandar-bandar Melayu ke dalam Dunia Muslim, yang terbentang dari Laut Tengah hingga ke pantai-pantai Samudera Pasifik, dengan pangkalannya di Barat. Kelak kemudian, lama-kelamaan Islam disesuaikan dengan budaya setempat melalui dua aspek yang diutamakan: mematuhi upacara amal dan mengikuti aliran tasawuf yang cenderung menghapuskan jarak antara Yang Maha Kuasa dan makhluk ciptaannya. Melalui cara ini, pengajaran Islam terbatas pada pentafsiran monistik yang dapat diterima dengan senang oleh penganut agama lain. Contoh lain, selain sastera, menunjukkan proses yang sama iaitu penilaian semula nilai dan budaya setempat. Mengenai Pasai, kerajaan utama di Sumatera bahagian utara sebelum Aceh, karya Sejarah Melayu menyatakan bahawa di masa-masa awalnya, bahasa Arab dan Parsi digunakan di sana. Keadaan ini ditegaskan oleh pengunjung dari Maroko, Ibn Battuta, yang selama lawatannya ke bandar ini pada abad ke-14 nampaknya tidak menemui kesulitan bahasa di dalam pelbagai lingkungan masyarakat yang didatanginya. Pernyataan dalam Sejarah Melayu ini juga menyiratkan bahawa keadaan telah berubah pada saat penulisannya, dan bahawa pada abad ke-15, bahasabahasa asing ini kurang atau tidak lagi difahami oleh kaum elit. Kenyataan ini digambarkan dengan jelas oleh penyair pakar tasawuf, Hamzah Fansuri, yang memilih untuk menulis dalam bahasa Melayu, agar dapat difahami oleh orang yang tidak mengerti bahasa Arab atau bahasa Parsi. Lagi-lagi Sejarah Melayu menyebutkan bahawa di Melaka, seorang bangsawan dikirakan terpelajar apabila beliau mengetahui sedikit sebanyak tentang bahasa dan tatabahasa Arab. Di Aceh, berlawanan dengan kesultanan lain, terdapat kebiasaan umum untuk mendirikan batu nisan yang diukir dengan tulisan ayat-ayat suci dan nama serta tarikh masa hidup orang yang dimakamkan. Semua teks ini ditulis dalam bahasa Arab hingga abad ke-16. Pada abad ke-17, terdapat kecenderungan baru dengan munculnya gaya seni khat yang hanya mempertahankan gambar lambang daripada bahasa aslinya, yang tentunya tidak dapat dibaca dan tidak bermakna. Masih di Aceh, manakala semua karya sebelum itu ditulis dalam bahasa Melayu, satu bahasa yang digunakan untuk percakapan dalam wilayah yang luas, untuk pertama kali dalam abad ke-17, muncul sebuah buku yang ditulis dengan menggunakan bahasa setempat, iaitu bahasa Aceh. Sejak saat itu, bahasa ini menjadi bahasa utama untuk karya sastera. Dengan demikian, pemakaian bahasa di hujung utara Sumatera beralih secara bertahap daripada bahasa antarabangsa, iaitu Arab atau Parsi, ke sebuah bahasa Nusantara, sebelum akhirnya memilih bahasa setempat.

56

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

Patut diamati bahawa evolusi sosial dan evolusi agama Islam berlaku pada waktu yang sama di bandar-bandar tersebut. Apa yang saya sebutkan sebagai republik oligarki menjadi monarki yang autokratik, manakala Islam berkembang daripada sebuah kepercayaan asing, yang bersifat revolusioner kerana konsepkonsepnya yang baru, menjadi agama yang diubah untuk disesuaikan dengan sikap berfikir masyarakat setempat. Begitu pula halnya dengan peralihan bahasa di wilayah ini, daripada sebuah bahasa antarabangsa menjadi sebuah bahasa daerah. Semua contoh ini menunjukkan bahawa rujukan-rujukan kepada sebuah wilayah geografi yang luas itu merosot dan kemudian hilang untuk memberikan tempat kepada penonjolan semula nilai-nilai lama setempat. Seperti yang telah disebutkan di atas, sistem perekonomian dan politik yang dibangunkan atau diterapkan semula di bandar-bandar perniagaan selama abad ke-17 itu dipinjam daripada sistem negara-negara pertanian Dunia Melayu, khususnya dari Jawa, tetapi juga dari wilayah lainnya. Untuk menerapkan model ini dalam konteks bandar dan perdagangan, perlu digunakan kriteria pekerjaan dan suku bangsa. Membahagi penduduk dengan cara ini menyusahkan berlakunya mobiliti sosial di dalam masyarakat setempat: kelas menengah tercantas dan pedagang asing dicegah untuk memegang peranan politik. Kesultanan perdagangan berada pada tahap evolusi sosial ini ketika orang Eropah memaksa kekuasaannya di kawasan tersebut. Susah memperkirakan bagaimana kesultanan tersebut dapat berubah apabila mereka berjaya mempertahankan kemerdekaan mereka. Namun demikian, jelas bahawa dengan meyakini sokongan bangsawan setempat untuk jangka waktu yang panjang, penjajahan membawa kesan-kesan yang bertahan lama melalui pembekuan struktur sosial, yang sebagaimana baru sahaja kita lihat, mengandungi benih evolusi yang sangat berbeza. N O TA *

Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam majalah Indonesia, 80 (2005): 39-51, dengan judul “Urban Patterns and Polities in Malay Trading Cities, Fifteenth through Seventeenth Centuries”. Terjemahan dalam bahasa Indonesia oleh Maria E. Sundah telah diterbitkan dalam Claude Guillot, Banten – Sejarah dan Peradaban (abad X – XVII), Jakarta, EFEO/Forum Jakarta-Paris/KPG/Pusat Penelitian dan Pengembangan Arkeologi Nasional Indonesia/Banten Heritage, 2008: 217-235. Terjemahan dalam bahasa Melayu ini dihasilkan oleh Daniel Perret (EFEO Kuala Lumpur, 2011), berasaskan teks asli dalam bahasa Inggeris dan terjemahan dalam bahasa Indonesia.