Profil Kecerdasan Emosi Guru Pelatih Bahasa Mengikut …

tinjauan ini melibatkan 235 orang guru pelatih. Soal selidik dibina untuk mengukur kecerdasan emosi dan pencapaian bahasa. Statistik deskriptif sepert...

0 downloads 15 Views 213KB Size
GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

57

Profil Kecerdasan Emosi Guru Pelatih Bahasa Mengikut Tahun Pengajian Muhammad Idham [email protected] Universitas Syiah Kuala, Banda Acheh Indonesia Zamri Mahamod [email protected] Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Melor Md. Yunus [email protected] Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff [email protected] Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kecerdasan emosi guru-guru pelatih bidang bahasa Indonesia di Universitas Syiah Kuala mengikut tahun pengajian. Kajian tinjauan ini melibatkan 235 orang guru pelatih. Soal selidik dibina untuk mengukur kecerdasan emosi dan pencapaian bahasa. Statistik deskriptif seperti kekerapan, peratusan dan min digunakan untuk menerangkan profil responden. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kecerdasan emosi guru pelatih bidang bahasa Indonesia berada pada tahap tinggi. Kecerdasan emosi guru pelatih dari segi kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan secara keseluruhan berada pada tahap tinggi. Selain itu, dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan dari segi kecerdasan emosi, regulasi kendiri dan empati antara guru pelatih berdasarkan tahun pengajian. Sebaliknya, tidak terdapat hubungan yang signifikan dari segi motivasi kendiri, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan antara guru pelatih berdasarkan tahun pengajian. Katakunci: kecerdasan emosi, guru pelatih, pencapaian akademik, pencapaian bahasa.

ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

58

The Profile Of Language Trainee Teachers’ Emotional Quotient According To Level Of Study Abstract This study aims to investigate the level of emotional quotient of language trainee teachers. This study involved 235 language trainee teachers at the University of Syiah Kuala. A questionnaire was used to measure emotional quotient and language achievement. Descriptive statistics of frequency, percentage and mean were used to report the respondents’ profile. The descriptive findings show that the emotional intelligence of language trainee teachers in term of self awareness, self regulation, self motivation, empathy, social skills, spritual and maturity are at a high level. The analysis shows that there is a significant relationship between emotional inteligence upon years of the study. However, there is no significant relationship between self motivation, social skills, spritual and maturity upon years of the study. Keywords: emotion quotient, trainee teachers, academic achievement, language achievement.

Pengenalan Pendidikan merupakan suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan kepakaran dan keterampilan khusus. Pendidikan memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara baik negara yang sedang berkembang maju mahupun negara-negara yang sudah maju. Pada asasnya, sistem pendidikan ingin melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi. Mutu pendidikan yang baik secara langsung atau tidak langsung akan memberikan sumbangan kepada pembentukan generasi cemerlang. Mutu pendidikan yang cemerlang pula banyak bergantung kepada produktiviti yang tinggi dalam kalangan pendidik, terutama para guru (Wan Ashibah, 2003). Demi tercapainya matlamat pendidikan, sangat mustahak institusi-institusi pendidikan menghasilkan sumber manusia dan bakal guru yang berpengetahuan, berketerampilan, berkeupayaan untuk berfikir dan menyelesaikan masalah serta memiliki kecerdasan emosi untuk membuat keputusan. Kecerdasan emosi dijadikan sebagai asas pemerolehan ilmu pengetahuan. Kecerdasan emosi dapat dijadikan sebagai wahana bagi mewujudkan pendidikan yang berkualiti (Hamzah, 2006). Menurut Goleman (1998), emosi ialah suatu perasaan dan pemikiran yang tersendiri, kedaan psikologis dan biologis serta rangkaian kecenderungan untuk mendorong seseorang melakukan tindakan. Setiap tindakan guru adalah penting kerana guru mencerminkan personaliti yang dikatakan sebagai contoh ikutan (role model) kepada pelajarnya. Kejayaan seorang guru melahirkan generasi dengan modal insan bukan sekadar diukur daripada pencapaian intelek, tetapi juga tahap kecerdasan emosi insan tersebut. Untuk membangun dan melahirkan insan yang memiliki kecerdasan emosi, guru ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

59

sendiri mesti memiliki kecerdasan emosi yang tinggi. Noriah (2005) dalam kajiannya menyebutkan bahawa profesion perguruan merupakan satu profesion yang tidak mempunyai masa yang jelas antara masa bekerja dan masa tidak bekerja. Selain daripada mengajar pada waktu pagi, guru juga dikehendaki datang ke sekolah pada waktu petang, pada hujung minggu dan pada hari-hari cuti untuk menjalankan kegiatan kokurikulum seperti badan beruniform, kelab dan lain-lain. Selain itu, seseorang individu yang menjadi guru akan memiliki tugas yang kompleks dan penuh dengan cabaran. Mereka bukan sahaja bertugas sebagai pengajar, tetapi juga perlu melakukan kerja-kerja lain seperti pentadbiran, perkeranian, menjalankan kegiatan kokurikulum dan melibatkan diri dalam persatuan ibu bapa dan guru (Zamri, Norasmah & Mohammed Sani, 2007). Kualiti guru bahasa Indonesia dalam dunia pendidikan dirasakan masih banyak yang belum memenuhi standard. Parameter profesion bagi seorang guru yang sesuai dengan Undang-Undang Guru dan Dosen Nombor 14 tahun 2005 ialah guru wajib memiliki loyaliti dan dedikasi, kualifikasi akademik, kompetensi, sijil pendidikan, tanggung jawab, sihat jasmani dan rohani serta memiliki kemampuan untuk mewujudkan tujuan pendidikan nasional. Untuk menjadi pendidik yang profesional dan mewujudkan tujuan pendidikan nasional, guru perlu mengembangkan kecerdasan pelbagai sebagai bekalan untuk berkhidmat dalam dunia pendidikan (Usman, 2006). Guru yang memiliki ciri kecemerlangan merupakan tonggak utama dalam sesebuah sekolah yang progresif. Salah satu faktor untuk mencapai kecemerlangan adalah kecerdasan emosi. Oleh itu, setiap guru perlu menghayati kecerdasan emosi ini. Bagi mengenal pasti komponen kecerdasan emosi yang perlu dimiliki oleh guru, Teori Kecerdasan Emosi Goleman boleh dijadikan panduan untuk mengukurnya. Justeru, kebolehan guru untuk berinteraksi dengan pelajar sangat dipengaruhi oleh keadaan dan kestabilan emosi seorang guru pelatih Bahasa Indonesia di Universitas Syiah Kuala, Acheh, Indonesia.

Pernyataan Masalah Seorang guru mestilah memiliki karakter dan profesional dalam mengajarkan pelajarpelajar di sekolah. Guru yang berkarakter adalah guru yang cerdas, mandiri serta berwawasan luas (Usman, 2006). Beliau juga menambahkan bahawa seorang guru yang berkarakter bererti dirinya juga telah memiliki kompetensi dan profesional. Oleh itu, guru mesti menguasai bahan pelajaran yang akan diajarkan kepada anak didiknya. Penguasaan bahan pelajaran merupakan kompetensi yang amat penting bagi seorang guru. Faktor kecerdasan emosi boleh dilihat sebagai salah satu faktor yang mempengaruhi pembelajaran seseorang yang akan membawa implikasi terhadap pencapaian akademik mereka. Pencapaian akademik yang cemerlang sering dikaitkan dengan kecerdasan pelajar yang tinggi, manakala faktor kecerdasan emosi tidak diberikan penekanan sewajarnya. Walau bagaimanapun, para pakar psikologi telah menyedari akan ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

60

kepentingan peranan kecerdasan emosi pelajar dalam menjayakan pencapaian akademik mereka. Menurut Mulyasa (2005) pula, masih banyak guru yang kurang motivasi secara peribadi untuk mengembangkan profesion mereka sebagai guru. Mulyasa berpendapat guru-guru di Idonesia umumnya masih kurang mampu menulis karya-karya ilmiah dalam bidang pembelajaran, menggunakan teknologi terkini yang sesuai untuk alat pembelajaran dan menciptakan karya seni. Hanya sedikit guru di Indonesia yang bersungguh-sungguh, penuh kesedaran diri dan berterusan dalam mengembangkan profesionnya. Guru yang mempunyai hubungan baik dengan pelajar boleh membimbing dan membantu mereka dalam pencapaian akademik. Selain itu, sikap mesra kepada pelajar juga akan dapat menarik minat mereka untuk belajar. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi dan sikap pelajar untuk belajar (Atef al-Tamimi & Munir, 2010). Guru juga perlu bijak mengawal emosi diri dengan mengkaji situasi persekitaran pelajar supaya menimbulkan minat pelajar dalam mata pelajaran yang diajarkan (Usman, 2006). Purwanto (1990) menyatakan bahawa sesetengah daripada guru mempunyai emosi yang negatif dari segi pergaulan dengan guru-guru lain. Mereka selalu berdepan dengan masalah apabila bekerja dengan guru-guru lain dalam menjalankan tugas di sekolah. Perkara ini bermula daripada perasaan rendah diri diikuti oleh sikap mengasingkan diri daripada rakan sekerja, mengalami kemurungan, menghadapi masalah sosial dan akhirnya akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Seorang guru diharapkan mesti mengetahui semua latar belakang kecerdasan yang dimiliki oleh pelajar, mengembangkan model mengajar dengan pelbagai kecerdasan, bukan hanya dengan kecerdasan yang dimiliki oleh guru. Untuk mengevaluasi kemajuan pelajar, guru perlu menggunakan berbagai-bagai model yang sesuai dengan kecerdasan pelbagai (Soetjipto, 1999). Menurut Soetjipto lagi, guru bahasa Indonesia dapat melakukan pengembangan kecerdasan ganda. Misalnya dengan melakukan kegiatan yang mencirikan berbagai-bagai jenis kecerdasan yang dimiliki oleh setiap orang. Kegiatan tersebut dapat memungkinkan setiap kecerdasan yang dimiliki guru akan berkembang sehingga dalam proses pembelajaran akan lebih berkesan. Cooper (1995) menyatakan terdapat perbezaan yang nyata antara individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dengan individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang lemah. Individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi akan menjadi lebih sihat dan berjaya berbanding dengan kawan-kawan yang kurang keterampilan emosinya. Hal ini berlaku kerana individu tersebut mempunyai keyakinan diri, inisiatif untuk menyelesaikan masalah, berfikiran secara jernih dan mempunyai matlamat yang hendak dicapai. Salovey dan Mayer (1990) pula mendapati individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi lebih peka dan boleh menilai perasaan orang lain. Mereka menunjukkan empati yang tinggi terhadap orang lain. Kajian tentang kecerdasan emosi dan prestasi yang pernah dijalankan oleh Noriah, Siti Rahayah dan Syed Najmuddin (2003) terhadap remaja berumur 14 hingga 16 tahun telah mendapati adanya wujud hubungan positif antara kecerdasan emosi dengan prestasi remaja. Kajian beliau juga mendapati kestabilan emosi seseorang akan bertambah apabila ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

61

umurnya bertambah. Seterusnya, para pelajar mempunyai kecerdasan emosi lebih rendah berbanding dengan guru-guru. Implikasinya adalah guru-guru yang mempunyai kecerdasan emosi yang baik juga boleh berpengaruh terhadap kecerdasan emosi pelajarpelajarnya. Goleman (1999) menyatakan bahawa kecerdasan emosi merupakan satu perkara yang dinamik. Kecerdasan emosi boleh dipengaruhi oleh persekitaran seseorang individu. Oleh itu, persekitaran pendidikan yang berasaskan emosi yang sihat dapat membantu guru-guru untuk membentuk suasana pendidikan yang berkesan. Kesimpulannya, guru bahasa Indonesia ialah orang yang memiliki kecerdasan linguistik, iaitu kecerdasan yang berkaitan dengan kemampuan berbahasa baik secara lisan mahupun secara tulisan. Namun, tidak semua guru bahasa Indonesia memiliki kecerdasan linguistik. Pernyataan ini disokong oleh Alwasilah (2003) yang menyebutkan bahawa guru bahasa Indonesia berasal daripada latar belakang kecerdasan yang berbeza. Bahkan, terdapat guru bahasa Indonesia yang bukan lulusan bidang bahasa dan sastera Indonesia. Oleh itu, salah satu alternatif yang boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti profesion guru bahasa Indonesia dalah dengan cara mengembangkan kecerdasan pelbagai guruguru pelatih berkenaan.

Tujuan Kajian Kajian ini dijalankan untuk melihat profil kecerdasan emosi guru pelatih bahasa, iaitu pelajar-pelajar Sarjana Muda Pendidikan yang belajar di Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Syiah Kuala, Darussalam, Banda Aceh. Secara khusus, kajian ini bertujuan untuk: 1. 2.

Mengenal pasti profil kecerdasan emosi guru pelatih bidang bahasa Indonesia secara keseluruhan. Melihat perhubungan profil kecerdasan emosi antara guru pelatih bidang bahasa Indonesia mengikut tahun pengajian.

Persoalan Kajian Kajian berkenaan dengan kecerdasan emosi dalam kalangan guru pelatih ini bertujuan untuk menjawab soalan berikut: 1. 2.

Apakah profil kecerdasan emosi guru pelatih bidang bahasa Indonesia? Apakah terdapat perhubungan profil kecerdasan emosi antara guru pelatih bidang bahasa Indonesia mengikut tahun pengajian?

Kerangka Konseptual Kajian Kerangka konsep kajian ini diadaptasikan daripada Teori Kecerdasan Emosi Goleman (1998). Lima domain yang telah dikemukakan oleh Goleman (1998) dan dua domain ISSN: 1675-8021

62

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

yang dibentuk oleh Noriah, Siti Rahayah dan Syed Najmuddin (2003) akan digunakan dalam kajian ini. Kajian ini juga ingin melihat kesan domain kecerdasan emosi secara keseluruhan terhadap pencapaian bahasa dalam kalangan guru pelatih bidang bahasa Indonesia. Domain-domain yang dibentuk oleh Goleman (1998), iaitu pertama kesedaran kendiri yang merupakan asas kepada kelima domain lain. Kedua, regulasi kendiri merupakan domain yang dapat menentukan bentuk respons yang dizahirkan oleh seseorang dalam sesuatu situasi. Ketiga, motivasi kendiri iaitu domain yang menentukan keupayaan seseorang untuk mendorong diri bagi mencapai sesuatu matlamat. Keempat, empati iaitu domain yang mempunyai kebolehan memahami emosi atau perasaan orang lain. Kelima, kemahiran sosial iaitu kebolehan untuk membina hubungan dengan orang lain. Noriah, Siti Rahayah dan Syed Najmuddin (2003) menambahkan dua domain lain, iaitu kerohanian dan kematangan. Rajah 1 yang digambarkan ini menerangkan perkara-perkara yang akan dikaji dan dibincangkan oleh pengkaji. Pengkaji akan melakukan kajian tentang persepsi guru pelatih terhadap kecerdasan emosi dan hubungannya dengan pencapaian bahasa.

Kecerdasan Emosi: Guru Pelatih: * Tahun Pengajian

* Kesedaran Kendiri * Regulasi Kendiri * Motivasi Kendiri * Empati * Kemahiran Sosial * Kerohanian * Kematangan

Pencapaian Bahasa Bidang Bertutur

Rajah 1. Kerangka konseptual kajian (Diubah suai daripada Goleman, 1998, hlm. 376; Noriah, Siti Rahayah dan Syed Najmuddin, 2003, hlm. 37)

Kecerdasan emosi Emosi berasal daripada perkataan latin iaitu emover yang bermaksud bergerak, kegusaran dan kegembiraan ialah perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, takut, gembira dan sebagainya (Teuku Iskandar, 2004). Weisenger (2000) menyebutkan bahawa kecerdasan emosi merupakan kebolehan untuk merasa, memahami dan mengaplikasikan kuasa di sebalik emosi dalam hidup manusia sehari-hari. Kecerdasan emosi berpunca daripada emosi, perasaan dan gelak hati. Emosi bukanlah sesuatu yang boleh dirasional secara intelek. Kecerdasan emosi mencakupi pengendalian diri, semangat dan ketekunan serta kemampuan memotivasikan diri sendiri dan bertahan menghadapi kegagalan. Termasuk pula kesanggupan mengendalikan dorongan hati dan emosi, tidak melebih-lebihkan ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

63

kesenangan, mengatur suasana hati dan menjaga supaya beban tekanan tidak melumpuhkan kemampuan berfikir bagi membaca perasaan terdalam daripada orang lain. Salovey dan Mayer (1990) memberikan definisi kecerdasan emosi sebagai kebolehan untuk mengenal pasti makna-makna emosi, menaakul dan menyelesaikan masalah berdasarkan emosi tersebut. Manakala Weisenger (2000) memberikan batasan bahawa kecerdasan emosi ialah kepintaran menggunakan emosi secara sengaja untuk membentuk tingkah laku dan pemikiran ke arah meningkatkan pencapaian sesuatu matlamat. Berdasarkan beberapa huraian tersebut, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa kecerdasan emosi ialah suatu himpunan kemampuan mental yang membantu kita untuk mengenal pasti, memahami dan meningkatkan kemampuan kita untuk mengawal perasaan diri sendiri dan perasaan orang lain. Kecerdasan emosi juga merupakan kemampuan seseorang untuk mengenali emosi diri, mengelola emosi, memotivasi diri sendiri, mengenali emosi orang lain dan kemampuan untuk membina hubungan dengan orang lain. Kecerdasan emosi sangat dipengaruhi oleh persekitaran, tidak menetap dan boleh berubah-ubah pada bila-bila masa. Peranan persekitaran sangat mempengaruhi dalam pembentukan kecerdasan emosi.

Metodologi Reka bentuk kajian Kajian tinjauan ini bertujuan untuk melihat profil kecerdasan emosi dalam kalangan guru pelatih bidang bahasa Indonesia. Pendekatan kuantitatif dipilih kerana data lebih mudah diperoleh melalui soal selidik. Singgih (2002) menyatakan bahawa kuantitatif adalah suatu pendekatan kajian yang datanya dinyatakan dalam bentuk angka. Statistik hanya boleh memproses data yang berbentuk angka. Penggunaan borang soal selidik merupakan jenis instrumen yang sering digunakan untuk menjalankan kajian tinjauan. Dalam kajian ini, pengkaji ingin mendapatkan gambaran secara menyeluruh tentang profil kecerdasan emosi seperti yang telah diterangkan dalam kerangka konseptual kajian. Selain itu, pengkaji juga melihat perbezaan antara domain-domain kecerdasan emosi dalam kalangan guru pelatih. Sehubungan dengan itu, satu set soal selidik iaitu Inventori Kepintaran Emosi Malaysia (IKEM) atau Malaysian Emotional Quoetient Inventory (MEQI) yang telah dibina oleh Noriah, Siti Rahayah dan Syed Najmuddin (2003) akan digunakan bagi membolehkan pengkaji melihat semua pemboleh ubah kajian ini. Sampel kajian Kajian ini melibatkan seluruh guru pelatih bidang bahasa Indonesia yang sedang belajar pada tahun satu, dua dan tiga di jurusan Bahasa dan Sastera Indonesia, Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Syiah Kuala, Darussalam, Banda Aceh. Jumlah bilangan guru pelatih secara keseluruhan mencapai 500 orang dengan perincian 63 orang lelaki dan 437 orang perempuan. Pengkaji hanya memilih 250 orang sahaja antara mereka untuk dijadikan sebagai sampel dalam kajian ini. Menurut Wiersma (2000), saiz sampel antara 200 hingga 500 orang responden telah memadai untuk ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

64

menjalankan sesebuah kajian. Krejcie dan Morgan dalam Wiersma (2000) menyatakan bahawa semakin besar saiz populasi kajian, semakin besar pula saiz sampel yang diperlukan. Krejcie dan Morgan juga telah mencadangkan bahawa saiz sampel seramai 310 orang telah memadai untuk 1600 orang populasi. Sedangkan Alias (1999) menyebutkan 300 orang (lebih kurang 30%) daripada 1000 populasi sudah mencukupi untuk mendapatkan ketepatan yang tinggi. Instrumen kajian Untuk mengumpulkan maklumat dalam menjalankan kajian ini, pengkaji menggunakan satu set borang soal selidik iaitu Inventori Kepintaran Emosi Malaysia (IKEM)/ Malaysian Emotional Quoetient Inventory (MEQI). Soal selidik ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu (i) Bahagian pertama berkenaan dengan latar belakang dan maklumat ringkas responden, dan (ii) Bahagian kedua terdapat soalan-soalan yang mengukur setiap domain kecerdasan emosi (EQ). Inventori kepintaran emosi Malaysia (IKEM/ MEQI) Borang soal selidik ini ialah soal selidik untuk kecerdasan emosi yang telah dibina oleh sekumpulan pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penyusunan soal selidik ini telah mengambil kira model kecerdasan emosi Goleman (1999). Item-item dalam soal selidik ini disusun berdasarkan lima domain kecerdasan emosi seperti yang telah dicadangkan oleh Goleman dan ditambah dua domain oleh Noriah, Siti Rahayah dan Syed Najmuddin (2003) supaya bersesuaian dengan konteks tempatan. Item-item ini dibina dengan menggunakan lima skala Likert, iaitu (1) Sangat Tidak Setuju, (2) Tidak Setuju, (3) Tidak Pasti, (4) Setuju dan (5) Sangat Setuju. Setiap item disusun merujuk kepada perasaan dan tingkah laku responden yang dipersepsikan dan prestasi sebenar terhadap kelima-lima domain yang dicadangkan oleh Goleman (1999) beserta dua domain yang dikenal pasti dalam temu bual kumpulan fokus dan temu bual individu. Soal selidik ini terdiri daripada tujuh bahagian utama, iaitu kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan. Bagi kesedaran kendiri, terdapat empat bahagian item kesedaran, iaitu kesedaran emosi, penilaian kendiri, keyakinan diri dan kesedaran fisiologi. Bagi regulasi kendiri, terdapat lima bahagian item, iaitu kawalan diri, kebolehpercayaan, penghematan/kejujuran, kebolehsuaian dan inovasi. Bagi motivasi kendiri, terdapat lima bahagian item iaitu dorongan pencapaian, komitmen, inisiatif, optimis dan minat. Bagi empati, terdapat tujuh bahagian item, iaitu memahami orang lain, mengembangkan potensi orang lain, berorientasikan khidmat, leveraging diversity, kesedaran politik, membantu orang lain dan perasaan kasih sayang. Bagi kemahiran sosial, terdapat lapan bahagian item, iaitu pengaruh, pengurusan konflik, kepemimpinan, pemangkin perubahan, menjalin hubungan, kerjasama, keupayaan kumpulan dan komunikasi. Bagi kerohanian tidak terdapat pecahan dan mempunyai sembilan item, dan bagi kematangan mempunyai enam item. Terdapat satu bahagian item situasi yang pelbagai ditanyai dalam bentuk soalan terbuka yang perlu dijawab oleh responden secara bertulis dalam bentuk tindak balas. Jumlah item secara keseluruhan yang perlu dijawab oleh responden dalam instrumen ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

65

IKEM/MEQI ini ialah 100 item. Kesahan dan kebolehpercayaan instrumen kajian Kesahan dan kebolehpercayaan alat kajian penting dalam sesuatu kajian. Kesahan atau kesahihan merupakan satu konsep yang merujuk kapada sejauh mana alat kajian mengukur apa yang hendak diukur atau sejauh mana alat kajian itu menepati tugasnya (Anastasi & Urbina, 1997). Menurut Murphy dan Davidshofer (1988), APA Standards for Psychology Test (1954) telah mengenal pasti empat strategi untuk mengukur kesahan yang melibatkan kesahan kandungan, kesahan konstruk, kesahan ramalan dan kesahan serentak. Soal selidik kecerdasan emosi diambil dan diubah suai daripada kajian Noriah, Siti Rahayah dan Syed Najmuddin (2003) tentang kecerdasan emosi dalam kalangan guru. Pengkaji menggunakan pekali Alpha Cronbach untuk menganggarkan pekali ketekalan dalaman soal selidik kecerdasan emosi dan pencapaian bahasa. Berdasarkan analisis data, nilai pekali kebolehpercyaaan bagi item kesedaran kendiri ialah 0.8393. Bagi item regulasi kendiri, nilai pekali kebolehpercayaan ialah 0.9101. Untuk item motivasi kendiri, nilai pekali kebolehpercayaan ialah 0.9223. Selanjutnya untuk item empati, nilai pekali kebolehpercayaan ialah 0.9303 dan nilai pekali kebolehpercayaan bagi item kemahiran sosial ialah 0.9215. Untuk nilai pekali kebolehpercayaan bagi item kerohanian ialah 0.7190 sedangkan bagi nilai pekali kebolehpercayaan item kematangan ialah 0.9357. Bagi mengetahui tahap nilai min bagi tiap-tiap pemboleh ubah yang dikaji, penyelidik mengkategorikan dan mengiterpretasikan skor min dalam tiga tingkatan. Skor min 1.00 hingga 2.33 menunjukan tingkatan rendah. Skor Min 2.34 hingga 3.66 berada pada tingkatan sederhana, manakala min 3.67 hingga 5.00 menunjukkan tahap tinggi. Ketigatiga tahap skor purata ini didasarkan kepada kajian Jamil (2002). Kajian rintis Kajian rintis merupakan salah satu peringkat yang melibatkan aktiviti penting dalam kajian tinjauan (Hayes, 2000). Kajian rintis dianggap kajian kecil yang dijalankan dengan tujuan memperbaiki dan meningkatkan kesahan serta kebolehpercayaan instrumen kajian (Fraenkel & Wallen, 1993). Dengan melakukan kajian rintis, pengkaji dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan instrumen yang digunakan. Oleh itu, satu kajian rintis dilaksanakan sebulan sebelum dijalankan kajian sebenar. Kajian rintis dilaksanakan di Universitas Syiah Kuala yang melibatkan 30 orang guru pelatih bidang Bahasa Indonesia sebagai responden kajian. Kajian rintis dijalankan untuk menentukan dan membetulkan sebarang kekeliruan berkaitan dengan penggunaan alat-alat pengukuran oleh pengkaji. Berdasarkan Jadual 1, secara keseluruhan nilai Alpha Cronbach adalah melebihi nilai 0.800. Menurut Mohd Majid (2000), nilai Alpha Cronbach yang melebihi 0.6 boleh diterima kebolehpercayaannya.

ISSN: 1675-8021

66

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

Jadual 1: Dapatan kajian rintis Item Kesedaran kendiri Regulasi kendiri Motivasi kendiri Empati Kemahiran sosial Kerohanian Kematangan

Min 3.6143 3.5467 3.7444 3.6035 3.5351 4.3167 4.3333

Alpha Croanbach 0.8393 0.9101 0.9223 0.9303 0.9215 0.7190 0.9357

Tatacara analisis data Data yang telah dikumpulkan akan dianalisis secara deskriptif kuantitatif. Analisis deskriptif akan memberikan gambaran awal terhadap bilangan sampel jantina dan tahun pengajian. Untuk melihat deskriptif data secara keseluruhan, statistik deskriptif yang digunakan ialah min, peratusan dan sisihan piawai. Analisis kuantitatif pengkaji akan menggunakan Statistical Package for Social Science (SPSS 15). Analisis ANOVA sehala digunakan untuk melihat perbezaan kecerdasan emosi berdasarkan tahun pengajian. Manakala analisis korelasi digunakan untuk melihat perhubungan antara satu pemboleh ubah dengan pemboleh ubah yang lain dan bagaimana kaitan antara satu domain dengan domain lain.

Dapatan Kajian Profil responden Kajian ini melibatkan guru pelatih bidang Bahasa Indonesia yang sedang melanjutkan pengajian di Universitas Syiah Kuala. Daripada 250 borang soal selidik yang diedarkan, hanya 235 yang dikembalikan oleh responden kepada pengkaji. Responden dibahagikan dalam tiga kumpulan, iaitu responden yang belajar pada tahun satu, tahun dua dan tahun tiga. Jadual 2 menunjukkan 72 respoden (30.6%) adalah tengah belajar pada tahun satu, 80 responden (34.0%) yang belajar pada tahun dua dan 83 respoden (35.3%) belajar pada tahun tiga. Jadual 2: Profil responden kajian bagi soal selidik guru Sampel Tahun satu Tahun dua Tahun tiga Jumlah

ISSN: 1675-8021

(N=425) Bilangan Peratus 72 30.6 80 34.0 83 35.3 235 100.0

67

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

Analisis deskriptif Bahagian ini akan menghuraikan dapatan inventori kecerdasan emosi dalam tiap-tiap konstruk daripada guru yang sedang belajar pada tahun satu, dua dan tiga. Bagi menjawab persoalan kajian, profil kecerdasan emosi akan dihuraikan dalam dua bahagian. Bahagian pertama adalah profil kecerdasaan emosi guru pelatih secara keseluruhan dan bahagian kedua adalah perbandingan nilai min profil kercerdasan emosi berdasarkan tahun pengajian. 1.

Profil kecerdasaan emosi guru pelatih secara keseluruhan

Jadual 3 menunjukkan kecerdasan emosi guru pelatih dari segi kesedaran kendiri secara keseluruhan ialah 3.86, iaitu pada tahap tinggi. Secara terperinci, kecerdasan emosi kesedaran kendiri pada Bahagian Ai memperoleh nilai min 3.18, iaitu pada tahap sederhana. Manakala kesedaran kendiri bagi Bahagain Aii (min 3.67), Bahagian Aiii (min 3.78) dan Bahagian Aiv (min 4.28) adalah pada tahap tinggi. Jadual 3: Min, sisihan piawai dan tahap kecerdasan emosi dari segi kesedaran kendiri Kesedaran Kendiri Bahagian Ai – Kesedaran emosi Bahagian Aii – Penilaian kendiri Bahagian Aiii – Keyakinan diri Bahagian Aiv – Kesedaran fisiologi Keseluruhan

Min 3.18 3.67 3.78 4.28 3.86

Sisihan Lazim .795 .699 .505 .429 .356

Tahap Sederhana Tinggi Tinggi Tinggi Sederhana

Kecerdasan emosi guru pelatih dari segi regulasi kendiri dipamerkan dalam Jadual 4. Dapatan kajian menunjukkan tahap regulasi kendiri guru pelatih secara keseluruhan 3.72, iaitu pada tahap tinggi. Secara terperinci pula, kecerdasan emosi regulasi kendiri pada Bahagain Bi (min 3.47), Bahagian Biii (min 3.57) dan Bahagian Biv (min 3.66) berada pada tahap sederhana. Sedangkan regulasi kendiri bagi Bahagian Bii (min 4.06) dan Bahagian v (min 3.84) adalah pada tahap tinggi. Jadual 4: Min, sisihan piawai dan tahap kecerdasan emosi dari segi regulasi kendiri Regulasi Kendiri Bahagian Bi – Kawalan diri Bahagian Bii – Kebolehpercayaan Bahagian Biii – Kejujuran Bahagian Biv – Kebolehsuaian Bahagian Bv – Inovasi Keseluruhan

Min 3.47 4.06 3.57 3.66 3.84 3.72

Sisihan Lazim .568 .548 .546 .485 .502 .353

Tahap Sederhana Tinggi Sederhana Sederhana Tinggi Tinggi

Jadual 5 menunjukkan kecerdasan emosi guru pelatih dari segi motivasi kendiri secara keseluruhan adalah 3.89, iaitu pada tahap tinggi. Dilihat secara terperinci pula, kecerdasan emosi kesedaran kendiri pada Bahagian Ci (min 3.85), Bahagian Cii (min ISSN: 1675-8021

68

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

3.78), Bahagian Ciii (min 3.88) dan Bahagian Civ (min 4.20) yang keseluruhannya mencapai nilai pada tahap min tinggi. Jadual 5: Min, sisihan piawai dan tahap kecerdasan emosi dari segi motivasi kendiri Motivasi Kendiri Bahagian Ci – Dorongan pencapaian Bahagian Cii – Komitmen Bahagian Ciii – Inisiatif Bahagian Civ – Optimis Keseluruhan

Min 3.85 3.78 3.88 4.20 3.89

Sisihan Lazim .472 .553 .497 .541 .380

Tahap Tinggi Tinggi Tinggi Tinggi Tinggi

Kecerdasan emosi guru pelatih dari segi empati dipamerkan dalam Jadual 6. Dapatan kajian menunjukkan tahap empati yang dimiliki oleh guru pelatih secara keseluruhan min 3.88, iaitu pada tahap tinggi. Secara terperinci, kecerdasan emosi empati bagi tiap-tiap bahagian mencapai nilai min pada tahap tinggi. Empati pada Bahagain Di memperoleh nilai min 3.73, Bahagian Dii (min 3.90), Bahagian Diii (min 3.89), Bahagian Div (min 4.00), Bahagian Dv (min 4.05), Bahagian Dvi (min 3.80) dan Bahagian Dvii (min 3.82). Jadual 6: Min, sisihan piawai dan tahap kecerdasan emosi dari segi empati Empati Bahagian Di – Memahami orang lain Bahagian Dii – Mengembangkan potensi orang lain Bahagian Diii – Berorientasikan khidmat Bahagian Div – Kepelbagaian ’Leveraging’ Bahagian Dv – Kesedaran politik Bahagian Dvi – Membantu orang lain Bahagian Dvii – Perasaan kasih sayang Keseluruhan

Min 3.73 3.90 3.89 4.00 4.05 3.80 3.82 3.88

Sisihan Lazim .583 .544 .565 .528 .544 .519 .591 .374

Tahap Tinggi Tinggi Tinggi Tinggi Tinggi Tinggi Tinggi Tinggi

Jadual 7 menunjukkan kecerdasan emosi guru pelatih dari segi kemahiran sosial secara keseluruhan adalah 3.76, iaitu pada tahap tinggi. Dilihat secara terperinci, kecerdasan emosi kemahiran sosial pada Bahagian Ei memperoleh nilai min 3.08 dan Bahagian Ev nilai min 3.43, iaitu pada tahap sederhana. Sedangkan kesedaran kendiri bagi Bahagian Eii (min 3.75), Bahagian Eiii (min 3.97), Bahagian Eiv (min 4.05), Bahagian Evi (min 4.08), Bahagian Evii (min 3.81), Bahagian Eviii (min 3.79) adalah pada tahap tinggi.

ISSN: 1675-8021

69

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

Jadual 7: Min, sisihan piawai dan tahap kecerdasan emosi dari segi kemahiran sosial Kemahiran Sosial Bahagian Ei – Pengaruh Bahagian Eii – Pengurusan konflik Bahagian Eiii – Kepimpinan Bahagian Eiv – Pemangkin perubahan Bahagian Ev – Menjalin hubungan Bahagian Evi – Kerjasama Bahagian Evii – Keupayaan kumpulan Bahagian Eviii – Komunikasi Keseluruhan

Min 3.05 3.75 3.97 4.05 3.43 4.08 3.81 3.79 3.76

Sisihan Lazim .640 .755 .524 .546 .670 .489 .569 .689 .375

Tahap Sederhana Tinggi Tinggi Tinggi Sederhana Tinggi Tinggi Tinggi Tinggi

Jadual 8 menunjukkan kecerdasan emosi guru pelatih dari segi kerohanian (min 4.47) dan kematangan (min 4.41) berada pada tahap tinggi. Kecerdasan Emosi guru pelatih secara keseluruhan menunjukkan berada pada tahap tinggi pula (min 3.86).

Jadual 8: Min,sisihan piawai dan tahap kecerdasan emosi dari segi kerohanian dan kematangan Keseluruhan Kerohanian Kematangan Keseluruhan Kecerdasan Emosi

2.

Min 4.47 4.41 3.86

Sisihan Lazim .494 .498 .287

Tahap Tinggi Tinggi Tinggi

Profil kecerdasan emosi guru pelatih mengikut tahun pengajian

Rajah 2 menunjukkan nilai min kecerdasan emosi secara keseluruhan dan dalam semua domain kecerdasan emosi bagi guru pelatih yang belajar pada tahun satu, tahun dua dan tahun tiga ialah pada tahap tinggi. Bagi domain kecerdasana emosi regulasi kendiri dan kemahiran sosial, guru pelatih tahun satu memperoleh nilai min pada tahap sederhana. Namun demikian, guru pelatih tahun tiga mencapai nilai min yang paling tinggi diikuti oleh guru pelatih tahun dua dan tahun satu. Kecerdasan emosi dari segi kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, kerohanian dan kematangan pula menunjukkan guru pelatih tahun tiga mencapai nilai min yang paling tinggi diikuti dengan guru pelatih tahun dua dan tahun satu. Namun demikian, kecerdasan emosi dari segi empati dan kemahiran sosial guru pelatih tahun dua mencapai nilai min yang paling tinggi diikuti oleh guru pelatih tahun tiga dan tahun satu.

ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

70

Rajah 2: Perbandingan nilai min kecerdasan emosi antara guru pelatih tahun satu, tahun dua dan tahun tiga Perbincangan Dalam bahagian ini, pengkaji membincangkan dapatan kajian berkenaan mengikut (i) Profil kecerdasan emosi guru pelatih bidang bahasa Indonesia, (ii) Hubungan profil kecerdasan emosi antara guru pelatih bidang bahasa Indonesia yang belajar pada tahun satu, dua dan tiga serta (iii) Hubungan domain kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan dengan pencapaian bahasa pelajar.

Profil kecerdasan emosi guru pelatih bidang bahasa Indonesia Dapatan kajian kuantitatif menunjukkan 72 responden (30.6%) adalah tengah belajar pada tahun satu, 80 responden (34.0%) belajar pada tahun dua dan 83 respoden (35.3%) belajar pada tahun tiga. Secara am, kecerdasan emosi guru pelatih bidang bahasa Indonesia berada pada tahap sederhana. Dalam realiti kehidupan, emosi sering diertikan sebagai sebuah kemampuan mengelola diri dan juga kemampuan untuk memahami orang lain. Hal ini bersesuaian seperti yang dinyatakan oleh Salovey dan Mayer (1990) bahawa EQ sebagai himpunan daripada kecerdasan sosial yang melibatkan kemampuan memantau perasaan sosial pada orang lain. Bagi seseorang yang akan menjadi guru, kecerdasan emosi sangat berpengaruh serta banyak membantu untuk terciptanya suasana kondusif antara guru dengan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Psikologi dan bahasa adalah dua perkara yang memiliki hubung kait yang erat. ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

71

Perkembangan ilmu psikologi seiring dengan perkembangan ilmu bahasa. Mengikut Chaer (2003), bahasa merupakan satu kegiatan yang memiliki prinsip-prinsip tersendiri. Hasil kajian Von Humboldt dalam Chaer (2003, hlm. 43) menyebutkan bahawa bahasa (linguistik) dengan pemikiran manusia (emosi) pada suatu masyarakat menentukan pandangan hidup masyarakat penuturnya. Hasil kajian beliau menemukan bahawa bahasa suatu masyarakat menentukan pandangan hidup masyarakat penuturnya. Edward Sapir (1884-1939) juga telah memasukkan ilmu psikologi dalam penyelidikan bahasa. Menurut beliau, psikologi dapat memberikan dasar ilmiah yang kuat dalam pengkajian bahasa. Kajian beliau menemukan bahawa bahasa merupakan unsur yang menentukan struktur pemikiran manusia. Beliau juga menekankan bahawa linguistik memberikan sumbangan yang penting kepada psikologi. Psikologi juga dapat membantu disiplin linguistik (Chaer, 2003). Elias, Zinns dan Wiesberg (1997) menyatakan bahawa seseorang yang memiliki kecerdasan emosi boleh memahami dan menzahirkan aspek sosial dalam menguruskan tugas atau tanggungjawabnya dalam kehidupan secara efektif. Guru yang memiliki kecerdasan emosi yang tinggi akan mampu menyelesaikan masalah pelajar kerana ia mempunyai sifat empati dan kemahiran sosial yang baik (Goleman, 1999). Kajian serupa juga dijalankan oleh Saadi (2001) terhadap kanak-kanak di sebuah sekolah di Jordan telah mendapati bahawa kanak-kanak tidak akan dapat mencapai matlamat pembelajaran sepenuhnya jika mereka tidak dibelai dengan kasih sayang dan empati. Dalam kajian yang dijalankan, didapati hubungan kecerdasan emosi guru bahasa Indonesia berada pada tahap sederhana. Ini bermakna purata guru-guru pelatih bahasa indonesia tidak memiliki kecerdasan emosi yang ideal (tinggi). Peringkat tahun pengajian dan sistem perkuliahan berpengaruh terhadap perkembangan kecerdasan emosi guru pelatih bahasa. Khusus dalam pembelajaran bahasa, perkembagan bahasa sangat dipengaruhi oleh perkembagan psikologis seseorang, bahkan antara bahasa dan psikologi adalah dua perkara yang memiliki hubung kait yang sangat erat. Bahasa adalah alat untuk melahirkan fikiran dan emosi. Interaksi antara fenomena luaran dengan fenomena dalaman akan dapat difahami secara lebih baik melalui pengkajian struktur bahasa (Chaer, 2003). Sebagai rumusan terhadap kajian ini didapati bahawa profil kecerdasan guru pelatih bidang bahasa Indonesia adalah pada tahap sederhana. Maknanya, kecerdasan emosi pada tahap sederhana untuk masa hadapan akan memberikan kesan kepada kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini adalah kesan tidak langsung daripada proses pendidikan pada peringkat universiti. Tahapan emosi guru-guru pelatih pada tahapan sederhana mustahil nanti akan menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang. Goleman (1999) menyatakan 80 peratus kejayaan individu adalah bergantung kepada EQ berbanding dengan lebih kurang 20 peratus sahaja yang disebabkan oleh IQ atau kecerdasan mental. Hasil kajian ini pengkaji dapati berlawanan dengan tulisan yang ditulis Goleman yang menyatakan Emosi memiliki peranan yang sangat penting. Pengkaji menyarankan supaya diadakan latihan bagi guru-guru untuk mepertingkatkan kecerdasan emosinya. Perkara ini menurut pengkaji adalah sesuatu yang perlu dicadangkan pada masa hadapan. ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

72

Hubungan profil kecerdasan emosi antara guru pelatih bidang bahasa Indonesia yang belajar pada tahun satu, tahun dua dan tahun tiga Dapatan kajian pada bahagian ini menunjukkan terdapat perbezaan perhubungan kecerdasan emosi guru pelatih yang belajar pada tahun satu, tahun dua dan tahun tiga sama ada dalam perkara kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi, empati, kemahiran sosial, kerohanian, kematangan atau kecerdasan. Kecerdasan emosi guru pelatih bidang bahasa Indonesia daripada semua domain, iaitu segi kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, kerohanian dan kematangan pula menunjukkan guru pelatih tahun tiga mencapai nilai min yang paling tinggi diikuti oleh guru pelatih tahun dua dan tahun satu. Namun demikian, kecerdasan emosi dari segi empati dan kemahiran sosial guru pelatih tahun dua mencapai nilai min yang paling tinggi diikuti oleh guru pelatih tahun tiga dan tahun satu. Selari dengan teori yang dikemukakan oleh Goleman (1998, 1999) yang menyatakan bahawa terdapat bukti kecerdasan emosi amat berkuasa bahkan lebih berkuasa daripada IQ dalam sebarang domain kehidupan manusia. Hal ini disebabkan oleh emosi sangat berpengaruh pada diri seseorang, maka pembinaan kecerdasan emosi bagi guru-guru pelatih adalah sangat penting. Kestabilan emosi guru-guru pelatih akan memberi kesan positif kepada diri mereka apabila mereka benar-benar menjadi guru di sekolah nanti. Dapatan ini juga selari dengan dapatan kajian Noriah (2005) dan Noriah, Siti Rahayah dan Syed Najmuddin (2003) yang mendapati bahawa faktor kepelbagaian kecerdasan emosi seseorang boleh mempengaruhinya ketika bekerja. Hal ini terjadi kepada guruguru pelatih bahasa Indonesia yang dikaji. Guru pelatih tahun tiga lebih mantap kecerdasan emosi mereka berbanding guru pelatih tahun satu dan dua. Walaupun dapatan kajian tidak mencapai tahap tinggi, tempoh masa pengajian bagi seseorang memberikan pengaruh dalam pembentukan kecerdasan emosi. Sebagai saran dan masukan untuk pihak-pihak yang terkait dalam masalah pendidikan mesti memberikan kaedah-kaedah yang boleh memberikan rangsangan untuk meningkatkan kecerdasan bagi guru-guru pelatih bahasa.

Kesimpulan Sumbangan utama kajian ini kepada Universitas Syiah Kuala dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lainnya adalah memberikan maklumat bahawa kecerdasan emosi dipengaruhi oleh proses pembelajaran yang baik pada suatu universiti. Institusi pengajian tinggi akan melahirkan graduan-graduan yang akan menerusi estafet pendidikan. Manakala guru-guru yang berkualiti pula akan wujud jika proses pembelajaran di sebuah univesiti berjalan dengan baik. Kajian tentang kecerdasan emosi telah banyak dilakukan oleh para pengkaji yang terdahulu. Antara kajian terdahulu adalah kajian yang dilakukan oleh Wan Ashibah (2003) yang melihat hubungan antara kecerdasan emosi dengan kepimpinan bakal guru. Selanjutnya, Syafril Syafrimen (2004) mengkaji hubungan kecerdasan emosi dengan prestasi pencapaian akademik. Noriah, Siti Rahayah dan Syed Najmudidin (2003) menjalankan kajian kepintaran emosi dan hubungannya dengan nilai kerja. Namun, ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

73

kajian tentang kecerdasan emosi dan hubungannya dengan pencapaian bahasa masih belum banyak dilakukan di Indonesia, khususnya di Aceh. Ini bermakna bahawa kajian ini merupakan sesuatu yang baru. Kajian ini adalah membincangkan proses pembelajaran atau perkuliahan yang berlangsung di institusi pengajian tinggi dan memberi kesan kepada para pelajar terutama yang mengikuti kursus program kajian linguistik. Sebab proses pembelajaran di institusi pengajian tinggi akan memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Semakin baik proses pengajaran di pengajian tinggi maka akan melahirkan pula guru-guru yang memiliki kecerdasan emosi yang tinggi. Memandangkan institusi pengajian tinggi dan graduan yang dihasilkan memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara, kualiti pengajaran dan pembelajaran harus ditingkatkan dari semasa ke semasa. Penambahbaikan kualiti pendidikan identik dengan menyediakan sarana yang lengkap, pembuatan kurikulum yang baik dan keperluan-keperluan penyokong lainnya guna membantu kelancaran proses pembelajaran guru-guru bahasa. Secara tidak langsung, ini dapat meningkatkan motivasi guru-guru bahasa untuk mengajar di dalam kelas kepelbagaian pelajar (Ainol Madziah & Isarji 2010).

Rujukan Ainol Madziah Zubairi & Isarji Sarudin. (2010). Motivation to learn a foreign language in Malaysia. GEMA Online Journal of Language Studies, 9 (2): 73-87. Alias Baba. (1999). Research statistic in social science education. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Alwasilah, A. Chaedar. (2003). Sosiolinguistik dalam pembelajaran bahasa. Bandung: PT Remaja Rosdakarya. Anastasi, A. & Urbina, S. (1997). Psychology testing. 7th Edition. New Jersey: Prentice Hall. Atef al-Tamimi & Munir Shuib. (2010). Motivation an attitudes towards learning : A study of petroleum engineering undergraduates at Hadhramout University of Sciences and Technology. GEMA Online™ Journal of Language Studies, 9 (2): 29-55. Chaer, Abdul. (2003). Psikolinguistik kajian teoretik. Jakarta: PT Rineka Cipta. Cooper, J. F. (1995). A primer of brief psychotherapy. New York: W.W. Norton & Company. Elias, M. J., Zinns, J. E. & Weisberg, R. P. (1997). Promoting social and emotional learning: Guidelines for educators. Alexandria, VA: Association for Supervision Curriculum and Development. ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

74

Fraenkel, J. R. & Wallen, N. E. (1993). How to design and evaluate research in education. 2nd Edition. New York: McGraw-Hill Inc. Goleman, D. (1998). Working with emotional intelligence. New York: Bantam Books. Goleman, D. (1999). Emotional competence excecutive excellent. New York: Bantam Books. Hayes, N. (2000). Doing psycology research. Philadelphia: Open University Press. Hamzah, B. Uno. (2006). Orientasi baru dalam psikologi pembelajaran. Jakarta: PT Bumi Aksara. Jamil Ahmad. (2002). Pemupukan budaya penyelidikan di kalangan guru di sekolah: Satu penilaian. Tesis Doktor Falsafah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Mohd. Majid Konting. (2000). Kaedah penyelidikan pendidikan. Edisi Ke-5. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka. Salovey, P. & Mayer, J. D. (1990). Emotional intelligence. Imagination, Cognition and Personality, 9, 185-211. Mulyasa, Puworno. (2005). Menjadi guru profesional: Menciptakan pembelajaran kreatif dan menyenangkan. Bandung: PT Remaja Rosdakarya. Murphy, K. R. & Davidshofer, C. O. (1988). Psychology testing: Principles and application. Boston: Prentice Hall. Noriah Mohd. Ishak. (2005). Kepintaran emosi di kalangan pekerja di Malaysia. Prosiding IRPA-RMK-8 Kategori EAR, Jilid 1, 184-187. Noriah Mohd. Ishak, Siti Rahayah Ariffin dan Syed Najmuddin Syed Hasan. (2003). Kepintaran emosi dan hubungannya dengan nilai kerja. Jurnal Psikologi Malaysia, 17, 35-43 Purwanto, Ngalim. (1990). Psikologi pendidikan. Jakarta: PT Remaja Rosdakarya. Salovey, P. & Mayer, J. D. (1990). Emotional intelligence, imagination, cognition and personality. Intelligence, 9, 185-211. Singgih, S. (2002). SPSS statistik parametrik. Jakarta: PT Elex Media Komputindo. Soetjipto, Raflis Kosasi. (1999). Profesi keguruan. Jakarta: PT Rineka Cipta.

ISSN: 1675-8021

GEMA Online Journal of Language Studies Volume 10(2) 2010

75

Syafrimen Syafril. (2004). Profil kecerdasan emosi guru-guru sekolah menengah zon tengah Semenanjung Malaysia (Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor). Kertas Projek Penyelidikan Sarjana. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Teuku Iskandar. (2004). Kamus dewan. Edisi Ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka. Usman, Uzer M. (2006). Menjadi guru profesional. Bandung: PT Remaja Rosdakarya. Wan Ashibah Wan Ibrahim. (2003). Kecerdasan emosi di kalangan guru sekolah menengah berasrama penuh dan sekolah harian. Kertas Projek Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Weisenger, H. (2000). Emotional intelligence at work. San Francisco: Jossey-Bass. Wiersma, W. (2000). Research methods in education: An introduction. Needham Heights: A Division of Simon & Schuster Inc. Zamri

Mahamod, Norasmah Othman & Mohammed Sani Ibrahim. (2007). Profesionalisme guru novis: Model latihan. Edisi Kedua. Bangi: Penerbitan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penulis Muhammad Idham ialah pensyarah di Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Syaih Kuala, Banda Acheh, Naggroe Acheh Darrussalam. Beliau mendapat Sarjana Pendidikan (Bahasa Melayu) dari UKM pada tahun 2009. Zamri Mahamod (Ph.D) ialah Prof. Madya di Fakulti Pendidikan, UKM. Bidang kepakaran beliau adalah dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu dan Strategi Pembelajaran Bahasa. Melor Md. Yunus (Ph.D) ialah pensyarah di Fakulti Pendidikan, UKM. Bidang kepakaran beliau ialah TESL dan ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff (Ph.D) ialah pensyarah di Fakulti Pendidikan UKM. Bidang kepakaran beliau ialah Kaedah Pendidikan Bahasa Arab, Kurikulum dan Pedagogi. Kini memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Perkaedahan dan Amalan Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM.

ISSN: 1675-8021