Sosiologi Persanakan

semua hubungan yang ada kaitan dengan prokreasi fizikal, perlindungan kepada anak dan penerusan rangkaian melalui generasi. ... Dalam makalah ini, say...

0 downloads 62 Views 94KB Size
Sosiologi Persanakan Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu 2:1 (2010) 113 - 124

113

Sosiologi Persanakan VICTOR T. KING

PENGENALAN Dalam perkataan yang lebih ringkas persanakan/ kekerabatan adalah berasaskan peraturan yang tertentu mengenai hubungan fizikal antara lelaki dan perempuan untuk melahirkan anak. Selepas itu, anak yang dilahirkan itu dilindungi dan disosialisasikan secara progresif dalam komunitinya, agar boleh mempunyai status dan memainkan peranan generasi yang lebih tua pada akhirnya. Persanakan juga mementingkan kesinambungan dan penerusan kumpulan sosial untuk memastikan kedua-dua mereka yang berumur dan akhirnya mati secara fizikal itu diganti dengan kebudayaan dan sosial oleh generasi muda. SOSIOLOGI PERSANAKAN Alex Inkeles menyatakan institusi persanakan “pada asasnya memfokus sekitar masalah mengatur jantina dan menyediakan suatu kerangka yang selamat dan stabil untuk menjaga dan memelihara golongan muda” (1964: 68). Kita melihat ada hubugan rapat antara persanakan melalui dimensi biologi dengan persanakan dari dimensi sosial dan budaya. Seperti pandangan W. H. R. Rivers, ahli antropologi yang terkemuka yang telah mendefinisikan persanakan sebagai pengiktirafan sosial daripada hubungan yang bersifat biologi. Pemerhatian ini membawa kita melihat satu lagi masalah dalam kajian persanakan. Kita menerima persanakan berkenaan hubungan fizikal yang berkongsi ‘darah’ dan ia tidak mudah pecah, tetapi perlu diingat bahawa pelbagai jenis kebudayaan melihat idea mengenai hubungan genetik dan fizikal secara berbeza, misalnya, bagaimana anak dilahirkan dan sumbangan lelaki dan perempuan dalam proses itu. Kita juga arif bahawa manusia telah meluaskan kepelbagaian sistem persanakannya. Dengan perkataan lain, fakta asasi tentang hubungan biologi untuk melahirkan anak telah dihuraikan dalam pelbagai jenis kebudayaan dan kehidupan sosial. Sistem persanakan ini mementingkan cara untuk mengatur hak dan kewajipan antara individu dalam masyarakat dengan peruntukan kepada peranan dan status sosial, memberi hak kepada pemilik harta atau harta kepada pejabat (office) dan penglibatan dalam aktiviti ekonomi atau ritual. Sebagai ahli sains sosial, kita berminat dengan hubungan sosial yang masuk ke dalam dan melihat tujuan reproduksi fizikal yang biasanya dinamakan sebagai perkahwinan dan pertalian afinal (hubungan melalui perkahwinan), dan mereka

114

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

yang lahir daripada berkongsi ‘darah’ atau reproduksi yang dipanggil hubungan consanguin (pertalian melalui kelahiran). Kita perlu mengakui bahawa hubungan ini juga membentuk kumpulan sosial yang biasanya dipanggil sebagai keluarga, atau keturunan, atau suku, atau sanak saudara/ kaum kerabat. Namun, kita perlu berhati-hati kerana pelbagai kebudayaan boleh dan menekankan aspek-aspek yang berbeza kepada hubungan ini dan berfikir mengenai hubungan persanakan itu dalam pelbagai cara yang berbeza. Pelajar yang mengkaji sistem persanakan juga perlu mengambil kira perbezaan makna yang digunakan dalam perkataan ‘persanakan’ itu sendiri. Kadang kala ahli sains sosial menggunakannya dengan pandangan yang luas merangkumi semua hubungan yang ada kaitan dengan prokreasi fizikal, perlindungan kepada anak dan penerusan rangkaian melalui generasi. Dalam erti kata lain, ia meliputi hubungan sedarah, persemendaan dan keturunan daripada nenek moyang. Namun, ada sebilangan penulis membezakan persanakan atau perhubungan sedarah daripada mereka yang berkahwin dan bersemenda ketika membincangkan ‘kekerabatan dan perkahwinan’. Ada ahli sains sosial yang lain pula membezakan persanakan berdasarkan hubungan yang memfokus kepada individu yang diterima melalui darah dan perkahwinan, daripada keturunan yang berasaskan hubungan antara nenek moyang dan keturunan. Dalam makalah ini, saya fokuskan perhatian kepada persanakan secara luas, merangkumi hubungan sedarah, persemendaan dan keturunan yang perlu dibincang dengan lebih teliti. Ahli antropologi dan sosiologi menetapkan tuntutan besar tentang pentingnya kajian mengenai persanakan dalam masyarakat manusia. Ia dilihat terutamanya dalam komuniti yang berskala kecil, biasanya di kawasan desa atau masyarakat yang berasaskan pertanian dengan persanakan itu sebagai cara utama untuk mengorganisasikan kehidupan komuniti, sekaligus merapatkan hubungan antara satu sama lain. Oleh itu, hubungan ibu bapa dengan anak-anak, hubungan adik-beradik (misalnya anak-anak dari ibu bapa yang sama), hubungan datuk nenek dengan cucunya, hubungan antara anak-anak (misalnya sepupu), hubungan antara suami dan isteri dan sebagainya itu menjadi asas yang penting kepada pembentukan masyarakat. Persanakan ialah asas yang mengklasifikasikan masyarakat, memberikan mereka nama kepada kedudukan sosial atau status (seperti ‘bapa’, ‘ibu’, ‘anak lelaki’, ‘anak perempuan’, ‘abang’, ‘kakak’) dengan diiringi jangkaan terhadap peranan, hak dan kewajipan, serta menyusun mereka ke dalam unit sosial atau kumpulan tertentu. Seperti yang dikatakan Robin Fox “Dalam masyarakat di mana persanakan itu penting, kesetiaan kepada keluarga melebihi kesetiaan yang lain, dan untuk alasan ini sahaja ia mesti menjadi musuh kepada birokrasi” (1967: 14). Namun, seperti yang dibincangkan Fox tadi, dalam masyarakat yang mementingkan bentuk organisasi lain seperti birokrasi, negara-bangsa dan kelas sosial, persanakan menjadi kurang signifikan. Kita arif bahawa proses pembandaran dan pengindustrilisasian cenderung untuk melemahkan peranan organisasi tradisional yang diamalkan persanakan. Dalam masyarakat yang dikatakan semakin moden

Sosiologi Persanakan

115

atau membangun itu masih ada hubungan yang berasaskan persanakan, yang biasanya merangkumi hubungan yang minimum antara ibu dan anak (anak-anak) atau ibu, bapa dan anak (anak-anak). Oleh kerana itu, ada beberapa darjah variasi yang penting dalam menentukan persanakan yang berbeza antara masyarakat, tetapi ada juga perbezaan dalam bentuk-bentuk sistem persanakan. Ahli sains sosial telah berhujah mengenai perbezaan itu dan cara untuk mengkelaskan masyarakat berdasarkan perbezaan itu. Pengklasifikasian yang dibuat secara am ialah membahagikan masyarakat yang bersifat teratur melalui keturunan senasab dan mereka yang teratur dalam asas kognat dwisisi. Antara dua kategori yang luas itu terdapat beberapa subbahagiannya. Sehubungan itu, adalah penting untuk diingat bahawa ini adalah satu pengklasifikasian seluruh masyarakat berdasarkan organisiasi persanakan mereka, dan kerap kali sukar meletakkannya dalam masyarakat yang berhubungkait antara satu sama lain dan juga yang sedang berkembang ke dalam kategori yang lebih kemas. Yang telah dilihat dalam sesetengah masyarakat, seperti negara industri di Barat, persanakan tidaklah sebegitu penting berbanding dengan prinsip organisasi lain. Dalam pengklasifikasian ini, kita masih mengkategorikan masyarakat Barat sebagai ‘kognat’/ bilateral, kerana tidak menggunakan dan memasukkan keturunan senasab dalam pelbagai tujuan organisasinya. Kita perlu lebih berhati-hati dengan pengklasifikasian yang ingin dibentuk dan permasalahan yang diterima kita dalam pengklasfikasian itu. Yang penting ialah kita perlu menjelaskan dengan mudah, teratur dan menganalisakannya. Pertama, kita menyelidiki keturunan senasab. Masyarakat senasab adalah yang diorganisasikan atas asas keturunan melalui garis nenek moyangnya. Ada dua pendekatan asas dalam organisasi senasab. Kumpulan sosial atau yang kita sebut sebagai kumpulan keturunan itu boleh dibentuk pada asas garis keturunan lelaki, secara ringkasnya daripada bapa kepada anak lelaki atau anak lelaki seterusnya kepada generasi mendatang. Ia merujuk kepada sistem atau masyarakat patrilineal. Dalam sistem ini, selepas berkahwin, orang perempuan biasanya akan berpindah untuk tinggal bersama komuniti dan keluarga suaminya. Ia dirujuk sebagai penempatan patrilokal. Keturunan nasab-bapa itu berbeza dengan organisasi sistem yang lazim dan banyak ditemui di tanah besar Asia Tenggara, terutamanya komuniti bukit di Burma, Thailand dan Vietnam, dan juga beberapa kumpulan di Sumatera, seperti Batak dan kawasan timur kepulauan Indonesia. Sistem nasab-bapa yang mungkin sekali terkenal di rantau ini ialah masyarakat Cina yang membawa masuk organisasi asalnya dari tanah air mereka di selatan China ke tempat seperti Malaysia. Dalam masyarakat nasab-bapa, keanggotaan kumpulan, status, identiti dan pemilikan harta itu berdasarkan pengiktirafan keturunan garis nasab lelaki. Dalam itu, individu adalah anggota yang ditakrif sebagai kumpulan keturunan yang disebut sebagai suku lelaki (patriclans); ia adalah kumpulan yang besar yang menjejaki semula keturunan moyang lelaki beberapa generasi yang lepas. Suku ini biasanya dibahagikan kepada beberapa kumpulan keturunan yang lebih kecil, kadang kala dikenali sebagai sub-suku

116

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

(patrilineages). Hubungan persanakan yang genting dalam masyarakat nasabbapa adalah antara bapa dengan anak lelakinya. Selain itu, cara utama untuk mengorganisasikan masyarakat ialah dengan cara mengiktiraf keturunan menurut garis perempuan, melalui ibu kepada anak perempuannya dan seterusnya. Masyarakat ini disebut sebagai nasab-ibu (matrilineal). Ia mempunyai banyak perbezaan dengan sistem nasab-bapa. Dalam sistem ini, kaum lelaki tidak boleh memindahkan warisan atau harta kepada anak lelakinya; ia berpindah kepada anak lelaki adik perempuannya. Menurut kebiasaan, selepas berkahwin lelaki akan menetap di kediaman nasab sebelah isteri dan mentuanya yang dipanggil petempatan matrilokal, atau jika munasabah dia boleh menetap dengan matrikinnya dan dari masa ke masa menziarahi isterinya. Walaupun dalam masyarakat nasab-ibu, seperti juga nasab-bapa, harta, keanggotaan kumpulan dan status adalah melalui garis perempuan, tetapi secara tradisinya, kaum lelaki tetap mempunyai autoriti dari segi politik. Kita boleh lihat bagaimana masyarakat seperti ini berpotensi sehinggakan telah membawa kepada berlakunya konflik kerana si bapa tidak boleh memihak kepada anak lelakinya. Tanggungjawabnya ke atas nasab-ibu menyebabkannya perlu membantu anak lelaki kakaknya. Oleh itu, hubungan genting dalam nasab-ibu adalah antara ibu dan anak perempuannya serta hubungan antara pakcik dan anak saudara lelakinya. Contoh yang paling terkenal adalah di Indonesia, mungkin juga di seluruh Asia Tenggara ialah masyarakat Minangkabau di Sumatera yang mengamalkan sistem nasab-ibu. Di Malaysia, sudah pasti masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, “menuntut mereka adalah keturunan imigran dari Minangkabau” (Swift 1965: 9) dan secara tradisinya mengorganisasikan diri berdasarkan prinsip nasabibu. Oleh kerana sistem organisasi ini jarang ditemui, maka telah mencetuskan perhatian yang tidak kena tempat dan menyebabkan banyaknya kajian telah dibuat tentang masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, terutamanya sistem adat mereka yang disebut sebagai adat perpatih. Ada baik sekiranya boleh diluangkan sedikit masa untuk menggambarkan sistem ini di Negeri Sembilan. Selain organisasi politik tradisional dalam negeri di Negeri Sembilan yang merangkumi pemerintah (Yang di Pertuan Besar atau Yam Tuan) dan ketua-ketua daerah (undang-undang), masyarakat Melayu di Negeri Sembilan juga diorganisasikan ke dalam lapan suku nasab-ibu dan beberapa sub-suku lain. Ketua daerah dipilih dari salah satu suku ibu yang memerintah daerahnya (luak) dengan bantuan majlis ketua suku. Walaupun keanggotaan suku dan pejabat dipindahkan kepada garis perempuan, namun gelaran diraja dan pejabat diwarisi dari garis lelaki melalui nasab-bapa. Ini adalah persoalan penting yang perlu diberi perhatian dalam memahami sistem senasab. Walaupun garis keturunan telah diberi penekanan yang istimewa atas alasan organisasi, dalam kes ini, garis perempuan tidak menyisihkan hubungannya melalui garis lelaki untuk tujuan tertentu. Orang individu dalam sistem nasab-ibu itu mempunyai kedua-duanya iaitu seorang ibu dan bapa serta boleh bergantung pada mereka dari pelbagai segi untuk mendapatkan sokongan dan kebajikan.

Sosiologi Persanakan

117

Dalam kajiannya di daerah Jelebu di Negeri Sembilan, Swift menjelaskan Undang di Jelebu ditadbir “engan persetujuan lapan orang ketua (lembaga) dari suku nasab-ibu (waris atau suku) yang membentuk Majlis Orang Dilapan” (1965: 14). Lima daripada lapan suku atau waris itu dibezakan daripada tiga yang lain yang sebelum itu telah menuntut petempatan kawasan dan hak terhadap tanah; mereka menikmati status dan pejabat yang lebih tinggi dan dirujuk sebagai biduanda atau waris negeri. Setiap matriklan kemudiannya dibahagikan kepada beberapa bilangan subsuku atau keturunan (perut) yang diketuai ketua sub-suku (buapak). Kaum lelaki dan perempuan tidak boleh berkahwin dalam satu keturunan (perut); mereka perlu berkahwin ke luar sub-suku. Dalam erti kata lain, sub-suku adalah unit eksogami. Jika perkahwinan dibenarkan dalam satu unit sosial yang sama, ia dirujuk sebagai endogami. Perkahwinan biasanya ditadbir oleh pelbagai peraturan dan tatacara, iaitu dengan siapa dibenarkan untuk berkahwin dan dengan siapa tidak dibenarkan berkahwin. Kadang kala peraturan ini sesungguhnya membatasi. Sekiranya hubungan seksual berlaku antara dua orang daripada kategori sosial yang sememangnya dilarang, penyatuan itu dipertimbangkan sebagai yang bersifat sumbang muhrim. Hubungan sumbang muhrim biasanya membawa kepada larangan atau hukuman yang berat, dan dipercayai kebanyakan masyarakat segala nasib malang akan menimpanya akibat perlakuan itu. Kadang kala, walaupun perkahwinan antara segelintir orang yang biasanya tidak dibenarkan, mungkin dibenarkan sekiranya dibayar denda yang berpatutan dan upacara perkahwinan dilangsungkan. Perkahwinan ke luar dari sub-suku di Negeri Sembilan secara tradisinya diiringi si suami berpindah ke petempatan komuniti sebelah nasab-ibu isterinya; dalam erti kata lain, perkahwinan itu bersifat matrilokal. Suami yang mereka kahwini itu digelar sebagai orang semenda. Komuniti itu secara idealnya merangkumi koleksi anggota perempuan dari sebelah nasab-ibu, suami yang mereka kahwini dari matriklan atau sub-suku dan anak-anak mereka. Nasab-ibu suami yang mereka kahwini pula menetap di tempat lain. Di Negeri Sembilan, hak ke atas tanah pusaka diwarisi dari sistem matriklan dan ibu menurunkan haknya kepada anak perempuannya. Secara tradisinya, keupayaan individu untuk menjual tanah adalah terhad, dengan kawalan ke atasnya dilaksanakan ketua suku. Swift menyatakan: “… an individual’s rights of ownership were restricted by the notion that all land was inheritance of the clan and the subclan. And so, in a way, of the group as a whole…” (p.23). Pada masa lalu, tanah pusaka yang diwarisi melalui garis perempuan itu digunakan untuk menanam padi untuk sara diri dan orang lain. Individu dan isi rumah daripada matriklan dibenarkan menggunakan tanah itu. Satu lagi kategori tanah yang tidak dipusakai nenek moyang ialah tanah yang diperoleh daripada individu atau pasangan yang berkahwin semasa hayat mereka. Menurut tradisi, tanah itu akan dimasukkan ke dalam suku harta pusaka

118

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

nenek moyang selepas kematian pemiliknya. Tetapi, kemerosotan sistem nasabibu sejak 100 tahun yang lalu telah melemahkan pentingnya harta pusaka dengan banyak tanah telah menjadi milik individu dan tidak lagi diturunkan daripada ibu kepada anak perempuannya. Tanah, termasuk tanah penanaman padi, boleh dibeli dan dijual di pasaran dengan bebas dan dikeluarkan daripada kategori tanah pusaka. Hak tanah kini juga telah menjadi subjek kuasa di bawah undangundang pewarisan Islam. Proses ini telah ditetapkan secara gerakan dengan perkembangan penanaman getah secara komersial semasa zaman kolonial lagi bila industri getah mula berkembang dan tanah didaftarkan di bawah kawalan kaum lelaki. Namun, Swift berhujah bahawa ia sebenarnya adalah lebih kepada penubuhan struktur pentadbiran dan politik British yang baru untuk melemahkan autoriti ketua-ketua nasab-ibu di Negeri Sembilan, sekaligus menyebabkan kemerosotan sistem nasab-ibu. Ini adalah alasan mudah mengapa adat perpatih tidak lagi dijalankan dan dikuatkuasakan setelah ketua-ketua itu kehilangan kuasa, kedudukan dan pengaruh yang banyak dalam masyarakatnya. Dalam kajiannya, Swift menunjukkan sejak tahun 1950an lagi sistem nasabibu telah menjadi semakin lemah, akibat perubahan terhadap pemilikan tanah, pengkomersialan ekonomi, pergerakan sosial dan fizikal secara pantas, bersamasama dengan penghijrahan buruh lelaki. Keluarga atau unit isi rumah yang lebih kecil pula menjadi semakin penting. Jenis keluarga nuklear diamalkan, merangkumi lelaki, wanita dan anak-anaknya. Oleh itu, si suami telah mengurus untuk mengukuhkan kawalan yang lebih besar kepada keluarganya dari segi sosial dan ekonomi serta hubungan antara si ayah dan anaknya semakin kukuh berbanding dengan kawalan tradisional yang diamalkan keluarga nasab-ibu sebelah isterinya. Begitu juga dengan ramainya generasi muda yang berkahwin itu telah berpindah dari kawasan kampung menuju ke bandar untuk mencari kerja, maka petempatan tradisi matrilokal itu telah berubah menjadi petempatan neolokal selepas pasangan itu berkahwin. Dalam kata lain, petempatan bukan lagi di keluarga sebelah suami atau isteri, tetapi bebas daripada kedua-dua tempat itu. Kita beralih kepada satu lagi jenis persanakan yang digunakan untuk membincangkan masyarakat, dalam lain perkataan ia tidak menggunakan satupun garis keturunan untuk membentuk kumpulan. Sistem jenis ini disebut sebagai kognat atau kadang kala bilateral. Di Semenanjung Malaysia, termasuk orang Melayu di Singapura, sistem kognat dirujuk secara berpisah sebagai Adat Temenggong untuk membezakannya daripada sistem nasab-ibu adat perpatih (Djamour 1965: 14). Djamour telah menjelaskan sistem persanakan kognat ini diamalkan majoriti masyarakat Melayu di Semenanjung. Menurut beliau lagi dalam sistem ini “tiada organisasi keturunan/ zuriat yang wujud” (hal. 14). Dalam lain perkataan, individu bukannya anggota keturunan senasab yang dibentuk daripada nenek moyang mereka, sama ada lelaki atau perempuan. Dalam sistem keturunan kognat atau dwisisi ‘kepentingan terhadap persamaan atau hampir sama kepada keluarga sebelah bapa dan ibu. Tidak ada perbezaan set konsep persanakan yang digunakan … untuk saudara mara kebapaan dan saudara mara keibuan” (hal. 23).

Sosiologi Persanakan

119

Kita perlu ingat sekali lagi bahawa ini adalah kategori persanakan yang bersifat ideal dan secara praktisnya dalam masyarakat dwisisi/ kognat, ia mempunyai pilihan untuk satu garis keluarga atau keturunan berbanding yang lain. Tetapi, pemilihan ini tidak memberi kesan kepada kumpulan senasab. Namun, dalam sistem kognat masyarakat Melayu misalnya, Djamour meningatkan kita tentang pentingnya agama Islam yang menyokong pemilihan garis nasab-bapa dan “sesetengah saudara kebapaan diberikan tugas dan hak yang istimewa” (hal. 23). Namun, dalam usaha memasukkan persanakan ke dalam kategori keluarga, sistem kognat ini memberi individu suatu keseimbangan atau persamaan antara saudara mara keibuan dan saudara mara kebapaan. Banyak kajian telah dilakukan ke atas masyarakat Melayu dengan menggunakan prinsip organisasi keluarga yang bersifat kognat. Mungkin kajian awal yang terbaik tentang persanakan Melayu ialah daripada Djamour tentang ‘Perkahwinan dan Persanakan Melayu di Singapura (1965). Beliau menjelaskan dengan mendalam tentang pentingnya kumpulan persanakan sebagai sanak saudara yang personal dan isi rumah yang biasanya merangkumi ‘famili asas’ atau famili nuklear. Sebuah lagi kajian mengenai masyarakat Melayu di kawasan luar bandar telah dilakukan William Wilder ke atas masyarakat Melayu di Kampung Kuala Bera di Pahang (1982). Wilder juga menjelaskan pentingnya hubungan sanak saudara. Beliau telah menggambarkan sanak saudara itu lebih dikenali sebagai golongan persanakan yang difokus kepada individu, sama ada lelaki atau perempuan; “it extends to the fourth gereration ascending from a given speaker and to fourth cousin” (empat-pupu) (hal. 93). Dalam ketiadaan kumpulan keturunan, sanak saudara itu menyediakan suatu cara yang fleksibel untuk individu bergerak dalam pelbagai lingkungan saudara mara untuk membantu, misalnya bekerjasama menanam padi atau secara berkumpulan membantu dalam ritual edaran hidup seperti kelahiran, perkahwinan dan kematian. Kelebihan rangkaian persanakan ini yang memfokus kepada individu itu penting kerana ia memberi pertimbangan dalam membuat pilihan untuk menjemput saudara mara melibatkan diri atau memberi sokongan dalam sesuatu aktiviti atau acara. Sistem kognat juga menjadi ciri penting kepada penduduk bumiputra di negeri Sabah dan Sarawak. Mungkin contoh yang terbaik ialah kajian Derek Freeman (1970) mengenai petempatan rumah panjang masyarakat Iban di Sarawak. Dalam masyarakat Iban, unit asas itu dikenali sebagai famili-bilik, iaitu sebuah kumpulan yang biasanya mengandungi enam hingga tujuh orang. Famili-bilik merangkumi anggota keluarga yang rapat daripada kelahiran dan perkahwinan, dan biasanya famili asas atau nuklear itu terdiri daripada suami, isteri dan anak, atau tiga generasi famili tonggak, iaitu ibu bapa, anak mereka yang sudah kahwin dengan pasangannya dan anak mereka. Masyarakat Iban ternyata mengamalkan monogami; dibenarkan berkahwin dengan seorang pasangan. Dalam masyarakat Iban, tidak ada famili luas, iaitu satu unit keluarga yang merangkumi dua atau lebih pasangan dari generasi yang sama yang tinggal bersama-sama.

120

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

Famili-bilik disatukan dan berasaskan pekerjaan dan juga perkongsian sebuah bilik di rumah panjang, yang didirikan dengan struktur tiang kaki di bawah satu bumbung yang merangkumi semua isi rumah kampung. Bilik itu mempunyai bilik tamu (juga dipanggil bilik), loteng (sadau) dan bersebelahan dengan bahagian anjung yang beratap (ruai) dan beranda terbuka (tanju). Ahli keluargnya menetap di kawasan petempatan tersebut yang juga dikenali sebagai bilik, mengakui hubungan yang rapat antara persanakan dan petempatan. Familibilik juga secara kolektifnya mempunyai bilik yang tersendiri, merangkumi empat bahagian utama. Tambahan lagi, famili adalah unit domestik dengan wanita menyediakan makanan untuk ahlinya yang berkongsi makanan; ahlinya tidur di ruang tamu, melainkan bujang yang secara tradisi lebih suka tidur di luar, di anjung yang berbumbung; anak-anak juga dibesarkan dalam keluarga. Familibilik juga mempunyai harta mereka sendiri, termasuk harta pusaka dan hak ke atas kawasan hutan untuk bercucuk tanam. Famili kecil ini adalah unit ekonomi untuk mengerjakan pelbagai aktiviti, termasuki menanam padi, menangkap ikan dan memburu untuk kegunaan sendiri. Famili-bilik juga penting sebagai entiti ritual kerana ia membiayai dan menjalankan pelbagai upacara secara sendiri, mengamalkan larangan upacara sendiri dan memiliki sebahagian barangan upacara seperti tangkal yang suci. Seperti yang telah ditunjukkan Freeman, famili-bilik komuniti Iban itu bukan sebahagian daripada suku atau keturunan yang besar. Ia diletakkan dalam proses pembahagian yang lebih kecil. Bila seorang individu sudah dewasa, berkahwin dan mempunyai anak, semua anaknya, kecuali seorang, akan keluar dari familibilik kelahirannya untuk membentuk famili mereka sendiri. Mereka itu sama ada mendirikan bahagian baru di rumah panjang atau berpindah ke rumah panjang lain yang mempunyai saudara mara untuk membina bilik di situ. Anak yang berkahwin dan menetap bersama dalam bilik kelahirannya itu dikehendaki menjaga ibu bapanya sehingga usia tua dan mewarisi bahagian dan harta lain di dalamnya. Proses ini penting untuk memastikan identiti keluarga itu berterusan dari generasi ke generasi, tetapi ia tinggal dalam bilangan yang semakin kecil. PERSANAKAN LAIN Freeman mengatakan unit utama ialah famili-bilik, iaitu unit yang berautonomi. Bila wujud pembahagian dan pasangan yang berkahwin dibahagikan famili-bilik, satu unit entiti baru yang berasingan telah dibentuk dengan harta bilik asal itu dibahagikan kepada dua bahagian yang berbeza dengan satu atau dua pengecualian. Walaupun famili-bilik mempunyai kebebasan dan autonomi, sebahagian besar dalam masyarakat yang menjadi ‘persekutuan’ famili-bilik itu menetap di rumah panjang. Ahli famili-bilik yang berasingan yang dihubungkan melalui jaringan sanak saudara dan sanak saudara itu ‘kumpulan dwisisi yang luas yang

Sosiologi Persanakan

121

meliputi semua individu dari keluarga bapa dan keluarga ibunya’ (Freeman 1970: 67). Oleh itu, ia rangkaian hubungan yang saling mengunci, maka kompleks kerana fokusnya kepada individu. Golongan keluarga ini bukan kelompok yang dibatasi, tetapi berkembang ‘di luar dengan tidak pasti’ (hal. 67). Masyarakat Iban juga berkahwin sesama sepupu. Perkahwinan dibenarkan antara sepupu pertama, kedua dan ketiga atau apa juga darjah hubungan mereka dalam generasi yang sama dan di luar famili-bilik. Dalam rangkaian dwisisi, perkahwinan campur antara sanak saudara yang rapat juga kerap berlaku untuk meneguhkan dan merapatkan hubungan dan amalan mengambil anak angkat dari keluarga yang rapat disediakan famili-bilik dihubungkan antara rumah panjang. Yang lazim didapati ialah ramai keluarga yang rapat, misalnya saudara lelaki dan perempuan atau sepupu pertama tinggal di bahagian bersebelahan rumah itu. Hubungan antara sanak saudara itu diharap dapat memberi tanggungjawab, bantuan dan sokongan sesama mereka. Keluarga yang rapat tinggal di bawah satu bumbung juga memperkembangkan “a sense of identification with the longhouse” (Freeman 1970: 126). Walaupun komuniti Iban tidak mempunyai perkongsian kumpulan keturunan di luar keluarga kecil, maka berbeza dengan masyarakat senasab seperti nasabbapa masyarakat Cina atau nasab-ibu masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, namun sanak saudara atau Iban adalah mekanisme yang berkesan untuk menggembeling dan mengorganisasikan kumpulan manusia yang besar secara kolektif. Selain berkait dengan rumah panjang, hubungan sanak saudara juga berkembang luas dengan individu dari rumah panjang lain di tepi sungai di sekitarnya yang secara tradisinya bergerak dalam kumpulan besar untuk ekspedisi, peperangan dan menentang musuh. Kelebihan fungsi utama sistem dwisisi yang berdasarkan hubungan sanak saudara itu ialah penyesuaian dan kefleksibelan sifatnya. Sanak saudara menyediakan jaringan hubungan personal dengan diri individu itu boleh menggiatkannya bila diperlukan, membiarkan sahaja atau membuangnya. Ia menyediakan elemen pilihan yang tertinggi dalam membentuk kumpulan sosial berbanding dengan masyarakat berdasarkan keturunan dengan anggotanya boleh dikenalpasti dengan jelas. Perlu dinyatakan bahawa dalam masyarakat kognat, orang itu kadang kala boleh ditemui daripada kumpulan yang berdasarkan keturunan. Masyarakat Iban tidak mempunyai elemen ini, tetapi ada segelintir masyarakat kognat yang berdekatan dengannya mempunyai sifat tersebut. Misalnya, komuniti Bidayuh atau Dayak darat yang menetap di bahagian barat Sarawak adalah penduduk rumah panjang, dengan sistem persanakannya, terutamanya merangkumi keluarga atau unit domestik yang kecil dan hubungan sanak saudara seperti orang Iban (Geddes 1954). Orang Bidayuh seperti yang dinyatakan Geddes itu mempunyai ‘kumpulan keturunan’ (1954: 59), atau seperti yang saya sebut sebagai keturunan dwisisi itu berdasarkan kumpulan atau kategori. Ia bukan sistem senasab dengan keturunan hanya dikesan melalui satu garis. Sebaliknya, keturunan orang

122

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu

Bidayuh itu merangkumi semua keturunan, kedua-duanya lelaki dan perempuan dari nenek moyang yang sama yang mula-mula sekali membersihkan kawasan hutan dan menubuhkan hak ke atas tanah itu. Ia bukan suatu ‘kumpulan’ seperti yang kita fikirkan sebagai satu unit; tetapi satu kategori atau famili yang bersifat kolektif. Orang individu itu tidak mempunyai keanggotaan yang khusus dalam keturunanya, tetapi dimiliki banyak keturunan, kerana dia boleh dikesan bukan melalui satu garis, seperti dalam sistem senasab, tetapi melalui pelbagai garis yang boleh diaktifkan atau diingat dari pelbagai nenek moyang yang telah menubuhkan hak ke atas tanah. Sehubungan itu, keturunan ini bertindih daripada segi keanggotaannya, berbanding dengan kumpulan keturunan senasab yang mana keanggotaannya yang boleh didefinisikan dengan jelas. Dalam komuniti Bidayuh keturunan hanya berfungsi dalam hubungan ke atas hak tanah; yang beroperasi dalam membahagikan kawasan tanaman dan mempunyai peraturan yang dikuasai orang lain untuk mengenalpasti siapa di kalangan keturunan itu yang boleh mengusahakan tanaman di atas tanah yang diberikan sebelum ia berpindah balik ke dalam kelompok bersama itu. Seperti yang telah disebut, kategori sistem persanakan itu bersifat ideal dan secara praktisnya, orang itu akan mendapat pertimbangan pelbagai variasi antara masyarakat kognat. Yang penting untuk diberi perhatian ialah bentuk dan hubungan persanakan yang boleh berubah. Kita sudah melihat sistem nasab-ibu masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang berubah secara perlahan-lahan, terutamanya akibat pembaharuan pentadbiran yang diperkenalkan kerajaan kolonial British. Dalam masyarakat senasab secara amnya, cara untuk melemahkan struktur kumpulan keturunan itu ialah dengan meningkatkan ekonomi yang bersifat komersial dan pengembangan transaksi mata wang, pergerakan sosial dan fizikal, perubahan dalam sistem pemilikan tanah, perubahan dalam organisasi pentadbiran dan politik serta kepentingan terhadap agama yang bersifat tradisional. Dalam kes di Negeri Sembilan, famili nuklear atau kecil itu menjadi semakin penting setelah masyarakat itu mula bergerak dan mengorientasikan cara hidup bandar. Namun, pelbagai kajian telah menunjukkan sistem kumpulan keturunan itu tidak hilang secara pantas. Struktur elemen yang lama masih berterusan, atau mungkin ada penyesuaian dan mengambil fungsi yang baru. Misalnya, dalam proses menyesuaikan diri dengan situasi di bandar, imigran yang baru datang dari kawasan luar bandar mungkin mencari anggota suku atau keturunannya untuk mendapat sokongan, bantuan kewangan, pekerjaan dan kemudahan lain. Individu mungkin juga berharap untuk meninggalkan sebahagian hak ke atas harta suku mereka di kampung, atau kembali menetap di sana selepas bekerja di bandar. Mereka juga mungkin akan balik ke kampung dari masa ke masa untuk melibatkan diri dalam pelbagai upacara dan perhimpunan suku. Sistem kumpulan keturunan yang rapat itu sudah semakin longgar dan mengecil berbanding dengan hubungan lain di bandar di kalangan kawan, rakan sepejabat, jiran dan lain-lain yang bersaing untuk menunjukkan kesetiaan dan perhatian individu. Ahli sains sosial juga telah menunjukkan perubahan dalam sistem kognat

123

Sosiologi Persanakan

akibat proses pemodenan. Di sini Ronald Provencher (1971) telah mengkaji apa yang dipanggilnya sebagai ‘dua dunia Melayu’, iaitu kelas menengah bandar di kawasan Kuala Lumpur dan masyarakat Melayu di luar bandar yang mengusahakan kawasan kebun getah dan tanaman campur dengan berulang-alik ke Kuala Lumpur. Sekali lagi, perubahan persanakan yang penting telah dikenal pasti. Provencher menemui sebahagian bilangan isi rumah orang bujang di bandar; lelaki muda dari kawasan luar bandar akan menyewa kemudahan di bandar, kadang kala berkongsi antara satu sama lain. Ada unit sosial yang bersifat sementara, kerana lelaki muda akan keluar untuk bekerja setiap hari dan minggu. Secara tradisinya, ini bermakna hubungan sosial yang rapat dengan kehidupan keluarga di luar bandar itu sudah semakin lemah bila mereka meninggalkan rumah untuk bekerja. Provencher mendapati unit isi rumah di luar bandar sudah menjadi semakin berpusat kepada golongan perempuan. Bila keluar dari kampung, lelaki itu meninggalkan golongan kebanyakannya perempuan. Maka wanita tua ditinggalkan untuk mengurus rumah tangga di kampung. Sementara perempuan yang belum kahwin itu cenderung untuk tinggal di kampung bagi mengawal dan menjaga mereka dari segi moral dan bahaya lain dalam hidup di bandar. Pelbagai kajian mengenai perubahan sosial di kalangan penduduk luar bandar di Sarawak juga telah dijalankan. Ada sedikit persamaan ditemui daripada segi bentuk perubahan di Semenanjung. Generasi muda, terutamanya lelaki, telah meninggalkan kawasan luar bandar untuk mencari pekerjaan dan pendidikan di bandar. Ini bermakna sekali lagi hubungan rapat antara sanak saudara itu sudah menjadi semakin longgar dengan tanggungjawab yang wujud dari segi tradisinya antara keluarga rapat itu semakin sukar dipenuhi. Tetapi, ini tidak bermakna hubungan persanakan yang lebih besar tidak penting lagi. Ramai orang Iban, misalnya, masih cuba untuk menghubungi saudara mara mereka, walaupun mereka sudah berjauhan secara fizikalnya dengan mengakui pentingnya sokongan dan identiti yang terjalin melalui perkongsian persanakan. Penerusan urbanisasi dan industrilisasi telah memberi kesan kepada bentuk, kandungan dan fungsi persanakan. PENUTUP Kajian mengenai persanakan telah menjadi fokus penting kepada ahli antropologi dan sosiologi. Dalam percubaan mengasingkan dan memahami prinsip yang membentuk kehidupan sosial dengan yang teratur, kita tidak boleh mengabaikan pengaruh persanakan. Adalah benar kita perlu mengakui pentingnya organisasi persanakan yang mungkin akan menurun akibat daripada pemodenan, tetapi ia akan mainkan bahagiannya dalam menyatupadukan masyarakat dalam pelbagai rangkaian dan unit sosial.

124

Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu RUJUKAN

Djamour, Judith. 1965. Malay Kinship and Marriage in Singapore. University of London: The Athlone Press, LSE Monographs on Social Anthropology No. 2. Fox, Robin. 1967. Kinship and Marriage. An Anthropological Perspective. Harmondsworth: Penguin Books. Geddes, W.R. 1954. The Land Dayaks of Sarawak. London: HMSO. Freeman Derek. 1970. Report on the Iban. University of London: The Athlone Press, LSE Monographs on Social Anthropology No. 41. Inkeles, Alex. 1964. What is Sociology? An Introduction to the Discipline and Profession. Englewood Cliffs, New Jersey: Prentice Hall. Provencher, Ronald. 1971. Two Malay Worlds: Interaction in Urban and Rural Settings. Berkeley: University of California, Center for South and Southeast Asia Studies Research Monograph No. 4. Swift, M.G. 1965. Malay Peasant Society in Jelebu. University of London: The Athlone Press, LSE Monographs on Social Anthropology No. 29. Wilder, William, D. 1982. Communication, Social Structure and Development in Rural Malaysia. The Athlone Press, LSE Monographs on Social Anthropology No. 56.

(Sumber asal makalah dalam bahasa Inggeris ini berjudul Sociology of Kinship daripada Victor T. King di University of Hull, England, daripada sebuah buku yang bakal diterbitkan). Penterjemah: Sarjit Singh Darshan, Ph D Ketua, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. 43400 Serdang Selangor Emel: [email protected]